Belanjawan Pakatan kemuka pelan atasi ketirisan, pembaziran & rasuah sifar
Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mensasarkan hasil kerajaan
dipertingkatkan kepada RM226.7 bilion pada tahun 2014 berbanding dengan
RM218.3 bilion tahun ini, dan nisbah defisit kepada KDNK dikurangkan
kepada 3.2% pada tahun 2014 daripada 4.6% tahun.
Pakatan Rakyat percaya sekiranya Kerajaan Persekutuan mengamalkan
pentadbiran telus, bertanggungjawab dan berintegriti, nescaya dapat
diwujudkan persekitaran ekonomi yang berdaya saing dan seterusnya
mempertingkatkan pendapatan rakyat secara amnya.
Dalam
pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat di Parlimen pagi tadi, Ahli
Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah yang mewakili Parti Keadilan Rakyat
menegaskan bahawa, Pakatan Rakyat mempunyai satu resipi bukan rahsia
yang mudah akan tetapi BN tiada langsung iaitu komitmen politik.
“Satu komitmen politik untuk mencapai ketirisan, pembaziran dan
rasuah sifar. Ini adalah antara sebab utama mengapa kita boleh mempunyai
sasaran konsolidasi fiskal yang lebih mampan daripada BN, dan ini telah
pun terbukti di negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan”.
Dalam Belanjawan 2014 yang bertemakan “Mempertahankan kepentingan
rakyat dalam mengharungi gelombang”, Pakatan Rakyat mensasarkan
pengurangan sebanyak 10 % bagi semua semua bekalan dan perkhidmatan
daripada perbelanjaan operasi di mana kerajaan persekutuan boleh
merealisasikan penjimatan tahunan sebanyak RM10 hingga 15 bilion,
berbanding dengan pembaziran di bawah pengurusan BN dianggarkan RM30
hingga RM40 bilion setahun.
Pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Rasah, Anthony
Loke menggariskan empat teras utama yakni: 1)
Memperkukuhkan Kedudukan
Fiskal dan Memperkasa Kewangan Awam; 2) Mempertingkatkan Kesejahteraan
dan Kualiti Kehidupan Rakyat – Agenda Sebuah Negara Berkebajikan; 3)
Memastikan Pembangunan Ekonomi yang Lebih Seimbang, Inklusif dan Mampan;
dan 4) Merungkai Potensi Sebenar dan Mempertingkatkan Daya Saing Jangka
Panjang Negara.
Pakatan Rakyat berpendirian bahawa GST merupakan cukai regresif di
mana sebagai peratusan pendapatan, golongan berpendatapan rendah
terpaksa membayar cukai lebih tinggi daripada golongan berpendapatan
tinggi; maka golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan akan
menanggung beban cukai yang lebih tinggi berbanding yang kaya.
“Sebaliknya,
Belanjawan Pakatan Rakyat memberi penekanan kepada Penjimatan Ringgit
(PR) dan bukan kenaikkan harga. Program-program yang merugikan rakyat
seperti Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) yang menelan belanja
tahunan RM800 juta dan juga Program Susu 1Malaysia yang menelan belanja
sebanyak RM170 juta harus dihapuskan. Maka Pakatan Rakyat menolak
sepenuhnya pengenalan GST,” ujar Anthony Loke yang mewakili DAP.
Selain itu, Pakatan Rakyat juga bercadang untuk menambah bilangan
pembayar cukai dengan mempertingkatkan pendapatan rakyat dan tenaga
kerja terutamanya di kalangan orang muda sebagai salah satu mekanisme
penjanaan hasil yang lebih tuntas.
Untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat,
Pakatan Rakyat mengusulkan pengurangan kos sara hidup dengan mengawal
harga bahan makanan, rumah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan produk
farmasi, dan utiliti.
“Kami mencadangkan langkah-langkah yang praktikal dalam menangani kos
hidup yang tinggi dan menekan rakyat secara keseluruhan; dalam masa
yang sama tidak memberi bebanan tinggi kepada kerajaan dan tidak memberi
impak negatif kepada industri atau sektor itu sendiri,” kata wakil PAS
Khalid Samad.
Dalam komitmen memastikan pembangunan ekonomi yang lebih seimbang dan
inklusif, Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat memberi penekanan untuk
merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar seperti pengenalan
Skim Insuran Petani, Nelayan dan Penternak; Semenanjung Malaysia dengan
Sabah dan Sarawak seperti semakan semula Dasar Kabotaj, meningkatkan
akses kepada utiliti dan pendidikan di kawasan pedalaman, dan
menyegerakan pembinaan dan penaiktarafan jalan raya terutamanya
Lebuhraya Pan-Borneo.
Pakatan Rakyat juga komited untuk menggalakan lebih penyertaan wanita
dalam pembangunan ekonomi dan kepimpinan seperti penubuhan Dana
Sumbangan Wanita Malaysia; golongan OKU bakal menerima kenaikkan elaun
sara hidup kepada RM500 sebulan bagi OKU yang bekerja dengan pendapatan
bulanan di bawah RM1,200 dan peruntukan khas bulanan bagi Orang dengan
Ketidakupayaan Teruk dengan maksimum RM1,000 manakala nasib orang asal
akan lebih terbela dengan pelaksanaan cadangan dalam Laporan SUHAKAM
mengenai hak-hak tanah orang asal.
Jawatankuasa Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat