KEADILAN telah memecat Menteri
Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dari parti. Kemudian, Pakatan
Rakyat telah mengambil keputusan sepakat menolak Khalid dan mencalon Dr
Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.
Semua pihak – sama ada sanak
saudara semasa Hari Raya, pengundi-pengundi saya di kedai-kedai mamak
sehinggalah sahabat-sahabat saya di Whatsapp – ingin tahu kenapa kami
mahu beliau digantikan.
Sungguhpun ramai yang mengkritik, namun tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Mengenali dan pernah bekerja
bersama Khalid suatu ketika dulu, saya secara peribadinya menyedari
kemerosotan hubungannya bersama parti dan penyingkirannya adalah sangat
sesuatu yang menyedihkan.
Namun, KEADILAN telah membuat satu keputusan yang tepat dengan menyingkirkannya daripada parti.
Beliau juga perlu meninggalkan kerusi MB.
Pertama kali saya bertemu beliau
ketika saya berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Anwar Ibrahim pada
2006. Pada petengahan tahun, saya telah ke kediaman Khalid di Bukit
Damansara untuk menyerahkan borang keahlian parti. Beliau telah
diumumkan sebagai Bendahari Agung KEADILAN, satu langkah yang
mengejutkan banyak pihak. Walaupun sebelum ini beliau bertanding jawatan
Ketua Bahagian, Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Cawangan UMNO
(kesemuanya tidak berjaya), beliau lebih dikenali oleh kebanyakan rakyat
Malysia sebagai tokoh korporat.
Dua tahun kemudian, sehari
selepas Pilihanraya Umum ke 12, Khalid telah meminta saya untuk membantu
beliau kerana beliau telah dinamakan untuk menjadi MB Selangor yang
baru. Pada waktu itu, saya baru memenangi kerusi DUN Seri Setia. Masih
jelas di ingatan saya ketika merangka sepucuk surat untuk Istana
Selangor mengesahkan sokongan dari ketiga-tiga parti di kediamannya.
Saya telah menemani Khalid untuk
bertemu dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri
untuk memulakan proses peralihan kuasa. Selepas Khalid disahkan sebagai
MB, saya secara rasminya telah dilantik sebagai Setiausaha Politik
beliau. Segalanya bermula dengan baik seperti yang telah kami janjikan
kepada rakyat Selangor.
Kami menumpukan usaha kami untuk
mewujudkan satu ekonomi rakyat dan pada masa yang sama mengimbanginya
dengan keperluan untuk pembangunan ekonomi dan membersihkan
masalah-masalah yang ditinggalkan sewaktu pentadbiran Khir Toyo. Imej
bersih Khalid telah melihatkan kekukuhan beliau jauh berbeza dengan
skandal kerajaan BN serta pengurusan majlis-majlis tempatan yang tidak
cekap sebelum ini.
Selepas beberapa ketika, muncul ketegangan.
Pada satu malam hari Rabu ketika
saya bertemu teman-teman daripada UMNO dan ABIM membincangkan isu-isu
semasa, saya telah menerima satu panggilan dari pimpinan parti bertanya
mengenai di manakah Khalid. Ini merupakan malam setiap minggu dimana
Biro Politik KEADILAN bermesyuarat – pimpinan-pimpinan tertinggi parti
termasuk Anwar, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan
Setiausaha Agung dan pimpinan-pimpinan kanan – hadir. Khalid adalah
salah seorang dari ahli Biro. Seperti biasa, saya memaklumkan bahawa
mesyuarat ini telah dimasukkan dalam jadual Khalid. Namun, Khalid tidak
muncul.
Biro Politik bukanlah tempat
sembang kosong seperti kedai kopi. Isu-isu penting – termasuk dasar
parti dan bagaimana kami menguruskan hubungan dengan sekutu Pakatan
Rakyat – dibincangkan di sini. Amatlah tidak wajar bagi seorang wakil
rakyat KEADILAN – terutama satu-satunya MB kami – untuk tidak
menghadirkan diri kecuali ada alasan yang benar-benar kukuh.
