PKR sokong undi tak percaya, tubuh kerajaan peralihan


PKR menyatakan kesediaan untuk menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat sekiranya kerajaan peralihan ditubuhkan untuk memulihkan negara berasaskan reformasi ditubuhkan selepas itu, kata Rafizi Ramli.

Setiausaha agung PKR itu berkata, beliau mengalu-alukan sebarang usaha mengadakan undi tidak percaya terhadap perdana menteri dan yakin ia juga merupakan kemahuan rakyat.

“Saya terbuka untuk menyertai usaha undi tidak percaya terhadap Najib dengan syarat satu kerajaan peralihan yang akan memulihkan negara berasaskan agenda reformasi boleh ditubuhkan dengan langkah-langkah khusus memperbaiki institusi yang rosak dan seterusnya memanggil pilihan raya yang adil dan bersih,” kata ahli Parlimen Pandan itu kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun Rafizi berkata, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pembangkang bekerjasama dengan pemimpin Umno menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan satu usaha terdesak dan mahu mengalihkan perhatian daripada isu sebenar melanda pentadbiran Najib.

“Umno tidak seharusnya mengheret kami dalam pertikaian dalaman mereka. Yang sekarang saling jatuh menjatuhi adalah di kalangan mereka,” kata Rafizi yang juga naib presiden PKR.

Zahid pada Sabtu mendakwa seorang pemimpin Umno sedang mengetuai gerakan untuk menjatuhkan kerajaan melalui “pintu belakang” dengan sokongan ahli Parlimen pembangkang.

Zahid berkata beliau memperoleh maklumat ini daripada sumber boleh dipercayai namun tidak mendedahkan identiti pemimpin Umno berkenaan.

Zahid bagaimanapun menafikan malam tadi orang yang beliau maksudkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan daripada Kabinet bulan lalu.

Zahid semalam turut menegaskan tidak akan membenarkan sebarang usaha menggulingkan kerajaan berjaya malah menggesa Umno bangkit menentang rancangan itu daripada menjadi realiti.

Pemimpin Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah turut menegaskan beliau masih lagi menyokong Najib tidak berapa lama selepas dakwaan terdapat pemimpin parti Melayu itu yang mahu menggulingkan kerajaan.

Beliau berkata, pendedahan Zahid terdapat plot menggulingkan kerajaan bersama pembangkang mengejutkannya akan tetapi mengatakan tidak mustahil ia wujud.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang paling lantang mengkritik Najib terutamanya dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Pemimpin Umno mungkin sertai Bersih 4



Perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan 29 dan 30 Ogos ini di Kuala Lumpur, bakal membawa kelainan apabila ia dijangka akan turut disertai pimpinan dan penyokong Umno, kata penganalisis politik Dr Maszlee Malik.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata demikian susulan tindakan penganjurnya menjemput Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menyertainya, selepas beliau mengatakan tidak ada masalah dengan perhimpunan itu.

“Kita mungkin akan menyaksikan satu kelainan dalam Bersih kali ini, iaitu kehadiran para penyokong Umno sendiri.

“Dan tidak mustahil kita akan dapati ada pimpinan Umno turut serta,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Ini kerana katanya, Bersih 4 yang turut akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak, diadakan ketika rakyat sedang keliru dengan keadaan ekonomi dan politik semasa.

“Pelbagai isu yang melanda negara, dibalas dengan ‘act of denial’ (tindakan penafian) di pihak kerajaan.

“Ini tidak menghilangkan kesangsian dan kegusaran yang bersarang di dalam jiwa rakyat Malaysia teramai, hatta dalam kalangan para pemimpin Umno dan penyokong Umno sendiri,” kata Maszlee.

Beliau turut mengulas kenyataan Jazlan yang disifatkannya memperkecilkan perhimpunan yang dianjurkan rakyat.

“Adalah normal bagi menteri Umno untuk memperkecilkan demonstrasi dan perhimpunan yang dianjurkan rakyat selain penyokong mereka.

“Bukan pertama kali, malah di setiap perhimpunan Bersih dan lain-lain lagi,” katanya.

Justeru, beliau menggesa menteri Umno itu untuk turun ke jalan dan melihat sendiri sambutan rakyat sewaktu perhimpunan itu nanti.
Sebelum ini, pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menjemput Jazlan menyertai perhimpunan mereka di Dataran Merdeka itu.

