KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah 1MDB bersetuju dengan pihak pendakwaan hari ini bahawa sejumlah RM2.28 bilion dana milik syarikat berkaitan kerajaan itu akhirnya masuk ke dalam akaun bank peribadi Najib Razak antara 2011 dan 2014.
Ismee Ismail yang disoal balas pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram, bersetuju dengan perkara itu selepas beliau dibawa melalui beberapa carta yang menunjukkan aliran wang melalui proses berlapis.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib sebelum ini, saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, bekas perdana menteri itu tidak mendapat manfaat daripada projek dan pinjaman yang diambil oleh 1MDB.
Sri Ram: Ia telah dikemukakan kepada anda (oleh pembelaan) bahawa tertuduh tidak mendapat faedah atau ia dilakukan untuk kepentingan negara. Adakah anda ingin meneliti semula jawapan itu?
Ismee: Ya, daripada carta, sebahagian daripada dana masuk ke dalam akaun Najib.
Ketika prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Sri Ram berkata, RM60.6 juta telah dimasukkan ke dalam akaun Najib di bank AmIslamic di sini antara Februari dan Jun 2011 dalam dua transaksi.
Beliau berkata, wang itu adalah daripada pengambilan RM5 bilion bon Islam yang diterbitkan oleh dana kerajaan negeri Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB.
Sri Ram berkata, wang itu datang daripada Good Star Ltd, iaitu sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
RM90.8 juta lagi daripada 1MDB Energy Ltd yang mula-mula disalurkan kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) dan kemudian ke Blackstone Asia, iaitu sebuah syarikat yang dikawal oleh Low melalui rakan sekutunya, Tan Kim Loong.
Sri Ram berkata, RM90.8 juta itu masuk ke dalam akaun Najib antara Oktober dan November 2012 dalam dua transaksi.
Antara Mac dan April 2013 beliau berkata, RM2.08 bilion (USD681 juta) telah dimasukkan ke dalam akaun bekas perdana menteri melalui Tanore Finance Corporation.
Akhir sekali katanya, RM49.9 juta lagi dimasukkan ke dalam akaun Najib pada 2014.
Ismee adalah pengarah 1MDB antara 2009 dan 2016 dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji dalam tempoh sama.
Sri Ram juga bertanya kepada saksi apakah sikap lembaga pengarah 1MBD apabila arahan datang daripada Najib.
“Saya fikir ia bagus, terutama untuk usaha sama antara 1MBD dan PetroSaudi International (PSI), khususnya ketika saya menjadi ketua pegawai eksekutif Tabung Haji,” katanya.
Ismee berkata, beliau mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap Najib pada masa itu, dan itulah sebabnya beliau tidak meletakkan jawatan daripada lembaga pengarah 1MDB seperti yang dilakukan oleh pengerusinya ketika itu, Bakke Salleh, pada 2009.
Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa disimpan dalam akaun peribadi AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung.
Unta Gemuk Putera Sayyidina Omar Meragut Di Tanah Kerajaan
Sekumpulan unta gemuk dalam perjalanan menuju pasar. Milik Sayyidina Abdullah, putera Omar Al Khatab yang menjawat jawatan Amirul Mu'minin pada masa itu.
Putera dari Khalifah yang mengiringi unta-unta itu, bertembung dengan Ayahandanya Sayyidina Omar Al Khatab.
Lalu beliau disoal oleh Sayyidina Omar mengenai unta-unta gemuk itu dan urusan puteranya dengan unta itu.
Dijelaskan oleh Abdullah, bahawa beliau dalam urusan menjual unta-untanya.
'Di mana kamu menternak untamu?', begitu pertanyaan Khalifah.
'Di padang ragut awam milik kerajaan'.
'Jika begitu, ada kemungkinan penjaga padang ragut itu akan memberikan unta-unta mu lebih rumputan mengingat engkau anak Khalifah'.
'Bermakna engkau telah mengambil hak orang lain atas ternakan mereka kerana hubungan kekerabatan mu dengan saya'.
'Jualkan unta-unta ini. Ambilkan harga belian asal unta mu tanpa berlebih. Lebihan harga itu hendaklah engkau masukkan ke Baitul Mal!'. Begitu perintah Amirul Mu'minin.
Jangan kerana hubungan kerabatmu dengan Khalifah kamu mendapat manafaat dari harta kerajaan milik bersama ummah!.