Kakitangan beliau sepatutnya
memasukkan mesyuarat Biro Politik dalam jadual beliau serta memastikan
tiada pertindihan dengan agenda lain. Kami memberi notis dan peringatan
kepada Khalid. Beliau sudah bersetuju untuk pergi tetapi seperti
kebiasaannya saya dimaklumkan beliau tidak hadir. Episod ini sering
berulang dari minggu ke minggu. Sehingga sampai satu masa saya terpaksa
pergi bagi menggantikan beliau, menjadi orang tengah di antara MB dan
parti. Saya juga menghadiri aduan rakyat di cabang Khalid, Kuala
Selangor serta banyak lagi kawasan di Selangor.
Saya memastikan untuk
menerangkan kepada Khalid apa yang berlaku dalam semua mesyuarat
tersebut. Apa yang mengejutkan pada saya ialah beliau bukan sahaja
menolak isu yang dibangkitkan tetapi juga membuat kenyataan yang
menghina dan memperlekehkan parti.
Sikap beliau jelas menunjukkan bahawa semua keputusan parti adalah salah dan hanya beliau seorang sahaja yang betul.
Saya mendapati pendirian beliau
sangat membingungkan. Mungkin beliau secara semulajadinya tidak pandai
berpolitik, ataupun beliau menganggap kehadiran beliau ke mesyuarat Biro
Politik akan memberikan tekanan yang tidak sepatutnya dalam kedudukan
beliau sebagai MB. Namun, sikap beliau yang angkuh dianggap bertentangan
dengan proses politik dan demokrasi.
Beliau seolah-olah menganggap
parti ibarat habis madu sepah dibuang. Namun Malaysia mengamalkan
demokrasi Westminster dimana eksekutif seperti Kalid harus mematuhi
sokongan dari sekutu bagi mengekalkan kedudukan beliau. Beliau menjadi
MB di atas sokongan dan dokongan parti.
Sungguhpun kritikan seringkali
menyentuh dasar pentadbiran beliau yang tidak digemari oleh orang awam.
Tetapi Khalid bukanlah ‘team player’. Ini menyebabkan keadaan bertambah
rumit apabila UMNO dan BN menyerang KEADILAN dan Pakatan dengan pelbagai
isu khususnya perkauman dan agama pasca 2008.
Selepas dua tahun, sudah cukup
rasanya untuk saya membuat keputusan untuk berhenti. Saya rasa saya
tidak mampu untuk meyakinkan beliau supaya memberi kerjasama dengan
parti dan sudah masanya untuk orang lain mengambil alih.
Saya berbangga dengan pencapaian
Pakatan pada waktu itu. Sungguhpun saya berasa sukar bekerja dibawah
beliau, saya masih menyukai Khalid dan menganggap beliau sebagai bapa.
Pada fikiran saya, bersama Setiausaha Politik yang lain, keadaan ini
akan berubah.
Dalam Pilihanraya Umum ketiga
belas, Pakatan telah menambah bilangan kerusi di DUN dari 36 ke 44.
Walaubagaimanapun, KEADILAN cuma memperolehi 14 14 kerusi sahaja. Ini
berpunca oleh dua pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara dengan PAS
dan satu lagi dengan PSM di Semenyih. Pencapaian yang ditunjukkan oleh
Pakatan dalam Kerajaan Selangor, bersama harapan mengambil alih
Putrajaya tidak dinafikan menyumbang kepada peningkatan keseluruhan.
Walaubagaimanapun, hampir
keseluruhan kempen pilihan raya Khalid cuma turun berkempen di kerusi
Parlimennya Bandar Tun Razak dan kerusi DUNnya, Pelabuhan Klang.
Sebaliknya Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Nurul Izzah
Anwar, Tian Chua dan Rafizi Ramli yang turun berkempen bukan sahaja di
Selangor tetapi di seluruh negara untuk kemenangan KEADILAN dan Pakatan.
Ramai pimpinan parti kecewa dengan tindakan Khalid meninggalkan kerusi
beliau di Ijok dan bertanding di Pelabuhan Klang. Namun parti telah
membuat keputusan kerana telah banyak pergolakan akar umbi di Ijok.
Tambahan pula, KEADILAN akhirnya telah kehilangan kerusi DUN Bukit
Melawati dalam Parlimen yang sama.
