KEMPEN GENTELMEN: ANWAR TIDAK JANJIKAN PROJEK

PRK PD: PENCABAR ANWAR HANYA REBUT UNDI PEMBANGKANG

LIVE FROM PD

ANWAR TAK TERGUGAT DI PORT DICKSON....



Berbanding beberapa pilihanraya sebelum ini, pilihanraya kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan boleh dianggap satu pilihanraya yang paling banyak memberi kejutan kepada orang ramai.

Sebelum ini ramai yang terkejut apabila Anwar Ibrahim memilih Port Dickson sebagai kawasan untuk ditandingi bagi membolehkannya kembali menjadi Ahli Parlimen dan sebagai persediaan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad.

Ramai yang bertanya dan tertanya-tanya, mengapa Port Dickson jadi pilihan  dan apa istimewanya Port Dickson kepada Anwar?

Seketika, di sebalik keputusan itu, orang Port Dickson kemudiannya secara perlahan-lahan jadi teruja  dengan adanya pilihanraya kecil ini kerana Port Dickson akan melahirkan seorang Perdana Menteri yang tidak pernah terbayangkan oleh sesiapa sebelumnya.

Dengannya ramai yang membayangkan kawasan Port Dickson akan lebih melimpah dengan pembangunan, kedatangan pelabur, pembinaan kilang-kilang, pelbagai kemudahan, keselesaan dan peluang-peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

Selepas BN tidak sedia meletakkan calon dan hanya Pas merupakan pencabar yang dilihat sedikit "menggigit" untuk memberi cabaran kepada Anwar dengan meletakkan bekas tentera sebagai calon, Port Dickson seterusnya memberi satu lagi kejutan apabila Isa Samad tiba-tiba mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas.

Dengan kedudukannya sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 23 tahun dan bekas Ketua UMNO Teluk Kemang (sekarang ditukar nama kepada Port Dickson) lebih 30 tahun, kehadiran Isa dilihat sesetengah pihak mampu memberi cabaran yang hebat kepada Anwar.

Apatah lagi dengan BN tidak bertanding, undi UMNO dan Melayu dijangka akan berpindah kepada Isa sebagai anak tempatan berbanding Anwar yang merupakan orang luar.

Tergugatkah Anwar dengan kehadiran Isa?

Malam tadi pula, satu lagi kejutan muncul di Port Dickson di mana daripada lapan calon yang didapati sudah membayar wang deposit untuk bertanding, salah seorang daripadanya ialah Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar yang terkait dengan kes liwat 2 yang menyebabkan Presiden PKR itu dihukum penjara buat kali kedua.

Kehadiran Saiful tidak lain lantas memunculkan pertanyaan spontan - siapakah yang menajanya bertanding di Port Dickson ini?

Menjelang hari penamaan calon hari ini, kehadiran Isa dan Saiful dalam pilihanraya ini adalah paling banyak sekali diperkatakan orangramai di Port Dickson ini. Kehadiran kedua-duanya hampir menenggelamkan wujudnya Pas yang turut sama meletakkan calon.

Meskipun Isa anak tempatan dan dikenali ramai, tetapi kehadirannya mungkin tidak banyak menggugat Anwar kerana beliau hanyalah calon Bebas yang tidak mampu memberi apa-apa peruntukan kepada rakyat, selain zamannya juga dianggap sudah pun berlalu sekarang ini.

Memang tidak dinafikan akan ada undi Melayu beralih memihak kepadanya, namun ia tidak mungkin mampu menghasilkan kemenangan kepadanya berbanding penampilan Anwar yang dilihat sebagai bakal Perdana Menteri.

Undi Melayu akan berpecah kepada tiga - Anwar, Isa serta Pas dan disertai dengan banyak faktor lain, kelebihan tetap memihak kepada Anwar.

Kalau ada pun kelebihan Isa di Port Dickson ini, mungkin hanya undinya lebih tinggi berbanding Pas.

Begitu juga dengan Saiful, beliau sama ada akan mendapat undi dalam jumlah ratusan saja atau bakal kehilangan wang depositnya. Bertandingnya beliau sekadar gangguan kepada Anwar semata-mata.

Tetapi, kehadiran Saiful menggangu pilihanraya Port Dickson langsung tidak relevan kerana Anwar sudah pun diberi pengampunan penuh oleh Yang Dipertuan Agong, malah jika cerita-cerita liwatnya dijadikan bahan kempen, ia boleh dianggap suatu penghinaan kepada pengampunan yang diberikan itu.

Selainnya, kehadiran Saiful hanya menjanjikan kotornya pilihanraya kecil Port Dickson ini dengan ulangan cerita liwat yang tak berkesudahan dan bagaimana mereka yang bermusuh dan berdendam dengan Anwar nampaknya sanggup berbuat apa saja untuk memastikan beliau kalah dan tidak berjaya menjadi Perdana Menteri.

