Pimpinan Umno 'Menikus' Terhadap Mahathir?

Ditulis oleh shuaib ayob



13/03/2011


SHAH ALAM 13 MAC : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menganggap sikap menikus pemimpin Umno khususnya Datuk Seri Najib Razak setiap kali Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersuara, adalah disebabkan banyak rahsia pimpinan Umno pada hari ini berada dalam tangannya.

Menurut Johari, perkara itu terbukti apabila Mahathir dengan sewenangnya-wenangnya boleh mengeluarkan kenyataan dan arahan tanpa cabaran dari Perdana Menteri Menteri dan pimpinan tertinggi Umno yang lain.

"Semua Perdana Menteri lepas dia (Mahathir) ada masalah. Ada rahsia kecurangan, korupsi, nepotisme, sebab itu dia pegang dan apa dia cakap, tak ada siapa berani usik. Dan dia guna maklumat ini untuk kukuhkan kedudukan dia dan goncang orang lain,"katanya.

Johari bercakap kepada TV Selangor dalam memberi komen kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li yang mengatakan memoir 'A Doctor In The House' tulisan Mahathir yang dipasarkan sejak minggu lalu sebagai sebuah penipuan politik.

Ku Li mengecam kenyataan Mahathir dalam buku tersebut bahawa beliau yang mengheret parti (Umno) ke mahkamah dan terbabit dengan politik wang semasa bertanding pada pemilihan parti 1987.

Johari bersetuju dengan kenyataan Ku Li tersebut, malah ia terbukti dalam pemilihan selepas itu apabila ramai pemimpin Umno seperti Timbalan Menteri Pertahan, Datuk Dr Latiff Ahmad, ahli Parlimen Bagan Serai dan Pengerusi FELDA Datuk Isa Samad didapati bersalah kerana mengamalkan politik wang.

"Apa yang Ku Li kata itu bertepatan, kerana itulah puncanya politik wang bila pertembungan Ku Li dan Mahathir begitu sengit. Ku Li dah buktikan waktu itu. Mungkin Mahathir sendiri tak beri duit. Tapi guna ejen atau orang dia untuk pemilihan itu hingga Ku Li kalah,"tambahnya lagi.

Menurut Johari lagi, perkara paling merepek ialah kenyataan bahawa Mahathir mengetahui perangai buruk dan salah laku seks Ketua Umum Parti keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya kira memoir Mahathir itu satu pembohongan. Bukan saja isu politik wang tapi isu mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri. Dia (Mahathir) kata dia tahu Anwar tak bermaruah. Sebagai Presiden dan PM, kalau tahu, mengapa biarkan Anwar lama sebagai Timbalan Perdana Menteri? Sebagai PM, kalau betul nak banteras, sepatutnya tindakan diambil pada waktu itu," katanya.

Anwar: Mahasiswa Dokong Suara Rakyat

13/03/2011 Share


BANGI 13 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuntik semangat baru dalam kebangkitan gerakan mahasiswa dengan menggesa mereka untuk mendokong perjuangan membela rakyat yang tertindas akibat dasar- dasar kerajaan yang zalim.

Berucap kepada 300 wakil persatuan mahasiswa dari seluruh negara, Anwar menegaskan keperluan menghidupkan semula obor perjuangan mahasiswa tahun 70an untuk mempertahankan hak penduduk miskin dan mereka yang teraniaya serta menolak politik perkauman.

"Tahun 70-an itu kita ungkapkan Gerakan Mahasiswa sebagai suara, denyut nadi majoriti rakyat. Kita ada merasakan tanggungjawab terhadap masyarakat majoriti, melihat kepincangan yang masyarakat ada. Maka Mahasiswa dan generasi muda dikaitkan dengan idealisme perjuangan murni dan bukan mahu diheret ke politik kepartian atau perkauman," kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama pada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional ke 2 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor malam tadi.

Kongres yang dianjurkan Kumpulan Pro-Mahasiswa dan Solidariti Mahasiswa Malaysia ini mengumpulkan wakil dari 14 Insitusi Pengajian Tinggi tempatan bagi membincangkan hala tuju gerakan mahasiswa.

Keputusan pemilihan pilihanraya kampus yang banyak memihak kepada calon Pro-Mahasiswa baru-baru ini menguatkan desakan supaya kerajaan UMNO BN memansuhkan Akta Universiti dan Kolej yang mengharamkan pembabitkan pelajar dalam politik nasional.

Anwar berkata dengan kelebihan intelektual yang ada pada mereka, mahasiswa tidak lagi boleh berdiam diri terhadap segala kepincangan di sekeliling mereka yang memberi kesan kepada rakyat.

"Saya yakin sebab kita tak ada pilihan sebab kita nak keluarga kita, yang kerani, guru, petani diberi layanan sebagai rakyat yang berhak dan merdeka. Orang melayu Cina India Kadazan. Adakah mungkin? Mungkin adakah saya yakin? ya, saya yakin. Di Mesir lebih susah, tapi kalau tercetus ledakan semangat rakyat ia boleh berlaku," kata Anwar.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat membidas Kerajaan Persekutuan kerana cuba menutup suara mahasiswa menerusi AUKU.

Beliau berkata mahasiswa dan rakyat tidak akan memilih tunjuk perasaan jalanan seperti di Mesir untuk menumbangkang kerajaan, namun kezaliman pemerintah di Malaysia, tegas Anwar akan memakan parti itu sendiri.

"Apakah kita pilih cara di Mesir, tidak. Kita pilih cara undang-undang cara aman, termasuk parti. Cara pilihan raya. Tapi nak beri amaran kepada Datuk Seri Najib, jangan perbodohkan rakyat. Jangan guna media (dan) SPR, Undi pos dicurah dari langit. Rakyat akan bangkit menentang kezaliman ini," tegas beliau disambut tepukan gemuruh mahasiswa.

Anwar ulangi agenda menawan Putrajaya

Hafiz Zainuddin

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim mengulangi hasrat untuk menawan Putrajaya dan menyeru kerajaan agar menjalankan pilihan raya yang adil dan bebas. "Kita mesti menang semua kerusi. Parlimen di Selangor mesti kita tawan semua untuk kita pergi ke Putrajaya".

Selain itu, Anwar (gambar kanan) meletakkan harapan yang sama kepada kerusi parlimen di Pulau Pinang. Beliau juga menegaskan bahawa kerajaan yang ada sekarang ini tidak boleh zalim kepada rakyat dan menuntut agar rakyat membuat perubahan.

Pakatan Rakyat dilihat komited dengan cita-cita "merampas Putrajaya" dari BN. Demikian inti utama yang terkandung dalam ucapan hampir 60 minit Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat tersebut. Anwar berucap di hadapan kira-kira lebih 2,000 orang audien yang hadir ke Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor yang bertempat di Dewan Sukan MPK Sri Andalas Klang. Majlis yang dianjurkan oleh PKR Kota Raja itu juga dihadiri oleh wakil-wakil dari PAS dan DAP.

Antara mereka yang hadir adalah Timbalan Presiden PKR merangkap ahli parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali, ahli parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud, EXCO Selangor Ronnie Liew dan ramai lagi. Turut memberi ucapan adalah ADUN Sri Muda Suhaimi Shafie.

Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh jentera Jakatan Rakyat agar memperkukuh kerjasama (work together) antara satu dengan yang lain dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Dalam ucapannya Anwar menyatakan perkara perlu diutamakan adalah memberi kefahaman dan informasi sebenar kepada rakyat Malaysia mengenai dasar-dasar Pakatan Rakyat dan perkara yang akan dilaksanakan sepertimana terkandung dalam Buku Jingga. "Kita perlu baca dan faham Buku Jingga - Kuatkan Pakatan Rakyat PAS, PKR dan DAP," katanya.

Pada kali ini secara jelas beliau mengulangi hasrat Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak, mengurangi tarif elektrik dan pada masa yang sama berusaha meningkatkan pendapatan rakyat. Jentera Pakatan Rakyat juga diingatkan agar bekerja keras (work hard) dalam meraih sokongan rakyat.

Dalam ucapannya, Anwar menaruh harapan yang tinggi kepada anak-anak muda untuk melakukan perubahan politik di Malaysia sambil menggungkapkan beberapa potong ayat al- Quran dari surah Al-Kahfi yang antara lain menyingkap mengenai golongan "pemuda yang beriman dan kental semangat". Tidak ketinggalan juga, beliau sempat menyorot kembali bagaimana bermulanya Revolusi di Tunisia dan kebangkitan golongan anak-anak muda di Mesir melawan pemerintah yang zalim, "Kita akan lawan agar rakyat menang..."

Berucap sebelum itu, Anwar juga sempat mengulas mengenai tuduhan rasuah dan cercaan peribadi oleh UMNO kepada Menteri Besar Kelantan Nik Aziz Nik Mat, beliau menempelak mereka dengan isu skandal berbilion-bilion ringgit duit negara yang didiamkan. Pada masa yang sama menekankan bahawa rakyat perlu tahu mengenai isu penyelewengan yang berlaku.

Menyifatkan golongan itu (UMNO) sebagai golongan kaya - golongan atasan selamat dan seolah-olah boleh buat apa sahaja termasuk bunuh dan rogol tetapi apabila ada rakyat bersalah "curi ayam" pun dikenakan tindakan. Ujarnya lagi "sebab itu, rakyat kena tahu. Dalam Negara merdeka, bebas dan berdaulat. Rakyat yakan menentukan. Sebab itu saya katakan, suara rakyat suara keramat...," disambut dengan tepukan dan sorakan audien.

