Pemecatan 25 imam di Perlis oleh pihak berkuasa agama negeri awal tahun ini menjadi motif jenayah khianat membakar kereta Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, kata polis.
Mohd Asri dianggap otak di belakang pemecatan itu walaupun beliau menjelaskan tiada kuasa untuk berbuat demikian, kata polis berdasarkan hasil siasatan kes setakat ini.
Semasa 25 imam itu dipecat Januari lalu, Mohd Asri berkata keputusan dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), yang secara tidak langsung terletak di bawah Istana Perlis.
Katanya ketika itu, hanya dengan titah dan perkenan istana sahaja urusan berkaitan pelantikan dan pemecatan imam boleh dilaksanakan.
Siasatan polis menunjukkan suspek membakar kereta mufti pada 22 Mac lalu selepas mereka tidak dapat menjalankan pelan asal iaitu menyimbah asid pada mukanya.
Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd memberitahu The Malaysian Insight maklumat motif itu diperoleh daripada lima suspek yang kini ditahan reman.
“Suspek menyimpan dendam. Mereka percaya Mohd Asri bertanggungjawab memecat 25 imam dan memindahkan 10 yang lain,” kata Noor Mushar.
Awal Januari lalu, tular sepucuk surat pemecatan 25 imam kariah di Perlis sementara 10 yang lain ditukar kariah. Surat JAIPs itu bertarikh 31 Disember 2018 dan tidak menyatakan alasan tindakan.
Dalam penjelasannya pada masa itu, Mohd Asri berkata tindakan terhadap imam – yang menurut laporan media berumur antara 60 hingga 88 tahun – bertujuan meremajakan masjid dengan mengangkat anak muda lulusan tahfiz dan yang layak sebagai imam.
Katanya, ada antara imam yang dipecat itu bacaan al-Quran mereka tidak sempurna selain ada juga yang mempunyai masalah disiplin tidak mengikut jadual dan arahan tugas.
Walaupun polis sudah menahan suspek, Noor Mushar berkata mereka masih mencari dalang utama.
Semalam, BH melaporkan polis menahan suspek yang disyaki dalang utama yang dikenali sebagai Zaini. Polis juga masih memburu seorang lagi suspek dikenali dengan nama Mie Tomoi.
Polis percaya suspek diupah untuk melakukan perbuatan khianat tersebut oleh seseorang atau kumpulan yang berdendam dengan Mohd Asri.
Sebelum tangkapan terakhir, seorang suspek ditahan pada Sabtu lepas sementara tiga ditahan pada Selasa.
Noor Mushar juga memberitahu polis sudah mengenal pasti lokasi suspek utama yang mahu menyimbah asid ke muka Mohd Asri.
“Kita akan buat tangkapan tidak lama lagi. Kita sudah kenal pasti. Dia ada di Perlis,” katanya.
Suspek pertama yang ditahan, seorang penganggur berumur 36 tahun, mengaku diupah RM500 oleh seorang individu untuk melakukan jenayah khianat itu.
Ketua Jabatan Unit Amal PAS Mohd Nazree Mohd Aris mengesahkan anggotanya antara yang ditahan tetapi mendakwa mereka tidak terlibat dengan jenayah yang disiasat.
Nazree mempersoalkan tindakan pengendali akaun Facebook Mufti Perlis yang memuat naik gambar suspek yang ditahan, bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang, semalam.
Mohd Asri kemudian memadamkan posting berkenaan dan meminta maaf atas salah faham yang berlaku, yang tidak diniatkan untuk mengaitkan Hadi dengan jenayah yang sedang disiasat oleh polis.
Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun menyifatkan permohonan maaf itu tidak memadai sebaliknya menuntut Mohd Asri mendedahkan identiti pengendali akaun Facebook itu dan mengambil tindakan wajar ke atas mereka.