Polis sekat perhimpunan penyokong Hindraf di Kamunting

Andrew Ong | Dec 16, 07 6:59pm

Polis hari ini menghalang para penyokong Hindraf daripada mengadakan perhimpunan di Pusat Tahanan Kamunting di mana keluarga lima pemimpin Hindraf yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di situ mahu mengadakan upacara sembahyang.

Polis mengambil pendekatan memujuk dan psikologi untuk menghalang penyokong Hindraf daripada berhimpun di kawasan tersebut -- berbeza dengan kebiasaannya di mana gas pemedih mata dan meriam air digunakan untuk menyuraikan orangramai seperti dalam perhimpunan Hindraf dan Bersih di ibunegara bulan lalu.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan sebuah trak meriam air ditempat di sebuah kompleks sukan yang terletak kira-kira 100 meter dari pusat tahanan tersebut.

Sejak awal pagi lagi, beberapa sekatan jalanraya diadakan dekat pusat tahanan tersebut di mana setiap polis mengambil butiran diri pengguna dan penumpang kenderaan keturunan India.

“Saya bagi tahu mereka yang kami mahu pergi ke pusat tahanan tersebut. Seorang anggota polis wanita berkata, mereka telah menahan 50 orang dan berkata, saya boleh pergi atas risiko sendiri," kata seorang penyokong Hindraf dari Kuala Lumpur.

Beberapa penyokong Hindraf turut memberitahu perkara yang sama kepada Malaysiakini, tetapi Ketua Polis Taiping, ACP Raja Musa Raja Razak, berkata tidak ada tangkapan dibuat pagi tadi.

Usaha memujuk

Penyokong dari pelbagai negeri datang ke Kamunting selepas mendapatkan tahu yang keluarga lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ, akan mengadakan upacara bersembahyang hari ini.

Di Kamunting, Raja Musa dan anggotanya sibuk meminta kumpulan-kumpulan kecil penyokong Hindraf supaya bersurai dari situ.

Beliau sebaliknya meminta mereka pergi ke kuil berhampiran untuk mengadakan upacara sembahyang di sana.

Kerana tidak dapat berhimpun di pusat tahanan tersebut, keluarga tahanan serta para penyokong bergerak ke Kuil Sri Mariamman dekat situ di mana mereka melepaskan 36 burung merpati sebagai tanda simbolik menuntut pembebasan mereka.

Selain lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ, 31 orang lagi penyokong Hindraf ditahan reman selepas didakwa di mahkamah atas tuduhan cubaan membunuh.;

Upacara bersembahyang diadakan sebelum RS Thanenthiran diumumkan sebagai penyelaras baru, ekoran penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA.

“P Waythamoorthy masih lagi pengerusi Hindraf. Beliau akan memimpin dari luar negeri. Saya hanya menjaga halehwal Hindraf di sini sehingga kelima-lima pemimpin Hindraf itu dibebaskan," kata Thanenthiran kepada kira-kira 500 penyokong di kuil tersebut. Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, sekurang-kurangnya 2,000 penyokong hadir.

Kuasa rakyat’

Kemudian, isteri tiga tahanan terbabit memberi ucapan ringkas yang penuh emosi, kepada mereka yang berhimpun di situ.

Penyokong Hindraf yang lain turut memberi ucapan ringkas yang disambut dengan laungan 'Hidup Hindra' dan 'Hidup Makkal Sakhti (kuasa rakyat)'.

Selepas berhimpunan selama sejam, orang ramai bersurai secara aman.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Thanenthiran (kiri) berkata, perhimpunan hari ini diadakan sebagai tanda sokongan kepada lima pemimpin Hindraf yang ditahan di situ serta keluarga mereka.

Beliau menggesa kerajaan sama ada menghadapkan lima pemimpin Hindraf itu ke mahkamah atau membebaskan mereka.
Berita asal


(Foto oleh Andrew Ong)


Nik Aziz jadikan kediaman rasmi tempat perpindahan mangsa banjir


Salmah Mat Husain
Sun | Dec 16, 07 | 2:46:52 pm MYT

KOTA BHARU, 16 Disember (hrkh) - Mungkin tidak berlaku di tempat lain, namun ianya berlaku di negeri Kelantan, apabila Menteri Besarnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, menjadikan kediaman rasminya JKR 10, sebagai tempat perpindahan mangsa banjir.

Seramai 265 orang dari 69 keluarga telah bermalam di dewan kediaman rasmi Menteri Besar, yang terletak di Kampung Sireh sejak tiga hari lalu.

Rumah rasmi tersebut sudah dua kali dijadikan tempat perpindahan mangsa banjir di mana buat kali pertamanya pada tahun 2004.

Mangsa yang kesemuanya tinggal di Kampung Sireh termasuk sekeluarga dari masyarakat Cina bersyukur kerana diberi peluang berada di situ.

Rata-rata mangsa banjir ditemui melahirkan rasa seronok berada di situ sehingga dapat melupai masaalah yang berlaku pada mereka.

Kaum Cina dilayan baik

Seorang warga Cina, Kang King Liean, ketika ditemui melahirkan rasa seronok ditempatkan di situ.

Katanya, walaupun hanya beliau bersama ibu serta anaknya Robert Lim, yang berbangsa Cina, namun mangsa yang lain melayan keluarganya begitu baik sekali.

"Saya tidak menghadapi sebarang masaalah di sini, mereka yang senasib dengan saya, semuanya baik dan tidak ada masalah langsung.

