Pemuda PH rancang laporan polis besar-besaran terhadap SPR

Pemuda PH rancang laporan polis besar-besaran terhadap SPR

Pemuda Amanah Nasional bersama Pemuda Pakatan Harapan akan membuat laporan polis besar-besaran esok bagi menggesa siasatan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak lagi mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik.
Tindakan ini ekoran tidak berpuas hati terhadap sikap pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah yang terus membisu sejak demonstrasi yang diadakan seminggu yang lalu.
Pengarah pilihan raya Pemuda Amanah Nasional Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, pihaknya kesal terhadap sikap SPR yang seolah-olah sanggup diperkudakan parti pemerintah walaupun seharusnya badan itu bebas.
"SPR adalah badan kerajaan yang sepatutnya bebas dan bertanggungjawab memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi Malaysia melalui pilihan raya yang adil.
"Namun, tindakan memberhentikan pengagihan RDPT dalam bentuk buku dan cakera padat jelas menunjukkan bahawa wujud agenda untuk menyukarkan parti-parti politik pembangkang untuk mendapat akses kepada maklumat tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perhimpunan 23 Mei lalu, Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan bertindak mengunci pintu pagar ibu pejabat SPR di Putrajaya selepas badan itu didakwa enggan menerima bantahan mereka.
Taqiuddin juga mempersoal SPR yang menyukarkan akses kepada maklumat tersebut.
Apatah lagi, selama ini parti-parti politik pembangkang giat menjadi agen semak dan imbang kepada kesahihan maklumat pendaftar.
Persoalan timbul, mengapa hari ini akses kepada maklumat itu disukarkan oleh SPR? Apakah SPR tidak mahu pilihan raya berjalan dengan bersih?" soalnya.

Kit Siang singgah beli lemang, peniaga belanja rendang daging


HULU LANGAT, 29 MEI: Kemesraan yang jelas terpancar dari wajah peniaga Melayu di bazar Ramadhan Batu 18 dekat sini terhadap kunjungan Lim Kit Siang membuktikan pemimpin Veteran DAP itu disenangi malah dihormati oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira kaum dan agama.
Kit Siang yang ditemani Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta dua pemimpin muda DAP Young Syefura atau mesra dikenali sebagai Rara dan Mohd Firdaus Babh turut menyantuni pengunjung bazar tersebut sambil bertukar-tukar salam dan memberi sumbangan buah kurma.
Ketua Parlimen DAP itu singgah juga ke gerai seorang peniaga Melayu dan membeli dua batang lemang buat juadah berbuka puasa. Sebelum beredar peniaga tersebut sempat membungkus rendang daging secara percuma. “Saya belanja,” ujar peniaga tersebut.
Dalam pada itu, kamera telefon pintar para pengunjung tidak henti-henti menghala ke arah rombongan Kit Siang untuk merakam detik-detik bermakna tersebut. Mereka turut mengambil gambar swafoto bersama Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Sebelum beredar ke destinasi seterusnya, Kit Siang tidak semena-mena disapa ramah oleh seorang lelaki yang dipercayai penyokong UMNO berbaju Ulangtahun ke-71 parti itu. “Saya tak kesah roket, atau bulan atau apa,” kata lelaki itu tersenyum sambil bersalaman dan menyentuh bahu Kit Siang.
Sedang negara dilanda krisis perkauman dan agama yang kian meruncing, peristiwa di pekan kecil ini sedikit sebanyak telah mengembalikan semula keyakinan bahawa kesepaduan tanpa mengira latar belakang dalam negara ini mampu dicapai jika kita saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Kata Rara yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap penyelaras program Jelajah Desa Kit Siang kali ini, keharmonian yang ditunjukkan itu selaras dengan prinsip “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan DAP sejak sekian lama.
“Ia juga membuktikan bahawa dakwaan dan tohmahan jahat UMNO-Barisan Nasional terhadap Kit Siang adalah tidak benar sama sekali, hakikatnya rakyat masih punya rasa hormat terhadap beliau dan DAP” katanya kepada Roketkini.
Dalam kunjungan itu, rombongan yang diketuai Kit Siang berkenaan juga sempat menziarahi tiga keluarga asnaf bagi menyampai sumbangan berbentuk beras dan barang keperluan yang lain. – Roketkini.com

Exco Agama kecam tindakan demonstrasi Jaringan Muslimin Pulau Pinang



GEORGE TOWN, 29 MEI: Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mengecam tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP) yang bertindak memburuk-burukkan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika demonstrasi selepas solat Jumaat, 26 Mei lalu di hadapan Masjid Simpang Enam dekat sini.
Abdul Malik berkata, tindakan tersebut adalah ekoran dakwaan mereka kononnya Ketua Menteri Pulau Pinang mencampuri urusan fatwa negeri.
“Sudah berkali-kali isu ini diperjelaskan termasuk Mufti (Mufti Pulau Pinang, Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor) telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini.
“(Dan) saya amat kesal serta mengecam tindakan mereka yang melontarkan tohmahan termasuk menghalang Ketua Menteri untuk menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
“Sedangkan seperti kelaziman sejak tahun 2008, Ketua Menteri, Y.A.B. (Tuan) Lim Guan Eng akan menghadiri majlis berbuka puasa, malah, menyampaikan beberapa bantuan untuk perkembangan hal ehwal Islam ketika menghadiri majlis bersama rakyat itu,” ujarnya kepada pemberita di Komtar tengah hari tadi.
Menurut Abdul Malik, tindakan Pengerusi JMPP dikenali Hafiz Nordin yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
“Melarang seseorang yang bukan Islam menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama orang Islam bukanlah ajaran Islam.
“(Dan) bagi pihak Kerajaan Negeri, kita akan teruskan usaha meningkatkan kefahaman agama di Pulau Pinang serta menolak sikap pelampau agama sebegitu,” jelasnya.
Sementara itu, Penasihat Strategik Kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail turut membidas tindakan kumpulan tersebut yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
“Kita (Pakatan Harapan) cuba mewujudkan hubungan yang baik dalam rangka keharmonian agama yang mencintakan kedamaian.
“Hal yang berlaku baru-baru ini jelas bercanggah. Ajaran Islam ini mudah, tetapi boleh sahaja dikelirukan oleh penganutnya yang obses terhadap sesuatu perkara.
“Saya percaya, di Pulau Pinang usaha ke arah keharmonian antara pelbagai kaum telah lama dilaksanakan dan akan diteruskan demi memberikan perspektif yang benar berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah ,” ujarnya.
Saifuddin dalam pada itu turut memaklumkan majlis berbuka puasa melibatkan pemimpin Pakatan Harapan di peringkat nasional akan diadakan pada 11 Jun ini di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut serta dalam sidang media berkaitan turut memberi pandangan sama.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah menunjukkan amalan yang baik dengan berbuka puasa bersama-sama orang Islam di Pulau Pinang.
“Inilah amalan yang dibuat oleh pimpinan negara-negara hebat, sebagai contoh bekas Presiden Barrack Obama pernah mengadakan majlis rumah terbuka di Rumah Putih (Amerika Syarikat) dan mengajak orang bukan Islam turut serta.
“Begitu juga Perdana Menteri Singapura baru-baru ini berbuka puasa bersama-sama umat Islam di salah sebuah masjid di Singapura.
“Bahkan, diunjurkan supaya kita berbuka puasa beramai-ramai seperti yang pernah dilakukan di Masjid Negara (Kuala Lumpur),” katanya yang berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan amalan baik menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama orang Islam dan bukan Islam. – Roketkini.com

