Umno tidak ambil pusing potensi hilang kerusi parlimen Sipitang
Umno sudah tidak lagi peduli kalau terlepas kerusi Parlimen Sipitang setelah penyandangnya Yamani Hafez Musa terus menghilangkan diri, belum juga lagi mengangkat sumpah jawatan, lebih enam bulan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata parti itu sudah terima hakikat yang persaingan merebut kuasa kerajaan persekutuan sudah berakhir.
“Soal (hilang kerusi) itu saya rasa sudah tidak menjadi perkara besar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Umno sekarang hanya mahu menumpukan perhatian bersiap-siap menghadapi PRU15 akan datang, tambahnya.
“Dari segi Umno, kalau kerusi hilang pun, parti jalan terus… yang penting kita fikirkan pilihan raya akan datang. Sekarang ini sudah game over (tamat),” katanya.
Jelas Annuar, Umno sekarang tidak sibuk mencari ahli Parlimen untuk menambah bilangan kerusinya, tidak seperti Bersatu.
“DAP, PKR dan Amanah tidak sibuk untuk cukupkan kerusi. Ini soal Bersatu hendak tambah kerusi untuk kukuhkan kedudukan mereka,” katanya.
Hafez, anak bekas ketua menteri Sabah Musa Aman, bakal hilang kerusi yang dimenanginya pada 9 Mei lalu jika tidak mengangkat sumpah jawatan ahli Parlimen sebelum 15 Januari tahun depan.
Annuar bagaimanapun berharap Hafez, yang dipercayai berada di luar negara, akan pulang untuk mengangkat sumpah sebelum tarikh berkenaan.
Mengikut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya gagal mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas Dewan Rakyat mula bersidang.
“Kalau boleh kita mahu dia angkat sumpah dengan segera tetapi dia tidak ada di dalam negara. Saya tidak pasti di mana. Umno tidak tahu di mana dia sekarang.
“Dia tidak angkat sumpah kerana masih berada di luar negara, belum balik. Kalau ada dalam negara, dia sudah angkat sumpah,” katanya.
Hafez menang kerusi Parlimen Sipitang dengan majoriti 852 undi, mengalahkan calon Warisan, Noor Hayaty Mustapha dan calon Parti Harapan Rakyat, Dayang Aezzy Liman.
Selepas PRU14, beliau dilaporkan menemani ayahnya ke London pada 17 Mei untuk menjalani rawatan kesihatan, namun sehingga hari ini beliau tidak dapat dikesan.
Dalam pada itu, Annuar mengaku ada dalam kalangan ahli Parlimen Umno tidak dapat menerima hakikat yang parti itu sekarang sudah jadi pembangkang dan masih mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang memerintah.
“Siapa hendak duduk dalam Umno duduk, siapa hendak menyeberang, boleh menyeberang, tiada masalah… sebab ada sesetengah orang hendak duduk dalam kerajaan.
“Esok bila kita menang, dia minta masuk balik. Dia bukan hendak berjuang ikut parti. Dia hendak duduk dalam kerajaan, tidak boleh duduk sebagai pembangkang.
“Kita sebagai orang politik kena bersedia untuk memainkan pelbagai peranan tetapi mereka yang tidak tahan, hendak duduk dalam kerajaan, cari kerajaanlah. Jadi siapa-siapa hendak duduk dalam kerajaan, pergilah,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.
Sejak PRU14, enam ahli Parlimen Umno keluar parti, termasuk dua bekas menteri Kabinet Mustafa Mohamed dan Anifah Aman. Mustafa kini menyertai Bersatu, bersama seorang lagi Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga keluar Umno. –