KEBAJIKAN TENTERA TERJAGA JIKA ANWAR JADI PM
Kebajikan tentera terjaga jika Anwar jadi PM
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kebajikan tentera akan lebih terjamin sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim terpilih sebagai anggota parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri.
Mohamad berkata demikian dalam majlis penganugerahan pingat pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson yang turut menyaksikan penampilan mengejut Anwar yang merupakan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
“Anggota parlimen Port Dickson, kalau dipilih jadi perdana menteri, sudah tentulah segala bentuk keluhan dan kebajikan (tentera dan pesara tentera) akan cuba diselesaikan dan ditingkatkan.
“Kita tidak janji tempayan emas, kita tidak dapat janji hati nyamuk,” katanya.
Ketika ditanya pemberita selepas itu, Mohamad menafikan berkempen untuk Anwar dengan menggunakan sumber kerajaan dan jawatannya sebagai menteri pertahanan.
“Tapi saya akan kempen untuk Anwar di ceramah malam ini,” kata Mohamad yang juga merupakan Presiden AMANAH.
Terdahulu, Anwar juga menafikan kehadirannya sebagai berkempen di Muzium Tentera berkenaan kerana, jelasnya, ia dihadiri pesara tentera dari seluruh negara dan bukannya pengundi Port Dickson.
Sementara itu, Mohamad berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan sama ada peruntukan RM500,000 yang diberikan kepada Kem Tentera Port Dickson untuk membaiki rumah dianggap sebagai rasuah.
Jelas Mohamad, peruntukan itu diberikan sebelum PRK lagi.
Menteri pertahanan itu sebelum ini mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Kem Tentera Port Dickson.
Ia kemudian mendapat pelbagai kritikan yang menyifatkan peruntukan berkenaan sebagai rasuah.
BEKAS SETERU, RUSLAN KASIM BANTU ANWAR DI PD
Bekas seteru, Ruslan Kasim bantu Anwar di PD
Ruslan Kasim, bekas pemimpin PKR yang kemudian menyertai Umno, telah meninggalkan bekas parti pemerintah itu bagi berkempen untuk Anwar Ibrahim di Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Ruslan, yang merupakan antara pimpinan awal gerakan Reformasi dan bekas ketua penerangan PKR, telah digelar pembelot ketika beliau menyertai Umno pada tahun 2004. Beliau meletak jawatan dalam Umno pada bulan Jun, sebulan selepas kekalahan Barisan Nasional ketika pilihan raya umum 9 Mei.lalu.
Beliau berkata beliau “tertipu” oleh Umno, dan baru-baru ini memohon maaf daripada Anwar.
“Politik itu dinamik. Saya melihat kerajaan baru dan saya rasa saya mempunyai peranan untuk dimainkan,“kata Ruslan kepada The Malaysian Insight.
“Saya telah minta maaf kepada Anwar dengan sungguh-sungguh atas semua perkara yang saya katakan dan apa yang saya lakukan,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Teluk Kemang malam tadi.
Ruslan berkata Presiden PKR itu memberitahunya bahawa semua telah diampunkan dan mahu beliau menyertai Pakatan Harapan.
“Dia berkata, biarlah, yang lepas biarkan berlalu.”
Ruslan meninggalkan Umno pada Jun lalu dan menyertai parti Bersatu bahagian Jempol, Negeri Sembilan.
Beliau berkata beliau akan berkempen di Port Dickson sehingga hari pilihan raya pada 13 Oktober
DAP YAKIN ANWAR MENANG BESAR DI PD
DAP yakin Anwar menang besar di PD
DAP Pulau Pinang yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menang besar di PRK Port Dickson.
Naib Pengerusinya, Zairil Khir Johari berkata, ia adalah berdasarkan rekod cemerlang Pakatan Harapada pada PRU14 lalu.
“Ini bukan suatu yang mengejutkan kerana perancangan awal pun sudah menetapkan Presiden PKR itu bakal dilantik sebagai perdana menteri ke-8.
“Beliau bakal menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini diakui sendiri oleh Mahathir,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, pendekatan ini secara tidak langsung memberi gambaran jelas kepada rakyat untuk membuat pilihan terbaik pada pilihan raya nanti.
“Kita nampak ada banyak pertandingan di PRK Port Dickson. Itu hak demokrasi setiap individu.
“Saya yakin perkara ini tidak menjadi masalah kepada Anwar.
“Saya percaya rakyat di Port Dickson juga masih akan menyokong Pakatan Harapan untuk membolehkan Anwar kembali ke parlimen,” katanya.
PRK Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Pakatan Harapan, Pas dan lima calon bebas.
‘ANWAR AKAN BAWA PORT DICKSON KE TARAF ANTARABANGSA’ – IR KHALID SAMAD
‘Anwar akan bawa Port Dickson ke taraf antarabangsa’ – Ir Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad menyeru agar pengundi di pilihan raya kecil Port Dickson bijak memilih pemimpin yang akan mewakili mereka ke Dewan Rakyat.
Menurut beliau, hanya pemimpin dari kalangan Pakatan Harapan yang mampu membawa pembangunan di kawasan itu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Amanah yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang bagi mengorak langkah sebagai Perdana Menteri ke – 8.
“Walaupun semua calon PRK Port Dickson berharap untuk menang, namun rakyat bijak menilai dan saya yakin tentu Anwar boleh menang memandangkan Port Dickson ialah jalan untuk Anwar ke Putrajaya sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya PM yang ke-8.
“Yang penting sekarang para pengundi di Port Dickson harus tahu dan yakin Anwar boleh membawa pembangunan dan memberi suntikan dana yang besar untuk memajukan bandar perlancongan bagi menjadi tempat peranginan bertaraf antarabangsa dan terkenal di serata dunia,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berpendapat walau bagaimana canggih dan berwibawa pun tawaran calon-calon selain Anwar, manifesto mereka tidak akan dapat menandingi Anwar untuk membawa pembaharuan ke Port Dickson dan seluruh Malaysia dalam mengharungi dekad-dekad akan datang.
“Malaysia perlu bangkit semula dari zaman pentadbiran Najib yang telah membenamkan ekonomi dengan skandal 1MDB. Isu penyelewengan wang yang telah berlaku melalui 1MDB dan tersebar di beberapa negara di dunia termasuk Amerika Syarikat telah merugikan imej negara selain mengakibatkan kehilangan keyakinan terhadap Kerajaan Malaysia.
“Justeru, PRK Port Dickson bukan sahaja menentukan masa depan kawasan itu tetapi juga masa depan rakyat dan negara,” katanya lagi.
Khalid berharap pengundi di Port Dickson tidak akan terpesong atau dikelirukan oleh hujah calon-calon lain sepanjang kempen tetapi memberi tumpuan penuh kepada matlamat dan pelan Pakatan Harapan untuk terus mentadbir negara secara yang lebih baik.
“Ada kesinambungan yang patut diteruskan untuk rakyat menikmati masa depan yang cerah dalam negara yang kaya dan banyak potensi seperti Malaysia,” akhiri Khalid.
Subscribe to:
Posts (Atom)