PEMIMPIN HARUS AMANAH



KUALA SELANGOR 11 MAC : Pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat seharusnya menjalankan tanggungjawab mentadbir dan mengurus dengan cekap dan amanah serta perlu dibuktikan di atas kertas, bukan retorik semata-mata, demikian ujar Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amanat itu disampaikan beliau dalam Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua-ketua Kampung Tradisi yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor tengah hari tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tanggungjawab bukanlah keistimewaan, sebaliknya ia adalah suatu amanah yang harus dijaga.

“Ini tidak, setengah pimpinan itu diberi amanah, ambil saham masuk poket, diberi projek pun masuk poket, diberi amanah lagi lembu diberi kepada suami, ” sindir Anwar sambil disambut sorakan oleh hadirin.

Justeru, Anwar berkata sikap yang telus dan amanah harus menjadi identiti ketua-ketua kampung yang disifatkan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan fizikal dan insaniah masyarakat setempat.

“Mudah-mudahan kita dapat gunakan jawatan kita sebagai ketua kampung kerana kita mempunyai tanggungjawab yang besar yang menjadi sandaran rakyat hampir dalam segala hal dari kecil sampai besar.

“Jadi jika ketua kampung dapat menyelami hati nurani rakyat dan dapat menyampaikan mesej pimpinan negeri dengan baik, maka selamatlah kampung itu,” pesan Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor.

Anwar juga sempat menyatakan pujian dan rasa bangganya dengan kejayaan dan perubahan yang dikecapi Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya menyokong penuh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pertamanya kerana personal Integriti beliau. Maknanya, saya tidak runsing langsung sifat amanah beliau.

“Yang kedua kerana sifat prihatinnya terhadap rakyat bawahan termiskin walaupun beliau hidup senang sebagai seorang tokoh korporat,” puji Anwar.

Shahrizat Letak Jawatan April ini

SHAH ALAM, 11 MAC : Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengumumkan akan meletakkan jawatannya sebagai menteri selepas tempoh perlantikannya sebagai senator tamat bulan April depan.

Shahrizat yang dilantik sebagai senator pada 9 April 2009 akan tamat tempoh penggal sebagai Senator pada 8 April depan.

Beliau bagaimanapun hanya berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tetapi masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno.

Keputusan itu diumumkan oleh beliau dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Shahrizat meletakkan jawatan sebagai menteri selepas kontroversi panjang isu skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) yang diterajui suaminya, Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail.

Skandal NFC dalam projek lembah daging di Gemas, Negeri Sembilan itu turut mengaitkan dirinya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan kedudukan Shahrizat pada waktu yang sesuai ekoran pelbagai khabar angin mengatakan Senator itu akan meletakkan jawatan.

Sebelum ini, Shahrizat kelihatan berbincang dengan Najib beberapa ketika sebelum perdana menteri memberitahu perkara itu akan diumumkan tanpa mahu mengulas lanjut soal berkenaan.

Selain desakan banyak pihak termasuk pihak pembangkang, beberapa individu dalam Umno seperti bekas ketua Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Syed Abas Alhabshee juga menggesa Shahrizat melepaskan jawatan untuk mengelakkan menjadi bebanan parti.

Malah, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan menasihatkan bekas anggota parlimen Lembah Pantai itu agar “jangan sayang kepada jawatan.”

Sementara itu semalam, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli memfailkan saman balas terhadap Shahrizat.

Tujuan saman balas tersebut menurut Zuraidah dan Rafizi berikutan khuatir pihak plaintif mungkin mengambil keputusan untuk melengah-lengahkan perbicaraan atau menarik balik saman dalam masa terdekat untuk mengelakkan dokumen penting dan pemimpin tertinggi BN diseret ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Pada 19 Januari lalu Ketua Wanita Umno tersebut bertindak menyaman Zuraidah dan Rafizi kerana mengkaitkan beliau terlibat dengan skandal penyelewengan NFC.

GELAGAT MENTERI BESAR PAHANG

NST lapor Shahrizat akan letak jawatan

March 11, 2012


KUALA LUMPUR, 11 Mac — Akhbar harian berbahasa Inggeris, The New Straits Times hari ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan meletak jawatan untuk setiap jawatan yang dipegang beliau dalam beberapa hari lagi.

