ADA MENTERI HANYA FIKIR UNTUK DAPAT PENCEN SEBELUM MATI




Malam tadi saya menikmati makan malam bersama beberapa kenalan yang antaranya adalah mereka yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim sejak zaman ABIM lagi.

Dalam berbual-bual mengenai pelbagai isu dalam negara, termasuk politik semasa, tiba-tiba terkeluar cerita berkenaan perlakuan seorang menteri yang dirasa cukup memalukan perbuataannya.

Menteri berkenaan dikatakan datang menemui Anwar dan meminta Presiden PKR itu agar tidak terlalu terburu-buru untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Kata menteri tersebut, Anwar tidak perlu terlalu berpegang kepada tempoh masa kira-kira dua tahun yang dijanjikan kepadanya untuk penyerahan jawatan itu.

Sebaliknya, menteri itu mencadangkan agar Anwar hanya mengambil alih jawatan yang sudah sedia dijanjikan kepadanya itu selepas tiga tahun Tun Mahathir memegangnya.

Ditanya tentang alasannya, menteri tersebut secara berterus-terang menyatakan jika peralihan kuasa itu berlaku selepas tiga tahun, maka dapatlah beliau menikmati pencen penuh sebagai menteri selepas itu.

Tidak dipastikan sama ada menteri itu menyatakan demikian kerana tidak mahu berkhidmat di bawah kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri atau beliau sudah dapat merasakan namanya memang tidak tersenarai sebagai anggota kabinet selepas ini.

Mendengar alasannya itu, Anwar dikatakan agak sedikit terganggu dengannya, lalu tanpa membuang masa bertindak “membasuhnya” tanpa belas kasihan pada ketika itu juga.

Anwar telah “membebel” kepada menteri tersebut dengan agak lama sehingga beliau dilaporkan terdiam, tertunduk malu dan tidak mampu mengangkat mukanya lagi.

Anwar lantas mengingatkannya tentang perjuangan PH bukan memikirkan untuk diri sendiri atau habuan berbentuk peribadi, tetapi membela rakyat sebagaimana yang mereka harapkan apabila berlakunya perubahan kerajaan.

Sebagai pemimpin yang berjuang untuk rakyat, apalagi menteri itu mempunyai kelulusan yang agak tinggi, bukan memiliki sijil palsu, tetapi perjuangannya yang nampaknya semata-mata hanya memikirkan pencen untuk dirinya sememangnya sesuatu yang benar-benar memalukan.

Ini bermakna, menteri tersebut langsung tiada keikhlasan dalam dirinya, baik kepada PH, parti yang diwakilinya, rakyat yang mengundinya serta Tun Mahathir yang melantiknya sebagai menteri.

Yang difikirnya hanya jawatan, kedudukan dan nikmat pelbagai habuan sebagai anggota jemaah menteri dan kemudian pencen penuh puluhan ribu sebagai bekalan sebelum mati.

Tidakkah ini sebenarnya amat-amat memalukan?

Dengan itu, bukan saja Anwar tidak harus melantiknya lagi sebagai menteri apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri nanti, bahkan sebaik-baiknya Tun Mahathir juga harus menggugurkannya dalam rombakan kabinet yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Cisss….pemimpin sebegini tidak layak sama sekali berada di bumi Malaysia ini. (Shahbudindotcom 05/09/2019)

Lantikan kontrak ganti lantikan tetap, berpencen perkhidmatan awam bermula 2020



PUTRAJAYA: Mulai tahun depan (2020), lantikan baru dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen, sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah.
Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembaharuan Perkhidmatan Awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam 2019 di sini semalam, Borhan berkata, skim lantikan kontrak baru itu, yang kini sedang diperhalusi, akan menawarkan gaji lebih menarik serta kebajikan, perlindungan dan jaminan yang lebih baik.
“Lantikan kontrak mungkin tidak menikmati kelebihan macam skim lantikan tetap dan berpencen sekarang seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan, namun faedah tersebut mungkin diterjemah dalam bentuk elaun lebih tinggi,” katanya.
Borhan berkata, lantikan kontrak yang akan diperkenalkan lebih dinamik dan bersesuaian dengan generasi Y yang tidak begitu “setia” dan memberi mereka opsyen untuk keluar daripada perkhidmatan awam dengan mudah selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.
Beliau menegaskan bahawa skim lantikan kontrak baru itu juga tertakluk dibawah Akta Perkhidmatan Awam yang melindungi kepentingan penjawat awam, tidak kira berstatus tetap atau kontrak, bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak ditamatkan dengan mudah jika tidak terbukti melakukan kesalahan.
“Jadi tidak bolehlah seseorang itu dilantik secara kontrak hari ini dan esok dengan mudah perkhidmatannya boleh ditamatkan,” katanya.
Beliau berkata, penjawat awam sedia ada mungkin diberi opsyen untuk beralih ke skim lantikan kontrak baru itu.
Menurut Borhan, lantikan dalam perkhidmatan awam secara tidak tetap dan berpencen sebenarnya sudah wujud cuma tidak berskala besar, contohnya dalam perkhidmatan tentera terdapat lantikan jangka pendek yang tidak berpencen.
Borhan berkata, penjimatan yang disasarkan berdasarkan skim lantikan kontrak untuk perkhidmatan awam itu ialah sebanyak RM5 bilion setahun.
Beliau berkata, JPA akan membentangkan cadangan pakej skim perkhidmatan kontrak perkhidmatan awam dan keputusan akan dibuat berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.
Mengenai pengecilan saiz perkhidmatan awam, Borhan berkata, kerajaan menetapkan pengurangan 5% untuk tempoh 3 tahun, iaitu 1% tahun ini, 2% tahun depan dan 2% pada 2021.
“Bagi mengatasi pengecilan itu antara pendekatan yang akan diambil ialah penyumberan luar perkhidmatan, sistem kerajaan digital dan mana-mana jawatan yang kosong lebih dua tahun yang dilihat tidak ada keperluan untuk diisi maka jawatan itu akan dimansuhkan.
“Di situ akan berlaku pengecilan yang dimaksudkan,” katanya.

