29 January 2026
PAS menyanggah kenyataan Muhyiddin Yassin tentang persetujuan parti itu untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN dan menggantikannya dengan penubuhan dua badan lain iaitu Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif.
Presiden PAS, Haji Hadi Awang berkata, isu itu sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh PAS termasuk dalam pertemuan dengan Muhyiddin pada 16 Januari lalu.
Jelas beliau, PAS kekal dengan pendirian bahawa jawatan Pengerusi PN hendaklah dikekalkan dan tidak dimansuhkan serta diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.
Berhubung cadangan untuk pindaan Perlembagaan berkaitan penstrukturan PN khususnya mengenai Majlis Presiden, PAS tegas Haji Hadi, mengulangi saranan bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.
“Adapun mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa “Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit”, saya ingin menegaskan bahawa isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan.
Haji Hadi menambah, sebagai rujukan asas berkaitan Majlis Eksekutif PN, Pas menggariskan cadangan yang mana Majlis Tertinggi PN (MTPN) harus menjadi Majlis Eksekutir (ME) yang bertanggungjawab melaksanakan segala perancangan parti.
Ia, ujar beliau, termasuk dari sudut perorganisasian, pentadbiran dan strategi bagi memperkukuhkan parti gabungan itu terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) mahu pun pilihan raya umum (PRU).
Selain itu, kata Haji Hadi, kuasa dan fungsi ME hendaklah digariskan dengan terperinci yang turut diselaraskan dengan idealisma dan perancangan Parti-Parti Anggota.
“Dalam menjalankan fungsinya, ME mempunyai akauntabiliti kepada Majlis Presiden yang berperanan memantau dan mengawal selia ME dari segi dasar dan hala tuju yang ditetapkan oleh parti.
“Berdasarkan kepada perkara di atas, maka adalah menjadi pandangan dan pendirian PAS bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.
“(Selain itu) Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN,” katanya lagi dalam kenyataan dua halaman itu.
Berdasarkan huraian Haji Hadi di atas, adalah jelas ia berlawanan dengan kenyataan Muhyiddin semalam.
Mengimbas konflik dalam PN sejak Muhyiddin mengumumkan perletakan jawatannya bertarikh 1 Januari lalu, kekalutan yang timbul dan berlarutan hingga kini adalah kerana Presiden Bersatu itu tidak benar-benar ikhlas mahu berundur dan seolah-olah sedang mencari laluan u-turn untuk kembali menerajui PN.
Sepatutnya, setelah meletakkan jawatan, Muhyiddin mestilah benar-bemar ingin beundur dan melepaskan dirinya daripada PN.
Ini tidak, tiba-tiba muncul pula mengenai Majlis Presiden sedangkan sebelum ini majlis itu tidak terdengar ada peranannya.
Selain itu, kenapa juga perlu diwujudkan Majlis Eksekutif?
Tidak bolehkah dikekalkan PN seperti sedia ada dan sebagaimana Muhyiddin mengetuainya sebelum ini?
Kenapa setelah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN, Muhyiddin masih ingin mengetuai Majlis Presiden?
Bukankah setelah meletakkan jawatan, beliau sepatutnya tidak cuba melalui apa-apa cara ingin kembali menguasai gabungan itu?
Tidak bolehkah setelah meletakkan jawatan Pengerusi PN, Muhyiddin hanya menumpukan kepada Bersatu saja dan biarlah PAS pula mengetuai dan mengendalikan PN sepenuhnya?
Apakah Muhyiddin tidak mahu melepaskan PN sepenuhnya kepada PAS kerana beranggapan PN itu entiti yang ditubuhkannya sebelum ini?
Kepada PAS, jika mesyuarat malam esok Muhyiddin tetap dengan pendirian ingin lagi menguasai PN melalui Majlis Presiden, adalah lebih baik Haji Hadi membawa saja PAS keluar meninggalkan PN.
Bergerak solo adalah lebih baik dan tidak lagi membuatkan PAS pening kepala.
Dengan bergerak solo, PAS itu dipercayai mampu memenangi lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU akan datang, termasuk menawan beberapa kerusi yang sekarang dipegang Bersatu.
Yang penting, dengan bergerak solo juga, selain PAS diyakini sepenuhnya mampu mengekalkan kuasa di Kelantan, Terengganu dan Kedah, parti itu dengan mudah dapat kembali berkuasa di Perlis yang kini dirampas oleh Bersatu.
Malah, dengan PAS bergerak solo juga, kemungkinan untuk parti itu didekati UMNO atau UMNO mendekati PAS lebih mungkin menjadi kenyataan.
Akhirnya, sama-sama kita lihat ke mana nasib Bersatu nanti tanpa PAS di sisinya. - ShahbudinHusin 29Januari2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/01/pas-jangan-lagi-pening-kepala-lebih-baik-gerak-solo/