BENARKAH 1MDB LANGSAI BAYAR HUTANG, BERAPAKAH BAKINYA? – MUHYIDDIN
Benarkah 1MDB langsai bayar hutang, berapakah bakinya? – Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini berkata 1MDB telah menjelaskan kesemua hutang bank dan jangka pendek agar membuat penjelasan secara “menyeluruh, jujur dan telus” berhubung beban hutang sebenar firma pelaburan yang dilanda kontroversi itu.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, kenyataan terbaru perdana menteri itu sengaja dibuat untuk mengabui mata rakyat seolah-olah 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya.
“Perdana menteri membuat kenyataan 1MDB telah membayar kesemua hutang jangka pendek dan jangka panjangnya berjumlah RM3 bilion sepanjang dua tahun lalu.
“Kenyataan ini sengaja dibuat untuk mengelabui mata rakyat seolahnya 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya,” kata bekas timbalan perdana menteri itu dalam satu kenyataan.
Muhyiddin yang digugurkan dari jawatan Kabinet dua tahun yang lalu berkata, “nampaknya, lebih banyak persoalan yang mesti dijawab oleh Najib.”
“Sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan mengenai setiap komitmen kewangan 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk membuat penjelasan secara menyeluruh, jujur dan telus kepada rakyat,” kata beliau.
Menurut Najib, yang juga menteri kewangan berkata, 1MDB yang pernah menanggung hutang sehingga RM50 bilion setakat bulan Januari 2016 telah menjelaskan semua hutang bank dan jangka pendek firma itu.
“Pada masa ini, 1MDB tidak mempunyai apa-apa hutang bank dan jangka pendek,” kata Najib dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Menurut beliau, 1MDB telah membayar penuh kemudahan kredit RM229.5 juta kepada Affin Bank pada 23 November 2015, menjelaskan sepenuhnya kredit siap sedia bernilai RM950 juta kepada kerajaan pada 31 Mac 2016, membayar balik kemudahan pinjaman berjangka RM2 bilion kepada Marstan Investment NV pada 8 April 2016, dan menjelaskan kemudahan pembiayaan berjangka AS$150 juta dengan EXIM Bank pada 15 April 2016.
“Oleh kerana pelan rasionalisasi berterusan 1MDB, tiada aset baru yang diperoleh (oleh firma milik negara) di dalam dan di luar negara pada tahun 2015 dan 2016,” kata Najib.
Dalam kenyataannya Muhyiddin menambah, apa yang tidak dijelaskan oleh Najib ialah berapakah baki keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB pada masa ini.
“Pada tahun 2014, keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB berjumlah RM42 bilion dan meningkat kepada RM50 bilion pada tahun 2016,” katanya lagi.
Menurut beliau, Najib juga tidak menjelaskan jumlah semasa komitmen bon 1MDB yang ditanggung oleh kerajaan.
Komitmen ini biasanya dikelaskan sebagai tanggungan kontinjen oleh kerana bon tersebut dijamin kerajaan, kata beliau sambil menambah, “Najib gagal menjelaskan adakah 1MDB mempunyai sumber kewangan sendiri yang mencukupi untuk membayar kesemua hutang piutang ini tanpa bantuan daripada kerajaan.”
Menurut Muhyiddin, antara tanggungan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan ialah bon sukuk berjumlah RM5 bilion yang akan mencapai tempoh matang pada tahun 2039, bon sukuk berjumlah RM2.4 bilion untuk Bandar Malaysia dan pinjaman daripada PERKESO berjumlah RM800 juta yang perlu dijelaskan keseluruhannya pada tahun 2022.
Selain itu, katanya, 1MDB juga mempunyai komitmen untuk melangsaikan AS$3 bilion bon antarabangsa yang akan matang pada tahun 2023 dan sejumlah AS$6.48 bilion komitmen hutang dalam pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.
“Bagaimana hutang-hutang ini akan dibayar oleh 1MDB? Dari manakah 1MDB akan menjana sumber pendapatannya untuk membayar kesemua hutang ini setelah aset-aset strategiknya dijual dan wang miliknya berjumlah berbilion ringgit dilaporkan hilang?”
Kata beliau, Najib juga menyebut dalam kenyataan bertulisnya kepada Parlimen bahawa 1MDB telah menjelaskan hutangnya dengan Marstan Investments N.V berjumlah RM2 bilion pada bulan April tahun lalu.