Mesej dan teladan yang masih relevan sampai bila-bila. Dari Sayyidina Omar yg terkenal begitu teliti dalam menjaga kepentingan awam sewaktu Baginda berjawatan Khalifah.
Janganlah anak menantu dan kerabat dekatmu menjerumuskan mu ke dalam kecelakaan.
Harta dan khazanah Bumi bawah jagaanmu bukan milik peribadimu.
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menolak pandangan seorang penganalisis politik yang meramalkan akan berlaku perpecahan dalam PKR akibat perebutan jawatan timbalan presiden antara beliau dan Naib Presiden Rafizi Ramli.
Beliau berkata, sejarah 2018 ketika pertembungan Rafizi dan Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden tidak akan berulang.
“Saya nak cakap bahawa itu tidak akan berulang (pertembungan seperti Azmin dan Rafizi).
“Apa yang berlaku selepas menang kemudian khianat. Sekarang ini kemungkinan ada dua sahaja. Sama ada saya atau Rafizi. Saya tak nampak ‘karakter’ kami ini akan mengulangi apa yang Azmin buat,” katanya kepada media ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik di sebuah hotel di sini.
Sebelum Ini, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, akan berlaku perpecahan dalam PKR susulan perebutan jawatan timbalan presiden antara Saifuddin dan Rafizi.
Chin berkata, ia mengimbau kembali pemilihan terakhir PKR pada 2018, apabila parti itu berpecah antara Rafizi dan bekas timbalan presiden, Azmin.
PKR akan mengadakan pemilihan parti dari 13 hingga 18 Mei depan. Pencalonan akan diadakan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, beliau terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak.
Katanya, selepas mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden, banyak pihak berhubung dengannya untuk bekerjasama.
“Saya terbuka dengan itu. Sebenarnya ‘cai’ (kem) saya adalah seluruh kepimpinan PKR yang menawarkan diri untuk masuk bertanding. Sebab cai ini ada kelebihan dan kekurangan,” katanya.
Menjelang Pemilihan KEADILAN 2022 yang dijangka sengit, Gabungan Reformis Malaysia (GRM) mengesyorkan agar anggota parti memberi peluang kepada mana mana reformis awal 1998 yang bertanding untuk diangkat bersama sama memimpin parti.
Menurut Penyelaras GRM, Mustaffa Kamil Ayub, reformis awal harus dialu alukan untuk menyumbang bakti kerana kesetiaan mereka dalam perjuangan yang sudah terbukti.
“KEADILAN memiliki ramai reformis yang layak dari segi akademik, pengalaman dan integriti yang boleh diangkat sebagai pemimpin di pelbagai peringkat.
“Masih ramai reformis seangkatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan angkatan berikutnya yang bersama beliau dalam memperjuangkan semangat islah serta aktif membantu parti .
“Ramai juga reformis keluaran institusi-institusi cetusan idea Datuk Seri Anwar. Mereka ini benar-benar faham cita-cita dan hasrat Anwar. Agenda reformasi yang dibawa oleh Anwar ini didokongi oleh reformis dan perlu sentiasa dihidupkan dalam perjuangan parti sebagai suatu idealisme.
“Gandingan orang baharu dan lama akan memberi kelebihan kepada parti,” katanya.
Tambah Mustaffa, pada ketika parti mula dipimpin generasi pelapis yang muda belia, reformis mampu memberi keseimbangan dan merapatkan parti kepada rakyat marhaen kerana para pejuang rakyat itu berasal dari golongan bawahan.
“Golongan reformis majoritinya marhein yang terpanggil menyuarakan bantahan serta mempertahankan keadilan dengan membawa protes ke jalan raya serta mendesak reformasi dalam politik negara termasuk apabila Datuk seri Anwar dizalimi.
“Justeru, GRM berpandangan Pemilihan KEADILAN 2022 adalah antara medan terpenting untuk menyediakan pasukan yang mantap memperjuangkan Agenda Reformasi Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke 15. Politik nilai, politik penyatuan dan pengupayaan rakyat mestilah disuburkan,” katanya lagi.
Selain itu, GRM juga berpendangan sesiapa yang menang dan memimpin selepas musim pemilihan ini harus inklusif kepada mana mana pihak, menang atau kalah, kesemuanya mestilah dirangkul bersama bagi membina pasukan yang padu memenuhi aspirasi rakyat.
