Ketua
Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim – yang membawa tiga parti berlainan
ideologi duduk semeja – kekal optimis dengan masa depan pembangkang
sekalipun Pakatan Rakyat sudah berkubur.
Beliau, yang kini
menjalani hukuman penjara lima tahun, percaya pembangkang akan lebih
kuat selepas “disusun semula dengan kekuatan baru”.
“Saya percaya
bahawa Pembangkang, setelah disusun semula dengan kekuatan baharu
termasuk NGO-NGO, akan muncul bersatu dan lebih kuat selepas ini.
“Yakinlah,
saya tidak akan sesekali meninggalkan perjuangan ini selagi nyawa
dikandung badan,” katanya dalam satu perutusan melalui peguamnya yang
diedarkan oleh PKR.
Sedar beberapa perkara berlaku mutakhir ini,
Anwar berkata niat dan semangat pembangkang untuk menyelematkan Malaysia
daripada dakwaan kepincangan tatakelola dan autoritarianisme BN terus
utuh.
Beliau berkata tekanan dan ketegangan dalam Pakatan Rakyat
adalah fitrah sebuah gabungan politik yang telus dan demokratik dan
tidak bermakna ia tidak boleh diselesaikan dan mengatasi masalah yang
dihadapi.
“Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin
kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal, supaya rakyat dapat diberi
khidmat yang lebih baik.
“Pada masa yang sama, walau apa pun,
pembangkang masih berfungsi dan teguh di peringkat kerajaan-kerajaan
negeri dan Parlimen,” katanya .
Sehubungan itu, beliau menggesa
teman-teman seperjuangan di dalam parti pembangkang dan juga rakyat
untuk terus bergerak dalam perjuangan sehingga kemenangan dikecapi dan
Malaysia diselamatkan.
Nilai
matawang Ringgit telah jatuh merudum, iaitu 1 Dolar Amerika bersamaan
dengan RM3.76 dan 1 Dolar Singapura bersamaan dengan RM2.80. Penulis
telah mewawancara dua orang usahawan; seorang pelabur asing dan seorang
ahli usahawan tempatan dan kedua-dua mereka berkata kejatuhan nilai
Ringgit adalah disebabkan oleh apa yang boleh dilabelkan sebagai ‘krisis
keyakinan’. Mereka berkata bahawa masalah 1MDB memberi kesan yang
buruk kepada iklim pelaburan di Malaysia kerana sudah jelas isu itu
gagal ditangani dengan baik. Selain daripada itu, 1MDB sedang mengalami
masalah aliran wang tunai.
Kedua-dua para pelabur ini juga
menjelaskan bahawa perhatian para usahawan kini tertumpu kepada ‘pihak
ini dan pihak itu’ yang telah melabur wang dalam 1MDB demi membantu
syarikat berkenaan membayar faedah atas hutang RM42 bilion itu.
“Situasi tak cantik. Ia merunsingkan kita para pelabur.
“Justeru
itu, kalau masalah 1MDB terus berkekalan, mungkin adalah lebih baik
untuk melabur di negara jiran yang mempunyai iklim pelaburan yang lebih
ceria,” kata seorang usahawan tempatan Setakat ini, pelabur asing
telah mengeluarkan jumlah pelaburan dari Malaysia sejumlah RM6.3 bilion
dari Januari ke Jun tahun ini, walhal untuk sepanjang tahun lalu, jumlah
pelaburan asing yang mengalir keluar hanyalah RM6.9 bilion.
Anak
kepada bekas presiden PAS, Muhammad Faiz Fadzil yakin jika bapanya
Datuk Fadzil Mohd Noor masih hidup, beliau akan menyokong parti baharu
yang sedang dalam proses pembentukan. Faiz mengulas video
Youtube yang disebarkan di laman sosial bagi menunjukkan Fadzil akan
menentang penubuhan parti baharu sekiranya masih hidup.
“Anda
mungkin tak setuju dengan saya, tapi saya percaya Ustaz Fadzil Noor
(UFN) pasti menyokong parti baharu yang didokongi oleh pemimpin yang
dilahirkannya yang banyak berjasa kepada karier perjuangannya,” tulis
Faiz dalam laman Facebooknya hari ini.
“Parti baharu adalah meneruskan perjuangan UFN walau berlainan.”
Menurut
Faiz, ayahnya satu-satunya pemimpin zaman 70-an yang menentang
kemasukan PAS ke dalam Barisan Nasional (BN) semasa pemerintahan perdana
menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya, Fadzil pada
ketika itu beralih untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk
menjadikan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) kumpulan pendesak Islam
yang kuat di negara ini. “Dia kembali aktif bersama PAS setelah
PAS ditendang keluar daripada BN dan sertai PRU 1978 sehingga sanggup
dibuang kerja dari UTM. Jelas perjuangan UFN istiqamah menentang Umno-BN
dan mahu tubuhkan kerajaan.