Sementara itu, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Thalib Khalid berkata, jumlah kehadiran peserta demonstrasi bukan kayu pengukur untuk menilai sokongan masyarakat.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, pola masyarakat Malaysia berbeza dengan negara lain yang menggunakan demonstrasi untuk menggulingkan kerajaan.

“Kalau ramai yang datang, tidak bermakna sokongan ramai dan kalau tidak ramai datang, tidak bermakna isu itu tidak penting. Saiz bukan ukuran.

“Pola demonstrasi di Malaysia tidak begitu tajam dan berkesan seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina yang menggunakan demo jalanan untuk jatuhkan regim dengan sokongan elit tentera” kata Kartini kepada The Malaysian Insider.

Malah katanya, segmentasi etnik di Malaysia adalah kuat dan beliau percaya politik akomodasi akhirnya akan berakhir di meja perundingan.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Etnik UKM Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, golongan yang terlibat dalam demonstrasi merupakan penduduk bandar yang majoritinya faham tujuan dan matlamat akhir sesuatu demonstrasi.

Namun katanya, ada juga sebahagian pengikut muda dan peserta yang menyokong membuta tuli.

“Yang (turun) demonstrasi itu selalunya adalah yang celik politik. Sekiranya mereka merasakan demonstrasi tidak dapat merubah apa-apa, mereka tidak perlu demonstrasi,” katanya kepada The Malaysian Insider.

“Bilangan yang datang demonstrasi boleh meningkat sekiranya diadakan pada hujung minggu ketika ramai yang bercuti,” kata Shamsul.

Jazlan sebelum ini menyifatkan sentimen rakyat untuk berdemonstrasi kini tidak lagi tinggi, meskipun terdapat perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan.

Rakyat kini pada pandangannya, bersikap rasional dan memikirkan jangka masa panjang negara.

Situasi kini berbeza katanya, dibandingkan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998, di mana rakyat ketika itu menurutnya cenderung menyertai demonstrasi.

Hanifa jawab surat Husam

Hanifa jawab surat Husam

1 Zulkaedah 1436H bersamaan 16 Ogos 2015

YB Dato’ Hj Husam Musa
Adun Salor/Yang DiPertua Pas Kubang Kerian, Kelantan

Firman Allah swt yang bermaksud “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu! Maka
Allah dan RasulNya dan orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan
kamu, dan kamu akan dikembalikan kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui segala
yang ghaib dan yang ternyata, lalu diberitahukan kamu tentang apa yang
kamu kerjakan”
                                                                              Surah At-Taubah : 105

YB Dato’

PENJELASAN TENTANG KELULUSAN PEMBALAKAN DI HUTAN SIMPAN ULU SAT YANG TERLIBAT DENGAN LALUAN LEBUHRAYA RAKYAT

Saya dengan ini merujuk kepada surat YB Dato’ (tidak bertarikh) yang saya
terima pada hari Khamis, 28 Syawal 1436H bersamaan 13 Ogos 2015 jam 12:30
tengahari. Penjelasan adalah seperti berikut:

A.      Faedah daripada tebangan hutan berkaitan adalah untuk Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd, Syarikat Tujuan Khas (SPV) Kerajaan Negeri
yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan perlaksanaan Projek Lebuhraya
Rakyat. Ianya adalah antara lain digunakan untuk kos yang berkaitan Projek
Lebuhraya seperti bayaran kepada konsultan dan lain-lain termasuk juga
untuk kos operasi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd.

Tiada penglibatan YB Dato’ dalam tebangan balak di kawasan yang diluluskan.

B.      Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mendapat kelulusan
daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan kayu di
kawasan berkenaan pada 19 Oktober 2014.

Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah mengeluarkan tawaran
sebutharga terbuka pada 23 Oktober 2014. Pada 8 Disember 2014, Lembaga
Pengarah Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah bermesyuarat
dan bersetuju menawarkan kontrak penebangan kepada syarikat Alaf Ulung Sdn
Bhd berdasarkan kepada tawaran syarikat ini yang terendah.

C.      Tuduhan bahawa Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
melantik Syarikat Lucky Wong sebagai kontraktor kerja penebangan balak
adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Kontrak untuk kerja-kerja penebangan telah
dibuat secara sebutharga terbuka seperti yang dinyatakan di para B di
atas. Lain-lain soalan YB Dato’ berkenaan Syarikat Lucky Wong adalah tidak
berkaitan.

