MIRI 9 APRIL : Jadikan 2011 tahun rahmat untuk membuat perubahan – itu gesaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat Sarawak yang akan keluar mengundi memilih kerajaan negeri pada 16 April ini.
Beliau menegaskan sudah tiba masanya, rakyat yang menghuni sebuah negeri yang amat kaya dengan hasil bumi bangkit menjadi menghadapi gerombolan penindas yang zalim merompak kekayaan selama hampir 50 tahun.
"Marilah kita sama-sama jadikan tahun 2011 ini sebagai satu tahun rahmat bagi Sarawak dengan membuat perubahan.
"Kalau kita mengkaji sejarah negara akan dapati terdapat fasa-fasa dalam perjalanan sejarah negara yang memperlihatkan perubahan besar. Saya yakin tahun 2011 adalah fasa penting untuk kita membuat perubahan di Sarawak ," kata Anwar kepada lebih 3,000 penyokong pada majlis pelancaran manifesto Pakatan Rakyat di Taman Mors Jaya, Miri malam tadi.
Beliau menegaskan masa sudah tiba untuk rakyat berhenti menjadi pemerhati pasif kepada perompakan hasil mahsul Sarawak yang memperkayakan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan pemimpin BN lain termasuk kerabat keluarga dan kroni mereka.
"Jangan biarkan Taib atau Najib (Razak) atau Rosmah (Mansor) sekalipun menentukan nasib kita. Kita sendiri mesti bangun dan tentukan nasib negeri ini demi masa depan anak cucu kita. Sudah cukup rakyat Sarawak menderita miskin disebabkan kerakusan BN. Sekarang masa yang amat sesuai untuk berubah," tegas beliau disambut tepukan gemuruh daripada hadirin
Pada satu lagi ceramah umum yang dihadiri jumlah penyokong lebih 10,000 selepas itu di Kuching Waterfront, Anwar berkata sekiranya perubahan tidak dilakukan pada pilihan raya 16 April depan, BN dengan sombong dan bongkak akan terus memijak hak rakyat Sarawak.
"Mereka (BN) mengaut puluhan ribu ekar untuk diri dan keluarga mereka manakala kita berdiam diri. Kekayaan negeri ini harus diagihkan secara adil kepada semua rakyat Sarawak tetapi apa yang kita lihat sekarang yang di atas mengaut semua dan rakyat di bawah tidak dapat apa-apa," laung Anwar.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail serta calon-calon ahli dewan undangan negeri daripada Parti Keadilan Rakyat dan DAP.
Anwar : Jadikan 2011 Tahun Rahmat Bagi Sarawak
Tv Selangor Kembali Pulih Selepas Digodam Pagi Tadi
SHAH ALAM 9 APRIL : Laman sesawang kerajaan negeri, TV Selangor sekali lagi digodam hari ini.
Menurut penolong pengurus, penerbitan kreatif, TV Selangor, Ahmad Aziz, laman TvSelangor disedari digodam kira-kira jam 9 pagi ini dan telah menutupnya sementara waktu sehingga dibaik pulih.
“Laman TV Selangor dipercayai digodam pagi tadi. Laman kami telah ditampal dengan kata-kata lucah dan berita-berita palsu.
“Ini kali kedua laman kami diserang. Kali terakhir adalah pada 31 Mac lalu ,” katanya.
Menurut Ahmad, kerja-kerja membaik pulih sedang dijalankan dan kembali pulih sekitar jam 3.00 petang tadi.
TV Selangor adalah saluran televisyen milik kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
Ia mula beroperasi pada tahun 2008 selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilantik sebagai menteri besar.
TV Selangor diwujudkan kerana mendakwa kerajaan persekutuan yang ditadbir oleh BN tidak memberi peluang kepada kerajaan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat untuk menggunakan media miliknya seperti RTM bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat Selangor.
Ia adalah stesen milik penuh kerajaan Selangor. Namun, siarannaya hanya boleh ditonton menerusi internet kerana kerajaan persekutuan tidak memberi lesen penyiaran kepada TV Selangor untuk memancarkan siaran menerusi gelombang UHF/VHF ataupun menerusi satelit di Selangor.
