SENGAJA KES INI DIBAWA DALAM BLOG INI AGAR PARA PENEROKA TIDAK LAGI DITIPU.KEPADA ANAK-ANAK PENEROKA, SEDIH MELIHAT ANDA BERGANTUNG KEPADA MEMOTONG GETAH DAN MENGAIT KELAPA SAWIT.NAMUN KERJA-KERJA INI PULA DIAMBNIL ALIH OLEH PEKERJA DARI KEMBOJA DAN INDONESIA,GENERASI KEDUA DANKETIGA PULA TERLIBAT DENGAN PENAGIHAN DADAH YANG AMAT SERIUS.
Seperti biasa, kisah ini tidak menjadi sesuatu yang menggemparkan –
ia disenyapkan oleh media massa, atau dilagukan sebagai sesuatu yang
positif kepada peneroka Felda. Tetapi bagi mereka yang terlibat secara
langsung (keluarga peneroka) dan faham tentang isu yang sedang melanda,
berita ini merupakan sesuatu yang amat menggerunkan.
Pada 27
Oktober lalu, mesyuarat agung luar biasa Koperasi Permodalan Felda (KPF)
telah meluluskan usul penjualan baki 51 peratus saham Felda Holdings
yang dimilikinya kepada syarikat bermasalah yang kita kenali Felda
Global Ventures Holdings (FGV).
Mulanya saya tidak sedar akan
perkara ini akibat terlalu sibuk dengan kerja. Saya tahu menerusi laman
Facebook saudara Mazlan Aliman tentang cadangan penjualan ini dalam
sebulan lepas, tetapi sangka saya ia akan ditolak dalam mesyuarat agung
KPF itu nanti. Cuma hari ini apabila ditanya oleh ayah saya (seorang
peneroka Felda), baru saya gali semula perkembangan proses tersebut, dan
apa yang saya jumpa amat memeranjatkan.
Hanya satu perkataan boleh saya gunakan untuk menggambarkan penjualan itu – gila!
Asal-usul Felda
Terlebih
dahulu mari kita secara ringkas menyusuri asal-usul penubuhan Felda.
Tanah rancangan Felda dibuka bagi membantu rakyat yang tidak bertanah
agar mendapat tanah pertanian untuk diusahakan (walaupun sebenarnya
hanyalah pajakan 99 tahun, bukan hak milik tetap).
Akta Tanah
(Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 digubal membolehkan kerajaan
persekutuan membuka tanah yang asalnya di bawah kuasa kerajaan negeri
dengan syarat ia kemudiannya diberi kepada rakyat. Maka orang ramai pun
masuk ke kawasan-kawasan tanah rancangan ini. Mereka dipanggil peneroka
Felda.
Pada era Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia,
beliau telah mengubah semua ini atas dasar pensyarikatan Malaysia dan
penswastaan. Tanah masih dibuka, tetapi tidak diberikan kepada rakyat.
Sebaliknya ia diletakkan di bawah syarikat Felda Holdings yang ditadbir
oleh Felda di bawah seliaan kerajaan persekutuan. Sebab itulah kini kita
tidak lagi mendengar rancangan Felda baru didirikan walaupun begitu
ramai rakyat tidak mempunyai tanah dan rumah.
Meskipun ini
sebenarnya melanggar matlamat asal Akta Tanah itu sendiri, tetapi ia
masih diterima dengan janji bahawa keuntungan Felda Holdings akan
diagihkan kepada peneroka (dan keluarga) dan staf Felda sedia ada
menerusi pegangan saham KPF. Ada peneroka menerima saham KPF bernilai RM
10,000 dan bayaran semula dibuat beransur-ansur melalui potongan
dividen saham berkenaan. Selebihnya perlu dibeli sendiri oleh peneroka
sampai nilai maksimum tidak melebihi RM 200,000 bagi setiap keluarga.
Kemunculan FGV
Felda
Global Ventures Holdings (FGV) ditubuhkan pada 2007 sebagai sayap Felda
dalam bidang-bidang komersial. Pada Jun 2012, FGV telah disenaraikan di
bursa saham Malaysia. Dengan kata lain, kini FGV dibuka untuk semua,
tidak kira sama ada anda peneroka Felda, rakyat Malaysia, orang asing
atau para kapitalis dari Barat atau Israel.
Pada waktu itu FGV
memegang 49 peratus saham Felda Holdings, yang kini hasil dan
keuntungannya bukan lagi untuk para peneroka sebagaimana asal tujuan
Felda ditubuhkan, tetapi untuk para pelabur yang tidak kita kenali.
