KUALA
LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) menyita dua buah helikopter persendirian, lebih 10 kereta mewah
dan sebuah kapal persiaran milik ketua sindiket kartel projek bergelar Datuk
yang ditahan kelmarin.
Menurut
sumber, selain kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM15.7 juta itu, SPRM
turut merampas wang tunai berjumlah RM3.5 juta ketika serbuan di kediamannya
pada Isnin.
Selain
itu, SPRM turut menyita banglo, rumah kedai dan pejabat yang dianggarkan
bernilai RM29 juta,” katanya, di sini, pada Selasa.
Menurut
sumber itu lagi, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan
bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.
Beliau
turut menyifatkan kemewahan yang ditunjukkan ketua sindiket itu sebagai luar
biasa.
Katanya,
modus operandi kumpulan kartel projek itu ialah dengan membuka lebih 150 buah
syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat
dibayar gaji di antara RM5,000 dan RM8,000.
Syarikat-syarikat
itu, katanya, adalah milik suspek.
“Maklumat
awal mendapati 114 individu telah digunakan nama untuk membuka lebih 150 buah
syarikat.
“Kesemua
syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender/sebut
harga di kementerian dan agensi kerajaan.
"Maklumat
tender atau sebut harga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek
akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi.
Hasil
siasatan SPRM, katanya, mendapati hampir kesemua syarikat yang digunakan
menggunakan maklumat palsu dari segi kelayakan akademi, sijil profesional
mahupun penyata kewangan untuk menyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan
syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek.
Sebelum
ini media melaporkan tujuh individu termasuk ketua sindiket ditahan membabitkan
kartel projek bernilai RM3.8 bilion..