Kematian Pegawai Kastam : Kenyataan PM Tidak Masuk Akal
SHAH ALAM 8 APRIL : Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Allahyarham Ahmad Sarbani datang ke Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) secara sukarela sebagai tidak masuk akal.
Nik Nazmi melalui kenyataan medianya berkata, ini kerana beliau telah ditahan dalam Ops 3B 1 April lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April, dan tiada sebab mengapa Ahmad Sarbani perlu ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?
Jelas Nik Nazmi, kenyataan Najib dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan aktiviti rasuah juga amat menyedihkan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan pimpinan politik Umno-Barisan Nasional.
“Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” tegasnya.
“Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Dato’ T. Malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran,” ujar beliau.
Menurut Nik Nazmi, kesemua 62 pegawai Kastam yang ditahan dan disiasat berhubung kes rasuah dan penyelewengan badan tersebut juga didakwa menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan SPRM.
"Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam ini merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam," katanya.
Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Salbani Mohamed, 56 disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, pagi kelmarin.
Menurut pengarah Penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Salbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi.
Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram.
Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.
Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.
Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.
Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.
Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menegaskan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja harus ditubuhkan bagi mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan segera serta melibatkan masyarakat sivil sekali gus menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini.
Pada masa yang sama, Nik Nazmi berharap Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bertindak tegas dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat SPRM yang seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.
Tambah Nik Nazmi, beliau juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang ditubuhkan dapat menyiasat kejadian tersebut bagi memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan di negara ini.
Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mahu Diperalatkan Lagi?
Oleh Wira Arjuna
Ketika anggota keluarga dan seluruh negara berkabung di atas kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan pejabat SPRM, Jemaah Menteri mahu menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat sama ada wujudnya unsur zina dalam video seks fitnah Anwar Ibrahim.
Dalam keghairahan Umno untuk “mengenakan” Anwar, Jemaah Menteri , seperti yang dijangka, mengelak daripada memberikan pembelaan tegas kepada keluarga Sarbani.
Keputusan muktamad mesyuarat Jemaah Menteri semalam adalah: RCI untuk Anwar (jika siasatan polis tidak “meyakinkan”) dan “kemungkinan” siasatan inkues diadakan untuk Allahyarham Sarbani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dikenali sebagai seorang yang tidak pernah ambil peduli reaksi rakyat terhadap kenyataan-kenyataannya selagi beliau kekal memegang jawatan berstatus Menteri.
Justeru, sekalipun seluruh rakyat berkumpul di luar Parlimen membantah penubuhan RCI untuk menyiasat fitnah video lucah Anwar, ia tidak memberi sebarang kesan kepada Nazri mahupun Jemaah Menteri.
Bagi Nazri, tidak ada keperluan menjelaskan kepada rakyat kenapa kes Altantuya tidak ada RCI. Begitu juga dalam kes Sarbani.
Nazri dan Perdana Menteri Najib Razak perlu menjawab kepada keluarga Sarbani kenapa Jemaah Menteri menganggap kematian Allahyarham “tidak sama” dengan kematian Teoh Beng Hock walhal kedua-dua mereka adalah saksi penting yang mati dalam perkarangan pejabat SPRM.
Yang jelas, kes Sarbani menerima reaksi yang begitu hambar daripada Najib dan Jemaah Menteri sendiri kerana fokus mereka adalah sebuah video lucah yang dipergunakan untuk mengaib musuh politik utama Umno-BN iaitu Anwar.
Ramai pihak menggeleng kepala dengan persoalan sama - Kenapa video lucah memerlukan penubuhan RCI manakala kematian seorang pegawai kastam dibiarkan “mengikut prosedur undang-undang yang ada”.
Oh ya, kerana Anwar mungkin jadi PM, kata Nazri dan juak-juak Umno.
