Bekas Penasihat Media dan Komunikasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk A Kadir Jasin hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap isu operasi kilang arak.
Dalam kenyataannya hari ini, beliau menempelak barisan Kabinet yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Menurutnya, jumlah jemaah Menteri kerajaan PN yang terlalu ramai mengundang masalah daripada segi penyelaran sesuatu dasar.
“Inilah masalahnya bila banyak sangat Menteri, Menteri Kanan dan Timbalan Menteri. Kemudian ada Menteri yang mendiamkan diri dan biarkan Ketua Setiausaha Kementerian menanggung bala.
“Menteri membisu seribu bahasa. Timbalan Menteri kata, bukan kebenaran operasi pengeluaran, tetapi sekadar mengedar stok yang ada,” dipetik dari Facebook beliau.
Kadir juga berpendapat Menteri yang tiada berkaitan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi gambaran seolah-olah operasi pengeluaran minuman keras dibenarkan dan menuntut segera dibatalkan.
“Menteri lain pula kata sudah diarah supaya dibatalkan. Yang mana satu betul? Kebenaran mengilang arak atau mengedarkan stok sedia ada?,” bidasnya mempersoalkan tindakan mengelirukan itu.
Disebabkan hal serba tidak menentu tersebut, Kadir yang juga Tokoh Wartawan Negara 2011 itu turut memberi gambaran kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin.
“Macam mabuk arak pula kerajaan yang Perdana Menteri sendiri mengaku ‘bukan yang dipilih oleh rakyat’ atau kerajaan tebuk atap seperti diperkatakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” sindir beliau.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan sudah membatalkan kebenaran operasi sebuah kilang minuman keras sepanjang PKP.
Katanya, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.