Siapa yang tidak kenal dengan Dr. Puad Zarkashi, terutama sejak beliau kalah pada pilihanraya 2013 dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah JASA.
Meskipun JASA adalah sebuah agensi kerajaan yang berperanan menerangkan hal-hal berkaitan dasar kerajaan kepada rakyat, tetapi Dr. Puad seolah-oleh menjadikan JASA alat propaganda untuk mempertahankan tubuh badan Najib Razak, Rosmah Mansor dan menyerang Tun Mahathir Mohamad semata-mata.
Apa yang tidak dipuji, dilambung dan diampunya Najib dan Rosmah dan apa juga yang tidak dikeji serta dihinanya Tun Mahathir Mohamad.
Lantaran itu, Dr. Puad lantas dilabelkan oleh banyak pihak sebagai pengampu dan pembodek nombor satu kepada Najib dan Rosmah, satu kedudukan yang beliau sebenarnya berkongsi dengan Salleh Said Keruak.
Cuma, Salleh merupakan pengampu nombor satu yang berjawatan menteri, manakala Dr. Puad pula pengampu nombor satu yang hanya sekadar menjadi Ahli MT,, selain sebagai Ketua Pengarah JASA yang barangkali hanya diberikan atas dasar kasihan berikutan beliau kalah pilihanraya 2013 dan hilang jawatan timbalan menteri pendidikan.
Sejak semalam telah tersebar satu surat yang kononnya ditulis oleh Dr. Puad yang menyatakan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA serta akan bertanding sebagai calon Bebas dalam pilihanraya pada 9 Mei nanti.
Keputusan beliau itu digambarkan kerana tidak berpuas hati sebab tidak terpilih sebagai calon dalam pilihanraya kali ini.
Sebaliknya UMNO dan BN dikhabarkan telah memilih Ketua Wanita Batu Pahat, Haliza Abdullah sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Batu Pahat di mana Dr. Puad adalah ketua bahagian itu.
Tidak dipastikan sama ada surat itu benar atau palsu, tetapi oleh kerana sekarang sudah sah nama Dr. Puad digugurkan sebagai calon dan digantikan dengan Haliza, nampaknya surat yang telah tersebar luas itu seolah-olah adalah benar.
Berikut adalah surat tersebut:-
Rakan-rakan yang dihormati,
Saya akan memohon peletakan jawatan saya sebagai KP JASA pada 26.4.2018. Saya akan bertanding sebagai calon bebas untuk P150 Batu Pahat dan N24 DUN Senggarang.
Saya akan berperang melawan sistem yang rosak dalam UMNO dalam memilih calon untuk PRU14. Pada hari Jumaat saya menerima panggilan dari Datuk Azwan Ibu Pejabat untuk menghadiri mesyuarat khas di Bilik Melaka PWTC (21.4.18).
Tetapi pada keesokan harinya saya menerima panggilan lain dari beliau meminta saya supaya tidak hadir. Kemudian hanya saya tahu bahawa Ketua Wanita saya ada di PWTC.
Saya memenangi kedua-dua pilihan raya MT dengan peluh dan air mata. Saya menentang politik wang namun saya menang kerana ahli mempercayai saya.
Saya mengalami dua kali pengalaman buruk ketika saya tidak dinominasikan pada tahun 1999 dan 2004 hanya kerana fitnah dalam parti. Tetapi saya tetap meletakkan dan menegakkan "UMNO Perjuangan". Tetapi bukan untuk kali ketiga. Cukup cukup.
Saya tidak akan bertolak ansur dengan sistem yang rosak ini. Saya suka seperti sampah kerana tiada siapa yang berunding dengan saya evendoor Saya MT yang dipilih.
Saya tidak boleh percaya Ketua Wanita saya yang dikelilingi oleh isu peribadi kontroversial menjadi pilihan terbaik parti. Semua kerja keras, sasaran mikro, dan operasi taktikal telah diabaikan.
Saya tidak menentang "UMNO Perjuangan". Saya tidak menentang bos besar. Saya telah mempertahankan parti dan bos besar sepenuh hati. Tetapi kali ini, saya menentang sistem yang rosak. Saya akan berjuang sehingga jatuh terakhir.
Saya akan meninggalkan kumpulan NCC ini.
Begitulah isu surat tersebut.
Susulan surat yang tersebar itu dan namanya sah digugurkan, Dr. Puad dikhabarkan akan mengadakan sidang akhbarnya hari ini. Sama-sama kita tunggu apa butir ceritanya nanti.
Tetapi, bagamanakah pengampu nombor satu boleh diketepikan begitu saja oleh Najib?
Apakah Najib tidak terbuai dan terlena dengan bodek dan ampunya selama ini?
Ataukah bodek dan ampu beliau sebenarnya tidak sebaik apa yang dilakukan oleh Salleh Said Keruak?
Namun, sedih juga rasanya apabila pengampu dan pembodek nombor satu diperlakukan sebegini rupa oleh Najib.
Apakah Najib tidak kasihan dengan begitu banyak air liuhnya yang tumpah dalam mengampu dan membodek selama ini?
Adakah pembodek dan pengampu yang lain - yang nombor dua, nombor tiga dan tidak bernombor - dapat apa yang mereka hajati dalam pilihanraya kali ini atau ramai juga yang senasib dengan Dr. Puad ini? (ShahbudinHusin 23/04/2018)