Apa yang perlu anda ingat tentang skandal Tabung Haji ?


‘Skandal Tabung Haji’ muncul di tengah hangat kita bersembang tentang bagaimana syarikat berpenyakit milik kerajaan, 1MDB; sedang bergelut untuk melunaskan hutangnya yang menggunung.

Nama Tabung Haji dipetik apabila ia didapati telah membeli sebidang tanah Tun Razak Exchange, seluas lebih sedikit daripada separuh padang bola, dengan harga yang luarbiasa mahal. Ini dipercayai telah dilakukan bagi membantu 1MDB melunaskan hutang-hutangnya.

Kebetulan, pengerusi Tabung Haji ketika hal ini terjadi adalah tidak lain, Azeez Rahim; bekas Ahli Parlimen Baling, yang duduk sangat hampir ke tengah lingkaran dalaman mantan perdana menteri merangkap suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Lebih menarik lagi, ketika itu; empat orang Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji turut berada dalam lembaga pengarah 1MDB. Empat orang ini harus dihafal nama mereka, iaitu; Datuk Johan Abdullah, Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Abdul Samad Alias dan akhir sekali, peminat kasut merah; Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Skandal Tabung Haji meletup seawal Mei 2015. Dua bulan sebelum skandal 1MDB meletup di akhbar Wall Street Journal dengan segala macam pendedahan, diikuti tindakan undang-undang oleh DOJ tentang wang dari akaun ‘Tanore’ yang masuk ke akaun peribadi mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib.

Najib Razak mengambil masa yang begitu lama untuk bersilat dengan alasan dan justifikasi terhadap duit derma orang kaya Arab yang mulanya tidak wujud, namun kemudian diakui, dan kemudian dikembalikan sebahagiannya. Namun langkah, bunga dan buah Najib Razak ternyata sia-sia belaka.

Setelah Najib Razak dan juak-juaknya tersungkur dalam pilihanraya 9 Mei lalu, Azeez Rahim meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Tabung Haji pada 24 haribulan.

26 September, Azeez muncul di mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM.

1 Disember, Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap Azeez Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah. Ya, nama-nama ini kita ada sebut awal tadi.

Bukan sahaja itu, beberapa nama pengurusan kanan lain dipetik termasuk Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat Dan Harta Tanah).

2 Disember, media melaporkan bahawa pada tahun 2016; Tabung Haji didakwa memalsukan buku akaunnya. Ini dilakukan untuk memberi ilusi prestasi cemerlang badan tersebut demi mewajarkan dividen 6.25 peratus yang diumumkan menjelang pilihanraya lalu.

Dividen berjumlah RM2.7 bilion dibayar tiga bulan sebelum pilihanraya.

Itu belum campur soal kehilangan RM4 bilion daripada RM64 bilion yang dimasukkan pendeposit ke tabungan rukun Islam kelima itu. Perkara serupa pernah dibangkitkan Rafizi Ramli pada tahun 2016. Berbakul Rafizi kena maki.

Siapa dia ‘pendeposit’ yang dimaksudkan? Ya, ibu ayah kita di kampung yang menabung lama untuk mengerjakan haji. Hasil berniaga nasi lemak, menoreh getah, ambil upah jaga budak.

Dah marah belum?


Kerusi MB Pahang pula goyang?


Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail yang dikaitkan dengan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Wan Rosdy yang juga Adun Jelai dikatakan memberi rasuah secara terus atau melalui orang tengah kepada masyarakat Orang Asli di Parlimen Cameron Highland yang sebelum ini dimenangi calon Barisan Nasional, Datuk C Sivarraajh.

Mahkamah Pilihan Raya pada minggu lepas membatalkan kemenangan Sivarraajh selepas calon DAP M Manogaran berjaya membuktikan amalan rasuah yang dilakukan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 lalu.

“Nama Adun Jelai dibabitkan dalam kes pemberian wang ini namun menurut laporan media, beliau tidak hadir dalam perbicaraan tersebut.

“Adakah ini bermakna pilihan raya semula bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepatutnya di lakukan semula serentak?” soal Tengku Zulpuri yang juga Timbalan Menteri Sumber, Tenaga dan Air kepada Roketkini.

