Sebarang usaha untuk menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang adalah mengkhianati rakyat, tegas seorang penganalisis politik.
Prof Madya Dr. Jeniri Amir berkata, pada bila-bila masa sekali pun usaha menjalinkan kerjasama antara parti pembangkang dan parti yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Menurutnya, hal itu membelakangi hak rakyat yang telah memilih pemerintah menerusi pilihan raya.
“Saya tidak fikir itu wajar. Kalau mahu tubuhkan kerajaan harus kembali kepada rakyat, serahkan hak kepada kepada rakyat tentang siapa yang berhak memerintah negara.
“Bukan dengan pendekatan yang tidak wajar apatah lagi apabila pihak tertentu ada kepentingannya.
“Ini tidak baik untuk masa depan politik negara kalau kita benarkan ini berlaku, bayangkan kesannya kepada negara,” katanya dipetik.
Tambah Jeniri, agenda disebalik desas-desus itu turut boleh dipersoalkan.
Ia jelasnya terlalu merbahaya kerana ia akan mencetuskan krisis politik dalam negara yang bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat malah juga pelabur asing.
“Saya tidak fikir ini adalah bermoral dari segi politik, hanya untuk memenuhi agenda semata-mata,” kata Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu.
Jeniri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio tiga minit 18 saat yang mirip suara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional baru-baru ini.
Dalam rakaman audio itu, Ahmad Zahid didakwa menyatakan bersandarkan Muafakat Nasional, UMNO perlu mengikut tindakan Pas ‘supaya tidak tertinggal di belakang’.
“Tun harus kembali kepada persetujuan yang telah dimeterai sebelum PRU yang lalu iaitu tentang kepada siapa jawatan Perdana Menteri itu berhak diserahkan,” tambahnya Jeniri lagi yang mengingatkan harapan digantung rakyat pada PRU lalu.
Biarpun mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno petang semalam berakhir tanpa memasukkan agenda kerajaan Pakatan Nasional namun pemerhati politik beranggapan isu tersebut belum berakhir.
Puak-puak yang mahu terbentuknya kerajaan baharu masih mempunyai satu lagi peluang, iaitu undi percaya kepada Tun Mahathir kekal sebagai PM sehingga tamat penggal pada sidang Parlimen sesi Mac ini.
Hal itu lebih mudah dilakukan berbanding meminta konsensus parti-parti politik. Hanya Pas yang berjaya mendapatkan keputusan sebulat suara. Namun secara undi percaya, ahli-ahli parlimen bebas untuk menyokong mana-mana pemimpin.
Sekiranya Tun berjaya maka peluang Anwar untuk menjadi PM akan tertutup sehingga pilihan raya umum ke 15.