Jangan sampai kena kejar dengan LHDN, ini jumlah minima pendapatan individu yang wajib bayar cukai
April 7, 2022
‘Cukai pendapatan’. Terdengar saja istilah ini, tidak semena-mena bulu roma kita ‘meremang’, bukan? Ia bukanlah kisah seram pun, jauh sekali kena buat sesuatu yang menakutkan. Tidak.
Cuma apabila sebut tentang cukai, ia adalah satu bentuk pembayaran yang perlu kita lunaskan kepada pihak kerajaan untuk satu tempoh tertentu. Pendek kata, kita kena keluarkan duit dan bayar kepada kerajaan.
Secara umumnya, cukai pendapatan adalah sejenis cukai yang dikenakan kepada setiap individu bagi pendapatan yang terbit di Malaysia atau diterima di Malaysia dari luar negara bagi setiap tahun taksiran.
Sebenarnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hanya akan memilih individu yang mempunyai jumlah pendapatan melebihi nilai ambang yang ditetapkan. Jadi bagi sesiapa yang ‘terpilih’, mereka perlu mendaftar fail cukai pendapatan.Terfikir juga, kenapa cukai pendapatan ini perlu dibayar oleh orang tertentu? Apa yang mewajibkan mereka untuk membayarnya? Kenapa bukan semua orang yang dipilih?
Siapa yang wajib bayar?
Cukai pendapatan dikenakan terhadap dua sumber pendapatan individu, iaitu pendapatan penggajian dan pendapatan perniagaan. Pendek kata, orang kerja makan gaji kena bayar, orang bisnes sendiri pun kena bayar.
Kategori pendapatan penggajian individu
Merujuk petikan dalam portal LHDN, individu yang layak dikenakan cukai adalah mereka yang menerima pendapatan penggajian tahunan melebihi RM34,000 dan mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB).
Pengiraan ambang jumlah pendapatan individu yang tidak dikenakan cukai adalah mengambil kira pendapatan kasar tahunan yang ditolak dengan pelepasan asas individu dan rebat cukai yang layak.
Contohnya, individu yang mempunyai tanggungan akan mendapat pelepasan sebanyak RM2,000 bagi seorang anak berusia bawah 18 tahun manakala tolakan rebat individu (RM400) serta pasangan (RM400 jika berkenaan) dibenarkan sekiranya pendapatan cukai individu tersebut tidak melebihi RM35,000.
Kategori pendapatan perniagaan individu
Menurut LHDN, keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai. Ini termasuklah sebarang perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa (ekonomi bayangan).
Terdapat dua jenis perniagaan yang layak dikenakan cukai pendapatan, iaitu milikan tunggal atau bekerja sendiri (jalankan perniagaan secara berseorangan) dan perniagaan jenis perkongsian beberapa pihak.
Perlu difahami, perniagaan jenis perkongsian itu meliputi sebarang bentuk kerjasama antara dua pihak (atau lebih) bagi menyatukan hak, kuasa, tenaga kerja atau kemahiran dalam menjalankan perniagaan serta mewujudkan perkongsian keuntungan.
Perkongsian itu mungkin wujud melibatkan individu-individu, kerjasama dua syarikat, individu dan syarikat serta individu dan pemegang amanah bagi sesuatu penyelesaian.
Contoh-contoh jenis perniagaan yang akan dikenakan cukai pendapatan adalah seperti yang tertera dalam gambar di bawah:-
Bagaimana nak bayar cukai pendapatan?
Untuk pengetahuan anda, LHDN kini telah menyediakan saluran pembayaran yang lebih mudah, menjimatkan masa serta boleh diselesaikan hanya kurang daripada lima minit, iaitu secara tanpa tunai (cashless).
Kalau sebelum ini anda mungkin perlu beratur lama di mana-mana kaunter LHDN untuk menunggu giliran, kini tidak perlu lagi bersusah-payah kerana anda boleh sahaja membayarnya melalui saluran online FPX atau MyDebit di kaunter.
Tahukah anda, pembayaran cukai pendapatan secara online ini sebenarnya lebih selesa, pantas dan selesai dalam tempoh segera. Tidak perlu lagi ‘buang masa’ menunggu lama giliran masing-masing di kaunter.
Selain itu, keselamatan lebih terjamin kerana anda tidak perlu membawa wang tunai yang banyak ke kaunter. Malah transaksi wang berjalan lebih selamat kerana ia direkodkan dalam akaun bank. Menarik, bukan?