“Sebab itu UFN merencana pelbagai
strategi politik termasuk menarik golongan profesional menyertai PAS,
memadamkan fahaman ahli terhadap Amanat Hadi dan Tahaluf dengan Angkatan
Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif,” katanya merujuk kerjasama PAS
dengan parti politik lain sebelum ini.
Menurut Faiz, video yeng
disebarkan mengenai Fadzil menyebut pemimpin yang gilakan jawatan sampai
sanggup tubuh parti baru, menjelaskan keadaan ketika itu.
“Itu
keadaan ketika itu. Tapi keadaan sekarang lain. Ahli dan rakyat yang
nakkan parti baru kerana PAS sekarang sudah terpesong daripada peta
perjuangan menentang Umno-BN.
“Dalam keadaan rakyat dahagakan
sebuah pemerintahan baru yang bersih adil dan berkebajikan melibatkan
penyertaan semua kaum, maka parti baru yang memperjuangkan semua prinsip
Islam ini dan aspirasi rakyat adalah menjadi wajib,” katanya.
Beliau
yakin parti baharu yang bakal dipimpin G-18, kumpulan yang tewas dalam
pemilihan PAS baru-baru ini, akan terus mendaulatkan Islam.
“Insya
Allah parti baru ini akan terus menentang Umno-BN, mendaulatkan Islam
dan akhirnya menyelamatkan ahli PAS yang masih keliru dengan halatuju
politik PAS sekarang,” katanya.
Pemimpin
PAS yang tewas dalam pemilihan PAS baru-baru ini menyifatkan kekalahan
mereka secara blok dalam pemilihan itu menjadi “rahmat yang
terselindung” apabila ia membuka ruang membina sesuatu lebih kukuh untuk
Malaysia selepas ini.
Setiausaha jawatankuasa bertindak
kumpulan 18 (G18) yang tewas itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata
penyingkiran mereka menyebabkan satu wadah baharu yang lebih kukuh dan
inklusif dibina untuk semua rakyat Malaysia.
“Sejak sekian lama
kita bergaduh dalam PAS dengan pendekatan dan pandangan yang berbeza
berhubung beberapa perkara, sekarang kita bebas untuk membentuk wadah
baharu lebih inklusif untuk semua rakyat negara ini,” katanya kepada The
Malaysian Insider.
G18 mengadakan pertemuan pertama di Muar, Johor pada 16 Jun lalu dan membentuk jawatankuasa bertindak di kalangan mereka. Bekas
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan jawatannya
dipilih sebagai pengerusi kumpulan ini sementara bekas Naib Presiden
Salahudin Ayub dilantik menjadi timbalan manakala bekas Ketua Pemuda
Suhaizan Kaiat sebagai penolong setiausahanya.
Semua ahli G18 yang lain dilantik sebagai ahli jawatankuasa (AJK) badan bertindak ini.
Dzulkefly
berkata badan ini akan menggabungkan semua masyarakat sivil di negara
ini terutama badan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membentuk satu wadah
baharu politik Malaysia berteraskan Islam yang lebih progresif
berbanding parti lama mereka.
“Kami yakin wadah ini akan lebih
diterima masyarakat Malaysia kerana sifatnya yang inklusif dalam sebuah
negara berbilang agama dan bangsa ini,” katanya yang juga bekas ketua
pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan PAS itu.
Selain bersatu dengan PKR dan DAP, wadah baharu itu akan menghimpun semua NGO Islam di Malaysia yang mempunyai cita-cita sama.
Dzulkefly
bagaimanapun berkata, beliau dan pimpinan G18 akan mengambil pendekatan
tidak akan berkonfrontasi atau menjadikan parti lama mereka iaitu PAS
sebagai musuh.
“Kita akan melihat masa depan dan cuba melupakan
perbezaan pendapat kita dalam PAS. Kita akan membawa gagasan masa depan
dan lupakan masalah lama kita,” katanya.
Dzulkefly berkata,
sepanjang Ramadan ini kumpulan berkenaan akan mengadakan mesyuarat
bersama pertubuhan Islam dan bukan Islam serta pemimpin masyarkat di
seluruh negara bagi menjelaskan peranan pergerakan itu.
Pengumuman
lanjut, katanya hanya akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri dan
selepas mendapat maklum balas daripada akar umbi serta pertubuhan yang
berkaitan.
Menurut laporan, kumpulan itu juga merancang untuk
menganjurkan pameran bergerak di seluruh negara dan akan menyokong
kempen “Harapan Baru” atau “The New Hope and Dream” selepas sambutan
Hari Raya Aidilfitri.