SEPETANG TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG BERSAMA PENDUDUK BANDAR PERDA



BANDAR PERDA-19hb April Penduduk kawasan perumahan ini telah mengadakan jamuan petang dengan menjemput Timbalan Ketua Menteri untuk hadir sebagai meraikan kemenangan yang dicapai baru-baru ini. YB Fairoz yang terlewat tiba kerana menghadiri mesyuarat dan kesesakan jalanraya, tetap hadir untuk bersama-sama dengan penduduk kawasan itu.
Beliau yang sempat berucap selama hampir 30 minit juga menjelaskan bahawa Kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan membuat sesuatu yang terbaik dan terdaya bagi menyatupadukan masyarakat Pulau Pinang yang berbilang bangsa disamping menjaga keharmonian kaum tetapi menjaga kepentingan kaum Melayu. Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini sedang menyiapkan siasatan melalui juru audit dan juga para peguam bagi menyiasat kes-kes tanah wakaf dan juga pengambilan tanah-tanah yang tidak sepatutnya dijual dan juga wang yang dibelanjakan yang melibatkan wang MPSP.
Jamuan yang bermula jam 6 petang itu juga turut dihadiri oleh Pengarah pilihanraya negeri Pak Mus timbalannya Pak Pin dan penyokong serta rakyat di taman perumahan tersebut.Majlis berakhir jam 8.00 malam kerana beliau akan ceramah di Kulim pada jam 10 malam yang sama.Jadual ketat beliau tidak menghalang beliau mendekati rakyat marhaen.Syabas YB.

NAJIB PEMBAWA ZAMAN GELAP UNTUK UMNO



Najib pembawa zaman gelap


Hishamuddin Rais Apr 16, 08 2:44pm


Dr Mahathir Mohamad telah memerangkap Tengku Razaleigh Hamzah membuka tirai – dengan mesyuarat agung tergempar - untuk mengetepikan Abdullah Ahmad Badawi. Untuk entah ke berapa kali Razaleigh telah dijadikan batu loncatan oleh Dr Mahathir. Razaleigh mewakili politik lama, politik era Tunku Abdul Rahman – politik the British clubby gentleman – yang menuntut setiap kata dikotakan.Era dan zaman itu telah lama selesai. Kita sekarang dalam era peralihan dari zaman gelap ke zaman cerah.
Bahayanya, Dr Mahathir inginkan kita rakyat Malaysia kembali ke zaman gelap, ke zaman ketakutan dan ke zaman autokrasi. Justeru, Dr Mahathir sedang merancang untuk menobatkan Mohd Najib Razak.Sayugia, perlu kita berwaspada dan mengetahui kenapa bekas perdana menteri itu memilih Najib? Kita wajib memahami sebab-musababnya agar kita semua akan bersedia menghadapi zaman gelap yang mahu dibawa oleh timbalan perdana menteri ini.Kenapa Mahathir kini bermati-matian, dengan licik lagi penuh tipu muslihat sedang merancang untuk menaikkan Najib? Malah minggu lalu media arus perdana juga 'terjerat' dengan tipu helah Dr Mahathir apabila melaporkan Najib bukan lagi satu pilihan.
Kenyataan Dr Mahathir ini bertujuan menaikkan syahwat Razaleigh dan Muhyiddin Yassin agar mereka terus berkomplot menentang perdana menteri. Sebenarnya perkembangan ini suatu tipu helah jenis Si Kitul. (Siapa Kitul? Sila rujuk Sejarah Melayu, kitab naratif kesejarahan lisan orang-orang Melayu Melaka. Kita merujuk Sejarah Melayu untuk melihat yang lampau, memahami yang kini dan pedoman masa hadapan)Untuk memahami siapa Najib, kita melihat dan memahami kembali bagaimana Dr Mahathir memilih menteri-menteri kabinet dan para running dog (baca dengan maksud sastera) yang mengelilinginya. Mahathir dengan selesa akan memilih orang-orang yang dikelilingi masalah besar.
Lebih besar masalah itu lebih baik untuk Mahathir. Contohnya Abdul Rahim Thamby Chik - dengan isu cinta berahi anak gadis bawah umur - menjadi orang kepercayaan Dr Mahathir. Arwah Megat Junid Ayub - dikaitkan dengan kematian wanita pemilik kedai video - menjadi pembantu dan menteri setia Dr Mahathir. Shahidan Kassim, terlibat dengan kemasukan beras ke Perlis, dijadikan menteri besar Dr Mahathir yang setia.Dr Rais Yatim, seketul mayat politik, telah diberikan nafas oleh Dr Mahathir sehingga sanggup meminum air basuh kaki Dr Mahathir yang pada suatu ketika dahulu dikutuknya. Rafidah Aziz si tukang lipat terlibat dalam agihan AP (permit kenderaan import), manakala tukang lipat spesies jantannya pula Nazri Aziz yang tersangkut dengan 600 permit teksi. Mereka ini menteri setia dalam kabinet Mahathir. Mereka ini akan terus menderam dan melolong jika ada sesiapa yang cuba menghampiri Dr Mahathir.
Lihat pula badan kehakiman dan badan kepolisan yang dirasuk rasuah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aktiviti rasuah ini dibiarkan oleh Dr Mahathir kerana si perasuah ini akan terus bersetia kepada Dr Mahathir.Apa sangkut-paut semua ini dengan Najib?Najib bersarang di lubuk semua rasuah. Najib ibu kepada semua masalah. Najib terkait dengan keterangan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Dakwaan ini bukan lagi tohmahan - di mahkamah, seorang saksi dari Mongolia telah menerangkan bahawa Najib Razak pernah berjumpa dengan Altantuya.Najib lebih daripada seketul mayat politik berbanding Rais Yatim. Najib lebih banyak menyondol daripada Rahim. Najib berjuta-juta kali menerima rasuah daripada Rafidah dan Nazri.
Manusia seperti Najib ini adalah "model" (bukan model wanita) yang terbaik dalam bacaan politik Dr Mahathir. Manusia Najib ini boleh menjadi running dog (sekali lagi, baca dengan maksud sastera) yang paling setia kepada Dr Mahathir.Dalam congak politik orang tua itu, Najib akan meneruskan dinastinya - sesudah Najib akan dimasukkan Hishamuddin Hussein, si penjulang keris yang lidahnya belum sanggup menjelir panjang. Akhirnya, Mukhriz Mahathir akan muncul. Pada ketika ini si Mukhriz sedang belajar menyerang dengan salakan-salakan kecil menghala ke arah Abdullah Ahmad Badawi. Mukhriz inilah klon asli yang dicita-citakan oleh Dr Mahathir.Jadi siapa sebenarnya Najib?
Najib Razak pembawa zaman gelap dalam budaya politik Malaysia. Najib akan memadamkan semua lampu-lampu pencerahan yang baru ingin menyala di Malaysia. Dari segi pembudayaan, Najib pasti akan ingin lebih Islam daripada PAS, lebih lebai daripada Lebai Kulup.
Dengan latar belakang keilmuannya yang cetek, Najib demi membuktikan keislamannya akan melakukan apa sahaja yang 'dianggapnya' Islam. Najib Razak yang tidak memahami inti dan falsafah Islam akan hanya berjaya melihat pinggiran dan kulitan Islam.Ini bermakna Islam garapan Najib akan lebih kolot dan lebih menyusahkan hidup kita semua. Kulitan Islam ala Najib ini bukan lagi fenomena "jantan di barisan lain dan betina di barisan lain" - ia akan terjadi lebih daripada itu. Keislaman Najib ini bukan hanya membuang patung-patung penyu seperti di Terengganu (dulu) tetapi akan lebih Islamik daripada itu.Buktinya: Tiga tahun dahulu, ketika Hari Raya dan Deepavali berjalan serentak, seorang insan yang mengakui dirinya sebagai 'ilmuwan Islam' telah mengeluarkan 'fatwa' bahawa orang Melayu-Islam tidak boleh berkongsi Deepavali dengan penganut Hindu. Kenyataan yang kononnya fatwa ini telah disambut dan disokong oleh Najib.
Hanya tiga hari kemudian fatwa karut ini telah disangkal oleh Abdullah Ahmad Badawi. Beginilah contoh Islam kapal selam.Seorang insan yang terkait dalam keterangan kes mahkamah akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan bahawa dirinya lebih suci daripada Kaabah dan lebih putih dari sabun Breeze. Sila ingat kembali kenyataan-kenyataan Najib beberapa bulan dahulu. Hujan tidak, guruh pun tidak, tiba-tiba Najib menjadi Lebai Najib telah mula mengeluarkan ayat-ayat Furqan untuk membuktikan dirinya lebih Islam daripada kapal selam.Rasuah? Rasuah itu adalah nama timang-timangan dan nama manja beliau.Kalau polis menahan kita dan meminta baksheesh sepuluh dua puluh ringgit maka ini dianggap rasuah. Tetapi jika Najib membeli senjata, membeli kapal selam dan membeli jet pejuang - ini bukan rasuah, mengikut kitab Najib.
Duit berjuta-juta ini bukan duit rasuah tetapi mengikut fatwa Najib, jumlah ini wang komisen. Inilah dia sosok yang sedang dirancang dan sedang diuli oleh Dr Mahathir untuk dijadikan perdana menteri.Kenapa Dr Mahathir pilih Najib?
Dr Mahathir sendiri kepala perompak yang mewakili Daim Zainuddin dan sederetan lagi saudagar-saudagar besar. Ada ramai lagi lanun dan penjarah yang berpayung bawah Dr Mahathir. Mereka dengan bantuan kuasa Dr Mahathir telah merompak dan menjarah harta negara selama 22 tahun.Seperti filem seram Rosemary Baby, semua orang yang diharap-harapkan memberikan bantuan rupa-rupanya sebahagian daripada jaringan lanun. Polis, kehakiman, media, badan pencegah rasuah, imam-imam – semuanya bersekongkol.Perompak dan lanun-lanun ini tahu jika era pencerahan yang dibawa oleh Abdullah Ahmad Badawi ini dapat diteruskan, mereka semua akan didakwa di mahkamah. Polis dan para hakim, politikus rasuah, dan sesiapa yang menyalahgunakan kuasa akan juga dihadapkan ke mahkamah.
Salah tanggapan jika kita percaya Dr Mahathir mahu Abdullah berundur kerana warisannya sedang dilupuskan. Menaikkan Najib tiada sangkut-paut dengan legacy. Salah bacaan politik jika menganggap bahawa Dr Mahathir lebih sayangkan United Malays National Organisation. Dr Mahathir terlibat mengharamkan United Malays National Organisation yang asal. Sejuta kali silap jika menganggap bahawa Dr Mahathir berbuat semua ini untuk orang Melayu.Dr Mahathir mahukan Najib kerana Najib akan menjadi seketul mayat politik dan tidak akan membuat sebarang dakwa-dakwi terhadap Dr Mahathir dan lanun-lanun yang lain.
Dua puluh dua tahun zaman ganas dan zaman gelap Dr Mahathir akan diteruskan oleh Najib.Kepada sesiapa yang memiliki ilusi tentang Najib sebagai pilihan tepat Dr Mahathir, sila tanya diri sendiri: Sudah sampaikah masanya Malaysia menerima perdana menteri baru yang terkait dalam keterangan kes Mongolia? Apakah seseorang terkait boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia?

