Mat Sabu : Malaysia Masih Terperangkap Dalam Dunia Primitif

SEBERANG JAYA 12 JULAI: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengungkapkan negara Malaysia masih berada di alam primitif dunia ke tiga berikutan kecenderungan pihak berkuasa mengasari rakyat bagi melindungi kepentingan pemimpin.

Sehubungan dengan itu beliau merayu kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar menjaga keselamatan rakyat dan bukan menjadi alat Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau yang cedera di lutut kiri ekoran tindakan ganas polis pada perhimpunan gabungan Bersih di ibu negara Sabtu lalu menyamatarafkan corak diktator pemerintahan di Malaysia dengan Burma.

Katanya, kebanyakkan negara rantau Asia Tenggara telah mengorak langkah memperbaiki sistem perundangan dan gerak kerja pasukan polis berlandaskan prinsip menjaga keselamatan rakyat dan negara.

"Ketua polis Jakarta kata kepada rakyat (Indonesia) kalau mahu sertai himpunan tunjuk rasa, sila keluar awal. Ikut laluan yang telah ditetapkan...... jaga lalu lintas dengan baik," ujarnya.

Namun ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, apa yang terjadi di Malaysia adalah sebaliknya di mana kerajaan pemerintah memperhambakan polis untuk menyakiti rakyat demi mengekalkan kuasa mereka.

" Bilakah hendak keluar dari alam primitif ini?,"soal beliau.

Mat Sabu sebelum itu menceritakan kepada pengunjung tentang kejadian ditangkap polis ketika sedang membonceng motosikal menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan solat Zohor pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, ketika itu beliau bersama rakan yang menunggang motosikal tiba-tiba dirempuh kereta polis dari arah tepi hingga menyebabkan beliau tercampak ke jalan raya.

Ekoran itu, doktor hospital swasta mengesahkan ligamen lutut kanan beliau telah koyak dan akan menjalani pembedahan pada Jumaat nanti, jelas beliau lagi.

"Kamu dapat melukakan lututku, tapi tidak dapat lukakan otakku," ujar beliau disahut gelak ketawa hadirin.

Terdahulu, Mat Sabu menduduki tempat kedua senarai individu yang dilarang masuk ke Kuala Lumpur pada 9 Julai selepas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga.

Beliau seterusnya mendakwa senarai larangan tersebut telah dikeluarkan oleh Umno-BN kepada polis untuk mengekang kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) dan Pakatan Rakyat daripada mengepalai perhimpunan itu.

Mat Sabu kemudian tidak menolak dakwaan bahawa anggota polis telah disuntik doktrin perkauman oleh Umno-BN.

Tuduhan itu dilemparkan apabila mendapati sesetengah anggota polis yang mengarahkan supaya kaum Melayu untuk tidak mengikut telunjuk Ambiga yang berbangsa India menyertai perhimpunan Bersih.

" Kami bukan kira siapa Ambiga yang ketuai kami, kami melihat kepada tuntutan lapan perkara (yang dibawa Bersih)," kata Mat Sabu.

Dalam pada itu beliau menuduh Najib sebagai seorang pembohong dan hanya layak untuk menjadi suami kepada Rosmah Mansor.

Kenyataan tersebut diungkap berdasarkan respon Perdana Menteri itu yang tidak berpegang kepada kata-kata apabila gagal membenarkan rakyat berhimpun di Stadium Merdeka walaupun telah mendapat pekenan Yang diPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Najib bohong, Najib bohong, Najib Perdana Menteri bohong, Najib Perdana Menteri bohong," tempik beliau sambil disambut oleh kira-kira lima ribu rakyat yang hadir ke Tapak Exco Seberang Jaya, malam tadi.

Sementara itu, pada sidang media di ibu negara hari ini, Mat Sabu berkata, gambaran yang cuba diberikan oleh media arus perdana tentang kerugian yang dialami oleh peniaga pada himpunan Bersih, hakikatnya tidak akan berlaku sekiranya kerjasama baik diberikan oleh kerajaan dan polis.

“Bayangkan kalau pihak polis bekerjasama memberi tiga jam misalnya... rakyat berkumpul secara aman berjalan dari Dataran Merdeka ke Istana Negara sudah tentulah himpunan aman.

"Peniaga-peniaga di Kuala Lumpur akan bergembira dengan kehadiran ratusan ribu rakyat yang akan berbelanja di sini tetapi semua berlaku kucar-kacir kerana tindakan polis yang dihantui oleh Umno yang sedang lemas," kata beliau kepada media.

P'raya Bersih: Tubuh Suruhanjaya DiRaja, kata Ambiga

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mahukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuh untuk menambah baik proses pilihanraya secara menyeluruh sebelum Pilihanraya Umum ke-13.
Presidennya Ambiga Sreenevasan berkata penubuhan RCI itu akan menjadi agenda utama Bersih setelah gabungan itu berjaya menghimpunkan puluhan ribu orang di Kuala Lumour Sabtu lalu untuk menuntut pilihanraya yang adil dan telus.
"Kami percaya langkah terbaik untuk terus maju ke hadapan adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja di mana ahli-ahlinya dipilih dan diterima rakyat," kata beliau dalam satu sidang media di sini.

