Pekerja asing terpaksa bekerja dalam keadaan amat teruk dan tinggal di kontena sempit yang disediakan sesetengah majikan di negara ini seperti dilaporkan sebelum ini.

PETALING JAYA: Wartawan veteran A Kadir Jasin berkata, negara dilihat seperti “tuan kepada hamba zaman moden” susulan laporan penganiayaan terhadap pekerja asing.

Beliau berkata, Malaysia dibanjiri berjuta-juta pekerja asing, dengan kebanyakannya tidak diperlukan negara atau dilayan sewajarnya.

“Sejauh manakah kita benar-benar mendapat manfaat dengan mempunyai pelabur asing membina kemudahan pembuatan di negara kita yang mengambil pekerja asing?” soalnya dalam catatan di Facebook.

Beliau merujuk laporan akhbar Britain, The Sunday Mirror semalam berhubung dakwaan eksploitasi pekerja asing di sebuah kilang elektronik di Johor yang mengeluarkan semula alat ganti untuk pembersih vakum Dyson.

Pekerja asing di ATA IMS yang berpangkalan di Johor Bahru itu mendakwa mereka berkongsi sebuah bilik dengan 60 pekerja lain, hidup dalam keadaan kotor dan perlu bekerja lebih masa selama 186 jam sebulan, selain waktu bekerja minggu standard selama 48 jam.

Kadir berkata, syarikat yang mengeluarkan komponen canggih sepatutnya diminta mengambil pekerja tempatan supaya mereka boleh memanfaatkan pengetahuan teknologi.

“Sebaliknya kita dituduh sebagai pusat pemerdagangan manusia dan perhambaan zaman moden kerana mengambil pekerja asing secara sembarangan.”

Malaysia katanya, semakin tidak berperikemanusiaan dalam melayan pekerja tempatan dan asing atas nama kemajuan dan pembangunan, keuntungan serta kekayaan.

“Lihat kerja pembinaan kurang bermutu dan kematian di tempat kerja di seluruh negara,” katanya sambil menambah piawaian dan keselamatan tidak lagi menjadi keutamaan kerana jurutera dan penyelia mengelak tanggungjawab mereka, menyerahkan pemantauan tapak pembinaan kepada warga India, Bangladesh dan Indonesia yang diimport.

Kadir berkata, beberapa orang rakyat Malaysia mungkin berada dalam senarai orang terkaya Forbes tetapi ia tidak menjadikan Malaysia negara maju dan bertamadun.