Pada 15 Oktober 2020
oleh Liew Chin Tong
Oleh Liew Chin Tong
(Ahli Dewan Negara, Pengarah Pendidikan Politik DAP dan Pengerusi
DAP Johor)
Cakap-cakap tentang kembalinya Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menjana pendapatan Kerajaan kembali
kedengaran di celah-celah koridor kuasa. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin sewajarnya menyemadikan ‘arwah’ GST ini dengan menafikan bahawa pentadbirannya
pernah mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula cukai terbabit.
Mana-mana kerajaan dengan akal sihat
di Malaysia tidak akan mempersiakan sebarang modal politik terhadap sebuah
persoalan yang telah dijawab dan diputuskan dengan jelas melalui peti undi.
Salah satu topik penting sepanjang jalan menuju Pilihan Raya Umum ke-14 adalah
soal GST.
Mana-mana kerajaan yang masih
merasakan GST sebagai penjana pendapatan tidak belajar daripada sejarah dan
tidak mempunyai kefahaman tentang faktor-faktor ekonomi yang menewaskan Barisan
Nasional pada tahun 2018.
GST diumumkan di Parlimen pada
Oktober 2013, selepas PRU ke-13 pada bulan Mei 2013, ketika Perdana Menteri
yang juga Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membentangkan
Belanjawan 2014. Pelaksanaan GST dijadual bermula pada 1 April 2015.
Para penyokong GST berhujah bahawa
asas cukai Malaysia adalah terlalu kecil dan terlalu sedikit pula warganya –
sekitar 16.5% – yang perlu membayar cukai pendapatan. Oleh yang demikian,
dengan melaksanakan GST, mereka berharap untuk memperluaskan asas cukai itu,
kerana semua orang perlu membayarnya setiap kali mereka membeli barang atau
menggunakan perkhidmatan.
Sejak 2013, saya telah berhujah
bahawa GST adalah cara yang salah untuk menangani masalah asas cukai yang
kecil. Kenapa begitu sedikit rakyat Malaysia yang membayar cukai pendapatan?
Tentunya, ada antara mereka yang lari daripada membayar cukai. Namun, pihak
berkuasa mempunyai perkakasan yang mencukupi untuk menangani hal tersebut.
Jadi kenapa begitu sedikit rakyat
Malaysia membayar cukai pendapatan? Jawapannya mudah sahaja: mereka terlalu
miskin untuk membayar cukai. Pendapatan mereka tidak melayakkan mereka untuk
membayar cukai.
Penyiasatan pendapatan isi-rumah
Jabatan Statistik Malaysia yang terbaru menunjukkan bahawa; dengan mengambil
kira potongan sedia ada, isi-rumah (bukan individu) dalam kumpulan B40
mempunyai pendapatan di bawah jumlah yang mewajibkan mereka membayar cukai.
Bagi memperkukuh hal ini, kita hanya
perlu kembali kepada rasional dan pemikiran di sebalik pengenalan BR1M pada
tahun 2012. Setelah Pakatan Rakyat ketika itu memberi tekanan politik, Perdana
Menteri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajukan idea
tampalan untuk memberi 60% isi-rumah sedikit bantuan tunai sekali setahun.
BR1M adalah pengiktirafan bahawa 60%
isi-rumah Malaysia tidak mempunyai pendapatan yang memuaskan.
BR1M
adalah pengiktirafan bahawa 60% isi-rumah Malaysia tidak mempunyai pendapatan
yang memuaskan.
Apabila digandingkan – hanya 16.5%
rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan dan 60% isi-rumah dianggap miskin –
adalah jelas bahawa GST, yang mencukai penggunaan pada kadar rata, adalah
langkah yang salah untuk menangani masalah yang salah.
Pengenalan GST adalah seperti
kerajaan membayar BR1M/BSH dengan tangan kanan kepada 60% isi-rumah
berpendapatan rendah, dan kemudian menggunakan tangan kiri untuk mengutip
kembali lebih banyak lagi, berkadaran dengan pendapatan kumpulan ini.
Pakar ekonomi Malaysia sepatutnya
sudah memahami bahawa GST adalah cukai regresif. Keluarga-keluarga miskin dan
berpendapatan rendah-sederhana membayar lebih banyak cukai GST berkadar dengan
pendapatan mereka berbanding golongan yang lebih kaya.
GST dan cukai-cukai penggunaaan lain
secara amnya telah terbukti mengakibatkan kejatuhan serius dalam konsumsi
selepas ia diperkenalkan, paling tidak buat sementara waktu. Di bahawa
pentadbiran mantan Perdana Menteri Shinzo Abe, Jepun menaikkan cukai
penggunaannya sebanyak dua kali. Setiap kali ia dinaikkan, wujud kejatuhan
teruk dalam penggunaan dan justeru peningkatan cukai penggunaan itu mengancam
pertumbuhan yang sudah sedia rapuh.