JAWAPAN KEPADA POLITIK KAUM DAN AGAMA YANG MELAMPAU

Politik perkauman dan agama yang selama ini menjadi mainan UMNO dan Pas barangkali tidak relevan lagi selepas ini.
Ini berikutan persempadanan baru SPR yang akan menambah kawasan pengundi campuran sedang dilaksanakan dan mungkin menjadi kenyataan dalam PRU15 akan datang.
Sekarang ini, daripada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara, kawasan yang benar-benar boleh dikategorikan sebagai campuran hanya ada 83 saja.
Selebihnya sama ada kawasan Melayu di luar bandar atau kawasan Cina di bandar-bandar.
Melalui persempadanan baru yang dirancang, kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi campuran akan ditambah menjadi sekurang-kurangnya 140 kawasan.
Dengan majoriti kawasan Parlimen memiliki jumlah pengundi campuran, gaya dan kempen politik yang bercorak kaum serta agama yang melampau dengan sendirinya akan terhapus serta tidak lagi relevan.
Ia akan menjadikan semua parti yang bertanding akan lebih menekankan kepada memperjuangan keperluan rakyat seperti peluang pekerjaan, perumahan, program kesihatan, program untuk belia, memerangi rasuah, tadbir urus kerajaan yang lebih baik dan seumpamanya.
Politik kaum dan agama yang sempit yang boleh memecah-belahkan masyarakat akan terpinggir dan tidak lagi diperlukan, bahkan menjadi sesuatu yang asing.
Inilah kaedah terbaik untuk menampilkan gaya politik sihat yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa retorik kaum dan agama yang keterlaluan seperti yang berlaku selama ini.
Selama ini, oleh kerana kawasan Parlimen yang mewakili satu-satu kaum masih merupakan majoriti, maka politik kaum dan agama telah berlaku dengan bermaharajalela sehingga wujudnya perpecahan yang ketara dalam masyarakat.
Ia bukan saja memisahkan antara mereka yang berlainan bangsa dan agama, bahkan juga di kalangan mereka yang sebangsa dan seagama.
Pindaan baru dengan menambah kawasan pengundi campuran ini adalah jawapan terbaik untuk mengekang politik kaum dan agama yang sesungguhnya sama sekali tidak sihat untuk negara berbilang bangsa seperti Malaysia. (ShahbudinHusin 03/09/2019)

Adu domba di media sosial jauh terpisah dari realiti sebenar Malaysia




Sejak dua bulan lalu, “media sosial Malaysia” seolah-olah membentuk rohnya yang tersendiri – memberikan sebuah gambaran yang salah bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.  

Bagaimanapun, ini adalah gambaran yang salah tentang keadaan sebenar di Malaysia.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 pada 13 Ogos lalu bukan sahaja disambut dengan begitu meriah di ibu negara dan ibu negeri di negara ini, malah, untuk pertama kali sejak beberapa ketika, turut disambut dengan penuh warna-warni di pekan-pekan dan kampung-kampung di seluruh negara. 

Di kawasan Parlimen Iskandar Puteri, sebagai contoh, saya telah merasmikan beberapa acara antaranya sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Kangkar Pulai yang disertai kira-kira 2,000 penduduk, pertandingan debat, Konvoi Bermotorsikal Hari Kemerdekaan ke-62, dan Pesta Bola Hari Kemerdekaan ke-62 yang disertai 32 kumpulan dari beberapa kampung Melayu. 