Kunjungan Lim Kit Siang, Pak Samad curi tumpuan pengunjung bazar Ramadan



HULU LANGAT, 29 MEI: Sekitar jam 5.30 petang, bazar Ramadan pekan kecil Batu 18 di sini riuh-rendah dan meriah dengan pengunjung membeli juadah berbuka puasa.
Gerai-gerai sederhana yang dibuka sepanjang kiri dan kanan jalan, suara peniaga melaung-laung, rengekan anak-anak kecil, bunyi-bunyi ‘pasar’ seperti ini sering mengembalikan ingatan saya kepada kampung halaman.
Kedudukan dalam lingkungan 20 kilometer dari Kuala Lumpur tidak menjadikan tempat ini kurang penting. Ia tetap menjadi lubuk warga mencari rezeki yang halal – begitu juga dengan pengunjung yang mencari lauk pauk dan kuih-muih istimewa setahun sekali.
Petang itu juga, kemeriahan bazar Ramadan itu menjadi-jadi apabila menerima kunjungan dua tetamu istimewa iaitu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Mereka berjaya mencuri tumpuan umum sebaik sahaja turun dari kenderaan. Maklumlah, mereka merupakan sosok yang sering dibual-bualkan di televisyen dan media cetak.
Saya melihat ada pengunjung yang teruja, ada yang tersenyum, ada yang berbisik-bisik dan ada juga seperti terkejut.
Program Jelajah Desa anjuran DAP Dusun Tua yang dipimpin oleh Young Syefura Othman ini sedikit sebanyak, memberi ruang kepada masyarakat untuk mengenali lebih dekat dua tokoh yang sering disebut-sebutkan itu.
Tambahan pula, nama Lim Kit siang dan DAP semakin laris apabila Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa baru sahaja melancarkan buku fitnah dan rasis memburuk-burukkan DAP dan peribadinya.
Sambil berjalan melawat gerai-gerai juadah, mereka disapa pengunjung yang ingin berswafoto, mengambil gambar malah ada yang sempat bertegur sapa. Ketika Lim Kit Siang singgah di gerai untuk membeli lemang, beliau turut dibelanja rendang oleh peniaga di situ.
Inilah suasana damai dan harmoni yang tidak dibuat-buat oleh warga. Penerimaan baik masyarakat di sini cukup memberi gambaran jelas bahawa kita menolak budaya politik kebencian.
Rakyat Malaysia wajar berasa sedih dan kesal apabila ada pemimpn utama negara ini yang ‘seronok’ menangguk di air yang keruh dengan menggalakkan politik kebencian dikalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
“Adakah pemimpin UMNO ini kebal?” soal Kit siang dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengulas pelancaran buku rasis Annuar Musa itu.
Mereka sedaya upaya cuba menggambarkan DAP dan pemimpinnya konon sebagai parti perkauman sedangkan, DAP sentiasa konsisten dan tegas mengangkat isu dan kepentingan nasional membongkar salah guna kuasa malah pentadbiran kerajaan Pulau Pinang khususnya jauh lebih baik dan telus berbanding Barisan Nasional (BN).
Maka persoalannya, apa masa depan dan hala tuju masyarakat dan negara apabila pemimpin-pemimpinnya korup dan hilang semangat keamanan dan cintakan tanah air apabila mengapi-apikan sentimen perkauman? Lebih parah lagi apabila terpaksa ‘mengkambing hitamkan’ DAP untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap segala caca-marba ketempangan pengurusan ekonomi kerajaan BN?
Sudah tiba masanya mentaliti perkauman sempit, jumud, ego dan semangat perpuakan yang dicetuskan oleh sebahagian pemimpin tidak bertanggungjawab perlu dihentikan sebelum melarat.
Bagi saya, suasana mesra dan meriah menyambut kunjungan Lim Kit Siang dan Pak Samad di bazar Ramadan Batu 18 petang semalam hanya sebahagian kecil dari bukti kukuh bahawa rakyat negara ini semakin sedar pemimpin negara perlu keluar dari belenggu politik kebencian dan bergerak ke hadapan.
Sampai bilakah kita akan terus dikejar bayang-bayang, hantu perkauman dan agama? –

