Kalau Dr M sudah akui kelemahan, apa ‘formula’ penyelesaiannya? — Aspan Alias
June 06, 2013
6 JUN — Umno Negri Sembilan merupakan Badan Perhubungan yang
pertama mengunjurkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno
tidak dipertandingkan. Unjuran ini adalah unjuran yang begitu “familiar”
dalam Umno sejak lebih dari dua puluh tahun dahulu dan seruan seperti
ini jika dipandang dari satu sudut ia tidak perlu diambil kira atau di
berikan perhatian.
Sejak pemilihan tahun 1987 dahulu dan setelah Umno asal itu dibunuh,
dan wujudnya Umno yang sekarang ini, berbagai-bagai keadaan telah kita
lihat dalam isu pemilihan kepimpinan Umno itu.
Perpecahan itu bermula apabila pihak yang memenangi pemilihan itu
,menjadi “sore winner”. Pihak yang memenangi pemilihan itu, telah
menentang pucuk pimpinan semasa itu dianggap sebagai satu jenayah.
Sedangkan perlembagaan parti semasa itu membenarkan mana pihak dan ahli
menawarkan diri untuk memegang apa-apa jawatan jika merasakan boleh
membetulkan keadaan yang tidak betul dalam parti.
Selepas sahaja wujud Umno yang baru pada 1988 dahulu, telah
diwujudkan sistem bonus. Seseorang yang mendapat pencalonan Presiden,
misalnya akan secara otomatik mendapat sepuluh undi bonus dan seseorang
yang ingin mencabar kepimpinan Tertinggi perlu mendapat 30 peratus dari
jumlah bahagian Umno yang wujud dinegara ini.
Selepas itu wujud pula sistem yang seseorang yang ingin mencabar
jawatan Tertinggi terpaksa mendaftarkan niat mereka terlebih dahulu.
Berbagai-bagai cara pimpinan Tertinggi lakukan untuk mereka susah
dicabar dan semasa itu bermulalah kematian demokrasi secara
terus-terusan dalam Umno. Parti itu melebihkan usaha untuk memagar dan
menjaga kepimpinan parti dari menjaga kehendak ahli dan sampailah
sekarang berbagai-bagai cara untuk tidak membolehkan Presiden itu
dicabar.
Slogan “Malaysia Boleh” itu boleh diaplikasikan dalam apa jua
perkara. Yang tidak boleh hanya bertanding jawatan Presiden Umno sahaja.
Kenapa ini semua berlaku? Ia bermula apabila yang menang menjadi “sore
winner” dan segala rancangan untuk menyekat kemaraan orang yang baik dan
“viable” untuk Umno diberikan tumpuan sehinggakan Umno itu sudah tiada
kepimpinan lagi.
Apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir itu adalah benar tetapi saya
ulangi apa yang beliau tidak menyebut dengan jelas ialah segala-gala ini
bermula dari permainan politik beliau sendiri.
Kalau benar Dr Mahathir mahukan keadaan Umno seperti dulu kala,
maksud saya sebelum beliau mengambilalih kuasa pada tahun 1991 dahulu.
Jika beliau masih berkemampuan dan diterima pandangan beliau, Dr
Mahathir perlu berusaha mengembalikan keadaan Umno seperti semasa beliau
mula mengambilalih dahulu. Tetapi masalahnya masihkah ada yang ingin
mendengar nasihat beliau jika beliau jujur untuk melakukan perubahan
itu?
Jika pandangan beliau masih diterima dan mempunyai pengaruh dalam
partinya, masih ingatkah Dr Mahathir apa yang baik dalam Umno sebelum
beliau mengambilalih kuasa dahulu? Jika beliau masih ingat apa kah yang
baik yang pada pimpinan semasa itu, dengan yang buruk pada pimpinan
sekarang yang Dr Mahathir katakan itu?
Beliau mesti tahu dan memahami apa yang baik dahulu dan yang buruk
sekarang ini. Barulah mudah untuk dilakukan perubahan dan menyelesaikan
jika tidak semua, sebahagian besar dari masalah-masalah yang ada.
Kalau semua jawapannya “yes”, apakah beliau sanggup melakukan
perubahan itu dan selepas itu bergembira dan bersyukur kepada yang Esa
kerana akhirnya beliau kembali kepada politik untuk orang Melayu dan
seluruh rakyat yang sebenarnya?
Persoalannya apakah cara yang hendak beliau lakukan jika beliau masih
dihormati atau setidak-tidaknya di geruni oleh pimpinan dan ahli-ahli
Umno yang bertaburan di seluruh negara ini? Untuk melakukan perubahan
itu beliau mesti ada manusia yang bersama beliau yang masih berkemampuan
untuk kembali kepada situasi yang baik yang pernah dirasai rakyat
semasa beliau belum mengambilalih kuasa negara diwaktu itu.
Apa yang saya bersetuju dengan Dr Mahathir hari ini adalah
berdasarkan kepada “assumption” yang beliau jujur meluahkan perasaan
beliau tentang Umno hari ini. Pimpinan hari ini adalah kumpulan pimpinan
yang terdidik semasa Umno sudah kehilangan identitinya sebagai sebuah
parti yang benar-benar bertanggungjawab kepada negara dan rakyat
berbilang kaum dinegara ini.
Justeru tidak mungkin mereka dapat “appreciate” apa yang dikatakan
kebaikan semasa sebelum Dr Mahathir mengambilalih kepimpinan dahulu.
Pimpinan hari ini masih bermain dengan tali seluar lagi semasa itu
kerana Dr Mahathir berada diatas lebih dari dua dekad yang menyebabkan
budaya baik yang ada semasa beliau mula-mula mengambilalih kuasa dahulu.
Kalau ada pun yang masih hidup dan sihat sekarang ini hanya tinggal
Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah sahaja yang boleh dibawa
berunding bagi menyediakan kepimpinan yang baik selepas ini dan
mewariskan kepada yang telah dilatih untuk meneruskan kepimpinan rakyat
dimasa-masa yang akan datang. Bawa sekali wakil-wakil dari semua bangsa,
agama dan semua pimpinan politik ke meja bulat dalam perundingan untuk
mencari “formula” baru yang dimaksudkan.
Bagi saya untuk mencapai matlamat politik negara yang baik, seperti
matematik, ia mesti ada “formula” yang betul bagi mendapat jawapan yang
betul dan tepat. Bagi pandangan saya itu sahajalah nama yang tinggal
jika benar kita mahu menyusun “formula” yang baik dan tepat itu.
Selepas sahaja “formula” itu diperolehi maka serahkanlah “formula”
itu kembali kepada sesiapa yang muda-muda yang mampu membawa negara
lebih ‘progressif’ untuk generasi yang akan datang nanti dengan
mengikuti “formula” yang telah di wujudkan secara mesyuarah diantara
semua pihak di negara ini.
Lupakan perasaan ego dan sengketa yang lalu semata-mata untuk
generasi kita yang akan datang.Jangan terpengaruh dengan bisikan khatir
yang bathil itu agar kita terjurus kepada melakukan niat yang baik kita
itu.Kadangkala seteru kita yang akhirnya memberikan keselamatan kepada
kita sendiri dan kadangkala kepada keluarga dan sanak saudara kita.
Saya sendiri tidak tahu, tetapi inikah yang saya serta ramai yang
lain maksudkan sebagai usaha membentuk sebuah negara baru yang kami
selalu impikan itu? — aspanaliasnet.blogspot.com