ADAKAH RAFIZI, NIK NAZMI JENIS MUDAH MAKAN PUJUK?
8 June 2025
Teka-teka mengapa setakat ini hanya cuti Rafizi
Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad saja yang diluluskan oleh Perdana Menteri,
manakala perletakan jawatan mereka masih lagi tergantung dan akan diputuskan
kemudian, akhirnya terjawab berdasarkan laporan yang disiarkan Malaysiakini.
Laporan yang berdasarkan sumber dalaman PMO
itu menyebut, perletakan jawatan tidak diputuskan kerana ketika ini usaha masih
dijalankan untuk memujuk Rafizi dan Nik Nazmi agar terus kekal berada dalam
kabinet.
“Jika mereka sedia kembali, maka tiada keperluan
untuk Anwar Ibrahim melakukan rombakan kabinet,” kata sumber dalaman PMO itu.
Laporan Malaysiakini berkata, perletakan jawatan
dua menteri kanan PKR — Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad — menyaksikan
gabungan kerajaan Madani yang dipimpin Anwar kini berdepan saat kritikal.
Ia antara menjaga kestabilan kabinet dan menangani
dakwaan pembangkang bahawa kerajaan perpaduan semakin hilang arah serta kohesi
politik.
Untuk itu, sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri
(PMO) yang ditemui Malaysiakini menyatakan bahawa masa depan Rafizi dan Nik
Nazmi masih dalam peringkat perbincangan, dengan usaha sedang dijalankan untuk
memujuk kedua-dua mereka supaya terus kekal dalam kabinet.
“Kita kena lihat semula kenyataan PMO (Pejabat
Perdana Menteri). Perdana Menteri hanya meluluskan permohonan cuti Rafizi dan
Nik Nazmi.
“Surat letak jawatan belum diluluskan. Malah, masih
dalam perbincangan.
“Apa yang saya boleh pastikan, masih terdapat usaha
memujuk Rafizi dan Nik Nazmi untuk kekal dalam jemaah menteri. Seperti saya
kata, Rafizi dan Nik sekarang sedang bercuti.
“Maka, ada peluang untuk mereka kembali. Jika
kembali, maka tiada keperluan untuk rombakan kabinet.
“Saya jangka, Disember ini akan ada rombakan
kabinet secara kecil-kecilan. Maka, Perdana Menteri mungkin tidak minat membuat
dua rombakan dalam setahun.
“Jadi, yang terbaik kepadanya adalah cuba mengekalkan
Rafizi dan Nik Nazmi,” kata sumber itu lagi.
Persoalannya, apakah Rafizi dan Nik Nazmi jenis
yang mudah makan pujuk setelah menghantar surat perletakan jawatan?
Apa tanggapan penyokong mereka dan rakyat biasa
jika akhirnya Rafizi dan Nik Nazmi tidak jadi meletakkan jawatan dan kembali
berada di dalam kabinet setelah dipujuk oleh Perdana Menteri?
Mahu tidak mahu, jika itu berlaku, sudah tentu
kewibawaan dan keteguhan pendirian mereka akan tercalar dengan sendirinya.
Selepas ini, sukar untuk kata-kata mereka
dipercayai lagi.
Realitinya, jika dilihat respon yang bertebaran di
media sosial, secara majoritinya mahu Rafizi dan Nik Nazmi kekal dengan
keputusan meletakkan jawatan dan berada di luar kerajaan.
Bahkan, melalui plan baru yang ikut perancangannya
akan diumumkan Rafizi selepas ini, ia dijangka akan melonjakkan lagi nama
mereka dalam persada politik negara.
Rakyat sebenarnya merindui Rafizi yang bebas
bersuara, berani menegur dan lancar berbicara mengikut apa yang ada dalam
fikirannya.
Berbanding jika kembali menyertai kabinet,
silap-silap nama mereka lebih tidak dipedulikan lagi.
Sebagaimana sumber PMO itu kemudian mengakui
kemungkinan Rafizi dan Nik Nazmi untuk terus kekal dalam barisan kabinet Madani
adalah amat tipis, sebenarnya itulah juga harapan para penyokongnya serta
rakyat biasa. – ShahbudinHusin 08Jun2025.
