Mungkin ada pembaca yang berkata
“hanya kerana beliau tidak suka hadir ke mesyuarat parti dan sedikit
mementingkan diri dengan tidak turun berkempen. Jadi? Ramai lagi ahli
politik seperti itu. Kenapa perlu singkirkan beliau? Tidakkah sepatutnya
beliau dipuji kerana enggan tunduk kepada tekanan politik? Dan kenapa
tidak dari dahulu disingkirkan sahaja jika tidak suka kepada beliau?”
Ramai pimpinan dalam KEADILAN
and PKR tidak yakin untuk menggantikannya selepas Pilihan Raya Umum
ke13. Meskipun ada ketidakpuasanhati, ramai yang merasakan kita boleh
meneruskannya jika keadaan hubungan parti dan beliau kekal pada tahap
ketika itu.
Namun pada tahun ini, segala
persoalan telah terbongkar – mengenai intergriti beliau. Pembaca boleh
membaca cerita lanjut di
https://docs.google.com/file/d/0B2GRLI8QVQQgT0E4STNWLTJya00/edit .
Saya sangat menggalakkan rakyat
Malaysia – terutamanya rakyat Selangor- untuk membaca dan menilai
sendiri. Saya sangat yakin mereka akan membuat keputusan sepertimana
keputusan yang dibuat oleh parti.
Saya hanya mengetengahkan isu-isu yang utama di dalamnya.
Khalid dan penyokongnya dilihat
sangat berlebihan dalam menggambarkan imej beliau sebagai seorang
tecknokrat yang tidak berkepentingan.
Beliau sepatutnya “tidak
mencampuri politik” dan “mendahulukan rakyat”. Namun, artikel tersebut
menekankan beberapa kesilapan utama yang amat membimbangkan dalam hal
ini.
Sebab utama adalah kontroversi
hutang beliau sebanyak RM59.5 juta (setakat 13 November 2006) dengan
Bank Islam. Walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi beliau, pada
Februari 2014 Khalid telah mampu untuk mendapatkan penyelesaian luar
mahkamah kurang daripada jumlah wang yang berkenaan.
Hakikat bahawa Rashid Manaf
seolah perjanjian yang ditaja telah meragukan parti. Rashid – seperti
yang diterangkan – sangat berkait rapat dengan UMNO. Tambahan lagi,
Khalid seringkali enggan untuk menjelaskan isu hutang ini walaupun telah
banyak kali diberi peluang oleh parti. Beliau tidak boleh mendakwa ini
adalah semata-mata perkara peribadi.
Sebagai seorang wakil rakyat,
hutang-hutang beliau adalah isu umum kerana beliau berkemungkinan hilang
kelayakan untuk jawatan setelah diisytiharkan bankrap. Tambahan lagi,
sangat mengujakan apabila penyelesaian telah dipersetujui, EcoWorld
Berhad, sebuah syarikat di mana Rashid yang mempunyai kepentingan –
telah mendapat kontrak perumahan oleh Kerajaan Negeri Selangor yang
bernilai jutaan ratus ringgit.
Khalid telah membuat dua tawaran yang sangat kontroversi oleh Kerajaan Negeri Selangor yang melibatkan Ecoworld.
Pada 19 Mac 2014, Tropicana
Corporation Berhad telah mengumumkan jualan sebanyak 308.72 hektar tanah
yang dibeli oleh Selangor kepada Ecoworld Berhad pada April 2013.
Pembelian mula-mula kepada Tropicana sangat meragukan kerana ia dibuat
selepas DUN dibubarkan kerana Pilihanraya Umum 2013.
Ini bermaksud Kerajaan Negeri pada masa itu hanyalah penjaga dan ia adalah tidak wajar untuk melakukan apa-apa perjanjian.
Tambahan pula Tropicana telah
diberikan syarat-syarat yang luar biasa, termasuklah hanya perlu
membayar RM50 juta deposit dan selebihnya sebanyak RM537 juta boleh
dibayar sehingga 12 tahun. Biro Politik telah menimbulkan isu ini namun
sangat susah untuk disahkan kerana beliau seringkali tidak hadir ke
mesyuarat.
Pada 25 Mac, perjanjian kedua
telah ditanda tangani untuk memberikan satu kontrak kepada Ecoworld bagi
membina 2400 pangsapuri mampu milik untuk kerajaan negeri bernilai
RM591 juta. Perjanjian ini merupakan satu kontrak tanpa tawaran terbuka.