Malangnya
(seperti yang dijangka), FGV tidak pergi jauh. Malah nilai sahamnya
menyusut dari semasa ke semasa sehingga kerajaan Malaysia di bawah
pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak terpaksa menggunakan dana Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli saham-saham FGV bagi mencegah
harganya daripada terus merundum.
Namun itu semua belum cukup.
Felda Holdings (dan hak peneroka) dijual
Perladangan
kelapa sawit adalah nadi utama Felda. Dari situ pelbagai industri
berasaskan minyak sawit boleh dibuka, daripada kilang pemprosesan minyak
sawit, makanan, pengangkutan bahan-bahan ini, eksport dan lain-lain.
Kebanyakan syarikat yang mengendalikan bidang-bidang ini berada di bawah
Felda Holdings, yang 51 peratus sahamnya dipegang oleh KPF.
Pulangan
dividen KPF buat peneroka dan staf Felda pula adalah agak
memberangsangkan – tidak pernah kurang daripada 10 peratus setiap tahun,
malah pernah mencecah 18 peratus. Pada tahun 2013 sahaja dividen KPF
ialah 16.5 peratus. Dalam istilah perniagaan, Felda Holdings bolehlah
disifatkan sebagai
‘cash cow’ – sumber utama kewangan KPF.
Tiba-tiba
pada 27 Oktober lalu, semua baki 51 peratus saham KPF dalam Felda
Holdings dijual kepada FGV. FGV memerlukan keseluruhan Felda Holdings
untuk memperkukuh kedudukannya memandangkan Felda Holdings amat
menguntungkan.
Apa yang tinggal untuk peneroka Felda?
Lalu
diberitakanlah bahawa wang jualan saham Felda Holdings itu akan
dilaburkan KPF dalam sektor-sektor lain. Persoalannya, sektor apa yang
lebih menguntungkan?
Perumpamaan mudah. Anda sudah ada sebidang
tanah subur dengan hasil yang sangat banyak setiap tahun. Tiba-tiba anda
hendak jual tanah itu supaya anda boleh buka kedai di bandar dalam
keadaan untung ruginya belum dapat dipastikan. Dalam masa yang sama anda
turut menyedari bahawa perniagaan bukanlah kemahiran anda. Sebab itu
saya katakan ini kerja gila.
Kembali kepada mesyuarat agung 27
Oktober lalu. Dikatakan hampir semua perwakilan KPF meluluskan usul
penjualan tersebut. Tetapi, siapakah para perwakilan KPF ini?
Di
setiap tanah rancangan Felda ada koperasinya. Koperasi ini menguruskan
pelbagai urusan perniagaan berkaitan peneroka, termasuk membelikan baja
untuk peneroka sehinggalah menjual barangan keperluan harian. Setiap
koperasi ini ada ahli lembaga pengarah dan pemimpinnya.
Dan yang
datang bermesyuarat pada 27 Oktober lepas adalah pemimpin-pemimpin
koperasi ini, bukannya pemegang saham KPF. Sesetengah pemimpin koperasi
ini ada yang sudah pun menjual semua sahamnya dalam KPF. Manakala para
peneroka yang menyimpan dalam KPF tidak tahu-menahu langsung tentang
mesyuarat terbabit.
Saya ada mengenali peneroka Felda yang
menabung sejak usia mudanya untuk disimpan dalam KPF sehinggalah nilai
sahamnya mencecah jumlah maksimum. Saya juga ada mengenali anak-anak
peneroka yang membuat pinjaman besar di bank untuk digunakan bagi
melabur dalam KPF. Jika mereka ini yang hadir ke mesyuarat tersebut,
adakah usul penjualan Felda Holdings diluluskan semudah itu?
Kemudian
datang pula cerita tentang saguhati buat peneroka Felda atas penjualan
(dan kerugian) ini. Dan telah diputuskan bayaran dibuat sama rata untuk
semua peneroka, tidak kira sama ada anda telah menabung seumur hidup
buat menyimpan dalam KPF atau pun anda telah mengeluarkan semua wang
anda daripada KPF.
Jadi, apa yang tinggal untuk peneroka Felda?
Mungkin kenangan manis bagaimana suatu masa dahulu Felda berjaya
mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.
Syukurlah, sekurang-kurangnya Malaysia masih aman. Dan syukurlah sekurang-kurangnya Felda bayar zakat, bukan seperti Petronas.