Umno sendiri yang terminta-minta untuk ditumbangkan — Aspan Alias
May 24, 2013
24 MEI — Saya yang tidak berapa pandai ini pun merasakan yang
Umno sudah sampai kepenghujung usianya. Saya bukan menentang tindakan
menahan rakan-rakan perjuangan saya oleh pihak polis, kerana itulah
makanan orang-orang perjuang sejati. Bagi pihak yang berjuang mereka
merasakan mereka bertindak dengan kebenaran dan bukan sedikit manusia
yang menyokong mereka.
Tetapi seperkara yang tidak dapat dinafikan, pihak berkuasa tidak
mencari jawapan kenapa keadaan sebegini berlaku. Pihak parti pemerintah
tidak pula berusaha dan mendengar keresahan rakyat selama ini. Apabila
terdesak maka ditahan orang itu dan orang ini sewenang-wenangnya.Saya
tidak dapat menerima tindakan kerajaan menahan mereka semalam.
Ruang untuk pemerintah membetulkan keadaan semakin hari semakin
sempit. Bukan sedikit teguran di buat terhadap parti pemerintah sejak
banyak tahun dahulu, tetapi Umno tidak mahu berubah dan terlalu leka
dengan kuasa. Rakyat sudah berani keluar untuk menentang secara terbuka
dan ia hanya memberikan keyakinan ramai yang Umno tidak dapat dipulihkan
lagi. Yang jelas sekarang rakyat pula yang mengambil tindakan untuk
berubah.
Saya merasakan yang keadaan begini akan terus menerus berlaku dan
tidak ada pihak yang mampu untuk meredakan perasaan mereka yang hilang
keyakinan terhadap Umno itu. Tidak adil jika kesalahan itu hanya
diletakan kepada rakyat. Umno sepatutnya menerima dan mengakui seratus
peratus kesalahan itu. Selalu saya berkata Umno sudah hilang punca
seolah-olah sudah hilang hidayah kerana masih melakukan kesilapan
walaupun usia Umno itu semakin luput. Hendak berbuat baik tetpi mereka
sudah tidak lagi tahu apa dia yang baik untuk mereka lakukan.
Penahanan tiga aktivis semalam tidak melunturkan perasaan marah
rakyat. Pihak pemerintah mesti mengakui yang rakyat marah itu bukan
tidak bersebab. Tidak mungkin mereka marah semata-mata untuk marah.
Bukannya usaha yang kecil untuk keluar malam dan berjuang dengan tidak
ada hentinya.
Malam tadi ribuan rakyat berada di sekitar Balai Polis Jinjang untuk
memberikan simpati kepada Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim
yang ditahan polis semalam. Ini bukannya perkara kecil. Jika tekanan
kuat di lakukan oleh pihak berkuasa pun ia tidak melunturkan perasaan
marah rakyat itu.
Pihak kerajaan mesti faham, yang mereka kendalikan sekarang ini
bukannya haiwan. Mereka adalah manusia yang kebanyakkan mereka adalah
kumpulan muda yang terpelajar. Mereka tidak mahukan kerajaan melakukan
tekanan. Jika kerajaan sentiasa memberikan tekanan sebegini, pihak
pemerintah akan pasti kehilangan sokongan lebih buruk lagi dari semasa
pilihanraya yang lalu.
Tidak akan ada kesudahannya dan tidak mungkin Umno mampu
memperbetulkannya lagi. Oleh yang demikian apa yang sepatut dilakukan
oleh siapa bagi membetulkan yang salah dan menampal yang koyak tadi?
Jika benar terdapat penipuan dalam pilihanraya yang lalu setelah
mahkamah membuat keputusan, maka tidak ada jalan lain selain dari
kerajaan sekarang berundur. Kerajaan sekarang tidak boleh lagi mengaku
mereka berkuasa melalui proses demokrasi kerana telah terdapat penipuan
itu. Umno akan hanya mampu bertahan seketika jika mahkamah memutuskan
tiada penipuan dan mengakui yang pilihanraya telah berjalan dengan betul
mengikut cara yang betul.
Tetapi boleh kah mahkamah memutuskan PRU yang baru selesai ini tidak
ada penipuan? Jika ada penipuan maka tidak syak lagi Umno terpaksa
berundur dengan cara terhormat walaupun pilihanraya di kawasan-kawasan
yang di dapati ada penipuan diadakan semula.
Penahanan terhadap Tamrin, Tian Chua dan Haris itu amat memberi kesan
kepada kredibiliti kerajaan. Saya berharap ketiga-tiga mereka akan di
bebaskan tanpa apa-apa tindakan susulan yang di ambil terhadap mereka.
Saya memohon agar kerajaan cukup-cukuplah melakukan penahanan sesiapa
kerana rakyat sedang memerhatikan keadaan dengan rapi. Sekarang bukan
zaman Umno yang mengaku boleh menghantar songkok untuk mewakili calon
dan terus menang dalam pilihanraya.
Umno dan BN akan hanya mempunayi sedikit peluang jika Umno tunjukan
yang parti itu benar-benar melakukan transformasi habis-habisan dengan
melakukannya sekarang juga. Lewat dari sekarang kita boleh kira Umno
sudah tamat riwayatnya.
Jika Umno tidak memperbaiki diri sekarang juga ia bermakna Umno
sendiri yang mahu mereka di tumbangkan bukannya rakyat yang saja-saja
mahu menumbangkan mereka. — aspanaliasnet.blogspot.com