Walaupun siasatan polis berkaitan video seks sejenis masih berjalan, Tun Mahathir Mohamad dilihat terus menunjukkan sikap berat sebelah dan sokongan terbukanya terhadap Azmin Ali.
Terbaru, di ketika Azmin disindir oleh A Kadir Jasin, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri sendiri dengan memberi contoh beberapa menteri di luar negara yang meletakkan jawatan kerana skandal seks, Tun Mahathir mengatakan ia bukanlah cara Malaysia.
“Tiada keperluan (untuk dia berundur) semata-mata kerana orang di negara lain melakukannya.
“Saya tahu ada satu negara jika kapal terbang terhempas di lapangan terbang, menteri pengangkutan akan meletakkan jawatan atau melompat keluar dari bangunan.
“Tetapi, ia bukan cara kita,” kata Tun Mahathir lagi.
Pada peringkat awal ketika video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin itu mula tersebar, Tun Mahathir dengan lantang mengatakan ia bukan video tulen.
Katanya, hanya berbekallan gambar atau video, banyak orang mampu memalsukannya jika mereka ada kepandaian.
Kemudian, berikutan semakin banyak perunjuk memaparkan salah seorang lelaki dalam video itu adalah Azmin dan siasatan polis juga masih berjalan, Tun Mahathir menolak desakan agar menteri kabinetnya itu mengambil cuti sementara.
Tegas beliau, tiada keperluan untuk mengambil cuti kerana tidak ada apa-apa yang mengganggu siasatan polis terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Dalam lawatan rasmi Tun Mahathir Bangkok selepas itu, Azmin turut merupakan salah seorang anggota rombongan dan dalam beberapa keping gambar yang tersebar, kedua-dua mereka jelas menunjukkan keakrabannya.
Kini, di disebalik Azmin dicabar oleh Haziq agar menyaman dan membuat sendiri laporan polis terhadapnya, Tun Mahathir sekali lagi menunjukkan sikap bias dan berat sebelahnya apabila mengatakan meletakkan jawatan bukanlah cara Malaysia.
Barangkali beliau lupa agaknya apakah sebabnya beliau memecat Anwar Ibrahim pada 1998 dahulu?
Ketika itu, sebelum Anwar didakwa atas pertuduhan liwat, media arus perdana telah digunakan dengan seluas-luasnya dengan pelbagai pendedahan untuk memberi gambaran buruk mengenai perlakuan seks Anwar dengan banyak wanita dan lelaki.
Begitu pun, walaupun Anwar kemudian didakwa atas pertuduhan liwat, beliau akhirnya didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004.
Tidakkah ketika itu beliau memecat Anwar kerana skandal seks?
Budaya mana yang dipakainya ketika itu?
Sebelumnya pula, berikutan dakwaan skandal seks dengan gadis bawah umur, bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik juga pernah diminta meletak jawatannya.
Sekali lagi, kalau bukan cara Malaysia, budaya mana yang digunakan Tun Mahathir ketika itu?
Realitinya, meletakkan jawatan atau diminta meletakkan jawatan kerana terpalit skandal, lebih-lebih lagi seks, adalah budaya universal manusia yang bertamadun di seluruh dunia.
Ia menunjukkan, negara yang mengamalkannya begitu mementingkan akhlak dan keperibadian dalam barisan kepimpinannya.
Menolaknya bermakna Malaysia Baru di bawah Tun Mahathir ini sedang mengundur ke belakang kerana seolah-olah merelakan sesuatu perbuatan tidak berakhlak berjalan sebagai perkara biasa dalam kerajaan.
Bagaimanakah rakyat menghormati kerajaan?
Sebenarnya, bukan saja mempertahankan Azmin yang sedang disiasat merupakan sesuatu yang tidak wajar, malah membawanya mengikuti rombongan lawatan Tun Mahathir ke Bangkok turut merupakan kesalahan moral.
Apakah Tun Mahathir tidak malu mempamerkan Azmin yang sedang disiasat itu kepada mata dunia?
Lebih buruk lagi sebenarnya, sikap yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir itu, sudah tentu secara tidak langsung akan menyukarkan lagi pihak polis menjalankan siasatan dengan adil dan telus berkaitan video tersebut.
Dalam hal ini, walaupun Haziq dan Azmin sudah diambil keterangannya, kita tidak tahu bilakah pihak polis akan mengumumkan hasil siasatan mereka.
Cabaran kini terletak di tangan IGP, Abdul Hamid Bador untuk membuktikan pihak polis tidak tunduk kepada kecenderungan politik yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir, sebaliknya kekal menjalankan tugas berdasarkan fakta dan kebenaran. (Shahbudindotcom 24/06/2019)