Dalam temubual bersama portal berita Malaysiakini, sekumpulan pemimpin profesional puak ‘Erdogan’ dalam PAS berkata, Muktamar PAS ke 60 di Johor tidak mungkin digunakan untuk menyingkir Hadi sebagai presiden.
“Kami tahu jika kami menekan Hadi dalam muktamar, kami akan dihukum oleh akar umbi parti. Jika kami mahu melakukannya, ia perlu berlaku tanpa sesiapa sedar ia dilakukan, secara senyap,” kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu namanya disiar.
Dengan komen itu dan tiada harapan kumpulan Erdogan akan menyingkirkan Hadi maka masa depan PAS akan ditentukan oleh rakyat pada PRU 14.
Puak ulama yang menyangka dengan kekuatan 1.3 juta ahli, PAS terlalu ampuh dan membolehkan parti itu bergerak sendirian tanpa kerjasama dengan mana-mana parti politik akan diajar oleh rakyat.
Keluar parti
Puak ulama terlalu angkuh dan tidak sedar ahli yang mendaftar majoritinya inginkan politik baharu menggantikan BN. Jika PAS pro BN atau keluar dari PR maka mereka sama ada akan mengundi calon PR atau tidak langsung membuang undi.
Mereka juga tidak akan melakukan gerak kerja pilihan raya, selain keluar parti dan menyertai sama ada DAP atau PKR.
PAS tidak mungkin menjadi seperti parti Hizbollah di Lubnan, yang mana biar pun mereka meletakkan perjuangan Islam di kedudukan tertinggi tetapi tetap mendapat sokongan puak Kristian dan sekular.
Di Malaysia politik berbilang kaum tidak membenarkan PAS bergerak seperti Hizbollah. BN juga terdiri dari parti terbesar Melayu yang mana Umno merupakan tunjang utama. Mereka bermain dengan isu agama, sultan dan Ketuanan Melayu. PAS tiada tempat untuk menyelitkan agenda perjuangannya dalam pentas permainan yang dikuasai Umno, melainkan bergabung dengan Pakatan Rakyat dan berjuang atas isu-isu ketelusan pemerintahan.
Hari ini, imej PAS menunjukkan mereka tidak memperjuangkan isu ketelusan dan dalam krisis di Selangor PAS menyokong kuat Khalid biar pun ketelusan Khalid diragui. Dengan menyamakan rentak perjuangan seperti Umno, PAS tidak akan mempunyai pengundi yang cukup untuk mereka meraih kuasa.
Agenda Hudud
PAS juga telah terperangkap dengan agenda Hudud yang dimainkan Umno. Umno telah menubuhkan jawatankuasa teknikal untuk meluluskan undang-undang Hudud di Kelantan. Sehingga kini jawatankuasa itu masih senyap dan tidak menyatakan sebarang perkembangan mengenai Hudud.
Dijangkakan Hudud akan terus menjadi mainan Umno sehingga tiba pilihan raya umum ke 14. Dalam keadaan ini PAS tidak mungkin survive di Kelantan tanpa Pakatan. Rakyat Kelantan difahamkan oleh media pro Umno bahawa PAS mahu Hudud dan Umno turut mahu undang-undang sama.
Situasi ini memberi kelebihan kepada Umno kerana rakyat tidak lagi mempunyai masalah untuk menyokong Umno. Malah Umno yang dihukum berdosa diundi juga dibebaskan dari label tersebut. Mengundi parti yang mahukan Hudud tentunya tidak mendatangkan dosa.
Dengan agenda Hudud, Umno akan kelihatan lebih bernilai berbanding PAS kerana mempunyai kewangan yang banyak. Rakyat Kelantan yang dahagakan pembangunan akan mendapat jalan raya baru, longkang, pembandaran baru, lapangan terbang, lebuh raya dan pelbagai lagi seperti rakyat Terengganu.
Sekiranya PAS mampu survive dengan ahli 1.3 juta maka mereka dipersilakan meninggalkan PR dalam keadaan Umno mempunyai kelebihan di Kelantan. Mereka akan tahu untung nasib apabila menjadi pembangkang di Kelantan kelak dan hanya tinggal dua atau tiga kerusi di Terengganu dan Kedah.