“Apakah identiti syarikat ini dan siapakah pemiliknya? Apakah kaitan syarikat ini dengan Marstan Investments N.V LLC, sebuah ‘shell company’ yang ditubuhkan di Nevada pada 2007 dan dibatalkan pendaftarannya pada bulan Mei 2013?” FMT
AMANAH KEDAH YAKIN PENGUNDI PAS AKAN SOKONG PH
Amanah Kedah yakin pengundi Pas akan sokong PH
Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah bersedia jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (Amanah, PKR, DAP dan Bersatu) dengan Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Timbalan Pengerusi Amanah Kedah Datuk Phahrolrazi Mohamad Zawawi berkata, beliau yakin ahli dan penyokong Pas akan beralih kepada Pakatan Harapan jika berlaku sedemikian kerana Pas dilihat lebih memberi kelebihan kepada Umno-BN.
“Dalam konteks sokongan daripada ahli dan penyokong Pas yang dahulu yang kami perhatikan bahawa mereka akan beralih menyokong Pakatan Harapan oleh kerana Pas sudah lebih memberi kelebihan kepada Barisan Nasional.
“Walaupun mereka masuk bertanding sebagai tiga penjuru. Itu perkembangan yang saya lihat,” katanya ketika ditemui Malaysiadateline di Alor Setar hari ini.
Bagaimanapun Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah itu berkata, keputusan sama ada bertanding satu lawan satu atau tiga penjuru bergantung kepada keputusan parti masing-masing di peringkat nasional.
“Tapi melihat kepada situasi sekarang seolah-olah tak dapat nak elak pertandingan tiga penjuru kerana Bersatu sudah dalam gabungan pembangkang tapi Pas masih lagi tidak membuat keputusan untuk berada di posisi mana.
“Di Kedah ini, Pas negeri terpaksa patuh kepada Pas Pusat tetapi mereka tidak dapat mengawal sikap dan pendirian ahli dan penyokong,” katanya sambil membayangkan hampir pasti pertandingan tiga penjuru akan berlaku di negeri itu.
Adun Pengkalan Kundur yang berhijrah daripada Pas itu juga menjelaskan, jika Pas terus-menerus bersikap mesra Umno, tidak mustahil sebahagian besar ahli Pas negeri itu meninggalkan parti.
“Kalau benar berlaku apa-apa persefahaman antara (Pas) Pusat dengan Umno saya rasa Pas Kedah akhirnya akan membuat pendirian yang jelas. Saya mempunyai sikap yang positif ia akan memberi manfaat (kepada Pakatan Harapan).
“Pas Kedah ini agak keras dengan Umno ini warisan yang sedia ada. Walaupun Umno Kedah buat kenyataan mahu kerjasama dengan Pas tapi kenyataan itu nampak sebelah pihak. Pas Kedah tidak pernah menyambut seperti mana pimpinan Pas Pusat yang membuat kenyataan lunak terhadap Umno.
“Kalau Pas pusat melangkah terus lagi saya fikir sebahagian besar pendukung Pas Kedah sama ada bersama dengan Pakatan Harapan kalau tidak beralih parti pun dari segi sokongan saya yakin mereka memihak kepada Pakatan Harapan,” kata bekas exco kerajaan negeri sewaktu dipimpin bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak itu. MD
PH MULAKAN SARINGAN PERTINDIHAN KERUSI ANTARA 4 PARTI
PH mulakan saringan pertindihan kerusi antara 4 parti
Wujud pertindihan kerusi di antara kesemua empat anggota Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.
Menurutnya, pertindihan itu dikesan menerusi perbincangan awal PH yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melibatkan 222 kerusi Parlimen.
“Kami adakan perbincangan 3 hari lepas dan semua parti memaklumkan kerusi mana yang mereka mahu bertanding.
“Apabila kita tengok senarai penuh kerusi Parlimen itu, ada kawasan yang bertindih dan ada juga yang tidak,” katanya yang memberi contoh pertindihan kerusi PKR dengan DAP, PKR dengan Amanah dan PKR dengan PPBM.
“Ada juga yang bertindih 3 iaitu PKR, PPBM dan Amanah. Bagaimanapun ia akan diselesaikan menerusi perbincangan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Konvensyen PKR Wilayah Persekutuan di sini.
Saifuddin bagaimanapun tidak memaklumkan jumlah kawasan kerusi yang bertindih.
Mengulas lanjut, beliau tidak mahu mengulangi apa yang berlaku terhadap parti pembangkang ketika PRU13 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.
