‘Pinda’ audit 1MDB: Kit Siang gesa Parlimen hukum Najib


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana didakwa meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB sebelum ia dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang membuat gesaan itu susulan kenyataan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad yang mengesahkan bahawa Najib mengarahkan pendahulunya untuk memadam beberapa bahagian dalam laporan itu.
“Ini merupakan pendedahan yang paling mengejutkan dan penyalahgunaan kuasa secara mutlak yang menyerang asas integriti parlimen dan patut dipandang paling serius oleh semua rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli parlimen.
“Sekiranya dibuktikan Najib telah mengubah laporan bekas ketua audit negara mengenai 1MDB, maka terpulanglah kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk mencadangkan kepada Parlimen hukuman yang patut dijatuhkan kepada Najib,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Madinah mendakwa Najib mengarahkan pendahulunya Tan Sri Ambrin Buang pada 22 Februari 2016, untuk memadam beberapa bahagian dalam laporan audit 1MDB.
Beberapa hari lalu, akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia melalui tulisan “Awang Selamat” berkata Najib dan penjawat awam yang bersubahat dengan beliau adalah pengkhianat sekiranya dakwaan mengenai audit 1MDB itu benar. 

BUKAN TOLAK ICERD, TAPI TOLAK TUN MAHATHIR....



Mengikut hukum akal yang waras, apabila kerajaan sudah membuat keputusan tidak akan menandatangani ICERD, sepatutnya isu tersebut sudah pun menemui titik penamatnya.

UMNO dan Pas yang sebelum ini merancang untuk mengadakan perhimpunan pada 8 Disember sebagai bantahan terhadap ICERD juga sudah boleh membatalkan rancangan mereka dan menumpukan kepada kerja-kerja lain yang lebih bermanfaat untuk parti masing-masing.

Tetapi, meskipun setelah kerajaan membuat keputusan itu, UMNO dan Pas terus juga mahu berhimpun pada 8 Disember nanti.

Selain kedua-dua parti memberi alasan mahu terus berhimpun sebagai tanda untuk mengucapkan terima kasih dan bersyukur, persoalan-persoalan berbentuk andaian turut dimainkan untuk menghalalkan mereka meneruskan perhimpunan tersebut.

Antara persoalan berbentuk andaian yang terus dilontarkan ialah belum tentu Pakatan Harapan tidak akan menandatangani ICERD pada masa depan, kenyataan Tun Mahathir Mohamad mengenai ICERD tidak boleh dipercayai, kerajaan mungkin menandatangani ICERD di masa akan datang dengan cara yang lain dan berbagai hujah yang lain lagi.

Untuk itu, kata UMNO dan Pas, tiada jaminan sebenarnya ICERD yang ditolak hari ini tidak akan ditandatangani pada masa akan datang.

Maka, tambah UMNO dan Pas lagi, perhimpunan pada 8 Disember ini mesti dan wajib diteruskan sebagaimana yang dirancang.

Selain itu, pelbagai kongres dan wacana berkaitan ICERD juga terus diadakan untuk menghangatkan suasana, manakala pemimpin UMNO dan Pas pula menjelajah ke seluruh negara mengajak penyokong masing-masing agar tetap turun beramai-ramai ke ibu kota pada 8 Disember nanti.

Apakah makna semua ini?

Kedegilan UMNO dan Pas untuk terus berhimpun pada 8 Disember depan tidak lain memperlihatkan niat sebenar kedua-dua parti itu bahawa ICERD bukanlah sasaran yang sebenarnya yang mahu mereka diperjuangkan, tetapi yang dimatlamatkan ialah untuk mengajak rakyat menolak kepimpinan Tun Mahathir.

ICERD hanyalah alasan untuk membakar serta meniup semangat rakyat agar menolak Tun Mahathir, malah kalau boleh, menjatuhkannya terus.

UMNO masih terasa sakitnya kehilangan kuasa, manakala Pas semakin geram kerana tak pernah kesampaian hajatnya untuk memperolehi kuasa, ditambah lagi Tun Mahathir yang dihina dan dicerca dengan pelbagai gelaran sebelum PRU14 lalu, kini sudah pun berjaya menjadi Perdana Menteri akhirnya.

Bersekali dengan puluhan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh Zahid Hamidi dan Najib Razak, kepuasan UMNO yang disokong oleh Pas hanya akan tercapai apabila mereka berjaya mengoncang dan menjatuhkan Tun Mahathir.