Baik sama ada dengan kehadiran Isa atau kemunculan Saiful, aura Anwar sebagai bakal Perdana Menteri tidak tergugat dan adalah melebihi penampilan kedua-dua calon tersebut.

Apakah yang mampu disumbangkan oleh wakil Bebas berbanding bakal Perdana Menteri?

Begitu juga dengan keputusan Pas meletakkan bekas tentera sebagai calon, ia dijangka tidak akan mendatangkan kesan yang maksima untuk mengalahkan Anwar. Ia mungkin sekadar menyebabkan undi askar berpecah saja.

Lebih-lebih lagi daripada lapan calon dijangka bertanding dan hanya  Pakatan Harapan sebagai kerajaan satu-satunya yang ada kewibawaan di mata pengundi, tambahan lagi Anwar merupakan Perdana Menteri masa depan, adalah kerugian yang berpanjangan dan "rezeki"  yang tidak datang dua kali jika pengundi Port Dickson tidak memberi undi kepadanya pada 13 Oktober nanti.

Kecuali, jika pengundi dan penduduk Port Dickson tergolong mereka yang menolak untung dan hanya mahu rugi!! (ShahbudinHusin 29/09/2018)

‘MEREKA CUBA HALANG SAYA SEJAK 20 TAHUN LALU’ – ANWAR

PRK PD: ANWAR SUDAH LAMA PERTAHAN PESARA TENTERA

ISA SAMAD TANDING BEBAS: KONSPIRASI ‘SAILANG’ ANWAR

KENAPA MASIH ADA YANG SUKAR MENERIMA ANWAR SEBAGAI BAKAL PENGGANTI TUN MAHATHIR?


Entah sudah berapa kali, Tun Mahathir Mohamad nampaknya sekali lagi terpaksa mengulangi janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

“Rakyat mahu Perdana Menteri baru, bukan Perdana Menteri lama ini, tetapi pada masa itu (sebelum pilihan raya umum ke-14) mereka tiada pilihan kerana pemimpin lain berada dalam penjara dan beliau (Anwar) pun tak boleh menerajui parti.

“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan.

“Itu janji saya,” kata Tun Mahathir ketika menjawab satu soalan di Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomberg di New York.

Sebelum ini di dalam negara juga sudah banyak kali Tun Mahathir ditanya dan menjawab dengan nada yang sama.

Kenapa perlu Tun Mahathir bercakap banyak kali mengenai peralihan kuasa kepada Anwar dan mengapa orang ramai masih bertanyakan soalan yang sama kepada beliau?

Adakah kerana janji Tun Mahathir tidak boleh dipercayai atau kerana sesetengah orang tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri?

Hubungan Tun Mahathir dan Anwar ketika mereka masih dalam UMNO mungkin sudah jadi sejarah yang tidak perlu diungkit lagi. Di situ tersimpan banyak pengajaran yang baik dan buruk untuk dijadikan pedoman bersama.

Tetapi, hubungan mereka berdua ketika bersama Pakatan Harapan dan kini menjadi kerajaan tentunya tidak sama dengan yang dulu itu.

Oleh itu, sesuai dengan Tun Mahathir sendiri sudah mengulangi janjinya itu, semua kita dan tidak kita siapa kita, menjadi kewajipan sebenarnya untuk menjadikan janji peralihan kuasa itu suatu kenyataan.

Janji peralihan kuasa kepada Anwar adalah salah satu manifesto Pakatan Harapan yang membuahkan kejayaan kepada gabungan itu sehingga mampu menumbangkan UMNO dan BN.

Jika janji itu gagal terlaksana, bermakna satu lagi manifesto PRU14 gagal ditunaikan janjinya, selain ia juga mungkin memberi kesan tidak elok kepada nama baik Tun Mahathir sebagai seorang negawaran kepada generasi akan datang.

Sudah tentu ramai akan berkata - sampai hati Tun Mahathir sehingga dua kali mengecewakan Anwar untuk jadi Perdana Menteri!!

Bermula dengan Tun Mahathir berkunjung ke mahkamah untuk berjumpa dengan Anwar untuk memulakan hubungan yang lama sudah terputus, pertalian kedua-duanya terus berkembang sehingga Tun Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, calon Perdana Menteri dan akhirnya bersetuju untuk melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.

Dalam hal ini, jika kita boleh menerima dengan baik semua yang berlaku antara Tun Mahathir dan Anwar sebelum ini, mengapa setelah berjaya menjadi kerajaan, soal peralihan kuasa mula dipertikai dan tidak dipersetujui?

Kenapa tiba-tiba ada yang tidak mahu Anwar jadi Perdana Menteri?