GST menjadi jalan singkat politik
terhadap ketiadaan empati Najib di mata pengundi disebabkan beberapa faktor ekonomi:
pertama, harga minyak dan komoditi yang menjunam sejak Oktober 2014 sehingga
2016; Najib mengikut beberapa idea neo-liberal yang tidak bernas untuk memotong
peruntukan belanjawaan pada 2015 dan 2016 ketika ekonomi menerima impak hebat
akibat kejatuhan harga minyak, memburukkan lagi kemarahan dan penderitaan orang
ramai; dan GST diperkenalkan pada April 2015. Demikian kombinasi faktor ekonomi
yang membantu kekalahan Najib pada 2018. Ringkasnya, GST adalah cukai yang
membunuh angsa emas penggunaan.
Apa yang patut dilakukan kerajaan?
Kerajaan patut mencuba untuk menstruktur semula model ekonomi supaya dalam
tempoh sepuluh tahun, sekurang-kurangnya 60% isi-rumah Malaysia akan memperoleh
pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan mereka membayar cukai pendapatan.
Ini bermakna bahawa kita mesti
mencipta pekerjaan dengan bayaran gaji yang lebih baik. Ini juga bermakna kita
perlu mencipta sektor yang mencipta pekerjaan dengan gaji yang lebih baik. Ini
bererti kita perlu mengurangkan bahagian buruh tidak terlatih dan bergerak ke
arah automasi dan peningkatan tekonologi supaya dengan kadar buruh rendah
tetapi lebih berkemahiran, setiap pekerja dibayar lebih tinggi.
Ini adalah soal mencipta masyarakat
kelas pertengahan dengan pekerjaan dan gaji yang selayaknya.
Dari sudut pandang pendapatan
kerajaan, pertamanya tahun 2020 ialah tahun yang salah untuk mana-mana kerajaan
menumpukan kepada usaha meningkatkan pendapatan. Dunia sedang mendepani krisis
kesihatan, politik dan ekonomi yang belum pernah disaksikan sejak kemelut Great
Depression dan Perang Dunia Kedua.
Dan pada tahap ini, kadar faedah
serta kos meminjam adalah rendah.
Apa yang patut dilakukan kerajaan
sekarang ialah merentas lantai Parlimen dan mendapatkan konsensus dwi-partisan
bagi pelaburan jangka panjang seperti infrastuktur hijau yang akan menghasilkan
peluang pekerjaan, dengan jaminan tiada unsur rasuah atau ketirisan. Kerajaan
kemudian boleh menaikkan defisit dengan konsensus dwi-partisan untuk meminjam
bagi pelaburan-pelaburan tersebut ke arah masa depan negara yang akan mencipta
pekerjaan segera bagi menangani krisis pekerjaan.
Bagi jangka masa panjang, terdapat
begitu banyak alternatif kepada GST dan cukai penggunaan secara amnya.
Contohnya dengan mewujudkan kadar cukai baharu yang lebih tinggi untuk golongan
berpendapatan 1-2% tertinggi, supaya mereka berapa pada takat kadar marjin yang
lebih tinggi berbanding profesional kelas pertengahan. Hari ini, kadar marjinal
ke atas pendapatan melebihi RM100,000 setahun ialah 21%, manakala untuk
pendapatan melebihi RM1,000,000 setahun pula ialah 28%. Untuk perbandingan,
untuk pendapatan melebihi RM50,000 setahun, kadarnya ialah 8%. Ini menunjukkan
bahawa kelas pertengahan memikul beban cukai yang tidak seimbang.
Wujud juga ramai pelabur asing di
Malaysia yang menikmati pengecualian cukai bertahun-tahun lamanya, yang
selalunya merugikan industri tempatan bersaiz kecil dan sederhana. Ada
antaranya yang tidak lagi berhak diberi pengecualian cukai kerana tidak lagi
merupakan perintis. Menteri Kewangan boleh memberitahu syarikat-syarikat asing
ini bahawa untuk terus menikmati pengecualian cukai, mereka perlu mengadakan
perjanjian baharu: syarikat-syarikat ini perlu melabur secara serius untuk
peningkatan teknologi dan produktiviti, bagi mencipta peluang pekerjaan untuk
rakyat Malaysia, dan membayar gaji yang lebih baik. Jika tidak, pengecualian
cukai mereka akan diakhiri secara beransur-ansur.
Pada akhirnya, jika
syarikat-syarikat mengaut keuntungan dan rakyat Malaysia bekerja dengan
cemerlang, apabila kita mempunyai 60% kelas pertengahan yang layak membayar
cukai pendapatan, akan wujud satu kitaran yang baik untuk seluruh rakyat
Malaysia.
Saya benar-benar berharap supaya
‘roh’ GST ini boleh bersemadi dengan tenang dan pemikir ekonomi Malaysia akan
dapat menyedari kedangkalan yang dikaitkan dengan GST sepanjang dekad lalu.
Sudah terlalu banyak masa dibuang sia-sia hanya kerana mereka yang berkuasa dan
ramai ahli ekonomi gagal memahami bahawa cabaran asas yang dihadapi negara ini
ialah kitaran gaji rendah, kemahiran rendah, kurangnya penggunaan teknologi dan
rendahnya produktiviti.