Dalam hal ini, UMNO dan Pas jelas tidak boleh bersabar menunggu tempoh PRU15 untuk bersaing kembali dengan Pakatan Harapan merebut kuasa melalui cara yang sah.

Ini kerana PRU15 dianggap terlalu lama untuk ditunggu dan ketika itu Zahid Hamidi dan Najib mungkin sudah berada di dalam penjara atas sabitan berhubung kesalahan yang telah mereka lakukan.

Hanya dengan Tun Mahathir berjaya disingkirkan di mana barangkali selepas itu sebuah kerajaan campuran yang baru akan dibentuk atau setidak-tidaknya hadir seorang Perdana Menteri baru yang boleh dilembutkan hatinya, maka barulah dilihat ada kemungkinan kes-kes mahkamah yang dihadapi itu boleh digugurka atau kesalahan diampunkan.

Sebab itu, kerajaan perlu segera bertindak tegas dalam hal ini. Jangan biarkan sentimen kaum dan agama terus dimain dan dibakar oleh UMNO dan Pas yang tidak sukar difahami ada agenda lain di sebalik ICERD yang sedang mereka mainkan.

Percayalah, jika perhimpunan 8 Disember nanti tidak pantas ditangani dengan tegas oleh kerajaan, UMNO dan Pas akan terus bermaharajalela memainkan sentimen kaum dan agama untuk kepentingan politik bagi mencapai agenda besar mereka iaitu menolak Tun Mahathir.

Apabila sekali ia sudah dibiarkan bermula, mungkin sudah terlewat untuk menghentikannya. (ShahbudinHusin 26/11/2018)

Aliran mengorak langkah baru dalam Malaysia baru










Dalam mesyuarat agung tahunan ke42nya hari ini, Aliran membincang peranan yang ia perlu mainkan dalam lanskap politik yang berubah di bawah pemerintahan baru.
Mesyuarant ini memikirkan apakah cara terbaik bagi Aliran berinteraksi secara membina dengan pemerintah baru dalam usaha mengejar agenda reformasi di samping bersikap berjaga-jaga dan memantau pihak berkuasa.
Dalam ucapannya, Dr Prema Devaraj, yang telah dipilih semula sebagai presiden bagi penggal ketiga, mengalu-alu usaha pemerintah PH membina sebuah Malaysia baru, termasuk kesanggupannya untuk berdailog dan bekerjasama dengan kelompok masyarakat sivil mengenai beberapa isu.
Walau bagaimanapun, beliau menekankan bahawa dalam usaha mewujudkan perubahan, ada perlunya satu hala tuju yang jelas yang berasaskan ideologi yang menuntut maruah dan hak semua orang diketengahkan dalam semua usaha yang dimajukan.
“Bagi Aliran, ideologi ini harus mengambil kira prinsip hak asasi manusia, tadbir urus yang baik, pendekatan inklusif dan pembangunan lestari – pada asasnya meletakkan insan terdahulu daripada keuntungan. Dalam beberapa hal, pemerintah PH terpaksa diperingatkan tentang sebahagian daripada prinsip ini.”
Prema menggesa ahli-ahli Aliran untuk melibatkan diri dalam membangunkan Malaysia baru – satu proses yang akan mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran dan usaha membina. “Kita mesti bertapak di atas bumi rakyat yang nyata dan memastikan usaha kita bukan sahaja bercorak teoritis atau datang dari kedudukan keistimewaan, tapi menangani isu pokok yang dihadapi rakyat.”
Turut dipilih dalam jawatankuasa eksekutif Aliran ialah Henry Loh sebagai setiausaha kehormat, Dr Azmil Tayeb sebagai penolong setiausaha kehormat dan Anil Netto sebagai bendahari kehormat.
Ahli-ahli juga memilih orang berikut ke dalam jawatankuasa eksekutif: Dr Francis Loh, Dr Mustafa K Anuar, Andrew Wong, Prof Zaharom Nain, Dr Christopher Chong Eu Choong, Dr Lye Tuck-Po, Dr Faisal Hazis, K Haridas, Ng Tien Eng, Dr Ngu Ik Tien dan Wan Atikah Wan Yusoff.
David Yeoh dipilih sebagai auditor kehormat.
Henry Loh
Setiausaha kehormat Aliran
25 November 2018

VIDEO RUSUHAN KUIL: PEMAJU NAFI CETUS KETEGANGAN

ASMUNI DAKWA UMNO TAWAR JADI MB PERAK