Pada PRU lepas, parti seperti PAS, DAP dan PKR terlibat dalam pertandingan antara satu sama lain selepas gagal mencapai kata sepakat mengenai agihan kerusi.
“Semasa perbincangan peringkat pusat memang tidak ada pertindihan, cuma ada kawasan tertentu apabila PAS meletakkan calonnya di 7 kawasan yang dipersetujui PKR, pertindihan juga berlaku di PRN Sarawak,” katanya.
Sebelum ini Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu sudah pun memaklumkan kepada PH mengenai kerusi negeri dan Parlimen yang ingin ditandingi pada PRU14 dan fokus mereka adalah kawasan Melayu.
PPBM baru-baru ini diterima sebagai anggota PH menjadikan parti itu anggota ke-4 gabungan yang turut menghimpunkan PKR, DAP dan Amanah. FMT
AMANAH KELANTAN PALING MENYERLAH, JADI MODEL KE SELURUH NEGARA
Amanah Kelantan paling menyerlah, jadi model ke seluruh negara
Gerak kerja Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan yang kini begitu menyerlah dan disambut meriah oleh rakyat kini menjadi model kepada negeri-negeri lain.
Timbalan ketua pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata pemimpin dan ahli Amanah Kelantan begitu kreatif mempromosikan parti Amanah yang kini tidak lagi boleh diperlekehkan.
“Saya cukup kagum dengan aktiviti parti Amanah di Kelantan ini dengan pelbagai kreativiti yang amat menyegarkan.
“Program-program seperti sembang kedai kopi, majlis dialog kelompok dan acara menaikkan bendera di sana sini jelas menunjukkan Amanah Kelantan kini diterima rakyat dan mampu menggalas tugas penting pada masa depan,” katanya ketika berucap di upacara menaikkan bendera Amanah di pondok Tok Kenali Kubang Kerian petang semalam.
Rakyat Kelantan kata Faiz perlu bersyukur kerana dikurniakan Tuhan seorang pemimpin hebat seperti Datuk Husam Musa.
“Saya mengenali Datuk Husam ketika kami sama-sama bekerja menggerakkan parti lama di peringkat nasional.
“Sejak awal Husam adalah idola saya yang sentiasa saya perhati gerak gerinya untuk dicontohi dalam berpolitik,” katanya.
Husam kata Faiz begitu sentimental dengan Kelantan walaupun beliau sebenarnya seorang tokoh nasional.
“Bila berlaku krisis sehingga muncul parti Amanah, saya pernah bertemu beliau supaya beliau menumpukan kerja di peringkat nasional kerana saya anggap kapasiti besar beliau tidak harus ditumpu kepada peringkat negeri sahaja.
“Dia senyum menjawab, ‘I love Kelantan’.
“Kini baru saya sedar pilihannya memang tepat dan hasil gerak kerjanya di akar umbi menjadikan Kelantan sebagai model dan seluruh negara boleh jadikan pedoman untuk menjadikan Amanah parti dominan pada masa depan,” katanya.
Menyentuh isu pindaan akta 355 (RUU 355), Faiz berkata keputusan BN menolak untuk membawa akta ini ke parlimen memang sudah dijangka sejak awal lagi.
“Ketika cadangan pindaan ini dibuat saya sebagai peguam parti lama terlibat sepenuhnya bersama-sama dengan rakan-rakan dalam lujnah hal ehwal guaman Pas (Luham).
“Memang telah kita putuskan dari awal pindaan ini mesti dibawa oleh pihak kerajaan dan bukannya dalam bentuk usul persendirian,” katanya.
Majlis menaikkan bendera itu turut disertai naib pengerusi Amanah Kelantan Datuk Prof Dr Abdul Halim Yusuf, ketua Amanah kawasan Kubang Kerian Haji Fauzi Mohamad dan pimpinan parti peringkat kawasan dan cawangan.
Datuk Dr Halim yang berucap sebelum itu meminta ahli-ahli Amanah bekerja kuat dan bersabar menghadapi pelbagai karenah dalam usaha mengembangkan parti.
“Parti kita baru, orang belum kenal jadi jangan pelik bila pelbagai fitnah, tohmahan dan kata-kata kesat dihadapkan kepada kita.
“Balaslah tindakan buruk mereka dengan senyum manis dan kata-kata yang baik seperti yang dikehendaki Rasulullah SAW bagi umatnya yang menyampaikan dakwah Islam,” katanya. MD
Subscribe to:
Posts (Atom)