UMNO MASIH MENYALAHKAN ANTARA SATU SAMA LAIN.

Kekalahan UMNO bukan berpunca dari segala macam blog dan website yang ada di alam cyber.Sesungguhnya ia adalah disebabkan rakyat yang bangkit kerana marah dan menjerit "Sudah dan cukup kami di tipu" . Inilah yang telah menyebabkan kekalahan UMNO dan Barisan Nasional.

Sementara wakil Veteran UMNO dan bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional adalah mereka yang sudah tidak bergigi, baik secara lahiriah mahupun secara kiasannya. Mereka gagal menyelami perasaan pengundi muda dan suka juga menipu.Orang muda sebenarnya tidak suka mereka ditipu dan juga di perbodohkan. Begitu juga kaum Cina dan kaum India. Taktik Kerajaan BN memainkan isu dengan menipu rakyat dianggap sebagai salah satu langkah terkebelakang.

Semua tunggul buruk UMNO dan Barisan Nasional ini mengeluh tentang kehilangan kuasa politik Melayu. Mereka telah mengulang secara berulang kali, tentang kejadian pada Mei 1969 dahulu yang menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Kejadian 13 Mei adalah angkara Mahathir Mohammad dan juga kuncu-kuncu UMNO.

Pencapaian paling gemilang Barisan Nasional ialah pada 2004 ketika mereka menang 91-92% kerusi Parlimen. Berapakah kerusi yang dimenangi oleh orang Melayu di Dewan Parlimen? UMNO dapat 110, PAS 9 dan PKR 1. Semuanya menjadi 120 kerusi. Pada kali ini UMNO menang hanya 78, PAS 23 dan PKR 20 daripada 31 semuanya). Ini menjadikan jumlah anggota Melayu di dewan Parlimen menjadi 121. Ini adalah lebih hebat berbanding 2004 dahulu di mana cuma ada 120 orang. Pada 8 Mac 2008 jumlahnya sudah bertambah.

Dengan demikian berapa lama lagi UMNO akan melalak bahawa kuasa Melayu sudah terhakis pada 8 Mac 2008? Sedangkan ia sudah meningkat? Jangan kiralah kalau peningkatannya adalah dengan satu kerusi sahaja. Yang pentingnya orang Melayu tidak kehilangan kuasa politiknya. Malahan bertambah sebaliknya. Namun, inilah isu yang dimainkan oleh UMNO sedangkan hujah itu adalah hujah haprak semata-mata. Sepatutnya orang Cina yang melalak kerana melihatkan kuasa politik mereka terhakis memberi laluan kepada orang Melayu dan juga India.

Seperti yang ditulis oleh New Straits Times dalam lidah pengarangnya semalam, UMNO harus hentikan merengek. Harus hentikan perangai melalak betapa kuasa politik Melayu sudah mengecut seperti apa yang terjadi pada Mei 1969 hingga mencetuskan episod 13 Mei. Cakap kelentong semacam inilah yang menyebabkan Barisan Nasional kehilangan lima negeri, 10 daripada 11 kerusi Parlimen WP Kuala Lumpur – yang sudah pastinya menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional akan dilenyapkan untuk selama-lamanya, seandainya ia tidak berhenti merengek dan mainkan lakonan tuduh-menuduh.

Yang penting sekali kenapakah Pengarah Pilihan Raya tidak dikenakan kritikan pedas kerana kegagalan ini? Malahan, UMNO mahu memberikan habuan kepada Pengarah Pilihan Raya dengan menjadikannya Perdana Menteri yang baru. Beliau telah gagal, segagal-gagalnya, tetapi mereka masih mahu melantik beliau sebagai Perdana Menteri. Apakah begini caranya UMNO menyelesaikan masaalah.Kita percaya jika Najib di pilih sebagai PM, sudah pastinya UMNO akan mengundang bahaya yang paling besar. Kes yang disebut-sebut Anwar sebagai skandal terbesar pembelian senjata sudah lama menghenyak Najib.Hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja yang ada kepada beliau.

Semalam dengan kesungguhan Pak Lah untuk mengembalikan sistem kehakiman dan pembentukan suruhanjaya perlantikan hakim-hakim dijangkakan kes Najib adalah lebih hebat dan akan ditelanjangkan. Adakah ini yang dipanggil sebagai badai yang menghenyak UMNO.Najib mungkin dilihat UMNO hebat, namun para pengundi tidak memikirkan begitu.Para pengundi Malaysia melihat UMNO dan pemimpinnya sebagai pemimpin korup dan Najib juga tidak terlepas dari skandal ini.

Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengakui bahawa isu keris menjadi satu daripada beberapa punca sokongan kepada BN merosot dalam pilihanraya umum 8 Mac.Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utama pengundi, khususnya bukan Melayu, tidak menyokong ramai calon BN dalam pilihanraya umum tersebut. "Kita perlu mengkaji dan berfikir untuk melihat isu keris ini secara terbuka," kata Khairy, yang juga ahli parlimen Rembau. Beliau berkata demikian ketika ditemui media di "retreat" ahli-ahli parlimen BN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur hari ini.

Namun Khairy juga dilihat sebagai punca kepada ketidak puasan hati pemimpin lama UMNO.Khairy tidak mendapat sokongan para balaci-balaci pemuda UMNO kerana sikap beruk beliau yang memberukkan para blogger dan webmaster.Sikap para pemimpin UMNO tidak berjaya menarik minat para pengundi untuk mendekati mereka.Inilah punca utama kerana semakin ramai cerdik pandai tidak mahu mendekati UMNO.UMNO akan menjadi parti sejarah jika meneruskan sikap dan mengekalkan pimpinan yang ada. Apakah seseorang yang berkarektor seperti Anwar akan muncul dalam UMNO????Hanya masa akan menentukannnya kerana hanya seorang Anwar Ibrahim dianugerahkan untuk Malaysia masa kini.