Mengapa sebelum Tun Mahathir berbaik-baik dengan Anwar, persoalan mengenai Presiden PKR itu tidak pernah berbangkit sama sekali?

Malah, kalau kita boleh menerima Tun Mahathir, kenapa pula Anwar tidak boleh diterima, sedangkan gandingan dan muafakat kedua-dua pemimpin itulah yang berjaya melonjakkan sokongan kepada Pakatan Harapan sehingga BN dapat ditumbangkan?

Selain itu, kalau bukan Anwar, siapakah pemimpin lain yang boleh dipersetujui oleh Pakatan Harapan secara konsensus untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir?

Jika tidak ada, tidak bolehkah kita bersama-sama  memastikan Tun Mahathir menunaikan janjinya itu dengan lancar dan kemudian beliau dapat bersara dengan tenang dan aman tanpa terbeban dengan sebarang kecaman yang tidak sepatutnya setelah ketiadaannya? (ShahbudinHusin 27/09/2018).

Mahathir tempelak dakyah pembangkang burukkan hubungan dengan Anwar


Adu domba jentera propaganda pembangkang melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim disanggah apabila Perdana Menteri mengulangi komitmen dan janji bahawa Anwar sebagai pengganti beliau.

“Itu janji saya,” kata Dr Mahathir menjawab soalan dalam Forum Tahunan Kedua Perniagaan Global Bloomerg di New York semalam.

Jelasnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, rakyat sememangnya mahukan perdana menteri baru tetapi tiada pilihan kerana ketika itu Anwar berada dalam penjara dan tidak boleh meneraju parti.

“Justeru, saya bersetuju bahawa saya akan berada di sana mungkin untuk dua tahun dan pemimpin baru akan mengambil alih kepimpinan,” katanya lapor The New Straits Times.

Katanya, beliau tidak akan lama memegang jawatan Perdana Menteri dan berkongsi bagaimana parti komponen Pakatan Harapan melupakan perbalahan silam dan menjalinkan kerjasama untuk menumbangkan Barisan Nasional yang dipimpin Datuk Seri Najib Razak.

“Saya berjanji bahawa saya tidak akan kekal lama sebagai perdana menteri. Mungkin dua tahun, mungkin lebih, mungkin kurang.

“Apa yang penting ialah kita mempunyai kerja sama empat parti. Beberapa sejarah lalu kami tidak menyumbang kepada kerja sama itu.

“Justeru, kami perlu melupakan perkara lalu dan menumpukan kepada isu penting yang pada masa itu ialah untuk menumbangkan perdana menteri sebelum ini. Untuk itu kami sedia melupakan perbalahan lalu,” katanya.

Laporan ini dibuat selepas Umno mendakwa kononnya sedang menunggu untuk menjadi ‘kerajaan perpaduan’ dengan mana-mana parti Pakatan Harapan. 


INGATAN KEPADA TUN MAHATHIR - JANGAN KETEPIKAN TERUS ORANG POLITIK



Selepas beberapa lantikan daripada kalangan profesional untuk mengetuai agensi kerajaan dan GLC sebelum ini, hari ini tiga lagi perlantikan diumumkan iaitu di MARA, Perbadanan Stadium Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Bagi jawatan Pengerusi  MARA, nama yang diumumkan ialah Dr.Hasnita Hashim daripada Maybank, manakala Tony Fernandes, tuan punya syarikat penerbangan Air Asia dilantik mengetuai Perbadanan Stadium Malaysia dan Al-Ishsal Ishak daripada Pos Malaysia dilantik sebagai Pengerusi SKMM.

Sebagai memenuhi janji manifesto PRU14, meskipun masih ada lagi janji 100 hari yang belum ditunaikan, tidak mustahil selepas ini semua agensi kerajaan dan GLC akan turut diketuai oleh golongan profesional belaka.

Lalu, apa jadi kepada pejuang-pejuang politik yang bertungkus-lumus memenangkan Pakatan Harapan dalam pilihanraya yang lalu?

Wajarkah mereka diketepikan begitu saja, manakala yang tidak menyumbang apa-apa, jauh sekali pernah berpanas dan berhujan,  terus diberikan jawatan serta habuan?

Lebih sadis barangkali, Tony Fernandes yang kita semua tahu telah berkempen secara terang-terangan untuk Najib Razak dan BN, turut juga diberikan jawatan dalam kerajaan?

Apa sudah jadi?

Bolehkah dalam kesibukan beliau menguruskan AirAsia dan perlu terbang ke banyak negara, dalam masa yang sama memberi tumpuan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia?

Tidak cukup dengan itu, Tony Fernandes juga dilaporkan masih mempunyai hutang tertunggak berjumlah ratusan juta dengan Malaysia Airport Berhad atau MAB sekarang ini.

