SEGAMAT, 6 Ogos – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasai bahasa penting itu sebagai bahasa kedua.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran melaksanakan kajian itu.
Menyatakan pandangan beratnya terhadap soal menguasai bahasa tersebut oleh pelajar, Timbalan Perdana Menteri berkata, penguasaan Bahasa Inggeris adalah penting kerana ia bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa dan ekonomi.
“Bagaimana sistem pendidikan negara selama 13 tahun, dengan lima tahun di sekolah menengah, masih tidak mampu membuatkan murid-murid kita menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.
“Saya sendiri tidak mampu menjawapnya,” katanya ketika berucap sempena lawatannnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Maokil, Labis di sini.
Dipetik Bernama Online, Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata, kajian itu yang akan dikendali Bahagian Kurikulum Bahasa Inggeris akan melihat sama ada kelemahan itu berpunca dari kekurangan guru Bahasa Inggeris, peralatan atau punca-punca lain.
Katanya, murid-murid mungkin beranggapan bahawa kemampuan menguasai Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu tidak penting untuk mereka, sehingga mengakibatkan mereka berhadapan dengan masalah ketika di peringkat universiti.
Beliau menolak tanggapan pelaksanaan dasar “Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris” (MBMMBI), telah mengakibatkan Kementerian Pelajaran mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris.
“Itu tanggapan yang salah, saya dan Kementerian Pelajaran sentiasa menekankan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua,” katanya.
Muhyiddin juga berkata, kementeriannya telah melakukan audit menyeluruh tentang kedudukan infrastruktur pendidikan negara, dalam usahanya untuk menyediakan keperluan infrastruktur yang diperlukan oleh sekolah-sekolah.
Walaupun kementeriannya menerima peruntukan pembangunan di antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setiap tahun, tetapi katanya, ini tidak mencukupi kerana bilangan sekolah di negara ini adalah besar serta pertumbuhan penduduk yang pesat memerlukan pembinaan sekolah-sekolah baru.