HOWARD LEE
Sesuatu yang besar nampaknya sedang dalam perancangan iaitu
nyahdaftar Umno oleh Pendaftar Pertubuhan yang dijangka selesai dalam bulan
Jun. Ada yang berpandangan bahawa kedudukan Umno tidak akan terjejas kerana
mereka masih mempunyai Barisan Nasional (BN) yang boleh digunakan kelak. Namun,
sejauh mana pandangan ini benar?
Langkah ini – tidak lain dan tidak bukan – hanyalah suatu krisis
epik yang direkayasa hanya untuk mencetuskan rombakan ke atas keseluruhan
lanskap politik orang Melayu. Kebarangkaliannya lebih tinggi bilamana MCA dan
MIC kelihatan lebih rela berlaga pipi bercium mulut dengan pemain kuasa dari
Perikatan Nasional (PN).
Berminggu-minggu lamanya, khabar angin bahawa MCA, MIC dan PBRS
bakal meninggalkan BN untuk menyertai PN sedang memenuhi setiap penjuru
lorong-lorong gelap yang dipenuhi oleh pemain politik.
BN hanya tinggal empat parti sekarang ini, dan sekiranya Umno
ditinggalkan lagi sendirian terkontang-kanting; maka, sudah tentu, BN juga
bakal dinyahdaftar. Jadilah ahli-ahli parlimen dan pucuk pimpinan mereka
seperti gelandangan, tiada lagi rumah yang selesa untuk berteduh.
Bersama-sama dengan PN, Bersatu dan Muhyiddin sudah pasti
memberi kelebihan, jaminan dan keselesaan kepada MCA dan MIC kerana merekalah
pemegang kantung wang ringgit negara. Puluhan juta telah pun mengenyangkan
perut busuk barisan politikus MCA dan MIC, jadi, memanglah sukar untuk mereka
menggigit tangan yang memberi, biarpun tanpa mengira prinsip dan persahabatan.
Bagi mereka, nilai sesebuah kesetiaan terletak hanya pada wang dan kuasa.
Apalah sangat nilai 60 tahun perjuangan bersama UMNO.
Keadaan ini dijelaskan lagi dengan beberapa Mesyuarat Majlis
Tertinggi BN yang dibatalkan pada saat-saat akhir, dek kerana perangai MCA dan
MIC yang memilih untuk tidak hadirkan diri. Sama sahaja seperti pasangan
bercinta yang akhirnya berpisah, dek kerana memilih untuk elak berjumpa.
Permainan Muhyiddin sekarang adalah untuk membunuh UMNO dengan
menghapuskan dahulu ‘kluster mahkamah’, lantas membuka ruang kepada penyitaan
UMNO. Dengan matinya UMNO tanpa sebarang pelan sandaran, serta dipinggirkan
sekutu utama mereka, maka Muhyiddin dan Bersatu berbondong-bondonglah mengutip
sisa-sisa UMNO (ahli-ahli parlimennya) bak laskar-laskar yang ditinggalkan
tidak bertuan.
Begitulah hebatnya rancangan perpaduan ummah teragung yang
diusahakan PN dan beberapa pihak di dalam MN. Cumanya, UMNOlah yang menjadi
korban sampingan yang akan ditelan dan dicerna daripada dalamnya sendiri.
Menjelang dan pasca-pengumuman Muhyiddin untuk membatalkan
pendaftaran UMNO akan dilihat sebagai suatu insiden caca-marba perebutan
ahli-ahli Parlimen UMNO yang terkapai-kapai di pasaran jualan murah akhir
tahun. Tetapi, sebenarnya, ‘jualan pre-launch’ sudahpun berjalan lancar, tanpa
kita sedar.
Ekspedisi memancing tajaan Muhyiddin dan konco-konconya dengan
slogan ‘Sertai Kami Sekiranya Anda Mahu Terus Berdiri, ataupun Kekal Di Sana
dan Anda Akan Dihapuskan’ bukan lagi suatu rahsia. Berduyun-duyun ahli-Ahli
Parlimen UMNO dan Pakatan Harapan telah mengalami keadaan ini untuk jangka masa
lebih dari setahun, malah sebelum Langkah Sheraton ada lagi. Nampaknya, UMNO
pada hari ini sedang menelan kepahitan pil “cyanide” yang pada suatu ketika
dulu, mereka sendiri gunakan terhadap lawan politik mereka.
Menjadi sebahagian daripada pemerintahan paling teruk yang
pernah disaksikan oleh negara ini, juga berada jauh daripada tampuk kuasa,
ketika demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan digantung, dengan
Presiden dan panglima perang utamanya yang sama ada pasti akan menghadapi sabitan
jenayah atau telah habis dilelong kepada pengkhianat, UMNO benar-benar dikepung
oleh semua pihak di tengah-tengah rentetan cabaran yang belum pernah
disaksikannya sebelum ini.
UMNO kini sedang dimamah dari dalam dan dari luar. Parti yang
mereka anggap sebagai rakan kongsi sedang menghenyak UMNO hingga berkecai,
parti yang telah menjadi sekutu UMNO selama 6 dekad kini meninggalkan UMNO
terkapai-kapai, dan mereka yang telah difatwakan kepada ahli dan penyokongnya
agar dilayan sebagai seteru mutlak kini tiada pilihan selain dari terus
memberikan balasan yang setimpal.
Pada waktu dan saat ini, UMNO sedang menghadapi saat-saat paling
gelap dalam sejarahnya. UMNO bakal merasakan pengkhianatan yang telah dialami
oleh Pakatan HARAPAN, namun, perbezaannya, besa kemungkinan pengkhianatan kali
ini akan berakhir dengan hilangnya UMNO dari peta politik kita.
Sememangnya UMNO tidak berhak atau layak untuk mendapat simpati
dari mana mana pihak. Merekalah yang memilih untuk bersekongkol dengan yang
punya sejarah mengkhianati orang, dan bakal mengkhianati mereka. Tetapi,
pertama kali saya dapat menyatakan bahawa saya berempati dengan mereka.
Howard Lee merupakan ADUN Pasir Pinji merangkap Ketua DAPSY
Kebangsaan