Seorang daripada setiap lima orang peminjam langsung tidak pernah membuat bayaran balik kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata pengerusinya Wan Saiful Wan Jan.
Selain 19% peminjam ingkar ini, seramai 32% lagi tidak membayar balik secara konsisten, katanya yang menambah ia antara faktor menyebabkan PTPTN kini menanggung hutang RM40 bilion.
“Sekiranya jumlah itu terus meningkat… tanggungan hutang diunjurkan akan meningkat kepada RM76 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Padahal, lebih 3 juta individu berjaya mendapatkan pinjaman berjumlah RM56 bilion sejak penubuhan PTPTN sehingga 31 Disember lalu, katanya.
Jika masalah itu tidak dapat ditangani, ia akan memberi kesan kepada rakyat yang tidak lagi akan menikmati pinjaman pendidikan melanjutkan pelajaran di masa hadapan, kata Wan Saiful lagi.
“Setiap RM7,000 yang tidak dikutip akan menyebabkan satu permohonan baru ditolak. Maksudnya, jika seorang peminjam yang menerima pinjaman sebanyak RM21,000 tidak membayar, dia seorang saja akan seronok.
“Tapi akan ada tiga orang pelajar yang bakal masuk ke IPT menangis kerana tidak mampu masuk pengajian tinggi,” katanya.
Oleh itu, orang ramai perlu menyalurkan cadangan di laman web PTPTN untuk membantu institusi itu memutuskan bentuk tindakan bagi mendapatkan balik wang tersebut, kata Wan Saiful.
“Ramai yang memberi banyak komen dalam kumpulan Whatsapp dan dalam media sosial. Saya seru mereka ini memindahkan komen mereka ke laman web PTPTN supaya semua pandangan dapat kita analisis sebagai sebahagian penyelesaian.
“Tidak ada guna lantang dalam media sosial tetapi tidak menyalurkan pandangan ke saluran yang betul,” katanya dalam satu wawancara.
Pandangan itu dikutip melalui Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang disediakan dalam laman web rasmi perbadanan tabung itu.
Satu taklimat mengenai KKR itu menimbulkan kontroversi apabila 10 idea yang dikutip daripada satu rundingan dengan pihak berkepentingan dari Januari hingga Mac 16 Mei dilaporkan oleh media.
Antara idea untuk memaksa peminjam culas untuk melunaskan hutang itu adalah penguatkuasaan lebih ketat termasuk menyekat sekatan untuk pembaharuan pasport, lesen memandu dan cukai jalan.
Cadangan penguatkuasaan itu, termasuk memperkenal semula sekatan ke luar negara, menerima tentangan pelbagai pihak yang antara lain melihatnya sebagai tindakan tidak wajar.
Mengulas mengenai kebimbangan tersebut, Wan Saiful berkata PTPTN sememangnya bertangungjawab membantu peminjam yang mempunyai masalah untuk bayaran balik.
“Kita perlu mengenal pasti apakah latar belakang kewangan mereka sehinggakan bayaran tidak dilakukan dengan konsisten. Mungkin terdapat masalah kewangan yang dihadapi oleh mereka dan mereka yang tidak berkemampuan ini wajib kita bantu.
“Untuk itu, peminjam yang terlibat perlu membuat rundingan dengan PTPTN,” katanya lagi.
PTPTN memberi pinjaman RM56 bilion kepada seramai lebih 3 juta peminjam sejak tabung itu mula ditubuhkan sehingga 31 Disember lalu.
Salah seorang daripadanya adalah Mohd Shah, 30 yang gembira kerana dapat membayar balik secara konsisten selepas membuat rundingan dengan PTPTN.
“Saya dahulu tidak pernah bayar selama dua tahun dan ada banyak tunggakan. Jika bayar ikut pelan asal boleh capai RM400 sebulan tetapi selepas rundingan saya hanya bayar RM200 cuma masanya lebih panjang.
“Kita dah berhutang kena bayar. Kalau semuanya tiada rasa tanggungjawab bagaimana dengan nasib pelajar lain, termasuklah anak saya pada masa akan datang,” kata juruteknik itu.
Seorang lagi peminjam, Fairuz Karmila, 32, yang berjaya melunaskan hutangnya turut sependapat dan berharap ia akan memberi keberkatan kepadanya.
“Saya dah selesai bayar guna akaun dua KWSP. Saya juga ada banyak komitmen tetapi tiada masalah yang tak boleh selesai.
“Yang penting kita ada niat hendak membayar. Biarlah duit kita pinjam untuk dapatkan ijazah itu berkat,” kata ibu kepada seorang anak itu lagi.
Namun bagi peminjam yang masih berpendapatan rendah, tanggungjawab untuk melunaskan pinjaman itu masih tidak dapat ditunaikan.
Huzaimi Abd Ghafar, 32, berkata beliau hanya sempat membayar semula beberapa kali kerana gajinya sebagai guru tuisyen tidak mencukupi untuk membayar pinjamannya berjumlah lebih RM30,000.
“Sebelum ini syarikat saya bekerja tutup. Sejak itu susah cari kerja tetap dan kini saya menjadi cikgu tuisyen yang bergantung gaji ikut jam.
“Saya ada macam-macam komitmen rumah dan kereta hendak bayar. Duit gaji memang tak cukup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.