Kenali dua saluran pembayaran cukai pendapatan LHDN secara tanpa tunai yang anda boleh pilih
1. MyDebit – Perkhidmatan pembayaran yang membolehkan pengguna membuat pembayaran atau pembelian secara online menggunakan kad ATM. Transaksi boleh dibuat melalui dua kaedah, iaitu memasukkan nombor PIN kad ATM atau sistem tanpa sentuhan (Wave) di mesin POS di kaunter.
2. FPX – Perkhidmatan pembayaran yang membolehkan pengguna membayar pembelian/servis secara online melalui internet atau perbankan mudah alih. Transaksi berlaku melalui tolakan daripada akaun simpanan dan akaun semasa.
Bayar cukai pendapatan & menangi RM10,000
Keluar duit untuk bayar cukai pendapatan, tapi dapat semula duit sebagai hadiah? Ya! Apabila bayar cukai melalui saluran tanpa tunai di atas tadi, anda sebenarnya telah pun menyertai kempen Cashless Boleh 2.0 oleh PayNet.
Percaya atau tidak, dengan membuat pembayaran secara tanpa tunai mahupun cek di 20 agensi kerajaan terpilih yang lain, anda sebenarnya bakal berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 untuk 100 pemenang bertuah!
Caranya mudah saja. Anda hanya perlu melakukan transaksi tanpa tunai atau cek di mana-mana 20 agensi kerajaan terpilih, sama ada menggunakan kad ATM MyDebit atau DuitNow QR di kaunter, atau pun melalui perbankan internet menggunakan FPX, JomPAY dan DirectDebit.
Senarai 20 agensi kerajaan terpilih
Anda boleh menyertai kempen ini dengan melakukan pembayaran secara tanpa tunai di 20 agensi kerajaan terpilih seperti di bawah:-
Jabatan Kastam Diraja (JKDM)
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PBT
Urusan kehakiman di mahkamah
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)
Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl)
Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM)
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP)
Majlis Amanah Rakyat (MARA)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Lembaga Peperiksaan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Hospital UiTM Puncak Alam
Pendek kata, peluang untuk anda terpilih menjadi pemenang bertuah yang memenangi RM10,000 ini sangat luas biarpun hanya membayar RM1 kerana pembayaran tanpa tunai ini memang tiada jumlah minimum pun!
Kempen ini telah pun bermula sejak 1 Disember tahun lalu dan akan berakhir pada 31 Mei ini. Anda boleh ikuti segala maklumat lanjut mengenai kempen Cashless Boleh 2.0 di pautan INI.
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menjadi salah seorang pemenang bertuah yang bakal memenangi hadiah ‘durian runtuh’ bernilai RM10,000!
Apakah muslihat Kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tidak mahu membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti (RUU ALP) pada sidang khas Parlimen 11 April 2022 ini?
Jika Pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja yang dibentangkan pada 11 April nanti, ia tidak akan membawa makna apa-apa sekiranya RUU ALP tidak dibentang sama di Parlimen.
Pilihanraya Umum ke-15 akan diadakan dalam masa empat atau lima bulan akan datang.Tanpa ada Akta Anti-Lompat Parti berkuatkuasa maka gejala lompat-melompat parti akan berulang lagi. Yang boleh mencegah kejadian ahli parlimen dari melakukan lompat parti ialah jika ada undang-undang yang keras dan tegas mencegahnya dalam bentuk Akta Anti-Lompat Parti.
Sekadar pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 (c) atau Perkara 48(6) tidak akan menakutkan ahli-ahli parlimen yang oporcunis untuk melompat parti. Mereka hanya akan takut sekiranya ada Akta Anti-Lompat Parti yang sedia untuk bertindak dan berkuatkuasa terhadap mereka.
Kerajaan BN/PN pimpinan Ismail Sabri nampaknya berdolak-dalik. Mereka tidak serius dan tidak ada komitmen ikhlas untuk mencegah gejala lompat-melompat parti. Yang kelihatan jelas bersungguh-sungguh membawa agenda rakyat untuk membanteras perbuatan politik tidak beretika melompat parti ialah Harapan (PH) dan ahli-ahli parlimen pembangkang lainnya.