Menurut beliau, keputusan mahkamah berkenaan boleh dijadikan rujukan kes untuk mana-mana kawasan yang didakwa melakukan rasuah pilihan raya termasuk kawasan DUN di Parlimen berkenaan. DUN Jelai terletak di bawah Parlimen Cameron Highland.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan Sivarraajh di Parlimen Cameron Highland selepas mendakwa calon BN itu melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran juga mendakwa Sivarraajh, yang berkempen bersama-sama Wan Rosdy, merasuah pengundi Orang Asli antara RM30 dan RM1,000.

Pada 30 Disember lalu, Hakim Datuk Azizah Nawawi mengarahkan kerusi Parlimen Cameron Highland dikosongkan selepas mendapati terbukti wujudnya amalan rasuah diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Sivarrajh.

Azizah berkata, wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Wan Rosdy atau ejennya untuk tujuan mendapatkan undi.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan disahkan Timbalan Ketua Pengarah Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Tengku Zulpuri dalam pada itu mengucapkan tahniah kepada Manogaran atas usahanya membongkar kes rasuah yang berlaku di Cameron Highlands semasa PRU14 lalu.

“Ternyata ia berhasil apabila mahkamah putuskan perlu pilihan raya kecil,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Raub.

'Balas dendam apa PAS?'


(Dikemaskini )

Ketua Penerangan Pusat PAS Nasrudin Hassan menyatakan harapan beliau supaya pendedahan skandal dana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak menjadi "satu lagi siri balas dendam" kerajaan terhadap BN.
Inilah sikap keprihatinan beliau terhadap Umno yang memerintah lebih 60 tahun dan meninggalkan hutang lebih RM1 trilion untuk ditanggung rakyat Malaysia.
Perlu diingat mereka yang membuat laporan polis adalah pegawai-pegawai baru yang mengambil alih pengurusan Tabung Haji.
Jika tiada laporan dibuat, merekalah yang akan dipersalahkan atas apa jua salah tadbir atau salah guna kuasa kemudian hari.
Untuk melindungi diri daripada tuduhan salah laku, selepas mengaudit kewangan Tabung Haji mengikut peraturan mereka mestilah membuat laporan apa jua kesalahan yang dikesan.
Ini juga prosedur yang diperlukan untuk laporan kepada SPRM jika diperlukan.
Ia adalah prosedur biasa, dan tidak timbul langsung isu balas dendam seperti yang dicadangkan oleh Nasrudin Hassan. Malah tidak timbul isu teori konspirasi yang dramatik.
Bermacam alasan ada
Mengimbas kembali skandal yang melanda negara kebelakangan ini, satu pola sikap sangat konsisten nampaknya telah wujud.
Apabila skandal 1MDB hangat dibahas sebelum PRU ke-14, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa Najib Razak dibenarkan menghabiskan penggal penuhnya sebagai perdana menteri.
Abdul Hadi juga menyatakan dalam skandal antarabangsa 1MDB yang luas - dan termasuk wujud elemen siber - wajib ada empat orang saksi.
Pelbagai alasan di beri untuk membela Najib.
Gambar fail
Selepas tamat tempoh Najib memerintah, hutang 1MDB sebesar bukit jadi menggunung besarnya dan bertukar sebagai skandal mega bertaraf dunia.
Timbalan presiden PAS dan beberapa anggota jawatankuasa parti itu pula - setelah diberi taklimat oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu - menyatakan mereka "berpuas hati" dengan penjelasan Arul Kanda Kandasamy.
Keadaan itu berlaku ketika tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan pakar kewangan atau akauntan.
Sekali lagi pelbagai alasan diberi untuk membela Najib.
Jelas kelihatan bahawa sekarang agenda membela Najib dan Umno menjadi keutamaan PAS.
Lebih banyak membisu
Hari ini Najib dan beberapa orang lain berdepan puluhan - atau mungkin ratusan - tuduhan serius di Malaysia serta di seluruh dunia.
Selepas pimpinan atasan PAS menggesa Najib diberi peluang menghabiskan penggal sebagai perdana menteri, dan PAS juga berpuas hati tidak ada salah laku dengan penjelasan 1MDB, syarikat itu akhirnya mencatat skandal kewangan terbesar dunia!
Anggota kabinet Najib juga terlibat dengan bermacam tuduhan di mahkamah, malah ia melibatkan dakwaan salah laku pengurusan di agensi yang dekat dengan orang Melayu, seperti Felda, Mara dan Tabung Haji.
Boleh dikatakan semuanya melibatkan hampir 100 peratus kepentingan orang Islam dan Melayu yang diikrar PAS dan Umno kononnya untuk dibela mereka.
PAS - parti Nasruddin - banyak membisu dan lebih banyak memberi alasan lemah untuk tidak menekan isu 1MDB, selain pendedahan berkaitan Tabung Haji di parlimen sejak sebelum PRU ke-13 lagi.
Gambar fail
Dakwaan balas dendam dalam isu Tabung Haji tidak timbul langsung kerana skandal itu bukan perkara yang baru ditimbulkan.
Rafizi Ramli telah menimbulkan isu salah guna kuasa dalam Tabung Haji beberapa tahun lalu malah beliau dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan.
Sebenarnya Nasrudin dan rakan-rakannya gagal menjalankan tanggungjawab mereka semasa di parlimen kerana mereka terlebih dulu berpeluang membela nasib pendeposit Tabung Haji, iaitu masyarakat Islam dan Melayu.
Justeru sekarang janganlah pula cuba mengelirukan dan mengganggu siasatan kes Tabung Haji seperti mereka cuba mengelirukan dan membela Najib dalam skandal 1MDB.
Ingatlah sebahagian besar penyimpan dan pelabur Tabung Haji bukan sahaja orang Islam dan Melayu. Sebahagian besar mereka ialah petani, nelayan dan orang kampung yang kurang kemampuan.
Mereka marhaen yang terlebih terdahulu perlu dibela PAS berbanding Najib dan rakan-rakan Umno mereka.
Pembelaan itu mesti dibuay walaupun mungkin PAS terhutang budi dan terhutang derma daripada orang Umno.