Akhbar berkenaan berkata, menurut satu sumber, Shahrizat telah memaklumkan pegawai terdekatnya Jumaat lalu bahawa beliau akan melepaskan jawatan menteri dan juga Ketua Wanita Umno.

"Shahrizat (gambar) telah memberitahu kami beliau ingin melepaskan kedua-dua jawatan. Beliau tidak setuju dengan cadangan beliau letak jawatan sebagai menteri tetapi kekal sebagai Ketua Wanita Umno sehingga pilihan raya depan.

"Beliau telah buat keputusan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut," jelas Ketua Wanita Umno negeri.

Seorang lagi pemimpin kanan Wanita memberitahu akhbar berkenaan bahawa seorang pembantu Shahrizat telah memaklumkan beliau akan meletak jawatan semalam.

"Namun perkara itu tidak berlaku. Kami masih lagi berteka teki kerana pegawainya yakin pengumuman akan dibuat semalam. Mungkin beliau menantikan masa yang sesuaI," kata sumber tersebut.

The Malaysian Insider turut difahamkan Shahrizat akan membuat pengumuman rasmi malam tadi, tetapi beliau masih lagi belum berbuat sedemikian.

The New Straits Times turut melaporkan berdasarkan sumber peringkat tertinggi bahawa mereka yakin Shahrizat tidak akan bertanding untuk pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata pengumuman terhadap perletakan jawatan Shahrizat akan dibuat kemudian.

"Terdapat banyak sangat khabar angin. Tapi kita akan membuat pengumuman dalam keadaan yang lebih teratur," kata Presiden Umno itu di Johor.

Spekulasi nasib Shahrizat telah menjadi bualan hangat sepanjang minggu ini, dengan berbulan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya telah menyalahgunakan dana awam bernilai RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) bagi kegunaan peribadi.

Skandal NFC menjadi perhatian umum setelah dilaporkan dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010 projek ternakan lembu di Gemas itu gagal menepati sasaran.

Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai ini telah menerima desakan meletak jawatan daripada pembangkang termasuk pemimpin veteran Umno, dengan menegaskan beliau hanyalah isteri kepada Salleh dan tiada kena mengena dengan projek tersebut.

Pihak polis bulan lalu telah mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa pengarah NFCorp atas tuduhan pecah amanah, namun beliau meminta agar pihak polis untuk menjalankan siasatan dengan lebih terperinci berhubung perkara itu.

N9 BAKAL DITAWAN

Injuksi halang Felda Plantation pajak tanah

WALAU TELAH DILAKUKAN DENGAN BERBAGAI USAHA BAGI MENGHALANG PENYENARAIAN,KERAJAAN DILIHAT MASIH LAGI CUBA UNTUK MENDAPATKAN SIMPANAN FELDA YANG BERBILLION ITU, WALAU TERPAKSA MENGGADAI HARTA PENEROKA


Injuksi halang Felda Plantation pajak tanah

Harakahdaily, 11 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan memfailkan injuksi bagi menghalang Felda Plantation memajak 360,000 hektar tanah milik peneroka kepada Felda Global Ventures Holding (FGVH) untuk tujuan penyenaraian.


Presidennya, Mazlan Aliman berkata injunksi tersebut akan difailkan secepat mungkin selepas pihak peguam selesai menyiapkan dokumen.


Menurut Mazlan lagi, pemberian tanah kepada FGVH merupakan satu kesalahan mengikut akta GSA 1960.


Akta GSA 1960 memperuntukkan tanah diberikan kepada orang persorangan atau felda dan bukan kepada syarikat termasuk Felda plantation.


"Kami bersama peguam akan memohon kepada mahkamah untuk membatalkan pemberian tanah itu dan memohon agar tanah itu dapat diberi kembali kepada rakyat.


"Walau apa pun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan injunksi juga akan dilakukan dalam waktu terdekat," katanya


Saman 3 MB


Sementara itu Mazlan berkata, pihaknya juga akan memfailkan saman tiga bekas menteri besar iaitu bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.