Sudah dua kali RUU ALP gagal dibentangkan oleh Kerajaan di Parlimen. Pertama gagal pada sidang mesyuarat penggal yang lalu berakhir pada 24 Mac 2022. Kali ini, kali kedua pada sidang khas 11 April juga RUU ALP gagal dibentangkan, walaupun sebelum ini Perdana Menteri Ismail Sabri dan de facto Menteri Undang-Undang Dr Wan Junaidi lantang memukul canang bahawa RUU ALP akan dibentang di Parlimen.
Kegagalan Kerajaan membawa RUU ALP ke Parlimen kali ini walaupun masa yang cukup telah diberikan menunjukkan Perdana Menteri telah gagal memimpin Kabinetnya supaya bersetuju dengannya.
Yang jadi masalah sehingga RUU ALP gagal dibentang di Parlimen pada 11 April ini hanyalah berkisar kepada satu isu sahaja iaitu isu tafsiran apa itu yang dimaksudkan dengan perkataan “lompat”. Soal istilah, soal tafsiran yang jadi masalah besar nampaknya.
Sebenarnya itu alasan sahaja untuk menggagalkan usaha mengwujudkan Akta Anti-Lompat Parti di Malaysia. Kerajaan BN/PN sebenarnya tidak ada keazaman poliitik (political will) untuk membanteras gejala pengkhianatan mandat rakyat dalam bentuk melompat parti.
Alasan mencari tafsiran yang tepat apa yang dimaksudkan oleh istilah “lompat” adalah alasan tidak menasabah yang diada-adakan. Betullah kata bidalan Melayu, “ Hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih”.
JIka Kerajaan bersungguh-sungguh komited, maka RUU ALP patut dibentangkan dengan tafsiran “lompat” yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman antara Kerajaan dengan PH (MoU) yang dipercayai telah diperhalusi oleh Peguam Negara.
Sila bawa RUU ALP itu di Parlimen dengan segala tafsiran yang ada. RUU itu boleh dipinda semasa perbahasan di Parlimen pada peringkat dasar dan juga Jawatankuasa.
Jika RUU ALP ini tidak dibawa ke Parlimen sekarang dan pilihanraya umum berlangsung dalam masa terdekat maka rakyat dan negara akan terlepas satu peluang akan wujudnya satu instrumen undang-undang yang penting untuk mencegah gejala lompat parti.
Tidak ada undang-undang buatan manusia ini yang sempurna seratus peratus dan kalis kesilapan atau kecacatan. Proses semakan, ulangkaji, atau pindaan boleh dilakukan dari semasa ke semasa di Parlimen untuk memperbaiki Akta Anti-Lompat Parti sekiranya ia berjaya digubal sekarang.
Masalah tafsiran apa itu “lompat” boleh diperbaiki, dikemas dan diperhalusi dari semasa ke semasa melalui pindaan akta biasa di Parlimen.Bukanlah sesuatu yang rumit. Yang penting wujudkan segera Akta Anti-Lompat parti sekarang. Bukan esok, Bukan Lusa. Berlengah-lengah itu sebenarnya adalah dalih untuk mengelak undang-undang anti-lompat parti berjaya digubal di negara ini.
Puak-puak di dalam Kerajaan khususnya di kalangan anggota Kabinet tidak mahu blok pembangkang khususnya PH dilihat menang sekiranya RUU ALP berjaya dibawa di Parlimen dan diluluskan. Ada di kalangan mereka di dalam Kerajaan yang ingin membalas dendam atas kekalahan Kerajaan dalam usul berkenaan Akta SOSMA baru-baru ini yang ditentang sepenuhnya oleh ahli parlimen pembangkang. Kali ini di pihak Kerajaan pula ingin melihat RUU ALP digagalkan dari dibawa ke Parlimen. Perbuatan mereka sepertilah “ibu bapa yang membunuh anak sendiri”.
Jadi Harapan (PH) khususnya perlu mengkaji semula tentang komitmennya terhadap MoU. RUU ALP adalah teras dan intipati dalam MoU. Majlis Presiden PH pernah menyatakan kepada umum bahawa jika Kerajaan gagal melaksanakan RUU ALP, maka MoU akan dibatalkan.
Jadi, sekarang adalah “Moment of Truth” kepada Majlis Presiden PH. Adakah mereka masih berpegang dengan pendirian berani mereka itu?
PETALING JAYA: Kenyataan polis bahawa PAS menggunakan Taliban demi meningkatkan imej Islam hanya cubaan memburukkan parti itu kata Mursyidul Amnya, Hashim Jasin.