RAJA BAHRIN SHAH ialah pemimpin Amanah, timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, juga senator dari Terengganu
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Rafizi: TH sembunyi kerugian supaya nampak untung sebelum PRU14



Rafizi Ramli.

PETALING JAYA: Rafizi Ramli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) terpaksa menukar peraturan untuk menyembunyikan kerugian dalam TH Heavy Engineering (THHE), yang akan ada kesan kepada keuntungan di peringkat kumpulan.
Merujuk kepada laporan ketua audit negara semalam, bekas ahli Parlimen Pandan berkata tindakan itu akan mempengaruhi jumlah peratusan keuntungan yang boleh diisytiharkan kepada orang ramai.
“Nampaknya untuk memastikan supaya TH nampak terus untung, supaya boleh isytihar yang tinggi beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya kepada FMT.
Beliau mengingatkan FMT bahawa keuntungan peratusan untuk pendeposit bagi tahun kewangan 2017 diisytiharkan hujung Januari 2018, iaitu beberapa bulan sebelum PRU14.
“Maksudnya kalau keuntungan rendah dan kerugian THHE itu direkodkan, ia mengesahkan pendedahan saya sebelum ini,” katanya.
“Sebab itu pengurusan TH sebelum ini bertindak menukar peraturan sendiri untuk menyembunyikan kerugian tersebut. Akhirnya ia dikenalpasti oleh ketua audit negara dan itulah yang dilaporkan.”
Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang diterbitkan semalam mendedahkan TH tidak merekodkan rosot nilai (impairment) berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam 3 syarikat subsidiari dan 3 syarikat bersekutu, khususnya pelaburan dalam THHE berjumlah RM164.58 juta.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, penyata kewangan syarikat ini menerima penafian pendapat oleh juruaudit luar,” kata Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.
Malah, katanya, kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan TH tidak konsisten, kerana terdapat perubahan polisi rosot nilai pada setiap tahun khususnya dalam tahun berakhir 31 Disember 2017, di mana polisi itu diubah sebanyak 2 kali.
“Saya telah dedahkan unjuran kewangan TH sejak dari 2016 lagi, yang menunjukkan kerugian-kerugian terutamanya di dalam anak syarikatnya iaitu THHE,” kata Rafizi.
Beliau seterusnya menjelaskan keputusan kewangan TH pada setiap tahun mesti mengambil kira untung rugi pelaburannya dalam anak-anak syarikat.
Katanya, hasil keseluruhan untung rugi itu akan menentukan keuntungan TH di peringkat kumpulan.
“Jumlah keuntungan itu akan menentukan dividen yang boleh diumumkan, kerana secara undang-undang TH tidak boleh mengisytiharkan dividen lebih dari keuntungan,” katanya.
Ditanya tentang penafian TH sebelum ini, Rafizi tidak mahu mengulas perkara itu. Lagipun, ia tidak mengguris beliau.
“Memang tanggungjawab saya untuk membawa isu-isu seperti ini,” katanya.
Rafizi berkata kerajaan dan pengurusan sekarang bertanggungjawab untuk mengembalikan keyakinan pendeposit, dengan mengambil sikap berterus-terang dan mengaudit keseluruhan operasi TH.
“Supaya apa-apa kepincangan yang masih ada dapat diatasi segera,” katanya.

