KeadilanDaily,
|
24 Sep 2012
|
KUALA LUMPUR:
Tindakan Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Raja Nong Chik Zainal
Abidin menampal pelekat berlogo BN pada setiap sejadah di surau Pantai
Dalam mengganggu penduduk ketika solat.
Difahamkan sumbangan sejumlah sejadah itu didermakan ketika Ramadan
lalu yang dilekatkan dengan pelekat kekal berlogo 1Malaysia, Umno BN
selain tertera nama portfolionya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan
Kesejahteraan Bandar sebagai penderma.
Ekoran itu, jemaah surau mengadu kerana mereka tidak dapat
mengerjakan solat dengan khusyuk lantaran terpandang pelekat tersebut
yang dilekatkan betul-betul di penjuru depan sejadah.
Kesal dengan kejadian itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Lembah
Pantai, Abdullah Izhar Mohd Yusof berkata, pihaknya turut melaporkan
kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
“Kita kesal apa yang dibuat Nong Chik. Kalau pun mahu dapat sokongan, jangan terdesak dengan mempolitikkan jemaah dan surau.
“Kita tidak halang mereka mahu beri sumbangan, tapi jangan sehingga boleh mengganggu jemaah solat,” katanya ketika dihubungi.
Abdullah berkata, dengan melekatkan logo tersebut, tidak semestinya
boleh memberikan sokongan kepada Nong Chik kerana rakyat tidak
menilainya dari segi itu.
“Kita juga ada sumbang telekung kepada surau-surau sekitar Lembah Pantai, tapi tidaklah cetak logo KEADILAN untuk dilekatkan.
“Daripada apa yang saya tahu, tidak semua surau menggunakannya, tapi
ada yang terpaksa guna jika jemaah ramai. Setiap surau difahamkan
didermakan 10 hingga 20 sejadah,” ujarnya.
Semalam, Nong Chik menyatakan hasratnya untuk bertanding kerusi
Parlimen Lembah Pantai pada pilihan raya umum ke-13, kepada pucuk
pimpinan BN.