CHINA BELI PROTON, KERAJAAN MALAYSIA BAYAR RM1.35 BILION

Zahid Hamidi peluk pemimpin Pas tular di media sosial


Aksi mesra Zahid dan Khairuddin makin menguatkan tanggapan umum tentang kerjasama Umno-Pas menjelang PRU14.Aksi mesra Zahid dan Khairuddin makin menguatkan tanggapan umum tentang kerjasama Umno-Pas menjelang PRU14.
Bagai sahabat lama, aksi mesra Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memeluk Ketua Penerangan Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tular di media sosial sejak malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri yang berjubah dan berkopiah putih itu bersama segerombolan rombongannya dalam kunjungan Naib Presiden Umno berkenaan ke Terengganu sempena Ramadan ini.
Khairuddin merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus yang berpakaian warna perang dan berkopiah hitam itu pula dilihat tersengih apabila dipeluk Zahid.
Terengganu dilapor menjadi negeri pertama kunjungan Zahid untuk berbuka puasa selepas mengumumkan akan ke setiap negeri bagi majlis iftar bersama rakyat.
Bernama melaporkan Zahid semalam hadir pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat negeri dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari kawasam Kuala Nerus di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus.
Beliau kemudiannya menunaikan solat Isyak dan Terawih di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, di Kuala Terengganu.
Foto pemimpin Umno dan Pas yang dikongsi pengguna Facebook itu mengukuhkan lagi tanggapan umum tentang hubungan dan kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Khalid mahu Exco Pas tunai janji manifesto Pakatan Rakyat



Khalid IbrahimKhalid IbrahimBekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengharapkan tiga Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Pas yang dikekalkan jawatan akan dapat mengotakan janji di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum 2013 yang lalu.
Beliau berkata, janji pilihan raya itu khusus dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor kerana itulah yang menjadi sebab utama rakyat Selangor ujarnya, memberikan mandat yang besar untuk terus mentadbir negeri ini.
"Saya menyeru agar YB Zaidy yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan pengambilalihan industri air di Selangor agar mengkaji semula keputusan Kerajaan Negeri membayar syarikat konsesi Splash sebanyak RM2.8billion iaitu lebih sepuluh gali ganda daripada nilai ekuiti asal.
"Exco Pas lain juga diharapkan dapat menyiasat dakwaan awam bahawa terdapat salahguna kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir dan aktiviti perlombongan pasir haram yang kian berleluasa di negeri ini.
"Tambahan pula kita turut dikejutkan dengan berita terdapatnya manipulasi di dalam penjualan hartanah milik kerajaan yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat Pemaju serta tidak memberi manfaat yang sepatutnya kepada kerajaan negeri," ujarnya.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini berkata, beliau tidak akan berhenti menuntut agar pentadbiran sedia ada meletakkan kepentingan rakyat di tempat utama di dalam membuat sebarang keputusan.
"Sebuah pentadbiran yang baik bukan sahaja cemerlang mengurus harta negeri dan membawa pendapatan kepada negeri tetapi elemen yang amat penting ialah memastikan tiada ketirisan di dalam setiap bentuk pembangunan dan program kebajikan yang dilaksanakan," ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan keputusan bijaksana DYMM Sultan Selangor yang telah memberi perkenan dan mengesahkan kedudukan tiga Exco yang mewakili parti Pas untuk kekal di dalam Kerajaan Negeri.
Khalid berkata, titah Tuanku bukan sahaja memberi pencerahan kepada kemelut politik yang melanda Negeri Selangor sejak beberapa bulan lalu tetapi juga akan membawa kepada kestabilan pentadbiran dan pengurusan negeri.
"Saya mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga Exco yang mewakili Pas iaitu YB Iskandar Samad, YB Dr Ahmad Yunus Hairi dan YB Zaidy Abdul Talib yang mendapat kepercayaan DYMM Sultan untuk terus berkhidmat kepada kerajaan Tuanku.
"Justeru amat penting bagi ketiga-tiga mereka memberi sepenuh komitmen dalam memastikan perkhidmatan yang cekap, telus dan bertanggungjawab," ujarnya.
Pada Jumaat, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk mengekalkan tiga Exco kerajaan Selangor daripada parti Pas dikekalkan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tiga exco Pas di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi); serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).
Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa Pas menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar Pas ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati Pas sebagai rakan sekutu mereka.

TAMPAR-MENAMPAR BUDAYA RASMI TN50?