Beliau merujuk kepada laporan Berita Harian hari ini bahawa sebarang perubahan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya dibuat atas inisiatif badan itu sendiri dan bukan kerana akur kepada tuntutan Bersih 2.0 Sabtu lalu.
Ambiga berkata SPR harus membuktikan kesungguhan mereka untuk merealisasikan hasrat rakyat yang mahukan pilihan raya adil dan bebas.

"Kami menyeru supaya perkara berikut dilaksanakan. Pindaan ke atas proses pilihan raya yang telah dicadangkan oleh SPR kepada pihak kerajaan yang tidak dilulus harus diumumkan kepada orang ramai. Dan dialog umum dengan SPR berkenaan dengan tuntutan-tuntutan Bersih 2.0," perlu dilakukan kata Ambiga.

Beliau juga kesal dengan tindakan polis yang secara terus-menerus membuat gangguan terhadap mereka yang menyokong Bersih atas alasan ia sebuah organisasi haram.

Semalam, beberapa orang di Johor Bharu dan Sandakan telah ditangkap kerana memakai baju kuning berlogo Bersih.

Ambiga menyatakan Bersih kini sedang meminta campur tangan mahkamah bagi mencabar arahan Menteri Dalam Negeri itu.

"Mereka melakukan tangkapan atas arahan KDN kerana mendakwa kami tidak sah. Oleh itu kami failkan permohonan di mahkamah untuk cabar arahan menteri," katanya.

Tunaikan Tuntutan, Atau Hadapi Bersih 3.0- Mat Sabu

KUALA LUMPUR 12 JULAI : Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan Bersih jika tidak mahu berhadapan dengan Bersih 3.0.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, empat daripada tuntutan yang dikemukan Bersih kepada SPR itu hakikatnya boleh dilaksanakan oleh agensi itu pada bila-bila masa sahaja.

“Bersih kemukakan lapan dan empat tuntutan boleh dilakukan janganlah berdolak-dalih, kalau pilihan raya adil Barisan Nasional (BN) nak menang sampai bila pun, menanglah... kami tiada masalah terima kekalahan, yang kami tidak mahu adalah penipuan berlaku.

“Jika SPR tidak mahu buat perubahan segera, kami akan cadangkan kepada Bersih untuk buat perhimpunan sekali lagi... ada tuntutan yang boleh disegerakan SPR dan kalau tiada perubahan, kami akan desak Bersih buat perhimpunan yang lebih besar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bersih 2.0 menuntut lapan perkara iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Laporan lanjut menyusul........

Anwar : Perjuangan Tak Akan Berakhir Selagi Pilihan Raya Tak Bersih

SEBERANG JAYA 12 JULAI: Pakatan Rakyat yang mendokong perjuangan gabungan Bersih 2.0 dalam menuntut reformasi pilihan raya tidak akan berhenti mendesak sehingga perubahan menjadi kenyataan, menurut Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kelunturan tatakelola dalam negara mengkibatkan rakyat tidak boleh bergantung kepada sistem kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan hak di tanah air.

"Kita telah cuba hantar memorandum, sidang parlimen, perhimpunan dan kita tidak akan berhenti selagi tidak berubah," kata beliau.

Berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin di ceramah penerangan kerajaan negeri Pulau Pinang semalam, Anwar menggambarkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak gagal memperbaiki sistem pilihan raya walaupun setelah 54 tahun memerintah.

Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini dikawal sepenuhnya oleh rejim Umno-BN untuk mengekalkan monopoli kuasa.

Kehadiran Anwar bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu disambut baik oleh ribuan penyokong yang membanjiri tapak expo Seberang Jaya.

Dalam ucapanny,a beliau menggesa agar rakyat menghayati tuntutan gabungan Bersih 2.0 yang bertujuan menambahbaik sistem pilihan raya memandangkan terdapat banyak bukti yang diperolehi memamparkan kegagalan SPR bertindak sebagai badan bebas di bawah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, terlalu banyak laporan menyatakan wujud lebih daripada sepuluh nama pengundi didaftarkan pada sebuah rumah termasuk kepimpinan Pakatan Rakyat, Azmin Ali.

"Angkuhnya SPR sehingga rumah pemimpin dijadikan pusat pengundi hantu," ujar beliau.

Ketua Pembangkang itu berkata, Perdana Menteri Najib Razak selepas perhimpunan Bersih Sabtu lalu terpaksa bertindak membayar penyokongnya bagi menampilkan imej bahawa parti Umno masih relevan di negara ini.

Justeru beliau menyeru supaya kebangkitan rakyat dijadikan tunjang perubahan sistem di negara ini dan bukan terletak kepada kepimpinan.

Gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan aman "Berjalan Untuk Demokrasi" Sabtu lalu mendapat respon baik daripada masyarakat seluruh negara.

Ianya turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat yang rata-ratanya golongan pertengahan dan rendah yang menagih sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

Namun perhimpunan yang pada mulanya aman bertukar menjadi ganas apabila polis menggunakan sepenuh tenaga untuk melakukan kekasaran kepada rakyat bagi menghalang gelombang perubahan terus mara.

