'Rogol amah': Blogger mohon masa fail pembelaan

Pengendali blog sharpshooter.blogspot, Amizudin Ahmat memohon supaya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikannya masa untuk memfailkan pernyataan pembelaan dalam kes saman fitnah oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

Ia berikutan permohonan defendan itu yang dikemukakan pada prosiding 17 Februari lalu maka permohonan injunksi inter-parte (kedua pihak) yang sepatutnya didengar hari ini oleh Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof telah ditangguhkan.

rais yatim pc 020709 01Pada 2 Februari lalu, Rais selaku plaintif memperoleh injunksi yang memerintahkan supaya Amizudin mengeluarkan artikel yang memfitnah beliau dari blognya.

Selain itu, Hakim Zabariah turut membenarkan permohonan Rais untuk menghalang Amizudin, 42, atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel berbaur fitnah itu sehingga permohonan injunksi kedua pihak didengar.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Februari untuk sebutan semula kes dan afidavit difailkan oleh kedua-dua pihak sebelum kes itu didengar pada hari ini.

Mahkamah yang sama juga turut membenarkan injunksi kepada Rais bagi menghalang Amizudin daripada terus menerbitkan dakwaan bahawa menteri itu telah merogol seorang pembantu rumahnya dari Indonesia.

Pro-M menang bergaya di UM, tewas di UPM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Keputusan Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya (UM) hari ini memihak Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) yang memenangi 23 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Pro-M menyapu bersih semua 9 kerusi umum yang dipertandingkan manakala 14 di kerusi fakulti.

Lawan mereka pula, yang dikenali sebagai Penggerak hanya mendapat 16 kerusi fakulti, manakala bebas menang di dua kerusi.

Calon Pro-M Masturah Abu Bakar yang hilang sebelum ini turut menang.

Keputusan itu diumumkan Naib Canselor kampus itu, Datuk Profesor Dr. Gauth Jasmon di Akademi Pengajian Melayu, jam 6 petang tadi.

Bagaimanapun sesi bantahan tetap dibuka sehingga jam 8 malam ini dan kesemua bantahan yang diterima akan diteli pagi esok.

Dengan keputusan itu, bermakna mereka boleh menubuhkan kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) di kampus itu.

Pengumuman itu disambut penuh syukur kumpulan Pro-M yang menerima pelbagai tekanan dan halangan sejak bahang PRK bermula awal Februari lalu.

Selepas sahaja keputusan itu diumumkan, mereka terus berarak menuju ke Dewan Tuanku Canselor (DTC) bagi meraikan kemenangan.

Satu majlis solat hajat turut diadakan selepas solat Maghrib tadi.

Ketua Jentera Pro-M UM saudara Farid Jalpah ketika dihubungi Harakahdaily untuk mengulas kemenangan itu berkata, ianya merupakan isyarat jelas sokongan mahasiswa kampus itu terhadap perjuangan Pro-M yang membawa aspirasi mereka.

"Kita rasa syukur atas kejayaan ini selepas diuji dengan pelbagai perkara.

"Kemenangan kali ini sebagai bukti bahawa sokongan mahasiswa terhadap Pro-M tidak pernah luntur dan tidak mampu dijatuhkan dengan sistem yang korup," katanya.

Sementara itu, pada malam ini juga semua calon Pro-M menyampaikan pidato sulung mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di hadapan DTC.

"Kemenangan ini kita akan gunakan sebagai peluang untuk menjalankan tugas kebajikan kepada mahasiswa," kata Farid.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula, Pro-M terpaksa akur apabila kalah kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Kumpulan Pro-M hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan manakala Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi.