MGF07042020_OWH-MG-TAN-SRI-ISMAIL-12
Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican.
KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk membawa masuk pakar-pakar luar bagi menangani swabak Covid-19 di negara ini bukan satu keperluan.
Sebaliknya pengalaman lepas berdepan dengan pelbagai krisis kesihatan seperti virus Nipah, Zika dan Influenza sebenarnya telah menyiapkan tenaga tempatan untuk menghadapi apa sahaja penularan penyakit berjangkit termasuk Covid-19 yang sudah meragut lebih 74,000 nyawa seluruh dunia.
Selain itu, berdasarkan panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta tambah baik jangkitan Covid-19 di negara ini, ia dapat dikawal dan dikendalikan dengan cukup baik sekali.
Itu pendapat mantan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut beliau, tidak ada keperluan langsung untuk Malaysia bergantung harap dengan kepakaran dunia luar kerana ketika ini Malaysia merupakan antara negara yang sedang menangani penyakit ini dengan begitu baik sekali.
“Tidak perlu bawa masuk pakar asing ke negara ini tangani Covid-19. Kita sendiri sememangnya cukup bagus dan berpengalaman dalam tangani dan membendung wabak ini. Pengalaman lalu juga telah mengajar kita untuk urus krisis kesihatan seperti ini.
“Strategi yang sedang dilaksanakan oleh kita juga sebenarnya baik dan dipuji, pendirian kita juga bagus. Sebenarnya tidak perlu bantuan pakar dari luar untuk kita, itu yang saya rasa,” katanya.
Mohd. Ismail mengulas hasrat kerajaan yang mahu mendapatkan untuk menggunakan khidmat pakar perubatan luar negara negara di sini dengan kadar segera bagi membantu membendung Covid-19 dari terus menular dan catat peningkatan.
MGF07042020_OWH-MG-TAN-SRI-ISMAIL-16
Bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Mohamed Ismail Merican tiba di hospital bagi melakukan kerja hariannya di Prince Court, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2020.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perbincangan berkaitan perkara itu dengan kerajaan China sudah dimulakan untuk membawa doktor pakar negara itu ke negara ini.
Antara langkah-langkah kesiapsiagaan yang dilakukan itu ialah pengasingan pesakit, mengehadkan kontak kepada staf yang merawat sahaja dan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.
Sementara itu, Mohd. Ismail berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula pada pertengahan Mac lepas merupakan satu strategi cukup baik bagi menangani dan mengawal dari wabak itu merebak.
Bagaimanapun kata beliau, seandainya cadangan itu dilakukan lebih awal, ada kemungkinan angka dan kes Covid-19 ini sedikit sebanyak dapat dikurangkan.
“Patutnya mula lebih awal, mustahak sebenarnya malah ketika mesyuarat Covid-19, lima buah negeri tidak dipanggil itu juga satu tindakan yang tidak begitu bijak dan tidak sepatutnya berlaku. Banyak yang boleh dielak dari awal lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette