ZAINUDDIN OMAR
Filem Mat Kilau pun saya tak tengok lagi kerana storyline yang
tak tepat.
Saya tunggu dulu ulasan dari pengkritik filem sama ada akan
menonton filem ini.
Saya menjangkakan Tun Dr Mahathir tak akan menonton filem ini
walau diberi tiket percuma. Ahaks.
*******************
Anwar Ibrahim mengakui sukar untuk dia memberikan banyak ulasan
selepas menonton filem mengenai dirinya kerana ada banyak babak yang dipaparkan
di situ adalah detik-detik yang "mahu dilupakan".
Kata perdana menteri, ada antara adegan dalam filem Anwar: The
Untold Story adalah detik pahit dan enggan dikenang lebih lama kerana ia
dirasakan benar-benar melukakan jiwanya dan keluarga.
“Saya sukar nak ulas filem itu disebabkan ada episod dalam
kehidupan yang saya mahu lupakan kerana ia amat menyakitkan.
“Berat beban itu juga banyak yang ditanggung oleh Azizah dan
anak-anak,” katanya ketika ditemui seusai menonton naskhah berkenaan di sebuah
kompleks beli belah di Kuala Lumpur malam tadi.
Turut hadir ialah isterinya yang juga bekas timbalan perdana
menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid
Hamidi.
Walaupun 'sukar' menyaksikan apa yang diceritakan dalam filem
tersebut, Anwar tetap memuji karya sentuhan pengarah Viva Westi itu sebagai
luar biasa.
Kisah yang perlu diceritakan
Antaranya kerana sutradara terbaik Festival Filem Indonesia 2008
itu dapat meringkaskan kisah selama 23 tahun perjalanan hidupnya kepada sebuah
naskhah berdurasi kira-kira 90 minit.
“Sebagai orang yang diceritakan dalam filem itu, tentu saya dan
Azizah tersentuh.
"Sepanjang tempoh di penjara, hanya sekali saya menangis
iaitu apabila ibu saya meninggal dunia, kerana itu saya memang tak boleh kawal,
yang lain-lain itu 'senyum dalam tangisan.'
"Juga, walaupun dialog waktu kejadian banyak, tak 100
peratus dapat disimpan dalam ingatan isu yang dibangkitkan oleh pengarah adalah
benar dan ini rahsia umum yang harus diceritakan.
“Perbualan itu panjang, tapi dirumuskan dengan tepat, konteks
itu betul.
“Saya akui ia berdasarkan peristiwa berlaku puluhan tahun lalu,
tapi disingkatkan untuk tayangan di panggung selama dua jam, ia bukan mudah.
"Sinematografinya juga sangat baik, ini yang saya dapat
kesan di situ,” katanya.
Terdahulu, Anwar bersama Wan Azizah hadir menyaksikan tayangan
perdana Anwar: The Untold Story yang menceritakan sebahagian perjalanan hidup
ahli parlimen Tambun itu sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan
sebelum disingkirkan dari kerajaan serta parti pada 1998.
Ia juga memaparkan langkah yang diambil bekas ahli parlimen
Permatang Pauh dan Port Dickson itu dalam menangani isu rasuah dalam negara.
Filem terbitan Bianglala Entertainment yang menelan belanja RM10
juta itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 18 Mei ini.
Majlis tayangan perdana malam tadi adalah anjuran DMY Creation
yang juga pengedar rasmi filem tersebut.
Ia turut dihadiri beberapa tetamu kehormat, tokoh politik,
penggiat industri kreatif serta personaliti terkenal tempatan seperti Siti
Nurhaliza.
Siti Nurhaliza juga merupakan penyanyi lagu runut bunyi filem
berkenaan yang berjudul Menjaga Cintamu hasil ciptaan Andi Rianto dan lirik
nukilan Sekar Ayu Asmara.
Filem itu dibintangi pelakon seperti Farid Kamil yang memegang
watak utama sebagai Anwar, selain Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir Mohamad).
Turut menjayakan Anwar: The Untold Story ialah Acha Septriasa
(Wan Azizah), Saskia Chadwick (Nurul Izzah), Dewi Irawan (ibu Anwar) dan Piet
Pagau (bapa Anwar).
Anwar turut mengulas mengenai keterbukaannya memberi ruang
kepada Viva untuk menceritakan kisah tersebut dengan bebas agar ia menjadi
lebih menarik.
Ia termasuk membabitkan dialog yang boleh dianggap menyinggung
perasaan.
“Saya beri hak kepada penerbit untuk bebas dan jadi lebih
kreatif disebabkan ini adalah hasil seni, kita harus beri peluang walaupun ada
dialog yang menyinggung perasaan termasuk ia memaparkan kritikan.
“Saya tak bercadang untuk sunting karya ini kerana saya percaya
kita harus berikan ruang untuk perbahasan.
“Saya juga maklumkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional
bahawa prinsip seni itu harus lebih bebas agar tercungkil kreativiti.
"Kalau ia benar - teruskan, kerana kalau tidak, kita tak dapat
angkat martabat seni apabila ia terlalu terkongkong dan terikat dengan
tapisan,” katanya.