"Apa yang mereka makan, itulah yang saya makan," ujarnya dengan gembira ketika ditemui di tempat perpindahan banjir itu.

Liean memberitahu, sebelum ini beliau menumpang rumah saudaranya di Kota Bharu, namun sekarang beliau tidak ingin lagi menyusahkan saudaranya.

"Bagus Menteri Besar kita, bagi peluang pada kita untuk tinggal di sini," Âujarnya. Sementara itu Mohd Hanif Aiman Che Loh, 16, memberitahu sejak beliau tinggal di situ dua hari lalu, tidak kurang dua kali Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, menjenguk mereka.

Menurutnya, Takiyuddin hanya akan pulang ke rumah pada pukul 2.00 atau 3.00 pagi setelah menguruskan keperluan mangsa banjir di sini.

"Sebelum ni keluarga kami lima orang kesemuanya menumpang di rumah kakak di Kota Bharu, tetapi untuk tahun ni, kami nak beralih angina menumpang di sini," ujarnya.

Hanif memberitahu, sewaktu anggota penyelamat ke rumahnya untuk menyelamatkan keluarganya, paras air di atas rumahnya sudah mencecah ke paras betis.

Terima kasih 'Tok Guru'

Siti Apuan Yusof, 59, mengakui beliau tidak begitu penat menghadapi musim banjir sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana ianya jarang berlaku berbanding sebelum ini.

Menurutnya, dua tahun lalu iaitu pada tahun 2006 dan 2005, beliau tidak perlu berpindah kerana banjir tidak berlaku di negeri ini.

"Kalau adapun mungkin di sebelah Hulu Kelantan seperti di Gua Musang, tetapi kami di sini alhamdulillah, tidak berlaku setiap tahun," ujarnya.

Beliau yang turut berpindah bersama 17 orang anggota keluarga termasuk cucu-cucunya mengakui tidak menghadapi masaalah berada di situ.

"Terima kasih banyaklah pada tok guru (Nik Aziz) beri peluang pada kami untuk menginap sementara di sini," ujarnya.

Sementara itu, Samiah Ahmad, 46, turut mengakui banjir di Kelantan sudah berkurangan berbanding sebelum ini.

"Saya ingat sewaktu kecil dulu tiap-tiap tahun, wajib berpindah bila saja tiba musim tengkujuh, tak tahulah, mungkin kerana keberkatan agaknya, alhamdulillah," ujarnya lagi yang berpindah bersama tujuh orang anggota keluarganya yang lain./wann


MENJANA KEMENANGAN PRU KE 12


BENGKEL PENERANGAN KETUA BAHAGIAN KEADILAN PULAU PINANG DILANCARKAN DI TASEK GELUGOR.


Oleh:Wartawan Rasmi Laman Reformasi


Tasek Gelugor 16 Disember 2007-Perasmian Majlis penerangan yang diwakili oleh semua ketua-ketua Pengarah Pilihanraya Bahagian ,Pengarah Penerangan Bahagian,Setiausaha Bahagian telah dijalankan di Pejabat PKR Bahagian Tasek Gelugor semalam dengan jayanya. Majlis yang dianjurkan oleh Pejabat Pilihanraya negeri yang diketuai oleh Sdr Mustaffa Kamal dan timbalannya En Ariffin ini bertujuan untuk mencambahkan idea dan strategi menghadapi pilihanraya yang ke 12 akan datang.


Majlis yang diselenggarakan oleh Sdr Johari Abdul ini kemudianya di rasmikan oleh Sdr Azmin Ali ini telah dihadiri oleh semua bahagian di Pulau Pinang yang membentangkan potensi serta matlamat parti bagi menghadapi pilihanraya ke 12.



Dalam usaha menawan negeri ,PKR sudah bersiap sedia dengan berbagai cabaran yang bakal ditempuhi dan oleh yang demikian persediaan dan strategi bagi menawan setiap Bahagian dan KADUN di Pulau Pinang yang ditandingi PKR, memerlukan strategi yang berkesan .Tanpa strategi,usaha yang padu,sokongan,kerjasama, serta berbagai lagi strategi dan penerangan akan menjadikan sesuatu bahagian itu mungkin akan menjadi lemah atau pun mungkin akan tewas jika diambilkira daya usaha dan kesungguhan penerangan dan strategi yang telah dirancang atau dijalankan selama ini.Belum tentu bahagian yang telah menang akan mengekalkan kemenangan jika usaha yang dijalankan sambil lewa tanpa adanya kerjasama yang jitu dan padu.rakyat boleh berubah bila-bila masa jika pihak yang diamanahkan gagal menarik minat pengundi dengan program penerangan,yang berjaya memikat pengundi.


Usaha yang dijalankan bersama oleh bahagian Tasek Gelugordan kerjasama pejabat pilihanraya negeri ini , patut dipuji kerana telah berjaya menyewa sebuah rumah banggalow , dan telah berpindah ke pejabat baru ini kira-kira 6 bulan yang lalu.Meski pun dengan ketiadaan dana yang mencukupi, namun dengan sokongan dan daya usaha yang jitu serta kerjasama semua ahli telah berjaya menjadikan bahagian Tasek gelugor antara bahagian yang dianggap mempunyai potensi untuk menawan sekurang-kurangnya 1 kerusi atau pun Bahagian Tasek Gelugor sendiri dengan usaha yang keras dan kerjasama yang jitu diantara ahli. Apa pun kemenangan dalam pilihanraya yang ke 12 ini dijangkakan akan lebih menarik buat PKR negeri.