1. Saya tidak lagi menjadi Menteri atau Senator sejak 2 Disember. Tetapi sebagai orang yang pernah bertanggungjawab merundingkan ART, saya tidak boleh berdiam diri apabila tuduhan berat seperti “syarikat US mendapat status Bumiputera” dilemparkan tanpa merujuk fakta sebenar dalam teks perjanjian dan undang-undang negara kita.
2. Tun mendakwa bahawa Klausa 6.2(1), adalah bukti bahawa syarikat Amerika mendapat layanan seperti Bumiputera dan semua dasar Bumiputera perlu dibatalkan. Hakikatnya, sehingga hari ini Tun masih tidak dapat menunjukkan satu pun klausa dalam ART yang menyebut “status Bumiputera” untuk syarikat Amerika. Tuduhan itu berdiri di atas imej yang Tun bina sendiri, bukan pada teks perjanjian.
3. Klausa 6.2(1) yang Tun petik tidak pun menyentuh definisi Bumiputera atau Perkara 153 Perlembagaan. Ia menyentuh Syarikat Milik atau Kawalan Kerajaan (SOE) pengeluar barangan (GLC yang buat aktiviti komersial) dan menetapkan dua perkara umum yang sudah lama jadi amalan dalam banyak FTA dan bawah WTO: bila GLC bersaing di pasaran komersial, keputusan perlu dibuat atas pertimbangan komersial; dan jangan diskriminasi semata-mata atas dasar negara asal satu pihak. Itu tidak sama dengan mengharamkan dasar Bumiputera. Sebahagian besar agenda Bumiputera dijalankan melalui pendidikan, latihan, pembiayaan, pembangunan vendor, kuota perolehan kerajaan, dasar tanah, lesen dan sebagainya. Semua ini tidak termasuk dalam 6.2(1).
4. Tun sengaja mengabaikan bahagian paling penting di hujung klausa: “... except for the achievement of their public service obligations.” Di sinilah ruang dasar sosial, termasuk agenda Bumiputera, diiktiraf. Banyak program melalui PETRONAS, TNB, MARA, PNB dan lain-lain memang ditakrif sebagai kewajipan perkhidmatan awam, untuk menurunkan kos hidup, membina kapasiti vendor tempatan termasuk Bumiputera, dan menyediakan pembiayaan kepada usahawan kecil. Ini bukan pintu belakang; ini memang cara perjanjian moden mengimbangi disiplin perdagangan dengan keperluan dasar sosial.
5. Tun bertanya, “siapa tentukan public service obligations, Malaysia sahaja atau Amerika juga?”. Jawapannya jelas: ia bermula dengan undang-undang dan dasar kita sendiri. Teks ART sendiri jelas menyatakan komitmen dilaksanakan “in accordance with domestic laws and regulations”. Seperti mana-mana perjanjian, kalau ada pertikaian, ada proses konsultasi dan rundingan. Tetapi tiada satu pun klausa yang memberi hak kepada Amerika untuk menulis undang-undang kita atau menentukan secara unilateral apa itu perkhidmatan awam di Malaysia.
6. Tun kemudian menyentuh Duta AS, Edgard Kagan, dan berkata yang melukis “red lines” hanyalah Trump. Sudah tentu Amerika ada red lines mereka. Semua negara ada garis merah masing-masing. Tetapi Tun tidak menyebut bahawa duta yang sama juga secara terbuka menyatakan Amerika menghormati hak kedaulatan Malaysia untuk menentukan dasar ekonomi dan hubungan dengan BRICS dan pihak lain. Beliau melihat satu ayat tentang “red lines”, tetapi menutup mata pada kenyataan tentang sovereign right Malaysia dalam kenyataan yang sama. Di pihak kita, red lines Malaysia adalah jelas sejak awal:
* Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 153;
* dasar Bumiputera;
* kuasa Parlimen menggubal dan meminda undang-undang; kebebasan Malaysia menentukan dasar luar berprinsip, termasuk pendirian kita terhadap Palestin. Sebab itu Peguam Negara mengesahkan tiada pindaan undang-undang diperlukan, dan tiada satu pun fasal ART yang menyentuh atau meminda Perkara 153. Kalau benar hak Bumiputera “gugur dalam sekelip mata”, sudah tentulah Peguam Negara tidak akan meluluskan perjanjian ini.
8. Tun menuduh perjanjian ini “jelas untuk kepentingan Amerika”. Saya tidak nafikan Amerika berunding untuk kepentingan mereka. Itu tugas mana-mana kerajaan. Tetapi kerajaan Malaysia juga berunding untuk mengurangkan mudarat kepada rakyat kita. Tanpa ART, hampir semua eksport kita ke AS, hampir RM200 bilion setahun, berdepan risiko tarif 24–25% atau lebih, di bawah tindakan unilateral Trump. Itu bermakna tekanan kepada jutaan pekerjaan dalam E&E, getah, aeroangkasa, farmaseutikal dan sektor lain.
9. Soalan yang jujur ialah: apa yang lebih pro-Bumiputera – mempertahankan ruang dasar yang luas di atas kertas tetapi membiarkan kilang-kilang di negara gulung tikar kerana tarif 25%, atau merundingkan kerangka yang menurunkan risiko tarif, mengunci 0% untuk 1,711 baris tarif utama dan mengekalkan pekerjaan serta kontrak eksport yang menjadi sumber rezeki keluarga Bumiputera? Apa cadangan Tun untuk mempertahankan pekerjaan dan gaji rakyat biasa tanpa sebarang mekanisme perlindungan?
10. Saya juga ingin tekankan, saya tidak mempertahankan “kepentingan Amerika”. Saya mempertahankan kepentingan Malaysia dalam realiti dunia hari ini - dunia tarif baharu, perang sekatan dan ketidaktentuan geopolitik. Kadangkala pilihan yang ada bukan antara baik dan buruk, tetapi antara buruk dan lebih buruk. Dalam konteks ART, pilihan itu ialah sama ada kita biarkan tarif 25% menghentam ekonomi kita tanpa sebarang pelindung, atau kita runding struktur 19% dengan 0% tarif ke atas 1,711 produk utama yang menyokong 1.1 juta pekerjaan dan lebih 7,700 PMKS.
11. Akhir sekali, kita boleh berbeza pandangan tentang ART. Rakyat berhak mengkritik dan mempersoal. Tetapi kritiklah dengan fakta penuh, bukan petik satu klausa dan mengabaikan pengecualian, bukan guna istilah “koloni” atau “hilang kemerdekaan” seolah-olah Perlembagaan, Parlimen dan kerajaan Malaysia sudah ditutup operasi.
12. Saya tidak minta semua orang bersetuju dengan keputusan yang telah diambil. Saya hanya minta satu perkara, janganlah kita menakut-nakutkan rakyat dan menangguk di air keruh dengan memainkan sentimen Bumiputera dan kedaulatan, sedangkan teks perjanjian, undang-undang dan realiti ekonomi menunjukkan gambaran yang jauh lebih seimbang.
#ART