Ini kerana menurut Mazlan, ketiga-tiga mereka gagal menunaikan janji mereka memastikan pampasan diberi kepada peneroka Felda yang menyerahkan tanah untuk tujuan pembangunan.


Peneroka terlibat adalah peneroka dari Felda Cahaya Baru, Johor, Sungai Buaya (Selangor), Labu Johnson dan Sendayan (Negeri Sembilan).


Hingga kini dakwa Mazlan, peneroka di keempat kawasan yang terlibat hilang punca pencarian dan ada dikalangan mereka kini 'merempat'.

Mungkin masyarakat tak tahu apa jadi kepada peneroka ini. Mereka ini hampir 100 peratus Melayu.


"Jadi kami telah bersetuju lantik panel guaman untuk kemukakan saman menuntut gantirugi atas kerugian peneroka Felda," katanya.


Mazlan berkata, apa yang dipersoalkan bagaimana kerajaan negeri termasuk menteri besar dan exco meluluskan projek pembangunan kepada kontraktor.


Sedangkan, katanya tanah tersebut adalah aset peneroka dan manyalahi akta GSA sekiranya dimajukan.


"Apa yang kita nak persoalkan ialah kenapa exco dan menteri besar meluluskan projek ini? Mereka semua ini telah mungkir janji," katanya.

Selepas 4 tahun, tsunami boleh landa Pakatan

Empat tahun sudah berlalu apabila buat pertama kalinya tsunami politik melanda negara. Pada 8 Mac 2008, rakyat semenanjung Malaysia membuat kejutan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Perdana menteri (PM) pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya tergamam tidak menyangka seteruk itu keputusan PRU. Kalau tak kerana terlalu mendengarkan menantunya dan budak tingkat empat merengek, sudah tentu Pak Lah masih PM Malaysia.

Majoriti dua pertiga BN di parlimen dirampas oleh gabungan PKR, PAS dan DAP - kini bergelar Pakatan Rakyat.

Negeri terkaya di Asia Tenggara, Selangor Darul Ehsan jatuh ke tangan PR. Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertukar kepimpinan negeri.

Kelantan kekal di bawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat walaupun menantu Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin ghairah dengan kempen "pade doh" yang kononnya mampu merampas Kelantan.

Tidak hairanlah mengapa sehingga hari ini Khairy Jamaluddin terus dibenci oleh sebahagian besar ahli-ahli Umno termasuklah mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tsunami politik menyebabkan jangka hayat Abdullah Badawi lebih pendek daripada sepatutnya. Ianya menjadi mimpi ngeri kepada Umno dan BN. Tsunami tidak mungkin akan dilupakan. Jika tidak kerana Sabah dan Sarawak, hari ini BN sudah tentu tidak lagi berkuasa.

Selepas 8 Mac

Tsunami dan "aftershock" demi "aftershock" yang berlaku selepas PRU ke-12 menyebabkan BN tidak senang duduk. Tamparan hebat diberikan apabila PR menang dalam banyak pilihan raya kecil (PRK).

Sebelum 8 Mac 2008, boleh dikatakan BN menang hampir kesemua PRK. Ini adalah kerana seluruh jentera kerajaan dapat bertumpu di sesuatu kawasan PRK dan ini memberikan kelebihan kepada BN.

Apatah lagi media arus perdana memihak kepada BN. BN kini sedar, rakyat mahukan perubahan. Sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kuasa, gagasan 1Malaysia dicanangkan.

Program transformasi ekonomi, politik dan sosial diperkenalkan. Ini adalah kerana Najib sedar, rakyat Malaysia sudah menjadi semakin bijak serta mahukan perubahan.

Selepas Tsunami, kerajaan tidak lagi boleh berbuat sesuka hati. Lihatlah bagaimana skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) terpaksa dibatalkan oleh kerana terdapat bantahan ramai.

Dalam erti kata lain, suara rakyat menjadi semakin kuat apabila parti yang memerintah itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen. Apabila negara mempunyai pembangkang yang kuat, kebajikan rakyat semakin terjamin.

