Perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-28 hari ini, dengan saksi ke-40, bekas timbalan ketua setiausaha kabinet Mazidah Abdul Majid menyambung memberi keterangan.
Pagi ini, beliau akan disoal balas oleh pihak pembelaan mengenai menteri yang keluar daripada mesyuarat kerana konflik kepentingan.
Keterangannya semalam ditangguh kerana peguam utama Najib, Shafee Abdullah memohon kod etika kementerian, yang merupakan garis panduan kelakuan menteri dalam mesyuarat Kabinet diserahkan kepada mahkamah.
Mazidah, 70, juga berkemungkinan besar akan merujuk kepada salinan asal minit mesyuarat diserahkan kepada mahkamah selepas pendakwa raya dan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata ia tidak akan melanggar undang-undang kerahsiaan.
Semalam, beliau memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang empat mesyuarat Kabinet antara 2011 dan 2015 berkaitan SRC International. Minit mesyuarat yang dirujuk mahkamah tetapi tidak dibacakan dibatalkan status rahsia untuk perbicaraan kes ini.
Mazidah berkata, menteri termasuklah Najib, bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin dan bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussain pernah mengecualikan diri mereka daripada mesyuarat Kabinet sebelum ini kerana konflik kepentingan.
Mazidah menjelaskan menteri tersebut meninggalkan mesyuarat selepas didapati mereka ada kepentingan dalam memorandum yang dibincangkan Kabinet.
Beliau memberitahu satu kejadian apabila Najib meninggalkan mesyuarat kerana memorandum dibincangkan Kabinet melibatkan CIMB Bank, Shafee membuat andaian ia adalah kerana adik Najib, Nazir Razak adalah pengerusi bank itu pada ketika itu.
Beliau juga berkata menteri Barisan Nasional tidak membantah apabila Najib memohon kebenaran Kabinet pada Ogos 2011 dan Februari 2012 untuk pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.
Pertuduhan ke atas Najib dalam kes ini berkaitan dengan pinjaman itu, beliau didakwa menerima RM42 juta ke dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Najib,66, diwakili barisan peguam diketuai Shafee, manakala Peguam Negara Tommy Thomas menerajui pihak pendakwaan, Hakim Nazlan mendengar kes.
The Malaysian Insight membawakan siaran langsung perbicaraan hari ini:
5.15pm: Mahkamah ditangguhkan dan perbicaraan diteruskan esok.
4.56pm: Farhan bertanya mengenai istilah “Event of Default” dalam kenyataannya.
4.30pm: Saksi ditanya mengenai prosedur biasa bagaimana memorandum dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.
3.50pm: Afidah mengatakan skop kerja beliau adalah untuk menyediakan memorandum untuk perbincangan di mesyuarat kabinet. Saksi tidak mempunyai urusan lain dengan mesyuarat kabinet.
3.10pm: Farhan memberitahu hakim bahawa pasukan pembelaan sedang menetapkan proses jaminan kerajaan kerana merasakaan kenyataan saksi dibuat dengan cara yang tidak difahami prosedurnya.
2.52pm: Farhan mengambil alih pemeriksaan balas. Beliau menyemak keterangan saksi.
2.46pm: Harvinderjit bertanya sekiranya MoF telah membuat usul untuk mendapatkan wang beku di Switzerland. Beliau bersetuju.
2.38pm: Mahkamah bersambung dengan Afidah memberikan keterangan.
Harvinderjit bertanya sekiranya dia sedar pertemuan tahun lepas antara Lim Guan Eng, Tommy Thomas dan Peguam Negara Switzerland.
Beliau mengatakan tidak menyedari pertemuan itu.
1.06pm: Mahkamah berhenti rehat.
12.45pm: Harvinderjit menyemak keterangan saksinya sambil bertanya tentang kriteria jaminan kerajaan.
12.30pm: Harvinderjit bertanya bila Afidah merujuk kepada menteri kewangan dalam keterangannya, adakah beliau bermaksud menteri kewangan atau menteri kewangan kedua.
Saksi mengambil masa untuk menjawab dan kemudian berkata menteri kewangan.
12.13pm: Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil keterangannya pada 2015 dan 2018.
Harvinderjit: Jadi, boleh kita katakan anda memberi antara empat hingga lima keterangan?
Afidah: Ya.
12.10pm: Suhaimi mengakhiri soalannya dan Harvinderjit Singh memulakan soal balas.
12.05pm: Afidah berkata pelantikan lembaga pengarah, pengarah urusan dan CEO untuk SRC International dilakukan oleh perdana menteri.
11.56am: Suhaimi sambung menyoal Afidah.
11.17am: Mahkamah berhenti rehat.
11.14am: Katanya, sesebuah syarikat yang meminta jaminan kerajaan akan dikaji dulu sebelum MoF membuat keputusan.
“Mereka perlu meneliti dokumen syarikat itu untuk memastikan adakah jaminan boleh diberikan.”
Katanya, untuk SRC International, prosedur itu tidak dipatuhi.
“Jaminan kerajaan diberikan berdasarkan kata-kata mereka. Tidak ada dokumen diberikan oleh SRC International kepada kementerian untuk dikaji dan disahkan.”
11.12am: Suhaimi meminta saksi menjelaskan terma pinjaman dalam penyata saksinya. Beliau juga diminta mengenal pasti Nik Faisal Arif Kamil daripada gambar.
11.04am: Saksi berkata pinjaman SRC International daripada KWAP akan berakhir pada 2022, 10 tahun selepas ia diluluskan.
Afidah berkata baki yang perlu kerajaan bayar pada KWAP ialah RM4.15 bilion.
11.01am: Afidah berkata hanya RM290 juta daripada RM300 juta digunakan, tidak ada bayaran balik kepada MoF. Katanya kerajaan masih membayar faedah kepada KWAP.
10.59am: Katanya, walaupun ada bayaran tunggakan, MoF bersetuju memberi SRC International sebanyak RM300 juta lagi.
10.58am: Katanya, sehingga 2017, SRC International mengambil pinjaman hampir RM305 juta daripada MoF (RM92 juta + RM213 juta).
10.56am: Pada 2017, SRC International meminta RM300 juta lagi pinjaman untuk membayar faedah kepada pinjaman RM4 bilion daripada KWAP. Bayaran tidak dibuat sejak Mac 2017.
10.54am: Afidah berkata sepanjang pengetahuannya, SRC International tidak menggunakan sepenuhnya RM250 juta pinjaman kredit sedia ada. –