Menuju PRU-13: Mengukuhkan demokrasi di Malaysia ― Amin Ahmad
Menuju PRU-13: Mengukuhkan demokrasi di Malaysia ― Amin Ahmad
January 09, 2013
Latar belakang falsafah dan sejarah
Minat orang ramai terhadap pilihan raya umum ke-13 ini tentulah positif. Kita perlu sedar demokrasi bermaksud “pemerintahan daripada rakyat”, bermaksud sumber keabsahan pemerintahan sesuatu kerajaan mesti didapatkan daripada mereka yang diperintah. Sejak dahulu slogan “pemerintahan daripada rakyat” ini telah diterjemahkan kepada banyak kaedah menaik dan menurunkan pemimpin atau sesebuah kerajaan.
Meskipun idea demokrasi dikaitkan dengan banyak pandangan tokoh sejak zaman Yunani dan Rom, amalan mengundi seperti zaman moden (undi rahsia yang dimasukkan ke dalam peti undi) hanyalah bermula pada lewat abad ke-18 di Perancis. Sejak itu ia berkembang dan kemudiannya diterima luas sebagai cara praktikal untuk menentukan siapa yang akan melaksanakan kuasa politik dalam negara dan tentunya kepada seluruh penduduk bagi kawasan yang ditadbir.
Kini pilihan raya dianggap sebagai satu ciri khusus untuk menentukan sama ada sesebuah negara itu mengamalkan demokrasi atau tidak dan pilihan raya dibuat secara berkala untuk membolehkan ada kawalan rakyat terhadap pemerintah.
Semangat di sebalik proses pilihan raya
Adalah penting untuk kita sedar bahawa proses pilihan raya bukan sahaja soal teknikal dan praktikal. Di sebalik pilihan raya ada beberapa tema utama yang penting untuk difahami.
Pertama, semua warga yang layak berhak menawarkan khidmat untuk merangka dan menggubal dasar. Justeru, tidak wajar ada kempen yang membayangkan peralihan kuasa itu bahaya. Sekiranya ada bahaya tertentu yang mungkin ditawarkan oleh calon atau parti, ia bukanlah prinsip teras tetapi aturan kedua masalah (second order problem).
Kedua, semua warga yang layak, terlepas apa pun kelayakan akademik atau pencapaian kerjayanya, mempunyai kuasa undi yang sama untuk memilih wakil rakyat atau parti bagi mentadbir negara. Ini adalah pengakuan penting bahawa isu keperihatinan setiap individu adalah berbeza, meskipun pasti ada isu-isu yang menjadi keperihatinan bersama.
Berdasarkan ciri yang sama dan berbeza ini, setiap wakil rakyat yang dipilih diharap dapat mewakili kepelbagaian pendapat untuk kepentingan bersama. Ia juga menjelaskan bahawa cukup sukar untuk semua tuntutan yang berbeza ini dapat dipenuhi oleh wakil rakyat. Meskipun sebuah kerajaan akan lazimnya dibentuk oleh majoriti, seharusnya ciri ini membolehkan kepentingan kumpulan minoriti dapat disuarakan, bukan ditekan.
Sikap demokratik
Sistem demokrasi tidak dapat subur tanpa sikap demokratik pemimpin dan rakyat sesebuah negara. Seorang demokrat mesti berani mengiktiraf bahawa majoriti tidak selalunya benar dan minoriti tidak semestinya sentiasa salah. Pengiktirafan ini mesti ditunjukkan dengan sikap lapang dada terhadap pandangan berbeza.
Pandangan berbeza ini seharusnya boleh dikesan dalam media massa dan banyak wacana awam. Kebebasan maklumat adalah cara terbaik untuk memberi peluang kepada orang ramai menimbang hujah secara saksama dan membuat pilihan. Ini juga secara tidak langsung “memaksa” pihak yang mahu menawarkan khidmat bersedia dengan pemikiran dan hujah yang bernas. Bukankah mereka akan berbahas di Dewan mewakili rakyat jika dipilih?
Proses pilihan raya
Jelas, demokrasi dan pilihan raya tidak terhad kepada soal mengundi dan hari pengundian sahaja. Maka tidak hairanlah sejumlah persoalan ditimbulkan oleh beberapa pihak berkaitan proses pilihan raya. Ini mesti diraikan. Ia adalah petunjuk bahawa ramai yang menghargai kepentingan pilihan raya. Cuma sayangnya persoalan yang timbul kadangkala bertukar menjadi konflik dan merumitkan proses rundingan.
Untuk menghuraikan kekusutan ini, banyak hal-hal berkaitan pilihan raya perlu dibincangkan secara terbuka. Saya percaya berbanding menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semata-mata dalam semua hal, eloklah dilihat dengan teliti apakah peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak. Ini tidak bermaksud SPR tidak boleh disoal, tetapi seharusnya bukan SPR sahaja.
Kita mesti mengangkat persoalan pilihan raya sebagai kesedaran kolektif semua pihak. Jika persoalan yang ingin diubah melibatkan undang-undang, maka pihak yang perlu didesak mengubahnya ialah para wakil rakyat. Jika yang mahu diubah ialah berkaitan maklumat media, maka pihak media yang perlu didesak. Jika ada kelemahan tertentu berpunca daripada parti politik, maka parti politik mesti melatih petugasnya melakukan apa yang sepatutnya. Sekiranya ada jentera kerajaan digunakan secara salah, maka bahagian perkhidmatan awam mesti didesak untuk tidak membenarkan jentera kerajaan disalahgunakan. Tentunya, sekiranya ada kelemahan di pihak SPR, pihak SPR perlu didesak untuk memperbaikinya. Banyak lagi perkara boleh ditambah baik dan ini perlu dibincangkan secara terbuka.
Ia tidak mudah. Memang ada sebahagian perkara berada di jalur kelabu – sukar ditentukan secara pasti benar dan salahnya. Namun masalah tetap perlu diuruskan. Bagi pihak IDEAS, organisasi yang diumum akan dilantik sebagai badan pemerhati dalam PRU-13, saya akan cuba menulis beberapa artikel berkaitan pilihan raya untuk berkongsi dan berbincang dengan khalayak ramai.
Semoga kita dapat menjayakan proses pilihan raya akan datang dengan penuh semangat demokrasi.
* Amin Ahmad ialah pengurus projek dan operasi di IDEAS
Subscribe to:
Posts (Atom)