LIM GUAN ENG :SAMBUTAN ULAGTAHUN KE 2 PAKATAN RAKYAT

Masalah Dalaman UMNO Perak Kronik

Masalah dalaman UMNO Perak cukup parah jika mahu dibandingkan dengan krisis Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi bualan hangat pemimpin politik hari ini khususnya dari UMNO.

Ketua UMNO Cawangan Pekan Batu Lima Bahagian Parit Buntar, Sulaiman Mohd Zaini berkata, hanya orang dalam sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku dalam UMNO Perak.

Menurutnya, sikap Ketua Bahagian yang hanya mementingkan diri merumitkan lagi keadaan sehinggakan sanggup menganjurkan pelbagai gerakan berbentuk sabotaj terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Sikap Ketua Bahagian yang angkuh dan sombong serta langsung tidak memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin memburukkan lagi keadaan.

“Mereka ini dilihat hanya mahu mengaut keuntungan atau mengambil kesempatan terhadap Kerajaan Negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir demi kepentingan diri sendiri,.

“Ada juga sanggup membuat aduan palsu kepada kepimpinan UMNO Pusat dengan menyatakan Menteri Besar tidak membantu ketua-ketua bahagian di negeri ini,” katanya ketika ditemui di pejabat Sinar Harian, Greentown di sini, semalam.

Sulaiman berkata, Ketua Bahagian yang rata-ratanya sudah menjangkaui umur veteran dan sudah tidak relevan lagi untuk memimpin seharusnya sedar diri serta memberi peluang pula kepada golongan muda bekerja dengan rakyat.

Katanya, pemikiran golongan veteran ini terlalu konvensional dan sering kali melihat pembangkang sebagai musuh, walhal dalam kalangan golongan muda, persepsi berkenaan dilenyapkan sebaliknya kita boleh bergaul dengan semua parti, semuanya sebagai sahabat.

“Kita sebagai pemimpin parti jangan meletakkan perbezaan ideologi politik sebagai teras perjuangan sebaliknya letakkan rakyat pada kedudukan utama barulah dinamakan pemimpin.

“Banyak berlaku kesilapan dalam UMNO Perak, seharusnya perlu diubah dari sekarang, terutama golongan pemimpin veteran yang menerajui bahagian masing-masing perlu berundur secara terhormat dan bagi peluang kepada para pelapis untuk menerajuinya pula.

“Golongan veteran ini suka membodek pihak atasan serta mengugut Menteri Besar supaya memberikan projek untuk mereka dan kroni-kroni semata-mata mahu memuaskan kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku (mensabotaj Menteri Besar), pihak berkenaan membuat laporan palsu kepada kepimpinan Pusat dengan tujuan menjatuhkan Dr Zambry.

“Tindakan mereka ini tidak wajar, sepatutnya sebagai Ketua Bahagian, mereka memberi sokongan kepada kepimpinan Dr Zambry bukan mengkhianatinya, sebab itulah saya gesa Menteri Besar mengambil tindakan terhadap mereka bagi menghadapi perubahan kepada UMNO Perak.

“Selagi golongan ini menganggotai dan mengepalai bahagian, UMNO Perak akan menuju kepada kehancuran serta tidak mustahil juga pilihan raya umum akan datang, UMNO bukan lagi pilihan rakyat.

“Sebenarnya musuh sebenar bukan pembangkang tapi dalam kalangan UMNO sendiri yang perlu dihapuskan dan boleh juga dilabel sebagai firaun kecil sebagaimana gambaran kepada PKR,” katanya.



SABAHDAILY

“Harakah perlu juarai rakyat, lawan arus perdana” - Wan Hamidi Hamid

“Harakah perlu juarai rakyat, lawan arus perdana” - Wan Hamidi Hamid

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR: Akhbar perlu menambat hati para pembaca Melayu, tambahan pula dengan pendirian akhbar arus perdana yang kini dilihat sudah kurang menggali isu-isu yang menyentuh nurani rakyat.

"Realitinya, pembaca Harakah adalah orang Melayu," kata pengamal media Wan Hamidi Hamid dalam suatu sidang muhasabah bersama para petugas Harakah dengan beberapa pimpinan dan aktivis PAS di sini, hari ini.

Perbincangan itu diadakan untuk menggali beberapa permasalahan akhbar, media alternatif di samping mengenalpasti beberapa tindakan baru untuk mengatasi masalah tersebut.

Tambahnya, berdasarkan maklumat yang beliau perolehi setakat ini, kadar jualan Berita Harian dan Utusan Malaysia misalnya berada di bawah 170,000 naskhah pada 2009 berbanding lebih 200,000 pada 2006.

"Ini kerana, salah satu sebabnya, ialah akhbar-akhbar perdana tersebut tidak akan melaporkan seperti yang yang dikehendaki oleh masyarakat, khasnya hal yang benar melibatkan kes perbicaraan Anwar Ibrahim.

"Kita mesti ingat, bahawa hari ini, Anwar masih lagi de facto dalam masyarakat," kata Wan Hamidi yang juga Pembantu Pengarah Research For Social Advancement (Refsa), sambil menjelaskan bahawa saingan Harakah yang terkini adalah Suara Keadilan.

Berdasarkan rekod, hasil jualan Harakah sejak Reformasi 1998 adalah sekitar 400,000 dan kini menurun sehingga 105,000.

Selain itu, berucap pada majlis yang sama, Setiausaha Dewan Muslimat PAS Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Harakah telah menyiarkan banyak bahan maklumat kepada pembaca, tapi para pembaca khasnya muslimat kurang fasih mendalami isu-isu semasa.

"Kita kena gerakkan semacam suatu sekretariat untuk mengatasi masalah-masalah yang berbangkit dalam akhbar ini. Dan, mungkin kita perlu gerakkan kempen membaca dalam kalangan aktivis parti. Ini kerana, kalau ada maklumat pun dalam akhbar pun, mereka tidak membacanya," kata Aiman Athirah lagi.

Untuk menjadikan akhbar ini lebih dinamik, kolumnis Harakah, Abdul Shukor Harun berkata, akhbar itu tidak lagi boleh menjadi alat kepada organ parti sepenuhnya, malah ia mesti lebih banyak menjuruskan kepada usaha-usaha menggali isu-isu dalam masyarakat.

"Saya difahamkan, ahli-ahli Pas ada lebih sejuta orang, tetapi kenapa hasil jualannya cuma 105,000 naskhah sahaja?" soal beliau lagi.

Menyentuh hal yang sama, Ketua Pengarang Harakah Daily Zulkifly Sulong berkata, muka depan akhbar parti ini tidak boleh diletakkan berita parti bagi tujuan menarik minat pembaca terhadap akhbar tersebut.

"Suatu masa dahulu, kita pernah memutuskan supaya isu-isu nasional itu diletakkan di muka depan agar ia dapat menarik perhatian khalayak ramai.

"Sementara itu, laporan yang memuatkan berita parti pula, kita letakkan di bahagian belakang seperti berita Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan para pimpinan parti yang lain," kata beliau.

Program dihabiskan awal kerana Mazlan Aliman ditahan polis

Dalam pada itu, penulis politik Mohd Sayuti Omar berkata, antara kaedah yang boleh dibuat untuk menguatkan laporan akhbar ini, ialah dengan mengadakan program 'pertukaran' penulis dan penulisan antara akhbar-akhbar alternatif tersebut.

"Ini bermaksud, penulis Harakah boleh menulis di Roket, wartawan dan penulis di Suara Keadilan boleh menulis di Harakah dan sebagainya," kata beliau.

Selain itu, tambah Mohd Sayuti, akhbar Harakah ini perlu menjurus kepada laporan berbentuk 'human interest' yang boleh merakamkan kisah keperitan hidup masyarakat yang menyayatkan hati pembaca.

Pertemuan untuk sidang bedah siasat Harakah ditamatkan lebih awal tengah hari ini kerana panelis jemputan khas untuk sidang petang ini tidak dapat hadir, ekoran penahanan polis ke atasnya bermula semalam.

"Sepatutnya, sidang bedah siasat akhbar ini dijangka tamat pada 4 petang ini, tapi kita habiskan lebih awal kerana Mazlan Aliman yang dijangka dapat membentangkan syornya itu, telah ditahan polis dengan sebab ceramahnya baru-baru ini di Raub," kata Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika ditemui erapakatan.com.

Guan Eng sedia jelaskan Najib keperluan pilihan raya PBT

MI: Guan Eng sedia jelaskan Najib keperluan pilihan raya PBT

PULAU PINANG, 10 Mac — Kerajaan negeri bersedia menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung keperluan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar) berkata jika Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk mendengar penjelasan itu, beliau sendiri akan bertemu dengan Perdana Menteri.

“Pilihan raya ini adalah cara yang baik untuk meningkatkan perkhidmatan ahli majlis yang dipilih. Apabila dipilih mereka kena bekerja keras untuk rakyat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam Najib dilaporkan berkata pilihan raya PBT itu tidak perlu diadakan kerana ia hanya akan lebih mementingkan proses politiking di kalangan anggota PBT menerusi kempen dan pemilihan.

Najib mengulas mengenai langkah kerajaan negeri pakatan pembangkang, Pulau Pinang dan Selangor yang mahu mengadakan semula proses pilihan raya pihak berkuasa tempatan, seperti yang pernah diadakan 43 tahun lalu tetapi dimansuhkan pada 1965.

Lim berkata kerajaan negeri tidak bersetuju dengan pandangan Najib kerana kini terdapat 101 daripada 192 negara di dunia yang mengadakan pilihan raya PBT.

Beliau juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mempertimbangkan permohonan mengadakan pilihan raya itu.

“Kita mahu kembalikan kuasa kepada rakyat. Oleh itu kita mahu SPR menimbangkan permohonan itu dengan wajar,” katanya dipetik Bernama.

Sebelum ini, SPR dilaporkan akan merujuk kepada penasihat undang-undang sama ada kerajaan Pulau Pinang dan Selangor boleh melaksanakan pilihan raya bagi memilih anggota majlis PBT.