BH LAPORKAN PENYELEWENGAN FELDA.SUARA KEADILAN LEBIH LAMA MENDEDAHKANNYA

Foto Amiruddin Ahmad.Foto Amiruddin Ahmad.Foto Amiruddin Ahmad.

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, mendedahkan FELDA dan kumpulannya merekodkan peningkatan ketara kerugian bersih masing-masing berjumlah RM5.73 bilion dan RM4.85 bilion bagi tahun 2017 berbanding RM251.24 juta dan RM729.6 juta pada 2016.
Laporan itu turut menyatakan kedudukan liabiliti semasa bersih FELDA dan kumpulan masing-masing berjumlah RM643.93 juta dan RM27.03 juta berbanding aset semasa bersih berjumlah RM343.17 juta dan RM1.234 bilion pada 2016.“Aliran tunai aktiviti operasi FELDA dan kumpulan juga mengalami defisit, masing-masing berjumlah RM1.20 bilion (2016: RM1.16 bilion) dan RM503.49 juta (2016: RM578.54 juta).
“FELDA dan kumpulan juga mempunyai pinjaman daripada institusi kewangan masing-masing berjumlah RM7.8 bilion (2016: RM6.82 bilion) dan RM12.14 bilion (2016: RM9.08 bilion).
“FELDA juga diberikan Pendapat Tanpa Teguran dengan Penekanan bagi tempoh tiga tahun berturut-turut. Antara faktor diberi pendapat tanpa teguran disebabkan agensi berkenaan mengalami aliran tunai atau baki kumpulan wang defisit yang memberi kesan terhadap usaha berterusan agensi dan ketidakpatuhan terhadap piawaian perakaunan yang tidak signifikan,” menurut laporan itu.
Kerajaan pada Ogos lalu mengumumkan akan membentangkan kertas putih mengenai FELDA berikutan kecelaruan pengurusan dan dibelenggu hutang yang tinggi.
Baru-baru ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, juga dilaporkan berkata beliau sudah meneliti draf pertama laporan itu dan mendapati terdapat kecurangan serius yang membabitkan masalah kewangan agensi kerajaan berkenaan.
Malah kertas putih bagi mendedahkan keadaan kewangan dan pengurusan FELDA dijadual akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Berdasarkan laporan audit itu juga, FELDA antara yang mencatatkan baki pinjaman tertinggi berjumlah RM7.799 bilion pada tahun 2017 bagi kategori badan berkanun Persekutuan.


UMNO TIDAK AMBIL PUSING POTENSI HILANG KERUSI PARLIMEN SIPITANG

APAKAH PAS TIDAK PERCAYA ADA PENYELEWENGAN DALAM TABUNG HAJI?