Hashim turut menafikan kenyataan tersebut, sebaliknya berkata tiada bukti PAS mengikut Taliban.
“Kalau cara kekerasan boleh saksikan sekarang, adakah PAS gunakan kekerasan macam Taliban. PAS tak guna apapun, PAS biasa sahaja macam parti-parti lain…
“(Kita) tak paksa orang. Kita hanya berdakwah mengajak, yang terima Alhamdulillah, yang tak terima pun kita tak ambil tindakan apa-apa. Dia cuba nak burukkan imej PAS, bermain kasar macam Taliban, tidak berlaku benda tu,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Normah Ishak menerusi webinar bertajuk, “Alumni Afghan Generasi Seterusnya? Penilaian daripada SEA” berkataPAS menggunakan Taliban bagi meningkatkan imej Islam parti itu.
Normah berkata PAS melakukan tindakan sedemikian apabila memuji kejayaan Taliban mengambil alih Afghanistan selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara bergolak itu Ogos, tahun lalu.
Mengulas lanjut, Hashim mempertahankan tindakan PAS memuji Taliban terutamanya berkaitan menentang musuh Islam.
“Ya, memang kita puji kesungguhan mereka menentang musuh. Amerika Syarikat musuh Islam, jadi mereka buat sesuatu tapi tak bermakna kita ikut 100% cara Taliban. Kita dalam negara demokrasi, berbeza,” kata bekas ADUN Sanglang itu lagi.
Hashim turut mempertahankan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam ciapan di Twitter yang berkata Taliban berjaya mencapai kemenangan tanah air mereka daripada cengkaman penjajahan tidak berperikemanusian.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian, ciapan berkenaan dipadamkan.
Menurut Hashim itu merupakan kejayaan Taliban, “kita akui sebab musuh tak beri kebaikan untuk rakyat yang dijajah”.
PETALING JAYA: Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang boleh menandakan permulaan kehancurannya, seorang penganalisis memberi amaran.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, beliau percaya pengundi akan berputus asa terhadap gabungan pembangkang dalam bentuk sedia ada jika ia kalah sekali lagi selepas tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.
“PRU15 adalah benar-benar satu permainan ‘survival’ untuk PH, bukannya batu loncatan,” katanya ketika mengulas gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli agar gabungan itu bersikap realistik tentang peluangnya.
Dalam kenyataan baru-baru ini, Rafizi juga berkata, lebih baik bagi PKR dan PH untuk berpuas hati kekal sebagai pembangkang “dengan bermaruah” berbanding menghebahkan keyakinan mereka untuk menang dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Chin bersetuju PH perlu realistik, namun berkata, tiada gunanya bertanding jika tidak merancang untuk menang.
“Tiada parti politik bertanding untuk kalah dalam pilihan raya,” katanya.
Untuk PH muncul sebagai pemenang pada PRU akan datang, ia mesti menjamin undi Melayu luar bandar, kata Chin sambil menambah, ia adalah salah satu faktor yang membolehkannya menduduki Putrajaya pada PRU lepas.
Pada PRU14, Bersatu, yang ketika itu bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad dan menganggotai PH, memenangi satu pertiga daripada kerusi Melayu luar bandar.
Jika PH tidak dapat mengulangi kejayaan ini pada PRU15, ia “tiada peluang untuk menang” kerana kawasan Melayu luar bandar membentuk hampir 100 kerusi di Dewan Rakyat, kata Chin.
Seorang lagi penganalisis, felo Majlis Profesor Jeniri Amir berkata, Rafizi cuba bersikap pragmatik dan melihat prestasi PH dalam tiga PRN, perubahan dalam landskap politik negara dan sentimen rakyat.
Katanya, penting bagi PH mengubah pendekatan politiknya dengan melupakan apa yang disebutnya sebagai “isu lapuk”, seperti 1MDB dan Najib Razak.
Beliau juga berkata, cabaran terbesar bagi pembangkang adalah untuk bersatu.
“Jika blok-blok tidak dapat bekerjasama, sukar untuk mencabar Barisan Nasional (BN) kerana apabila tiada perpaduan, akan berlaku pelbagai pertembungan banyak penjuru, yang akan menjadi kelebihan kepada BN, seperti yang dilihat pada PRN,” tambahnya