Dahulu di zaman BN menguasai majoriti dua pertiga di parlimen, kerajaan yang memerintah boleh berbuat sesuka hati sepertimana Pak Lah menaikkan harga minyak sebanyak 70 sen dalam satu-satu masa.

Janji tidak ditunaikan

Tsunami politik tidaklah bermakna rakyat membiarkan Pakatan berbuat sesuka hati. Selain dari dipantau oleh Umno-BN, Pakatan juga dipantau oleh pengundi-pengundi mereka.

Jika ada wakil rakyat tidak berkhidmat dengan baik, jangan haraplah akan terus mendapat sokongan orang ramai. Jika Pakatan berkeras untuk meletakkan calon seperti ini, mereka juga akan berhadapan dengan risiko kalah dalam pilihan raya.

Rakyat Malaysia bernasib baik oleh kerana tsunami 8 Mac memberikan mereka peluang untuk melihat bagaimana Pakatan mentadbir negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Kita dapat menyaksikan bagaimana menteri besar bagi negeri Kedah bermati-matian mempertahankan kolej di bawah kekuasaannya menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap lima orang mahasiswa.

Selain itu, rakyat Malaysia juga menyaksikan bagaimana janji-janji untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan tidak ditunaikan. Orang-orang yang kononnya mahukan pilihan raya dilaksanakan kini lebih berusaha keras untuk mencari alasan agar tidak perlu melaksanakannya.

Maklumlah, sistem yang sedia ada lebih "enak" dan memberikan hasil yang lumayan.

Tidak dinafikan juga ada dasar-dasar yang baik dilaksanakan. Akan tetapi pemantauan yang kuat terhadap negeri-negeri Pakatan perlu diperhebatkan oleh rakyat agar perubahan yang dijanjikan dapat berlaku.

Jangan dilihat gelojoh

Tidak lama lagi, gendang pilihan raya akan dibunyikan. BN mahu terus berkuasa dan Pakatan mahu merampas kuasa. BN kita sudah boleh baca wataknya oleh kerana telah terlalu lama memerintah.

Akan tetapi cabaran kini terletak kepada bahu Pakatan kerana mereka mahu menjadi alternatif kepada BN. Dalam PRU ke-13 ini, jika benar-benar ingin menguasai Malaysia, Pakatan harus menunjukkan imej sebuah gabungan parti politik yang benar-benar mampu untuk memimpin Malaysia.

Amalan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen sekali gus bagi seorang calon sudah sampai masanya dimansuhkan. Amalan ini sesuai bagi parti politik baru atau calon yang tidak mempunyai keyakinan untuk menang di sesuatu kerusi.

Ini adalah taktik "play safe" untuk memastikan seseorang pemimpin itu menang sekurang-kurangnya di salah satu kerusi yang dipertandingkan.

Pada 8 Mac 2008, rakyat masih boleh faham jika Lim Guan eng bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen sekaligus. Ini kerana, Lim Guan Eng sendiri tidak begitu yakin untuk menang.

Jika dalam PRU ke-13 ini Pakatan masih lagi meneruskan amalan ini, calon yang bertanding kedua-dua kawasan DUN dan Parlimen ini akan dilihat gelojoh.

Orang-orang lain yang berpotensi juga tidak akan mendapat peluang untuk ditonjolkan sebagai pemimpin. Tsunami seharusnya memberikan pengajaran kepada semua pihak baik BN mahu pun PR.

Jika khianat rakyat, Tsunami yang melanda BN tidak mustahil akan berbalik kepada Pakatan. Yang pasti, rakyat bukan lagi bodoh dan mudah untuk diperkotak-katikkan.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Beliau Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Anak Najib Tunang, Rakyat Bayar







PETALING JAYA 9 MAC : PKR hari ini mendakwa majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Abdul Razak di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur yang bernilai hampir setengah juta ringgit dibiayai duit rakyat.

Bagi membuktikan dakwaannya itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendedahkan dokumen tempahan majlis bankuet di Hotel Shangri La yang bernilai RM409,767 yang bertarikh 17 Jun tahun lepas.

Menurut butiran pada dokumen tempahan majlis itu, akaun pembayar bil dan nama majlis dicatit sebagai “Pejabat Perdana Menteri”.

