Pergolakan kuasa di sebalik video lucah

Isu video seks yang didakwa membabitkan Menteri Hal Ehwal Eonomi Mohamed Azmin Ali kini sudah berlanjutan lebih dari dua minggu sejak 11 Jun.
Isu ini bukan sahaja mempertegangkan konflik dalaman PKR, tetapi menyebabkan tempoh peralihan jawatan perdana menteri sekali lagi menjadi perbincangan utama dalam medan politik Malaysia.
Penganalisis politik Tang Ah Chai berpandangan, dalam isu transisi perdana menteri dan video seks, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berada dalam kedudukan dominan.

Pertemuan Mahathir dan Anwar pada 11 Jun lalu
Kini, kesahihan video seks bukan lagi isu pokok tetapi yang penting ialah sikap dan pendirian Mahathir terhadap masa depan politik Azmin Ali, ulasnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Tang, Mahathir banyak kali menegaskan sokongannya terhadap Azmin dan menyatakan tiada keperluan untuk Azmin meletakkan jawatan "kerana skandal video seks palsu bukan cara Malaysia”.
“Hal ini telah menimbulkan persoalan sama ada Azmin mungkin calon bakal PM.
“Juga disebabkan Mahathir tidak memberi tempoh transisi yang jelas, penyokong (Presiden PKR) Anwar (Ibrahim) mulai gusar dan mendesak Azmin bercuti, serta menggesa Mahathir beri garis masa penyerahan jawatan PM,” katanya.

Tang Ah Chai 
Tang berkata langkah Mahathir tidak menyatakan dengan jelas dalam isu itu bagi memberi bayangan bahawa pelan transisi mungkin berubah pada bila-bila masa.
“Anwar kerap berjumpa dengan Mahathir kebelakangan ini.
“Dari segi bahasa tubuhnya, kita dapat lihat Anwar kurang yakin terhadap peralihan jawatan itu,” jelasnya.
Di samping itu, pemimpin-pemimpin lain dalam Pakatan Harapan yang mengelak jawab isu ini turut memberi peluang kepada Mahathir terus menerajui kedudukan dominannya, kata Tang.
Katanya, jika konflik Anwar-Azmin meledak, Azmin berkemungkinan keluar parti bersama kumpulannya dan menyertai Bersatu jika mendapat sokongan DAP dan Amanah.
Bagaimanapun, Tang berkata status quo struktur PH akan kekal asalkan kedudukan Azmin tidak tergugat.
‘Songan wakil rakyat pad Azmin kecil’
Sementara itu, seorang pemerhati PKR yang enggan namanya disebut berkata, Azmin tidak akan keluar parti melainkan beliau dipecat.
“Ia bukan pilihan. PAS dan Umno juga tentu sukar menerima pemimpin yang ada isu moral.
"Azmin dan penyokongnya tidak akan tinggalkan PKR kerana mereka harus menjadi pembangkang.
“Kecualilah Azmin dan mereka menyertai satu daripada tiga parti lain (dalam PH), misalnya Bersatu. Tetapi tentunya pilihan ini juga tidak menguntungkan beliau dan penyokongnya”, ulasnya.

Azmin Ali
Pemerhati itu berpendapat, Azmin mungkin masih ada sokongan meluas, seperti tergambar dalam keputusan pemilihan PKR tahun lalu, tetapi jumlah wakil rakyat yang bersamanya kini dikatakan "sangat kecil".
Ini berlaku selepas tercetusnya dakwaan seks sejenis dengan seorang pemimpin akar umbi PKR.
"Sokongan ahli parlimen dan Adun pada Azmin kurang sebab team Anwar kuasai calon-calon pilihan raya umum yang lepas. Yang menang, majoriti bukan penyokong Azmin. Kontroversi video ini mengurangkan lagi jumlahnya yang sudah memang sedikit.
“Saya nampak hanya sekumpulan kecil penyokong Azmin akan keluar jika PKR pecah. Saya tidak fikir PKR akan pecah. Kalau pecah pun, ia tidak akan serius,” jelasnya.
Berbeza dengan Tang, pemerhati ini berasa DAP akan memihak kepada Anwar.
"Azmin berharap pada PM sahaja tetapi sokongan ini tidak stabil jika sekutu-sekutu dalam PH tidak memihak kepada Azmin tetapi menyokong Anwar.
"Masih terlalu awal untuk tentukan siapa pilihan Mahathir sebab PM sekarang tiada sokongan kuat.
“Anwar melalui PKR dan sokongan DAP telah menjadi tulang belakah PH. Yang lain-lain pasti akan ikut Anwar,” tegasnya.
20 tahun krisis dalaman
Seorang lagi penganalisis politik Phoon Wing Keong turut berpandangan bahawa PKR tidak akan berpecah dan kem Azmin juga tidak akan keluar parti.
Menurutnya, PKR berulang kali berhadapan dengan perebutan kuasa dan krisis dalaman sejak 20 tahun lalu, namun ia tidak pernah berpecah.
Seandainya Mahathir berpegang teguh kepada janjinya dan mengalihkan jawatannya kepada Anwar dengan lancar, maka PKR tidak akan pecah, kata Phoon.