Pada masa yang sama, Anwar tidak mahu ketinggalan menyentuh isu salah urus pemberian kontrak Petronas sebanyak RM 23 billion kepada tiga syarikat yang berkait rapat dengan keluarga mantan PM Mahathir dan Abdullah juga sebuah syarikat yang berkait rapat dengan Najib-Rosmah.

Mengakhiri ucapan beliau, Anwar menyeru seluruh pejuang Pakatan Rakyat dan golongan agar mempunyai kekuatan moral dan percaya serta yakin dalam membawa misi perubahan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

UFO KETIKA TSUNAMI DI JEPUN

Anwar : Pilih Pemimpin Berkebolehan Untuk Manfaat Rakyat








KUCHING 12 MAC : Pemilihan pemimpin tidak seharusnya dilihat dari sudut perkauman tetapi aspek yang penting perlu diambil kira adalah daripada segi kebolehan memimpin negara dan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat jelata.

Demikian kata, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Konvensyen PKR di Sarawak, hari ini.

"Isunya bukan Cina, India, Melayu, Melanau, Iban atau Bidayuh, isu dia, melantik orang yang berwibawa yang tidak curi wang rakyat," katanya.

Tambahnya lagi, tugas seorang pemimpin bukan hanya pandai mengumpul kekayaan untuk diri sendiri dan keluarga sahaja dengan cara membolot duit rakyat dengan rakus yang pentinag adalah melaksanakan agenda membela rakyat.

"Jadi isunya bukan isu kaum, isunya adalah mempastikan wakil tersebut pegang prinsip yang sama iaitu pegang amanah, bukan untuk memperkayakan diri, isteri dan anak-anak tapi untuk bela nasib rakyat semua kaum di negeri ini," katanya.

Anwar berkata Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang berjaya meletakkan negeri itu salah satu penyumbang pelaburan tertinggi di Malaysia membuktikan keupayaan pimpinan Pakatan Rakyat membela rakyat.

"Sebab itu masih dia (Lim Guan Eng) ambil alih Pulau Pinang itu defisit, kerugian negeri tu dari segi pendapatan sejumlah RM1 billion , dua tahun dia urus Pulau Pinang, pendapatan hasil Pulau Pinang ada lebihan RM2 billion ringgit," katanya.

Tambahnya lagi, sebuah lagi negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat iaitu Selangor, kira-kira RM 700 juta telah diperuntukkan kepada rakyat negeri terbabit dalam program-program yang telah disediakan, tetapi masih lagi mempunyai lebihan pendapatan.

"Di Selangor macam mana boleh buat? dan pendapatan bertambah, jumlah yang curah pada rakyat ni ratus juta ringgit, setakat sekarang ini kira-kira berjumlah RM 700 juta (dalam program TAWAS, SMUE, MES, dan lain-lain) tapi pendapatan bertambah, lebihan masih ada, pelaburan asing unggul di Malaysia masih Pulau Pinang dan Selangor," katanya.

Konvensyen itu mensasarkan kurang 300 anggota, tetapi mengagumkan apabila dihadiri melebihi 500 orang.

Turut serta dalam konvensyen itu, Ahli Parlimen Kuching, Chong Chien Jen dan puluhan pimpinan pakatan negeri dan pusat.

Anwar : Halang MP Masuk Sarawak Persis Regim Mubarak







KUCHING 12 MAC : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Ketua Menteri Sarawak,Tan Sri Taib Mahmud yang melarang Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa daripada memasuki Sarawak awal pagi tadi.

Katanya lagi ini merupakan salah satu contoh pemerintahan kuku besi persis pemerintahan Mesir di bawah regim Mubarak.

"Ini stail Mubarak bawah Mesir, kalau masyarakat Sarawak, Malaysia dan luar negara nak tahu apa erti sistem kuku besi, kerajaan autokratik, salah guna kuasa inilah contohnya," ujar Anwar.

Beliau juga menyifatkan Malaysia terutamanya negeri Sarawak, masih berada dalam kongkongan pemerintah yang bersifat kuku besi, di mana prinsip kebebasan tidak didokong dalam negara ini.

"Dan ini menunjukkan bahawa Malaysia khususnya di Sarawak masih ditahap dan dianggap negara yang belum maju dari segi kebebasan dan demokrasi dan masih tertakluk kepada sistem keras kuku besi seperti Ben Ali, Mubarak, dan At Taffi," katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen PKR di Sarawak.

Pagi tadi Sivarasa dilarang daripada memasuki Sarawak setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing.

Beliau yang tidak dibenarkan masuk tanpa alasan yang kukuh diberikan dan hanya arahan yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum ini, pada tahun 2009 Sivarasa juga tidak dibenarkan masuk ke negeri tersebut .