“Hari ini kita mengemukakan bukti kukuh bahawa majlis tersebut sebenarnya dibiayai oleh rakyat Malaysia apabila keseluruhan urusan tempahan dan pembayarannya dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Booking Contact adalah Setiausaha Sulit Peribadi PM, Datuk Mohd Po’ad Jelani,” jelas Rafizi yang turut menjelaskan PKR terlebih dahulu melakukan semakan terhadap butiran dan individu yang terlibat dalam dokumen berkenaan untuk memastikan ianya boleh dipercayai.

Rafizi turut mengkritik tindakan Najib yang akhir-akhir cuba menonjolkan sikap kesederhanaan untuk memenangi hati rakyat menerusi program Menu 1 Malaysia tetapi pada masa yang sama, membelanjakan sejumlah wang yang begitu besar untuk satu majlis pertunangan.

“Bagaimanapun itu adalah hak peribadi mereka untuk mempunyai citarasa yang tinggi tetapi adalah memualkan apabila wang rakyat digunakan untuk memenuhi nafsu dan citarasa mereka,” ujar Rafizi sambil mendesak satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat segala penyelewengan yang didedahkan.

Sehubungan itu, Rafizi mohon Najib tampil memberi penjelasan dan sertakan bukti untuk menafikan segala dakwaan yang dikemukakan PKR hari ini.

Mengikut salinan dokumen berkenaan, tempahan itu menunjukkan secara terperinci setiap tempahan jamuan dengan kos jamuan VIP mencecah RM18,792 untuk 36 orang.

Sejumlah RM309,975 pula diperuntukkan untuk kos jamuan seramai 862 tetamu selain kos pengendalian sebanyak RM81,000.

Rafizi dan Zuraida Fail Saman Balas Terhadap Shahrizat

PETALING JAYA 9 MAC : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dan Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin hari ini memfailkan pembelaan berhubung saman RM100 juta yang dikemukakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap mereka.

Saman Shahrizat, yang merupakan Menteri Pembangunan Wanita dan Komuniti menerusi Muhammad Shafee dan Co difailkan terhadap Rafizi dan Zuraida pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan beliau terbabit dalam skandal Projek Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Pendirian saya dan YB Zuraida sememangnya konsisten daripada awal lagi dan kita memang menunggu peluang untuk ke mahkamah bagi merungkai sedalam-dalamnya penyelewengan yang berlaku dalam NFC.

“Kerana setakat ini kita tidak dapat maklum balas yang memberansangkan daripada pihak audit mahupun jawapan-jawapan menteri,” ujar Rafizi dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini petang tadi.

Rafizi turut melahirkan kekhuatiran Shahrizat mungkin melengah-lengahkan atau membatalkan saman berkenaan ekoran risiko besar yang bakal timbul jika skandal tersebut dibicarakan di mahkamah nanti.

“Ini kerana beliau tahu jika ia diteruskan, semua pimpinan Barisan Nasional akan terheret ke dalam kes ini.

“Saya juga faham risiko yang dihadapi mereka bilamana kes ini diteruskan maka segala dokumen yang setakat ini dirahsiakan akan terdedah,” jelas Rafizi.

Sehubungan itu, Rafizi bertindak memfailkan saman balas terhadap Shahrizat terutamanya ke atas kata-kata berbaur fitnah yang diucapkannya ketika pembukaan Perhimpunan Agung Wanita Umno pada 30 November 2011 lepas.

“Saman ini bukan soal wang atau peribadi, sebaliknya ia sebagai memberi ruang bagi memastikan kes ini mendapat tarikh perbicaraan di mahkamah.

“Kalau kita defendan dan beliau plantif, beliau berpeluang untuk menangguhkan atau menggugurkan kes.

“Oleh itu, sekarang kita ingin menjadi plantif untuk memastikan kes ini tidak ditangguhkan pihaknya dan dibicarakan di mahkamah,” beritahu Rafizi sambil menambah sekurang-kurangnya kes penyelewengan berkenaan dibawa ke muka pengadilan setelah tidak diambil sebarang tindakan oleh Kerajaan Umno-BN.