Ini sangat bertentangan dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,
yang Khalid sepatutnya perjuangkan.
Tidak lama selepas kejadian itu,
Khalid telah menandatangani satu memorandum persefahaman mengenai
sumber air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan. Seperti yang telah
diakui oleh beliau, ini dilakukan tanpa melibatkan KEADILAN dan Pakatan.
Malah pihak Exco tiada pilihan melainkan menerimanya apabila
dibentangkan oleh Khalid.
Memorandum ini – yang telah
ditentang oleh banyak pihak – jelas tidak memihak kepada rakyat
Selangor, terutama sekali apabila ada terma memaksa Kerajaan Negeri
untuk menerima projek empangan Langat 2 tanpa apa-apa obligasi
undang-undang di pihak Kerajaan Persekutuan untuk proses penstrukturan
semula air Selangor.
Pada Ogos 2014, Khalid sekali
lagi telah menandatangani perjanjian awal sumber dengan Kerajaan
Persekutuan. Sekali lagi beliau melakukannya tanpa berunding dengan
KEADILAN ataupun parti lain dalam Pakatan. Beliau juga tidak berbincang
bersama EXCO sebelum menandatanganinya.
Walaupun tindakan awal beliau
tegas, Khalid secara beransur-ansur telah berlembut mengenai pendirian
beliau dalam isu air. Sememangnya perjanjian yang telah ditandatangani
dengan Kerajaan Persekutuan sepenuhnya memihak kepada syarikat konsesi.
Pada dasarnya ia menyerahkan segalanya kepada Kerajaan Persekutuan dan
konsesi tanpa menjamin keupayaan Kerajaan Negeri untuk menyusun semula
aset air Selangor.
Kontroversi seterusnya adalah
cadangan lebuhraya KIDEX. Penduduk di Petaling Jaya dari semua bangsa
tidak bersetuju dengan projek ini yang mana pemilikan yang meragukan dan
berkait dengan kepentingan korporat pro-UMNO. Dalam waktu yang sama,
pembinaan tol baru adalah sangat bertentangan dengan prinsip Pakatan
kerana menguntungkan konsesi dan membebankan rakyat.
Kronologi peristiwa-peristiwa ini juga menimbulkan kebimbangan.
Kebanyakan dari kontroversi ini
datang sebaik sahaja selepas Khalid mendapat tempias dari Langkah Kajang
yang bertujuan mengukuhkan Kerajaan Negeri dengan menggantikan beliau.
Tidakkah ini mengundang
kemusykilan apabila secara tiba-tiba Khalid bersikap terlalu bertolak
ansur kepada Kerajaan Persekutuan sebaik sahaja parti menjelaskan beliau
perlu digantikan?
Apa yang menarik ialah apabila Khalid dan penyokongnya tidak pernah sesekali menafikan dakwaan terhadap beliau ini.
Namun, satu-satunya perkara yang
telah mereka lakukan adalah mempersoalkan integriti kepada pengkritik
mereka – kononnya semuanya berniat politik yang sempit atau ingin
mengaut sumber negeri Selangor.
Jelasnya, wujud kelemahan yang serius dalam pentadbiran Khalid – tidak kiralah kita memandang dari sudut politik yang lama.
Tindakan Khalid ini tidak
memihak kepada kakitangan awam. Ia sukar dilihat apatah lagi tiada orang
lain yang akan mendapat manfaat kecuali dirinya sendiri dan
kepentingannya.
Mengetepikan parti politik,
tindakan terhadap tanah dan air di Selangor jelas sekali telah
merosakkan kepercayaan orang awam terhadap janji beliau.
Kami faham bahawa ramai pengundi
akan keliru dan marah dengan pendedahan ini. Pelbagai usaha telah
dilaksanakan bagi mengelakkan kemelut yang lebih panjang di Selangor
hari ini.
Bagi seseorang yang pernah
berada bersama ketika beliau menyertai parti dan pernah setia berkhidmat
sebagai Setiausaha Politik beliau, ini tambah menyedihkan.
Namun apa yang kami lakukan adalah yang terbaik untuk Selangor.
Kami tidak mempunyai pilihan lain.
Khalid harus digantikan