Pas dilaporkan berharap beberapa pendedahan berkaitan isu Tabung Haji kebelakangan ini tidak merupakan satu lagi siri balas dendam oleh kerajaan PH terhadap BN.

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan berkata, semua dakwaan yang terdedah setakat ini belum dibuktikan dan mesti disiasat, didakwa mengikut proses yang sewajarnya sebelum sesuatu hukuman dapat dibuat.

“Pas berharap pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam Tabung Haji kini bukan sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yang kukuh," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seterusnya, bekas Ahli Parlimen Temerloh itu juga membayangkan keraguannya berkenaan pendedahan isu Tabung Haji kerana ia kononnya didedahkan hanya menjelang himpunan bantah ICERD pada 8 Disember ini.

Sebagai “cinta baru” kepada UMNO, sebenarnya tidaklah memeranjatkan apabila Pas melalui Nasruddin mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Hakikatnya, apabila seseorang itu sedang dilamun cinta, bagaimana "hitam" sekali pun gambaran yang diberikan kepada pasangan barunya itu, di hatinya ia tetap kelihatan "putih dan suci".

Begitu jugalah dengan Pas yang sedang asyik mahsyuk bercinta dengan UMNO sekarang ini.

Kata dan dedahlah apa saja terhadap pemimpin UMNO,  pasti ada suara daripada Pas yang  membela dan tidak mempercayai segala tuduhan itu.

Hakikatnya, apabila Nasruddin mengharapkan pendedahan berkenaan penyelewengan Tabung Haji bukanlah sesuatu yang bersifat balas dendam terhadap UMNO atau bertujuan mengalih perhatian, ia dengan sendirinya bermakna itulah tafsiran yang sudah tersemat dalam hatinya, kalau pun tidak dalam hati seluruh pimpinan Pas yang lain.

Kenapa beliau cuba mengaitkan pendedahan itu dengan balas dendam atau tujuan-tujuan lain?

Adakah beliau tidak percaya pemimpin UMNO sanggup melakukan penyelewengan atau salah guna kuasa dalam agensi suci seperti Tabung Haji?

Ataukah mereka yang dilantik BN dalam Tabung Haji sebelum ini merupakan golongan suci dan maksum belaka?

Untuk makluman Nasruddin, berlakunya sesuatu penyelewengan atau penipuan, baik dalam Tabung Haji atau di mana-mana sekali pun adalah kerana duit atau wang.

Lebih-lebih lagi jika jumlah wang yang terlibat adalah besar, ia sudah tentu melibatkan lebih daripada tiga orang, banyak menggunakan dokumen dan perlunya melalui bank untuk transaksi atau proses pemindahan tunai.

Dalam semua keadaan itu, segala-galanya ada bukti dan tidaklah mudah untuk menghapuskannya seperti memadam tulisan di papan hitam.

Semakin besar penyelewengan, semakin sukar bukti mahu dipadamkan.

Sebab itu, skandal 1MDB terdedah juga akhirnya, walaupun berbagai cara dan helah cuba diusahakan untuk menutupnya.

Dalam kes penyelewengan Tabung Haji di mana pengurusan barunya sendiri sudah membuat dua laporan polis, sementara menunggu siasatan dijalankan, kita seharusnya meyakininya dengan sepenuh hati tindakan mereka itu.

Selain lembaga pengarah dan pengurusan baru Tabung Haji sekarang bebas daripada kaitan dengan politik, jika laporan polis yang dibuat itu tidak benar atau fitnah, mereka dengan sendirinya juga terdedah kepada kesalahan membuat laporan palsu kepada polis.

Maka, di mana logiknya pengurusan baru Tabung Haji sanggup berbuat demikian?

Apa kepentingan mereka, bukan saja untuk kemungkinan menganiaya Azeez Rahim, malah terhadap himpunan membantah ICERD yang melibatkan UMNO dan Pas? (ShahbudinHusin 03/12/2018)

PAS KUASAI MASJID TAPI DAKWAH TIDAK DITERIMA DI SELANGOR