Phoon Wing Keong
Beliau juga percaya bahawa isu video seks tersebut lahir daripada konflik dalaman PKR bagi tujuan mengurangkan rintangan Anwar sebelum menjadi PM.
“Dari segi realiti politik, setelah Anwar menjadi PM, kem-kem PKR akan struktur semula kerana pada masa itu, pastinya ramai memilih untuk mendekati Anwar dan sekali gus kekuatan Azmin akan dilemahkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, Phoon masih optimis bahawa Mahathir akan menunaikan janjinya kerana perbuatan ini berkaitan dengan legasinya setelah bersara.
“Jikalau beliau tidak menepati janji pada saat akhir dalam kerjaya politiknya, pasti akan menimbulkan pergolakan politik yang amat besar seterusnya menjejaskan peluang memerintah PH pada PRU akan datang.
“Situasi ini tidak membawa sebarang faedah kepadanya. Kosnya terlalu besar, Mahathir juga tidak mampu menampung gelombang politik yang lain lagi,” ulas Phoon.
Phoon yakin Mahathir masih akan memberi jawatannya kepada Anwar seperti apa yang dijanjikan sebelum ini.
Sementara itu, katanya, Azmin mempunyai kelebihan dari segi umur.
Dan seandainya beliau mampu bertahan sabar, beliau pasti ialah calon perdana menteri yang seterusnya selepas Anwar, kata Poon lagi.
Katanya. tindakan Mahathir menyokong Azmin tidak bermakna Azmin adalah calon bakal PM, tetapi ia lebih kepada strategi Mahathir untuk mengimbangkan perebutan kuasa dalaman PKR.
“Sekiranya kem Anwar terlalu kuat, mungkin mereka akan memberi tekanan kepada Mahathir. Ini bukan situasi yang diingini oleh Mahathir.
“Maka, kadangkala mesej Mahathir agak samar, adalah untuk memastikan kestabilan posisi sendiri,” jelas Phoon.

PERSOALAN POKOK – KENAPA AZMIN TIDAK BELA DIRINYA SEBAGAIMANA ANWAR DULU PERTAHAN DIRINYA?


Naib Presiden PKR, Tian Chua menggesa ahli dan pemimpin parti itu untuk berdiri teguh di belakang Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kini didakwa terlibat dalam skandal seks sejenis melalui video yang telah tersebar luas.
Jelas Tian Chua, PKR kini perlu bersatu menghadapi unsur yang menurutnya cuba menjejaskan pemimpin parti dengan taktik sama yang pernah digunakan terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2013 dahulu.
“Kita perlu berdiri bersama, bukan hanya untuk menunjukkan sokongan atau simpati kepada Azmin tapi juga bagi menegaskan titik mula perjuangan reformasi parti, kita perlu kenang hari ketika Anwar menjadi mangsa politik longkang suatu ketika dahulu,” ujarnya lagi.
Tidak sekadar Tian Chua yang sekarang ini meminta pembelaan terhadap Azmin dilakukan sama seperti kepada Anwar dahulu, malah Azmin sendiri dalam perjumpaan dengan tenaga kerja parti seluruh negara baru-baru turut membangkitkan perkara yang sama.
Beliau dikatakan mengimbas bagaimana perjuangannya membela Anwar, bermula daripada detik dipecat sebagai TPM pada 1998 sehingga dalam dua kes liwat yang dihadapi oleh Presiden PKR itu.
Lantas, secara tidak langsung Azmin bukan saja mahu jasanya membela Anwar dihargai, malah seperti menuntut pembelaan kepada Anwar dahulu mesti dilakukan kepadanya sekarang ini.
Barangkali tiada yang salahnya untuk Azmin dan penyokongnya cuba mengungkit bagaimana mereka membela Anwar sebelum ini serta meminta perkara yang sama dilakukan sekarang, tetapi persoalan pokoknya ialah batang tubuh beliau selaku subjek yang terkait dengan skandal itu mestilah lebih dahulu dilihat melakukan perkara yang sama.
Cuba kita imbas kembali bagaimana Anwar sendiri berjuang membela dirinya serta melawan fitnah yang ditujukan terhadapnya, baik dalam kes liwat 1 mahu pun liwat 2.
Anwar bukan saja terus berjuang dan mempertahankan dirinya melalui ceramah, media, gerakan politik atau apa saja, malah beliau turut tidak gentar melakukannya melakui proses undang-undang iaitu mahkamah.
Bahkan ketika di dalam penjara pun, beliau tidak berhenti melawan.
Selain beliau dihadapkan dengan dua pertuduhan liwat – liwat 1 dibebaskan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan liwat 2 diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong – Anwar terbukti tidak pernah jemu melawan dan berjuang, bahkan beberapa pihak lain juga turut disaman kerana memfitnahnya.
Ia menunjukkan Anwar tidak gentar dalam mempertahankan dirinya.
Tetapi, bagaimanakah Azmin mempertahankan dirinya dalam skandal seks sejenis yang mengaitkan dirinya dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz setakat ini?
Adakah sama bagaimana Azmin mempertahankan dirinya sebagaimana Anwar membela dirinya?
Maka, sebelum mahu menggesa Azmin dipertahankan sebagaimana Anwar dipertahankan sebelum ini, Timbalan Presiden PKR itu harus ditanya dahulu mengenai apa yang telah dilakukannya dalam membela dirinya?
Sudahkah beliau membuat laporan polis atau menyaman sesiapa?
Jika beliau sudah membela dirinya sendiri sepadan dengan bagaimana Anwar membela dirinya, mungkin baru sesuai untuk penyokongnya meminta pembelaan yang sama terhadap Azmin.
Jika tidak, janganlah salahkan sesiapa mengenainya. Salahkan diri sendiri terlebih dahulu. (Shahbudindotcom 26/06/2019)