Masalah air di DUN Sungai Bakap yang menjadi senjata politik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor dalam ceramah menghentam Kerajaan Perpaduan hakikatnya telah pun dibincangkan dalam mesyuarat di kalangan Menteri sejak tahun lalu.
Cuma masalah utama, kata Rafizi tidak sebagaimana penyelesaian dicadang Sanusi – bina loji rawatan air – masalah tersebut lebih besar kerana tidak cukup sumber air mentah di kawasan utara.
Air mentah katanya, perlu diambil daripada Kuala Kangsar, Perak dan memerlukan pelaburan berbilion ringgit. Manakala cara yang dicadangkan Kerajaan adalah dengan membuka kawasan perindustrian baharu di Selatan Pulau Pinang dan masalah pelaburan besar ke atas sumber air akan diatasi.
“Kita tahu masalah air bukan soal paip, loji air semata mata. Masalahnya sumber bekalan air. Satu memang tak cukup, kedua cuaca makin panas. Bila panas, sungai, tasik, memang air tak cukup macam dulu.
“Kalau buat 5 – 6 loji, dia (Sanusi) nak ambil air di mana?
“Air Sungai Muda kita kena hati hati sebab ada jelapang padi (yang perlukan air). Sanusi sebut ambil air sana-sini. Menang PRK Sungai Bakap, lepas itu kita tak ada beras?
“Untuk penyelesaian secara bersepadu masalah air di utara Perak sampai ke selatan Pulau Pinang kita kena pelaburan besar bawa air dari Kuala Kangsar ke utara. Bukan soal paip, meter, ia soal sungai. Keputusan ini tak ada kena mengena dengan PRK Sungai Bakap,” katanya .
Menurut Rafizi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mencadangkan supaya diwujudkan kawasan perindustrian tenaga hijau di Pulau Pinang selatan dan sekali gus mengatasi masalah kemiskinan orang Melayu di utara Perak.
Dengan itu, katanya, masalah air akan selesai dan penduduk sekitar juga mempunyai peluang pekerjaan.
“Sebab untuk hidupkan utara Perak dan selatan Pulau Pinang perlukan pelaburan baharu kerana ini kawasan Melayu antara yang paling miskin di utara (Semenanjung).
“Kita perlu tumbuhkan lebih banyak industri. Datuk Seri Anwar ilhamkan buat satu kompleks perindustrian baharu yang berteraskan tenaga hijau.
“Sebab sekarang semua nak masuk, pelabur asing tanya ada tenaga hijau? Kalau tak ada tak mahu.
“Kita kena cari kawasan baru yang mesti datang dengan tanah untuk solar. Tetapi ada tanah, elektrik, namun air tak ada tak guna. Kita terpaksa peruntukan RM4 bilion bina sistem alihkan air dari Sungai Perak ke utara,” katanya.
Selain itu, Rafizi turut memberitahu bahawa Malaysia telah berada di landasan pemulihan ekonomi yang meyakinkan sejak diambil alih oleh Kerajaan Madani.
Katanya, modal asing telah kembali ke pasaran saham dan imej PM Anwar kembali meyakinkan pelaburan langsung asing (FDI) yang tidak masuk sejak 2020 lalu.
“Dalam tempoh 18 bulan lepas, Kerajaan Perpaduan telah tumpukan dasar dan program, dan alihkan peruntukan untuk kita bina balik momentum ekonomi.
“Kalau siapa main saham boleh tengok bursa saham di negara kita adalah bursa terbaik di rantau ini untuk tahun ini. Lima bulan pertama 2024 dari 15 kaunter saham paling tinggi di Asia Tenggara, 12 dari Malaysia. KWSP dalam laporan setakat Mac, keuntungan boleh diagihkan kepada pencarum naik 33% berbanding tahun lepas.
“Itu petanda awal, pelabur, pasaran saham telah beri reaksi bagus,” katanya lagi.