Sebanyak 2,300 tan kayu telah ditebang. Hanya sebanyak 1,700 tan telah
dijual dengan nilai jualan sebanyak RM1.28juta. Setelah ditolak kos
penebangan, cukai kayu, premium dan lain-lain kos Jabatan Perhutanan,
hasil bersih ialah sebanyak RM465,000.00.

D.      Di dalam kawasan R&R, walaupun kelulusan tebang habis diberi oleh
Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan
Sdn Bhd hanya menebang pokok yang berukuran diameter 6 inci keatas, sesuai
dengan hasrat Almarhum YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Sila
rujuk kepada suratkhabar Sinar Harian, Jumaat 14 Ogos 2015 (mukasurat 38),
gambar disebelah atas adalah kawasan R&R yang jelas nampak ada tebangan
terpilih. Manakala gambar disebelah bawah adalah jajaran lebuhraya yang
sudah tentu ditebang habis bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan
lebuhraya dijalankan.

E.      Penahanan sementara kerja-kerja penebangan di kawasan berkenaan adalah
untuk membolehkan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan menjalankan
siasatan hasil dari laporan yang dibuat oleh pihak tertentu. Saya juga
mengadakan perbincangan dengan Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan,
Pegawai Hutan Daerah Machang dan Ketua Pegawai Operasi Baldah Toyyibah
(Prasarana) Kelantan Sdn Bhd supaya siasatan yang rapi dijalankan bagi
menangani masalah ini dengan segera. Hasil daripada siasatan oleh Jabatan
Perhutanan Negeri Kelantan, mereka telah mengesahkan bahawa tiada
penebangan dibuat di luar kawasan oleh kontraktor yang dilantik oleh
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd. Maknanya, pihak Baldah
Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd dan kontraktor yang dilantik tidak
terlibat di dalam kes ini.

Sebanyak lebih kurang 600 tan (bukannya 1,000 tan seperti dakwaan YB
Dato’) kayu yang telah ditebang tetapi belum dijual, telah ditahan
sementara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk tujuan siasatan.
Walaubagaimanapun, pada 30 Julai 2015, kebenaran telah diberikan kepada
Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd untuk menjual kayu-kayu
tersebut sebanyak 550 tan, manakala 50 tan kayu sahaja yang masih ditahan
sementara menunggu laporan siasatan dikeluarkan yang dijangka pada minggu
hadapan.

Sebagaimana dakwaan YB Dato’ bahawa kawasan ini adalah kaya, bagi
memaksimakan perolehan dari sumber yang diamanahkan oleh Kerajaan ini,
kawasan ini tidak dijual terus berdasarkan keluasan yang mana hasilnya
adalah antara RM2,500 – RM3,000 seekar sahaja. Sebaliknya, kawasan ini
telah diusahakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd
dengan melantik kontraktor untuk kerja-kerja penebangan sahaja manakala
penjualan kayu dilaksanakan sendiri oleh Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd yang mana ianya dibuat secara sebutharga terbuka dengan
kelulusan oleh Jawatankuasa Sebutharga Baldah Toyyibah (Prasarana)
Kelantan Sdn Bhd.

Dengan hasil bersih sebagaimana yang dinyatakan di Para C di atas,
berdasarkan kawasan yang telah ditebang seluas 23 hektar (56.8 ekar),
bermakna setakat ini Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd telah
memperolehi keuntungan sebanyak RM8,200/ekar, 3 kali ganda lebih
berbanding sekiranya penjualan terus kawasan dibuat.

Pihak Baldah Toyyibah Prasarana) Kelantan Sdn Bhd sedang berusaha untuk
membuktikan bahawa mengusahasilkan sendiri kawasan pembalakan oleh agensi
Kerajaan akan memberi pulangan yang jauh lebih baik berbanding dengan
hanya menjual terus kawasan tersebut.

Sekian, saya berharap agar penjelasan di atas ini dapat memberi pencerahan
kepada isu-isu yang YB Dato’ bangkitkan. Sebenarnya saya lebih suka
sekiranya ada apa-apa masalah ditanya terus kepada saya, tidak ditulis
dalam whatsapp kerana ia boleh mengelirukan dan menimbulkan persepsi yang
tidak baik kepada Kerajaan.

Terima kasih.

 tt : YB Dato' Hj Hanifa

……………………………………………….
YB Dato’ Hj Hanifa Bin Ahmad
Pengerusi Baldah Toyyibah (Prasarana) Kelantan Sdn Bhd

# belum disahkan kesahihannya - WhatsApp