Akibat daripada itu seramai 1,667 orang ditangkap dan puluhan yang lain cedera termasuk pemimpin Pakatan Rakyat.

Anwar sebelum itu menjelaskan kepada hadirin tentang bagaimana polis dengan sengaja menembak gas pemedih mata ke arah beliau sehingga mendatangkan kecederaan pada Sabtu lalu.

Susulan kejadian yang berlaku, ahli parlimen Permatang Pauh itu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana disyaki mengalami masalah tulang belakang.

Beliau yang hadir dengan memakai pemaut leher kelihatan masih lesu namun yang lebih mengecewakan menurut beliau, kepimpinan Najib menuduh dirinya segaja dicederakan untuk mendapat simpati rakyat.

"Najib kamu boleh pukul, dera tapi tidak boleh tahan hati rakyat. Hati yang luka itu akan bangkit," tambah beliau disahut laungan gemuruh penyokong yang hadir.

Anwar turut mengecam tindakan polis yang melakukan kekerasan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang pada perhimpunan di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Jelasnya, beliau berpegang teguh kepada nasihat Hadi yang tidak keberatan untuk turun sekali lagi bersama rakyat menentang kezaliman kerajaan Umno-BN.

Dakwaan mengatakan kaum Cina tidak menyertai perhimpunan itu adalah meleset menurut beliau berikutan respon daripada kaum itu amat mengalakkan terutama di kalangan generasi muda.

 Melihat kepada sambutan penyokong berbilang kaum yang hadir semalam, ternyata rakyat kini mula mendapat gambaran sebenar tentang reformasi yang dilaung-laungkan oleh badan bukan kerajaan dan Pakatan Rakyat.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk menagih sistem demokrasi tulen di negara ini tanpa ditekan mana-mana pihak.

Malah ada di antara mereka yang menggelarkan semalam adalah 'Bersih 3.0' ekoran kehadiran ramai pada siri ceramah itu.

Keganasan Bersih 2.0 : Amnesty International Desak UK Tekan Najib

KUALA LUMPUR 12 JULAI : Amnesty International mendesak Britain memberi tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menghalang Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu lalu yang memperlihatkan tindakan keras pihak berkuasa ke atas peserta himpunan.

Menurut Timbalan Pengarah Asia Pasifik Amnesty International Donna Guest, selain menahan peserta perhimpunan, pihak keselamatan turut melepaskan gas pemedih mata secara terus kepada perhimpunan dan dalam kawasan hospital sebagai usaha menggagalkan perarakan ke Stadium Merdeka.

Malah Guest menambah, ramai peserta himpunan yang telah dikasari.

“Terdapat rakaman video di YouTube menunjukkan anggota polis berpakaian preman menendang seorang peserta yang terbaring di atas jalan sementara polis yang berpakaian seragam hanya melihat.

“Pihak keselamatan juga menembak gas pemedih mata terhadap peserta perhimpunan termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah tercedera dan Khalid Samad (ahli parlimen Shah Alam) yang turut mengalami kecederaan,” katanya.

Oleh itu kata Guest, kerajaan Britain pimpinan David Cameron harus campur tangan dengan menasihatkan pentadbiran Najib berhubung keganasan pihak keselamatan ke atas peserta Himpunan Bersih 2.0.

Najib memulakan lawatan rasmi sulung ke Britain sejak menjadi perdana menteri hari ini.

“Kerajaan Britain tidak harus memberi ganjaran terhadap keganasan ini dengan menghamparkan karpet merah untuk perdana menteri Malaysia.

“David Cameron harus memberitahu perdana menteri Malaysia bahawa ia adalah pencabulan ke atas peserta perhimpunan aman dan ia tidak boleh diterima,” katanya.

Selain itu, kata Guest, beliau juga berharap Vatican dapat memberi tekanan kepada Najib supaya menghormati hak asasi manusia ketika pemimpin nombor satu Malaysia itu melawat ke Rom minggu ini.

“Kerajaan Perdana Menteri Najib telah bertindak ke atas ribuan rakyat Malaysia yang mempunyai hak untuk berkumpul secarta aman.

“Keganasan yang dilakukan pihak berkuasa bertentangan dengan hak asasi manusia dan ia tidak boled dibiarkan. Mana-mana perhimpunan selepas ini patut dibenarkan dan pihak berkuasa harus menghormatinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru tegas Guest, pihaknya menuntut pentadbiran Najib menyiasat kegagalan pihak keselamatan memberi bantuan segera kepada Baharuddin sebelum dia menemui meninggal dunia.

“Ia termasuk dakwaan mengatakan ambulans tiba di tempat kejadian satu setengah jam selepas Baharuddin jatuh pengsan,” katanya.

Pada perhimpunan Bersih 2.0, 1,667 telah ditahan termasuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

“Penggunaan keganasan oleh pihak keselamatan secara berlebihan ini sepatutnya tidak perlu kerana ia akan menakutkan rakyat,” kata Guest lagi.