Anak dakwa Felda guna GSA ‘kawal’ peneroka
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 14, 2010
Mazlan dakwa Felda menggunakan Akta GSA untuk mengugut peneroka. - - Gambar oleh Jack Ooi
ROMPIN, 14 Julai — Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Felda menggunakan Akta Kawasan Tanah Berkelompok 1960 (GSA) untuk “mengugut” peneroka supaya dapat terus mendominasi hak pengurusan perladangan tersebut.
Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, langkah Felda menggunakan akta tersebut sebenarnya bertujuan mengongkong peneroka daripada mengusahakan ladang mereka sendiri.
“Sepatutnya apabila peneroka sudah mendapat hak milik tanah, mereka boleh buat apa sahaja tetapi Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka supaya serahkan hak pengurusan ladang kepada Felda.
“Ini kerana Felda mempunyai tafsiran bahawa selagi mana peneroka diikat di bawah Akta GSA maka peneroka adalah tanggungjawab Felda. Ini yang Felda pegang tapi bagi peneroka bila dapat hak milik ia satu pengiktirafan bahawa kebun itu mereka yang punyai.
“Situasi ini menyebabkan dua tafsiran berbeza yang menjadi satu isu besar kerana tindakan Felda menggunakan Akta GSA untuk ugut peneroka,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas beliau menyampaikan Ceramah Kesedaran Untuk Generasi Kedua Felda di Felda Keratong 3 di sini malam tadi.
Beliau berkata, apabila GSA digunakan terhadap peneroka ia akan menyebabkan banyak masalah akan timbul.
“Jika dalam berpolitik rakyat akan takut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dalam Felda peneroka takut akan GSA ini.
“Justeru, Felda menggunakan akta ini untuk memanipulasi dan menakut-nakutkan peneroka demi untuk membolot hasil dan kekayaan peneroka.
“Sebab itu kita adakan ceramah untuk bagi kesedaran dan keinsafan kepada peneroka supaya mereka berani untuk berubah dan memperjuangkan hak kita sebagai pemilik tanah yang sah kerana Felda sebenarnya tidak mempunyai satu inci hak terhadap 10 ekar tanah tersebut,” katanya.
Difahamkan anak syarikat Felda, Techno Plant Sdn Bhd diberi kuasa untuk menguruskan ladang-ladang peneroka.
Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila peneroka diberikan hak pemilikan tanah selepas hutang dengan Felda diselesaikan.
“Bila peneroka masuk Felda mereka diikat dengan perjanjian yang dipanggil Perjanjian Antara Peneroka dan Felda, jadi peneroka ambil kira perjanjian ini di mana selepas habis semua hutang tanah akan menjadi milik mereka.
“Jadi apabila peneroka sudah mendapat hak milik mereka berada dalam dilema sama ada untuk serahkan semula ladang mereka kepada Felda untuk diuruskan atau uruskan sendiri.
“Apabila berlaku konflik dalam diri peneroka ketika itu Felda akan memainkan peranan dengan mendesak peneroka supaya serahkan ladang mereka kepada Felda yang akan diuruskan Techno Plant Sdn Bhd,” katanya.
Mazlan yang merupakan anggota jawatankuasa kerja PAS Pusat berkata, hanya terdapat segelintir sahaja peneroka yang mengusahakan ladang mereka sendiri iaitu seramai 25,000 orang daripada 112,635 peneroka.
Mazlan memberikan penjelasan kepada penduduk Felda Keratong 3 ketika sesi dialog petang semalam. - Gambar oleh Jack Ooi
“Jadi bila dalam masyarakat Felda timbul dua kumpulan dan kumpulan yang buat sendiri ini adalah minoriti. Ia secara tidak langsung menimbulkan pertembungan dan persengketaan antara Felda dan peneroka.
“Sebab itu kita perjuangkan supaya kerajaan bebaskan mana-mana peneroka yang nak buat sendiri dan ini adalah tawaran Pakatan Rakyat, sebab itu bila kita memerintah kita akan beri peluang kepada mana-mana peneroka untuk tentukan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata tindakan Felda yang tidak mendedahkan hasil sebenar perolehan peneroka menyebabkan mereka bimbang mengenai keuntungan yang diperoleh.
“Peneroka takut apabila tidak didedahkan kunci kira-kira, mereka takut hutang yang ditanggung semakin banyak. Sebagai contoh hasil sudah keluar tetapi peneroka tidak tahu berapa jumlah sebenar hasil jadi kalau Felda nak memperdaya bila-bila masa pun boleh kerana tiada kunci kira-kira.
“Selain itu, jika peneroka serahkan kepada Felda untuk uruskan ladang pemotongan terlalu banyak iaitu sebanyak 40 peratus daripada pendapatan asal mereka, jadi kalau RM1,000 Felda awal-awal sudah potong RM400.
“Jadi jika peneroka uruskan sendiri, mereka hanya perlu bayar beberapa kos seperti kos upah kerja, lori dan lain-lain, malah mereka akan dapat pendapatan yang lebih besar berbanding serahkan kepada Felda,” katanya di hadapan kira-kira 100 orang warga peneroka.
Tambahnya, dakwaan Felda muflis ada asasnya dan akan berlaku sekiranya diskriminasi dan penyelewengan tidak di atasi sehingga menyebabkan rizab Felda merosot.
“Jadi satu perancangan perlu dibuat supaya masalah penyelewengan dan diskriminasi yang berlaku dalam Felda di atasi,” katanya.