Saya tidak menemukan sebarang sentimen yang diadu-dombakan “media sosial Malaysia” seperti perasaan curiga antara kaum dan agama, prasangka, sangsi, permusuhan, ketakutan dan kebencian, sebaliknya saya merasakan suasana ketika itu dipenuhi dengan semangat muhibah, persefahaman, harmoni dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India. 

Saya menyeru rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama, untuk membuktikan bahawa “media sosial Malaysia” adalah salah — bahawa ia salah dalam memberikan gambaran bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia — disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.  

Saya menerima dua pucuk surat, semalam. Ia mengandungi kata-kata nista dan kecaman yang membawa nada yang sama seperti ucapan-ucapan kebencian dan berita palsu yang kini sedang tular dan beredar dengan pantas di “media sosial Malaysia”. 

Salah satunya dikarang dalam bahasa Cina, menuduh saya antara lain sebagai “anjing suruhan”, “penipu” dan “pembohong politik tak tahu malu” sementara yang satu lagi dikarang dalam bahasa Inggeris, memanggil saya dengan gelaran YB Ular “Osama Lim KS bin Abdullah”, menuduh saya sebagai “anjing suruhan”, “pengkhianat orang Cina”, “penipu” dan “Parasit Dr. M yang paling jijik”.

Nada tuduhan ini ketara berbeza, kerana sejak separuh abad yang lalu, saya telah dituduh kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan seorang penganut agama Kristian, malah dituduh sebagai seorang komunis yang mempunyai pertalian darah dengan Chin Peng! Saya juga dituduh kononnya menjadikan Mahathir sebagai “boneka”. Kini, saya telah dituduh menjadi “anjing suruhan” dan “penipu” yang mengkhianati orang Cina serta kepentingan dan hak orang bukan Islam. 

Pun begitu, ini semua hanyalah perkakas yang digunakan tidak bertanggungjawab untuk mencipta berita palsu dan ucapan kebencian bagi menimbulkan prasangka antara kaum dan agama, curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian di Malaysia. 
Beberapa hari lalu, khabar angin tidak berasas bertiup kencang di Facebook:

“Dikatakan Lim Kit Siang lahir di Fujian dan datang ke Tanah Melayu dalam usia 16 tahun. Namun Lim Kit Siang mengatakan dia lahir di Batu Pahat, Johor;
“Tetapi tak pernah menunjukkan bukti di lahir di Tanah Melayu.”


Ini adalah salah satu contoh berita palsu dan ucapan kebencian yang kini sedang menguasai media sosial sejak dua bulan lalu. Semua ini dilakukan semata-mata untuk meniupkan rasa curiga, prasangka, permusuhan dan kebencian dalam Malaysia yang pelbagai kaum, dengan melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, sehingga membangkitkan situasi mengarut di mana setiap kumpulan etnik percaya bahawa mereka kini kononnya berdepan krisis eksistensial etnik, agama dan budaya.

Jika penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian ini tidak dibendung, kesannya hanya satu — kemusnahan fabrik sosial di negara ini. 

Salah satu contoh terbaharu adalah seruan untuk memboikot produk buatan bukan Muslim di media sosial. 

Sebagai sebuah negara yang menjadi tempat tertumpunya empat tamadun agung dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat – kita haruslah memanfaatkan nilai-nilai terbaik daripada setiap tamadun ini untuk membina sebuah bangsa dan negara Malaysia — yang boleh dijadikan contoh kepada dunia sebagai bukti kejayaan Perikatan Peradaban.

Rakyat Malaysia harus bersatu dan bersaing dengan seluruh dunia, daripada terus bertelagah sesama sendiri. 

Kita kini sedang terlibat dalam perjuangan mencari jiwa Malaysia, sama ada komited dengan objektif sebuah Malaysia Baharu bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti atau sama ada membenarkan berita palsu dan ucapan kebencian melaga-lagakan kaum dengan kaum dan agama dengan agama, memaksa setiap rakyat Malaysia kembali ke dalam kepompong etnik masing-masing dan menjadikan Malaysia sebuah negara penyangak dan gagal serta berteraskan klepto-teokrasi. 

Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak serta Sultan Selangor dalam titahnya menekankan kepentingan perpaduan nasional dan risiko penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian. 

Semua rakyat Malaysia harus mempertahankan perpaduan nasional dan mengecam berita palsu dan ucapan kebencian.  

Sepertimana peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 — yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan dunia — menyerlahkan keberanian rakyat Malaysia, saya optimis bahawa majoriti rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama atau wilayah, ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.

*Kenyataan Media oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang di Gelang Patah pada Rabu, 4 September 2019.

BICARA 1MDB: PEGAWAI NAJIB KE CHINA BIMBANG KESELAMATAN DIRI

UMUR PERSARAAN TIDAK PERLU DILANJUTKAN – TUN M

CABAR BUBAR PARLIMEN, TAJUNG KARANG TAK SABAR ‘BUANG’ NOH