P Pinang, Selangor disaran peruntuk dana awam untuk parti politik
Kerajaan negeri di bawah pembangkang Selangor dan Pulau Pinang digalakkan untuk benarkan parti politik dibiaya oleh wang pembayar cukai bagi mengurangkan rasuah dan memupuk demokrasi.
Ketua bahagian analisis politik dan sosial Institut Pulau Pinang Dr Wong Chin Huat, mencadangkan bahawa setiap kerajaan negeri mendedikasikan 0.25% belanjawan untuk membiayai parti politik, termasuk Umno, sebagai sebahagian daripada usaha untuk pembaharuan pilihan raya yang lebih luas.
“Putrajaya adalah destinasi terakhir, bukan titik pelepasan (dari segi reformasi pilihan raya),” kata Wong kepada sebuah forum di Institut Darul Ehsan di Shah Alam hari ini.
“Pembaharuan perlu bermula di Shah Alam dan Georgetown. Walaupun sistem persekutuan kita adalah berpusat, kerajaan negeri masih mempunyai kuasa untuk membawa perubahan,” katanya pada forum bertajuk “Delving into anti-bribery reforms”.
Turut hadir setiausaha agung Pakatan Harapan Saifuddin Abdullah dan ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.
Di bawah cadangan itu, parti politik di Selangor contohnya, akan menerima RM7.8 juta, yang mana 0.25% daripada jumlah keseluruhan bajet negeri RM3.12 bilion. Umno, yang mengawal 12 daripada 56 kerusi negeri, akan menerima RM1.67 juta.
Di peringkat persekutuan, Wong mencadangkan 0.05% daripada bajet persekutuan Malaysia RM260 bilion akan dibelanjakan untuk parti politik, yang mana kira-kira RM130 juta akan disalurkan.
Sistem ini mengikuti pendanaan awam yang diterima oleh Jerman, Ireland dan Belanda.
Setiap tahun, pembayar cukai Jerman akan membayar sehingga €133 juta (RM660 juta) untuk menyokong parti politik yang menang undi mencukupi dan mampu mendapatkan wang sendiri. Jumlah itu bersamaan 0.04% daripada €328.7 juta bajet persekutuan Jerman.
Wong berkata Pakatan Harapan tidak perlu menunggu untuk menawan Putrajaya bagi memulakan reformasi pilihan rayanya sendiri.
“Ya kuasa (kerajaan negeri) terhad kepada perkara seperti hal ehwal tanah dan hal ehwal Islam.
“Tetapi dengan sumber pendapatan, kerajaan negeri boleh menjalankan pendanaan awam untuk parti politik kerana tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bagaimana kerajaan negeri membelanjakan wangnya.
Wong berkata pakatan pembangkang boleh menimbulkan pelbagai alasan moral berdasarkan cadangannya.
“Persoalan yang boleh anda tanyakan ialah mengapa, apabila ia bagus untuk mereka (Barisan Nasional), kamu boleh katakan, apa yang kita lakukan tidak akan menjadi timbal balik.
“Ia bermakna sekiranya Umno mengambil duit itu, Umno Selangor tidak boleh lagi mengatakan sistem itu hanya membazirkan wang pembayar cukai. Dan pembangkang boleh mohon perubahan itu dijalankan di peringkat Persekutuan kerana wang itu sudah diambil.
“Dan jika mereka tidak ambil wang itu, baki dana itu boleh disalurkan dalam kalangan Pakatan dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Ia adalah situasi menang-menang,” katanya.
Sementara itu, Ong berkata PH Selangor akan mempertimbangkan cadangan itu, tetapi menambah perubahan pilihan raya yang holistik hanya boleh dijalankan sekiranya Putrajaya dimenangi pembangkang.
Katanya tiada perubahan akan berjaya melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya menjadi sebuah organisasi yang benar-benar bebas dan telus dan pendanaan politik
akan diteliti.
akan diteliti.
Ong berkata, penyumbang perlu terhad kepada RM50,000 bagi setiap individu dan sumbangan melebihi RM10,000 perlu dilaporkan. Beliau turut mencadangkan tender terbuka menggunakan sistem elektronik yang telus.
Saifuddin, yang merupakan bekas ahli Parlimen Temerloh dan bekas timbalan menteri pengajian tinggi, sedia maklum terdapat keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dana yang diuruskan parti politik.
“Saya percaya sekiranya parti politik kurang memerlukan jumlah wang yang banyak, mungkin akan kurang berlaku penyelewengan,” katanya.
Katanya, perarakan penamaan calon mungkin boleh dimansuhkan sebagai sebahagian daripada perubahan di masa akan datang.
“Bayangkan BN bertanding di kesemua 222 kerusi. Terdapat purata 5,000 penyokong di setiap kawasan Parlimen..BN perlu menaja 222 kerusi dengan 5,000 penyokong, kemeja-t, tudung, duit saku…ianya berjuta-juta hanya untuk sehari.
“Ini adalah realiti. Inilah yang berlaku selama ini,” katanya dan menambah budaya menggunakan bendera dan poster di sepanjang jalan juga perlu dihapuskan. Beliau menambah bahawa parti-parti politik mungkin perlu dihadkan dari segi pekerja parti juga semasa pemilihan.
“Adakalanya calon BN mengisytiharkan seluruh kampung sebagai pekerja parti. Keperluan ini yang memerlukan wang perlu dikurangkan. Bayangkan jika calon tidak perlu fikirkan tentang wang.
“Ia akan mengubah strategi dan mengurangkan keperluan parti untuk mendapatkan wang dalam jumlah yang besar, yang mampu membanteras rasuah dan penyelewengan.”