Mungkin Anwar akan jadi PM……Hakikat adalah Najib SUDAH pun menjadi PM sementara kematian Altantuya dan pembayaran komisyen untuk kapal selam masih belum terjawab.
Hakikat juga adalah satu lagi nyawa sudah diragut di pejabat SPRM dalam keadaan mencurigakan.
Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham Sarbani diiringi dengan persoalan di mana letaknya keutamaan Jemaah Menteri dalam memberi pembelaan kepada rakyat.
Namun, semua pertanyaan ini tidak akan memberi kesan kepada Umno dan BN.
Kematian seorang pegawai kanan Kastam tidak akan mengalih Umno daripada misi mengaibkan Anwar Ibrahim sebaik mungkin.
Nazri berkata jika “rakyat” tidak puas hati dengan hasil siasatan polis terhadap isu video lucah itu, maka RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat siapa pelakunya dan sama ada unsur zina berlaku.
Bagi mereka yang arif dengan simpang siur Umno, kenyataan Nazri itu dilihat sebagai satu ugutan halus untuk polis memastikan siasatan mereka mendapati Anwar adalah pelaku yang melanggan khidmat pelacur dalam rakaman itu.
Sebarang hasil siasatan polis yang tidak merumuskan sedemikian akan mengundang limpahan memorandum daripada Perkasa, GAPS dan badan-badan yang kononnya mewakili rakyat, menuntut di tubuhkan RCI.
Inilah “rakyat” jati yang dimaksudkan oleh Nazri dan suara mereka menjadi pedoman kepada beliau dan Jemaah Menteri pimpinan Najib.
Persoalannya kenapa badan-badan ini dan Nazri begitu gah membawakan isu RCI KETIKA polis masih menjalankan siasatan?
Kenapa tidak tunggu sehingga siasatan polis selesai dan biar polis sendiri mempamerkan ketelusan siasatan bersabit video lucah itu sebelum langkah susulan dipertimbangkan?
Jawapannya adalah terikat kepada keinginan dan keghairahan Umno untuk mengaibkan Anwar seberapa lama yang boleh.
Tidak puas hati dengan kenyataan Ketua Polis Negara Ismail Omar yang sekadar mengesahkan video itu tulen namun pelakunya belum dikenalpasti , Umno mengatur langkah mempersiapkan sebuah Suruhanjaya di Raja pula untuk memastikan Anwar terus diaibkan.
Malah Nazri sudah pun mengumumkan bahawa antara terma rujukan RCI itu adalah untuk memastikan sama ada berlaku jenayah zina oleh pelaku dalam rakaman itu! Nampaknya semua sudah pun ditentukan. Hanya anggota panel RCI sahaja belum didedahkan.
Umno sengaja lupa bahawa Anwar sendiri membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan terhadap video fitnah itu dijalankan selepas menolak beliau kononnya adalah pelaku dalam rakaman itu.
Anwar dan pejabat Parti Keadilan Rakyat turut mengemukakan bukti-bukti berkaitan untuk mensabitkan video itu adalah fitnah semata-mata oleh dalang yang disokong pimpinan tertinggi Umno .
Namun Tan Sri Rahim Thamby Chik, Sharzyl Eskay dan Shuib Lazim yang mengaku menayangkan video kepada media masih bebas.
Hubungan mereka dengan Umno adalah amat jelas, malah mereka dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak pada 22 Mac, sehari selepas video berkenaan disebarkan dan identiti mereka terbongkar.
Haruskah rakyat percaya bahawa Najib dan Kabinetnya, termasuk Nazri bertindak atas kepentingan nasional semata-mata dalam mengusulkan penubuhan RCI bersabit sebuah video lucah.
Bagaimana pula dengan keperluan untuk memberi pembelaan setimpal kepada Allahyarham Sarbani dan mendiang Altantuya?.
Dalam dunia politik matlamat menghalalkan cara, lebih-lebih lagi apabila kelangsungan Umno bergantung kepada agenda memusnahkan Anwar Ibrahim baik dari segi politik mahupun maruahnya sebagai seorang insan.