Dalam ribut-ribut orang bercakap mengenai harga minyak dan
langkah kerajaan menaikkan harganya yang dilihat hanya membebankan
rakyat, Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein mengejutkan banyak
pihak apabila memberi reaksi cukup pantas terhadap cadangan pemotongan
elaun minyak untuk menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
Idea pemotongan elaun itu pada mulanya dicadangkan oleh Pengarah
Strategik PKR, Rafizi Ramli sebagai menunjukkan para menteri turut
menghayati langkah berjimat cermat kerajaan. Ia kemudian turut disokong
oleh Perkasa dan pelbagai pihak lain turut juga menyambut baik cadangan
itu.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno merupakan menteri pertama
dan satu-satunya anggota kabinet Najib yang memberi reaksi positif
terhadap cadangan itu setakat ini.
"Baik potong elaun saya sekarang kalau itu boleh bantu kukuhkan
ekonomi, saya tidak teragak-agak dan sanggup lakukannya", demikian lebih
kurang kata-kata yang diucapkan oleh Hishammuddin.
Baik betul ada pemimpin macam Hisham ni, walaupun anak bangsawan dia
memahami derita rakyat, kata seorang ahli jawatankasa bahagian memberi
komen tentang kemuliaan hati yang dilihatnya daripada kesediaan
Hishammuddin itu.
Bukankah dia asyik bagi amaran saja sebelum ini, kata seorang teman yang lain.
Ini musim pemilihan, semua pemimpin kena tunjuk baik dan berjiwa
rakyat, selalunya begitulah. Ada makna semua tu, pintas seorang ketua
cawangan yang agak veteran menjelaskan kepada rakan-rakannya.
Mereka kemudian ketawa berdekah-dekah dan perbualan seterusnya
meleret kepada pelbagai lagi karenah pemimpin yang cuba menunjuk baik
yang mereka ketahui, bukan saja di musim pemilihan kali ini tetapi juga
di musim-musim pemilihan sebelumnya.
Sementara idea pemotongan elaun minyak ini disanggah oleh seorang
lagi menteri iaitu Nazri Aziz, bahkan menyifatkannya sebagai idea bodoh,
Hishammuddin sebaliknya menunjukkan sikap baik dan budiman dalam hal
ini.
Nazri tidak bertanding apa-apa jawatan dalam MT, bolehlah cakap
begitu. Hisham pula perlukan undi, ketua cawangan veteran tadi
menghuraikan dengan ringkas perbezaan kepentingan antara Hishammuddin
dan Nazri Aziz. Mereka kemudian ketawa lagi dan gelihati apabila
mengenangkan begini rupanya wajah pemimpin semata-mata untuk mendapatkan
undi.
Itulah realitinya setiap kali menjelang pemilihan Umno. Masing-masing
pemimpin yang ingin menang dan merasakan kedudukannya tergugat cuba
bersikap kreatif dan menonjolkan sesuatu yang berbeza mengenai diri
mereka. Ada yang bersikap baik, budiman, terlebih Melayu, peramah,
sentiasa senyum, membuka pintu pejabatnya kepada sesiapa saja dan
macam-macam lagi.
Asalkan boleh menambah undi, itulah yang dilakukan.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi juga dilihat cuba
menonjolkan dirinya secara berlebih-lebihan apabila agak lantang
bersuara mengenai pemansuhan Akta Hasutan dan Ordinan Darurat dan
dilihat sanggup berbeza pendapat dengan Perdana Menteri.
Beliau juga bercakap mengenai bakas tahanan Ordinan Darurat yang
berkeliaran dan rangkaiannya mengikut anggaran matematiknya, kemudian
mendedahkan nama-nama kongsi gelap dan selepas ini dilaporkan mahu
mendedahkan pula nama ketua-ketua kongsi gelap itu.
Meskipun usaha pencegahan jenayah dialu-alukan oleh semua orang
tetapi Zahid dilihat seolah-olah cuba menonjolkan ketegasan dan meraih
populariti dalam isu ini dengan bercakap terlalu kerap dan
berlebih-lebihan mengenainya.
Ramai yang bertanya, setelah mendedahkan itu ini, tangkapannya mana?
Kedua-dua Zahid dan Hishammudin akan mempertahankankan jawatan Naib
Presiden Umno pada pemilohan 19 Oktober depan. Selain seorang lagi
penyandang yang turut mempertahankan jawatannya iaitu Shafie Apdal, tiga
kerusi Naib Presiden Umno kali ini juga cuba direbut oleh dua lagi
pesaingnya iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan Pengerusi
Felda, Isa Samad.