Lihat betapa untungnya beliau, orang lain lain kalau ada hutang tertunggak dengan kerajaan, bukan saja jangan harap hendak dapat apa-apa jawatan, bahkan nama juga akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen.

Bersama lantikan Dr. Hasnita itu, turut diumumkan ialah perlantikan enam ahli majlis MARA yang kononnya semua daripada kalangan profesional juga.

Tetapi, daripada enam nama itu tersenarai pula nama Dr. Nungsari Ahmad Radzi, bekas Ahli Parlimen BN Balik Pulau, Pulau Pinang daripada tahun 1995 hingga 1999.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah pun mengumumkan perlantikan Dr. Nungsari sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia atau Mavcom.

Kalau kerajaan PH tak mahu beri jawatan kepada orang politik dalam agensi dan GLC, kenapa bekas Ahli Parlimen dan orang politik BN senang-senang diberikan jawatan?

Apakah Dr.Nungsari terlalu istimewa di mata kerajaan PH sampai dua jawatan  diperolehi dalam tempoh tidak sampai 4 bulan?

Apakah di dalam PH sendiri tidak ada bekas menteri atau bekas Ahli Parlimen yang layak untuk mengetuai mana-mana agensi dan GLC?

Sampai bila sebenarnya kerajaan PH mahu mengenepikan orang-orang politik?

Terlanjur Tun Mahathir Mohamad pernah mengatakan bahawa manifesto bukannya kitab suci, perkara pertama yang mesti beliau lakukan ialah mengingkari ketetapan bahawa tiada lantikan politik sebagaimana yang terkandung dalam manifesto itu.

Kandungan manifesto itu bukan saja tidak adil kepada mereka yang pernah mengeluarkan peluh, airmata dan darah demi perjuangan, bahkan antaranya sanggup bermalam di penjara untuk menumbangkan BN, malah merbahaya kepada masa depan PH sendiri.

Jika orang politik tidak diberikan apa-apa, siapakah yang mahu meneruskan perjuangan selepas ini?

Mahu dan mampukah kalangan profesional ini mempertahankan kerajaan PH dalam pilihanraya akan datang?

Lebih daripada itu, jika alasan kononnya lantikan politik itu akan mendedahkan mereka kepada campurtangan dan mungkin mengambil kesempatan dengan jawatan yang disandang, maka ada baiknya kerajaan PH meminda saja perlembagaan agar menteri dan timbalan menteri juga hendaklah dilantik bukan daripada kalangan ahli politik seperti yang diamalkan di Amerika Syarikat misalnya.

Bukankah, jika campurtangan dan mengambil kesempatan dengan jawatan dalam kerajaan mahu dijadikan ukuran, mereka yang menjadi menteri dan timbalan menterilah paling terdedah sekali untuk berbuat demikian?

Untuk itu, sebelum perkara ini menjadi rungutan yang kian membarah sehingga ke bawah, Tun Mahathir perlu segera mengkajinya dan memberi peluang sewajarnya kepada orang-orang politik dalam PH sendiri untuk memegang jawatan-jawatan tertentu dalam agensi kerajaan dan juga GLC.

Jangan diketepikan terus orang politik, merekalah yang berjuang dan memenangkan Pakatan Harapan. Untuk mengekalkan kemenangan PH di masa akan datang, merekalah juga orangnya. 

Sebaliknya, orang profesional ini, baik sama ada PH atau BN yang memerintah, mereka biasanya pandai membawa diri, malah ramai yang sanggup bermuka-muka dan mencium tangan pemimpin yang sedang menguasai kerajaan.

Dalam hal ini, bukanlah bermakna semua orang politik PH perlu diberikan jawatan. Tetapi, tidakkah dalam PH sendiri ramai kalangan yang berkelayakan, berkelulusan, bertaraf profesional sebelum mereka menceburi politik, bekas Ahli Parlimen dan bekas menteri?

Kenapa tidak diberikan jawatan kepada mereka itu?

Pokoknya, jika ingin kerajaan PH kekal lama dan terus kuat, mengabaikan perlantikan daripada kalangan orang politik adalah keputusan yang silap, silap dan silap.

Ia perlu diperbetulkan dengan segera sebelum terlambat. Orang politik dan profesional mesti seimbang kedudukannya dalam kerajaan agar kepentingan semua pihak dapat dipelihara.

Seruan dan ingatan ini memang ditujukan kepada Tun Mahathir, tetapi jika beliau terlalu sibuk, diharap Tun Daim Zainuddin selaku Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan dapat sama menelitinya dan kemudian menyampaikannya kepada Perdana Menteri demi kebaikan PH seluruhnya. (ShahbudinHusin 26/09/2018)
Anda mungkin juga meminati: