KUALA LUMPUR 31 OKT : Meskipun berdepan ancaman ugutan, sokongan terhadap Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sedikitpun tidak terjejas. Sebaliknya penyokong beliau bertindak menubuhkan Saketeriat Professor Aziz Bari.Penubuhan Saketeriat yang mendapat persetujuan Aziz sendiri dianggotai oleh individu dari pelbagai bidang. Antaranya tokoh akademik dan usahawan dari bidang Pengurusan Sumber Manusia, peguam dan pensyarah dalam bidang perundangan, ekonomi serta kemanusiaan dan sukarelawan.
Menurut Aziz, penubuhan sakateriat ini memberikan platform kepada golongan muda yang bersemangat untuk melontarkan idea terhadap isu semasa walaupun menghadapi kesukaran untuk bergiat secara aktif di dalam parti politik.
"Penubuhan ini saya persetujui bagi membolehkan platform untuk masyarakat sivil khususnya ganerasi muda untuk tampil ke depan memperjuangkan isu-isu yang memberikan kesan atau berlegar-legar dalam masyarakat.
"Jadi kita mengharapkan dengan adanya sekretariat ini, masyarakat tidak kekok untuk bersuara," katanya.
Antara objektif sakreteriat ini adalah:
* Mempromosikan segala gagasan, idea dan pandangan Professor Abdul Aziz Bari yang berkaitan kedaulatan undang-undang khususnya dalam perkara yang terdapat di dalam perlembagaan negara
*Memobilisasikan pelbagai pihak sama ada badan politik atau badan pertubuhan bukan kerajaan agar memahami isu-isu penting dalam perlembagaan dan menghayati semangat perlembagaan.
*Menggerakkan institusi serta anggota masyarakat melalui aktiviti ilmiah agar memahami segala aspek perlembagaan seperti isu federalisme, Melayu dan Islam dalam perlembagaan dan aspek lain yang berkaitan masyarakat.
*Menyediakan ruang seluas mungkin kepada sesiapa sahaja yang ingin berbincang ataupun berbahas berkenaan kedaulatan undang-undang berdasarkan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam perlembagaan.
Antara aktiviti yang bakal digerakkan adalah ceramah berkaitan ke arah memahami perlembagaan, bengkel bertemakan menghayati semangat perlembagaan dan siri modul penerangan ringkas.
Sementara itu, Aziz berkata di telah memberi keterangan polis di Ibu Pejabat Gombak hari ini berhubung ugutan sebutir peluru yang telah diposkan ke rumah beliau di Gombak semalam.
Bersama peluru itu, diselitkan sepucuk surat bertulis: "Jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti".
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan ugutan ini mungkin berpunca daripada rasa berang beberapa pihak ekoran laporan media berkenaan laporan polis yang menuduh beliau sebagai penderhaka dan biadap kepada sultan.
"Apa pun ini tidak mematahkan semangat saya oleh kerana saya berfikir kita masyarakat Malaysia harus konsisten dan tidak harus menyerah kepada aliran ataupun kebangkitan pergerakan ala fasis ini, ataupun golongan ekstrim kanan yang malangnya diterajui dan diberikan lonjakan oleh bekas-bekas pegawai kanan pasukan keselamatan kerajaan yang menyamakan hak asasi dengan komunis dan sebagainya.
"Gerakan bersifat kanan ini juga menggunakan agama, kaum, kemelayuan sempit untuk mengapi-apikan semangat yang saya fikir ada semacam kaitan barangkali dengan kebangkitan fasis yang membimbangkan.
"Saya rasa tujuan kami juga untuk mengelakkan dan memberikan satu alternatif kepada pergerakan ini kerana saya fikir ini tidak sihat," katanya.
Kontroversi Aziz bermula bila dia menulis tentang titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Dalam tulisanya Aziz berkata Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan dalam isu DUMC tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.
Lantaran itu, pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melakukan siasatan terhadap beliau.
Aziz juga digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) selama beberapa hari.
Pengantungannya mencetus demonstrasi di UIA dan bantahan daripada beberapa pihak termasuk ahli politik dan persatuan kakitangan universiti lain.