Dengan Tengku Razaleigh masih belum memutuskan sama ada akan mencabar
Najib atau tidak bagi jawatan Presiden Umno, kerusi Naib Presiden
setakat ini menjadi medan persaingan paling sengit. Pelbagai teori,
andaian dan jangkaan sudah kedengaran tentang siapa yang dijangka menang
dan siapa yang bakal kalah.
Selain berkempen menemui perwakilan yang berjumlah kira-kira 150 ribu
orang kali ini, membentuk persepsi dan menonjol-nonjolkan diri juga
dilihat sebagai strategi penting untuk menambah undi dan mendorong
kepada kemenangan.
Zahid sudah memulakannya agak lama dan ratingnya agak baik ketika
ini. Dalam waktu yang singkat Zahid berjaya menonjolkan dirinya sebagai
pemimpin yang tegas dan boleh diharapkan. Perwakilan Umno yang marah
dengan sikap pengundi Cina yag enggan bersama dengan kerajaan serta
sikap Najib yang terlalu memanjakan mereka, kini seperti meletakkan
Zahid sebagai sandaran baru.
Di ketika Hishammuddin kelihatan agak tenggelam popularitinya,
terutama kerana pendekatannya yang agak lemah semasa menjadi Menteri
Dalam Negeri, anak bekas Perdana Menteri, Hussein Onn ini rupa-rupanya
tidak mudah putus akal mahu melonjakkan persepsi dan popularitinya.
Beliau kini dilihat satu-satunya anggota kabinet Najib yang berjiwa
rakyat dan sanggup elaun minyaknya dipotong. Namanya kini turut melonjak
dan menjadi sebutan walaupun belum diketahui pemotongan elaun minyak
itu akan menjadi kenyataan atau tidak akhirnya.
Tetapi seorang lagi calon Naib Presiden Umno, Ali Rustam dalam
usahanya meraih undi dan populariti, lebih mengejutkan lagi ideanya.
Beliau mahu menutup pusat judi Genting Highlands. Katanya, pusat judi
itu mendatangkan banyak masalah kepada sosial dan jenayah yang sedang
berlaku sekarang.
Walaupun Ali dikenali sebagai pemimpin yang mudah didekati, tiada
protokol serta rajin menghadiri jemputan majlis mereka yang dikenalinya
dan kekalahannya di Bukit Katil mungkin menzahirkan banyak undi simpati
untuknya, idea dan gesaan menutup pusat judi itu bakal melimpahkan lagi
undi daripada golongan agama dalam Umno terhadapnya.
Dengan memperjuangkan sesuatu yang dilarang agama, Ali dilihat lebih
Islamik berbanding calon yang lain, tambahan pula beliau juga kerap
berbaju Melayu sejak kebelakangan ini. Bahkan sudah ada yang menganggap
memberi undi kepada Ali sudah jatuh wajib hukumnya kerana niat murninya
mahu menutup pusat judi Genting Highlands itu.
Orang juga seolah-olah terlupa untuk menyemak dan mengira berapa
banyak kedai judi, pusat maksiat, kedai ekor dan pusat hiburan yang
telah ditutup sepanjang Ali Rustam menjadi Ketua Menteri Melaka sebelum
ini.
Soal penutupan Genting Highlands boleh dibuat atau tidak bukanlah
isunya, soalnya ialah Ali telah berjaya mencipta strategi untuk menambah
undinya untuk mengisi salah satu kerusi Naib Presiden, jelas ketua
cawangan veteran tadi apabila ditanya mengenai gesaan Ali Rustam yang
mahu menutup pusat judi itu
Ketika ini dilihat Zahid, Hishammudin dan Ali Rustam berjaya
menonjolkan diri masing-masing melalui strategi dan pendekatan yang
berbeza. Matlamatnya ialah mereka mahu dilihat sebagai pemimpin yang
baik dan boleh diharapkan. Menjelang hari pengundian, mungkin banyak
lagi idea-idea penonjolan diri ini akan dilakukan.
Bahkan Shafie Apdal dan Isa Samad yang ketika ini agak diam juga
barangkali turut tampil dengan kecerdikan masing-masing tidak lama lagi
untuk menonjolkan diri dan kebaikan bagi merebut kerusi Naib Presiden
yang diidam-idamkan itu. Tunggulah!
Tidak saja calon-calon Naib Presiden, calon-calon bagi jawatan lain
juga akan dilihat berubah watak dan berbeza sikapnya. Semuanya akan
kelihatan baik-baik, berjiwa rakyat, peramah, senang didekati, kuat
Melayunya dan sayangkan Islam.
Begitu adanya, dulu, kini dan selamanya.
- shahbudindotcom.blogspot.com